Dengan
langkah longlai Leya melangkah keluar dari bilik doktor Badrul. Perkhabaran
yang baru disampaikan doktor tersebut benar-benar membuatkan hatinya luluh. Di
mana harus dia dapatkan duit pembedahan uminya? Dia benar-benar buntu. Uminya
mengalami serangan jantung kali kedua dan perlu dibedah dengan segera. Andai
dibiarkan, jantung uminya akan lebih parah dan mungkin akan meragut nyawa
uminya. Bayaran untuk pembedahan pula hampir puluhan ribu. Dia terduduk di
kerusi di luar bilik yang menempatkan uminya. Di mana dia harus mendapatkan
duit pembedahan tersebut?
Memikirkan
tentang kesihatan uminya yang semakin parah membuatkan dia benar-benar buntu
apalagi saat melihat uminya yang terpaksa bertarung dengan kesakitan. Hampir
menitis air matanya melihat betapa terseksa uminya menghadapi kesakitan itu dan
setiap kali itulah hatinya bagai dihiris. Dia benar-benar tidak sanggup untuk
membiarkan uminya terus menderita.
Air
mata mula gugur membasahi pipi. Oh Tuhan, mengapa seberat ini kau menduga aku.
Ya Rahman, berikan aku jalan untuk aku menyelamatkan umiku. Air matanya semakin
laju mengalir. Tidak tahu pada siapa harus dia mengadu sedangkan mereka bukan
dari golongan orang berada. Rumah yang umi dan arwah ayah beli empat tahun
dahulu terpaksa dijual untuk membiayai kos pembedahan uminya setahun yang lalu.
Yang tinggal hanya rumah yang mereka duduki kini. Rumah itu arwah ayah beli
selepas setahun mengahwini uminya dan di rumah itu juga dia membesar dan segala
memori mereka sekeluarga tersimpan di rumah itu. Andai dia menjual rumah
tersebut di mana pula mereka mahu tinggal? Akan bersetujukah umi andai dia
mengusulkan cadangan untuk menjual rumah tersebut?
Dia
melepaskan keluhan. Pada kiraannya baki yang tinggal hasil jualan rumah dahulu
tidak sampai pun lima belas ribu. Untuk meminta dari Mak Long dan Mak Su, agak
mustahil baginya kerana dia sendiri tahu kedua-dua ibu saudaranya itu juga
bukan dari golongan orang senang tambahan lagi mereka juga ada tanggungjawab
terhadap keluarga mereka sendiri. Dia bersandar kelesuan. Otaknya beku untuk
mencari jalan keluar. Di dalam hati tidak putus dia memanjatkan doa agar Allah
memberikan petunjuk untuknya.
***********************************
Sebaik
melangkah keluar dari bilik Datin Rafeah yang dimasukkan ke wad kerana serangan
jantung, Datin Aida berjalan menyusuri bilik-bilik lain. Dan bila matanya
menangkap seorang gadis yang nampak lemah sebaik keluar dari bilik yang
diyakini milik seorang doktor, menarik perhatiannya. Lama dia memandang gadis
tersebut. Dari raut wajah gadis tersebut dia tahu pasti ada sesuatu yang telah
terjadi. Baru dia ingin menghampiri, kelihatan gadis itu bangun dan masuk ke
bilik yang berada di depannya. Dengan perlahan dia mendekati bilik tersebut.
Dari muka pintu yang sedikit terdedah dia melihat gadis itu sedang menangis di
sisi seorang wanita yang sedang terbaring. Bibirnya mula melebarkan senyuman.
Langkahnya
diatur ke bilik yang ditinggalkan gadis itu. Perlahan dia mengetuk pintu dan
bila mendapat keizinan dia terus melangkah masuk.
"Ada
apa-apa yang saya boleh bantu puan..?" soal doktor Badrul. Kurang mengerti
bila biliknya tiba-tiba didatangi seorang wanita yang pada kiraannya bukan
calang-calang. Lihat sahaja pakaian yang membalut tubuh wanita di depannya ini
apa lagi aksesori yang dipakai juga telah melambangkan status wanita ini.
"Saya
Aida, Datin Aida. Biarlah saya berterus terang. Kedatangan saya ini kerana
ingin bertanyakan tentang gadis yang baru keluar dari bilik ni tadi.."
ujar Datin Aida akan tujuan sebenarnya.
"Hmmm
Leya maksud Datin? Boleh saya tahu apa hubungan Datin dengan gadis
tersebut..?" Pelik bila wanita berkelas tinggi ini datang ke biliknya
semata-mata untuk bertanyakan tentang anak gadis salah seorang pesakit yang
sedang dirawatnya.
"Ohh,
namanya Leya…” Datin Aida tersenyum seraya mengangguk perlahan.
“Kami
saling tidak mengenali cuma tadi saya ternampak dia seperti bersedih manalah
tahu saya boleh menolongnya..." ujar Datin Aida cuba mengorek akan
penyebab gadis yang dilihatnya tadi bersedih. Dia amat pasti gadis itu sedang
menghadapi masalah.
Seketika
doktor Badrul diam. Berfikir apakah wajar untuk dia memberitahu wanita yang
berstatus Datin ini akan masalah yang dihadapi gadis tersebut. Mengingatkan
keadaan Leya setelah dia menyatakan tentang penyakit ibunya menimbulkan rasa
simpati di hatinya tetapi dengan membongkar perihal pesakitnya kepada orang
luar bermakna dia melanggar etika sebagai seorang doctor.
"Walaupun
ia melanggar etika kerja sebagai doctor tapi saya berharap tekad saya ini akan
dapat membantu pesakit saya. Sebenarnya Ibunya menghadapi masalah jantung yang
agak kronik dan memerlukan pembedahan segera dan perbelanjaannya agak
besar.."
Mendengar
kata-kata Doktor di depannya, membuatkan dia semakin tertarik.Setelah
mengetahui masalah yang dihadapi gadis tersebut dia memohon izin untuk berlalu
dan berjanji akan datang lagi ke situ. Sebaik keluar dari bilik doktor tersebut
dia terus menghubungi seseorang.
"Hello
Kamarul, aku ada job untuk kau. Aku nak kau siasat tentang seseorang. Aku tak
tahu apa-apa tentang gadis tersebut tapi ibunya sekarang sedang dirawat di HKL.
Aku nak jawapannya secepat mungkin.." Selesai memberi arahan dia terus
melangkah keluar dari kawasan hospital dengan senyuman di bibir.
*****************************
Leya
duduk di samping Mak Long dan Maksunya. Pak Long dan Paksu juga turut ada di
situ. Mereka berkumpul bagi membincangkan tentang kos pembedahan uminya. Dia
sedar Mak Long dan Maksu sekeluarga cuba membantunya.
“Kami
cuma ada dua puluh ribu sahaja Leya. Itu pun abang Nas dan Kak Fida turut
memberi kalau tidak tak terkumpul dua puluh ribu tu…” terang Puan Kamariah.
Sendu juga hatinya bila tidak dapat membantu adiknya yang kini memerlukan
rawatan jantungnya. Keluarganya bukanlah senang. Suaminya hanya seorang guru
dan dia pula hanya seorang suri rumah sepenuh masa. Mujurlah anak sulungnya
Nasran yang juga seorang guru mengeluarkan sedikit simpanannya untuk pembedahan
itu.
“Kak
Fida pun tak mampu nak bagi banyak Leya…” terang Rafidah. Dia turut bersimpati
dengan nasib sepupunya itu. Berapa sangatlah simpanan yang dia ada dengan
kerjanya sebagai receptionist di
sebuah syarikat swasta. Yang sedikit itulah dia cuba untuk membantu.
“Betul
Leya. Leya pun tahukan, keluarga kita bukanlah dari golongan yang kaya tapi
sebagai satu keluarga dah menjadi tanggungjawab masing-masing untuk saling
membantu…” sahut Puan Radiah. Tangan
Leya dicapai dan diusap perlahan.
Terharu
melihat susah payah kedua-dua keluarga ibu saudaranya itu. Dia sedar akan itu.
Melihat sampul yang gemuk berisi duit membuatkan dia semakin pilu. Dia masih
berkira sama ada mahu menerimanya atau tidak. Abang Nasran anak sulung Mak
Longnya bekerja sebagai guru sekolah rendah. Berapa sangat gaji abang sepupunya
itu sedangkan Abang Nasran yang sudah berkeluarga mempunyai tanggungjawab yang
besar dalam menyara keluarganya. Mak Long dan Pak Long pula masih perlu menyara
dua anak mereka yang masih belajar. Nasriah yang kini di tingkatan tiga
manakala Nasrin baru tahun kedua di universiti.
Maksu
pula yang juga seorang suri rumah dan Paksu yang bekerja sebagai pegawai
tentera masih punya dua tanggungan iaitu Rafiq yang akan menambil STPM serta
Rafiz yang sebaya dengan Nasriah. Manakala Rafidah anak sulung Maksu yang beza
setahun dengannya pula akan melangsungkan perkahwinannya dua bulan lagi.
Bagaimana harus dia mengambil duit itu sedangkan dia tahu keluarga ibu-ibu
saudaranya itu juga memerlukannya.
“Leya
tak dapat terima duit ni. Leya minta maaf bukan Leya tidak sudi tapi Leya tahu
keluarga Mak Long dan Maksu juga perlukannya…”
“Umi
Leya lebih memerlukannya. Ambillah Leya…” sahut Encik Nasir.
“Betul
cakap pak Long tu Leya. Kita kan sekeluarga. Memang patut kami menolong…” sahut
Encik Rahman pula.
“Tapi
Paksu, keluarga Paksu dan Pak Long pun perlukannya juga. Lagi dua bulan kak
Fida nak kahwin. Perbelanjaan sekolah yang lain. Semua tu perlukan duit. Tak mengapalah,
Leya cadang nak buat pinjaman dekat tempat kerja Leya. Bayaran bulanannya akan
terus dipotong dari gaji Leya. Insya-Allah kalau dicampur dengan simpanan
lebihan penjualan rumah dulu tu rasanya sudah cukup untuk membiayai pembedahan
tu…” bohong Leya. Dia terpaksa. Sudah cukup dia menyusahkan kedua-dua keluarga
ibu saudaranya itu. Dia akan cuba mendapatkan duit pembedahan tersebut dengan
cara lain meskipun dia sedar agak payah untuk mendapatkannya.
Semua
yang ada di situ hanya mendiamkan diri. Masing-masing melepaskan keluhan.
Kecewa kerana tidak dapat membantu. Akhirnya mereka akur dengan keputusan Leya
walaupun mereka masih berharap agar Leya mahu menerima sumbangan mereka.
Melihat keluarga kedua-dua ibu saudaranya menerima
penolakannya melegakan sedikit hatinya. Biarlah dia sendiri usahakan. Di sudut
hati dia memohon agar Allah memberinya jalan untuk mendapatkan duit pembedahan
uminya.