Home Novel Cinta Sepasang Kurung Pink
Sepasang Kurung Pink
7/1/2014 22:54:28
49,686
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

“SIAPA dia perempuan yang mama nak jodohkan dengan Syah tu?” Syahrin Haiqal tidak melepaskan peluang merisik khabar sebaik sahaja dia dan Puan Lisa berada di ruang makan pagi minggu itu.

Ahli keluarga lain sibuk dengan aktiviti masing-masing. Papa berada di bilik. Afiq menonton televisyen di ruang tamu. Adiknya, Maizura dan keluarganya awal-awal sudah keluar. Si kembar berdua itu sibuk mahu ke KLCC. Mahu tidak mahu, umi dan babahnya terpaksa menurut jika tidak mahu sakit telinga mendengar mereka merengek sepanjang hari bila kemahuan mereka tidak dipenuhi.

Bibir Puan Lisa mengukir senyuman. Sengaja mahu mendera hati anaknya. Melihat Syahrin macam cacing kepanasan sejak tadi, dia terasa geli hati.

“Orang yang sesuai untuk Syahlah. Takkan pulak mama nak carikan perempuan yang bukan-bukan. Gadis yang mama carikan tu sangat istimewa. Mama pasti Syah akan sukakan dia.” Lembut suara Puan Lisa menerobos masuk ke telinga Syahrin.

Mencebik bibir Syahrin mendengarnya. Tidak terpesona langsung mendengar bicara lembut mama. Walaupun mama pandai memujuk, tetapi kali ini dia tidak mahu layu dengan pujukan semanis madu itu. Istimewa konon! Hatinya mencemuh. Istimewanya perempuan itu cuma dipandangan mata mama, sedangkan di mata lelakinya yang terlalu memilih ini langsung tidak ada maknanya.

“Perempuan Melayu terakhir ke?” Syahrin serkap jarang.

Puan Lisa mengangguk. Begitu pun dia tergelak mendengar frasa ‘perempuan Melayu terakhir’ itu disebut anaknya. Faham sangat dengan apa yang dimaksudkan Syahrin. Sudah tentulah ia sinonim dengan seorang gadis berperwatakan ‘pijak semut pun tidak mati’, sentiasa berbaju kurung dan tentunya bertudung litup. Bukan dia tidak tahu anak manjanya ini alah dengan gadis sebegitu. Sengaja dia ingin mengusik dan menduga hati Syahrin.

“Mama ni...” Panjang keluhan Syahrin. “Mama tahukan Syah bukannya suka dengan perempuan macam tu. Tak sesuai dengan Syahlah, ma,” rungut Syahrin. Mahu mengelak daripada didesak mama.

“Macam mana Syah tahu Syah tak sesuai dengan dia? Syah belum jumpa dia lagi.” Puan Lisa tidak berputus asa memujuk anaknya menerima Diza sebagai suri hidupnya.

“Syah tahulah. Kalau dah bukan cita rasa kita, nak sesuai apanya?” dengus Syahrin. Pantas dilarikan wajahnya daripada bertatapan mata dengan mama.

“Syah jumpalah dia dulu. Tengok orangnya macam mana. Mama yakin kalau Syah jumpa dia, Syah pun akan sukakan dia. Macam mama juga.” Begitu yakin Puan Lisa cuba melunakkan hati batu Syahrin. Macam pasti benar Diza akan menerima Syahrin dalam hidupnya. Padahal, sampai sekarang Diza masih mengunci mulut. Menolak tidak, menerima pun belum.

Geli-geleman telinga Syahrin menelan pujian mama yang dirasakan terlalu berlebih-lebihan. Terjuih bibir mendengarnya. Aku nak jatuh cinta pandang pertama dengan perempuan macam tu? Nonsenselah, bisik hati kecilnya.

Agaknya mama terlalu banyak menonton drama Melayu sampaikan jodoh anaknya pun hendak ditiru bulat-bulat dari situ. Mama tidak sedar apa yang bakal dilalui anaknya ini adalah suatu realiti dan bukan fantasi. Kebanyakan kisah cinta dalam drama yang ditonton mama berakhir dengan kebahagiaan. Tetapi tidak sedarkah mama, dia sedang mempertaruhkan kebahagiaan anaknya sendiri? Risiko anaknya menderita mengahwini perempuan yang tidak dicintai adalah terlalu besar. Lupa ke mama tentang hakikat itu?

“Cantik sangat ke orangnya?” Dalam geram-geram begitu, Syahrin berminat juga mahu menyelidiki perihal gadis yang mahu disatukan dengannya.

“Tak adalah cantik macam Miss Universe tapi mukanya tu tak jemu dipandang. Tapi bukan soal cantik atau tak yang menjadi ukuran, Syah. Yang penting ialah budi bahasa dan ketaatannya pada agama. Mama rasa Syah tentu boleh fikir kenapa mama nak jodohkan Syah dengan dia.” Puan Lisa mula menggunakan pendekatan psikologi untuk memujuk Syahrin. Akan digunakan cara penuh diplomasi untuk meruntuhkan pertahanan kental anaknya itu.

Syahrin tidak membalas. Dia faham sangat dengan arah bicara mama. Sudah tentulah kata-kata mama merujuk kepada perangai liarnya yang suka mengusung anak dara orang, dan yang paling tidak disenangi mama, dia sering melalaikan perkara wajib iaitu bersolat.

Sejak dua tahun dulu, memang dua perkara itulah yang selalu dileterkan mama. Puas mama membebel menasihatinya tentang semua itu. Cuma dia yang buat-buat tidak dengar. Nasihat mama hanya masuk telinga kanan dan tembus ke telinga kiri. Dia selalu buat-buat tuli dengan leteran mama kerana dia belum mahu berubah. Dia belum puas mengecapi keseronokan hidup. Sebab itulah dalam umurnya yang sudah menginjak ke angka 30, dia belum juga mahu berumah tangga. Bimbang hilang kebebasan diri bila sudah lemas terkurung dalam sebuah ikatan perkahwinan.

“Mama pilih dia pun bukan sebab rupa aje tapi sebab utama, dia tu anak yatim piatu. Dia tinggal berdua aje dengan adik dia. Mama kesiankan dia. Tentu Syah dapat bayangkan betapa sunyinya hidup dia tanpa kasih sayang ayah dan ibu. Sebab tu mama nak sangat curahkan kasih sayang mama pada dia.”

“Mama nak jodohkan Syah dengan anak yatim piatu? Hisy... mama ni, tak padan dengan Syahlah, ma. Kalau kawan-kawan Syah tahu nanti, macam mana? Malulah Syah nanti,” tolak Syahrin. Mukanya berkerut-kerut. Tidak bersetuju langsung dengan saranan mama. Ada ke patut dengan anak yatim piatu yang entah daripada mana asal-usulnya hendak dijodohkan dengannya? Mama ni dah hilang akal ke apa! Syahrin merungut-rungut.

“Apa nak dimalukan? Patutnya Syah rasa bangga dapat kahwin dengan anak yatim piatu. Dapat pahala, Syah!”

Dapat pahala? Dapat pahala pun kalau hanya mengundang bala hendak buat apa? “Mama ni... nak buat pahala tak bertempat. Banyak lagi cara untuk kita buat pahala, ma. Bukan dengan kahwinkan Syah dengan anak yatim aje.” Syahrin ketawa.

“Syah jumpalah dia dulu. Tengok orangnya macam mana. Mama bukan suruh Syah terus kahwin dengan dia. Berkawanlah dulu. Kenal dulu hati budinya. Bila Syah rasa ada sesuai dan boleh terima dia, barulah kita bincangkan hal selanjutnya,” pujuk Puan Lisa. Pun begitu, terselit kerisauan di belahan hatinya. Beria-ia dia memujuk Syahrin menerima Diza sedangkan Diza belum tentu mahu menerima Syahrin. Buatnya Syahrin menerima tetapi Diza pula menolak, macam mana? Tidakkah jatuh ego Syahrin nanti? Setahun tidak habis Syahrin mengamuk nanti!

“Baiklah, Syah setuju jumpa dia. Tapi hanya setakat jumpa aje tau. Kalau Syah tak nak terima dia, mama jangan paksa-paksa Syah pulak.” Puan Lisa merenung mamanya dengan tajam, bagaikan mengugut.

Puan Lisa tersenyum lalu mengangguk. Tanda bersetuju dengan tawaran Syahrin. Dia tidak mahu terlalu berkeras dengan anak bujangnya. Takut nanti, jika dia terlalu memaksa, Syahrin akan berkecil hati dan merajuk. Silap hari bulan, Syahrin akan pergi membawa diri meninggalkan keluarga. Dia tidak mahu anaknya bertindak sampai begitu. Cuma Syahrin satu-satu anak lelakinya. Harapannya. Jika Syahrin enggan menerima Diza, bermakna sudah ditakdirkan tiada jodoh mereka berdua. Memaksa juga tiada gunanya.

Begitu pun dia senang hati bila Syahrin sudah boleh bertolak-ansur. Tidaklah hanya mahu mengikut hati kerasnya. Sekarang, semuanya bergantung kepada Diza. Kalau Diza bersetuju, dalam masa-masa terdekat ini akan bertemulah teruna dan dara itu empat mata. Dan, kalau ada jodoh, dapatlah Puan Lisa bermenantukan Diza yang nampak sempurna di matanya. Tercapailah impiannya mahu melihat Syahrin bersanding di pelamin.

Tetapi bagaimana kalau Diza enggan menerima Syahrin? Tidakkah sia-sia usahanya memujuk anaknya yang keras kepala itu? Puan Lisa memanggung kepala. Resah memikirkan persoalan yang satu itu.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.