Home Novel Cinta Dia Bukan Arissa?
Dia Bukan Arissa?
Syaida Ilmuna Ismail
30/1/2013 16:05:03
211,385
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Bab 5

ARLISA memangku kepala Arissa ke pehanya. Lalu dia memeriksa nadi di leher Arissa untuk memastikan kakaknya masih hidup atau tidak. Namun dia tidak merasakan apa-apa denyutan pun. Adakah dia memeriksa bahagian leher yang salah atau dia terlalu cemas untuk merasakan denyutan tersebut? Dia sendiri dalam kebingungan. Arlisa meletakkan kepala Arissa di atas lantai dengan perlahan. Kemudian dia memandang keadaan sekeliling. Arlisa cuba untuk memahami apa yang sedang berlaku. Kelihatan serpihan botol kaca yang pecah berderai disebelah kepala Arissa. Bahagian mulut botol kaca yang pecah itu pula diselaputi darah.

Arlisa memegang botol kaca tersebut. Hatinya kuat mengatakan itu adalah langkah yang salah. Bahan bukti harus dibiarkan begitu sahaja. Sekarang secara tidak langsung dia boleh terlibat sebagai salah satu suspek dalam cubaan membunuh kakaknya. Arlisa berharap Arissa akan sedar sebentar lagi dan memberitahu pada pihak polis bahawa bukan dia yang melakukan ini semua. Ada orang lain yang bertindak sedemikian pada Arissa. Tetapi bukan dirinya!

Arlisa cuba menenangkan hatinya yang sedang kacau bilau dengan istighfar dan bangun untuk mencapai telefon bimbit di dalam kocek seluar jeansnya. Namun dia dikejutkan dengan bunyi beberapa derapan tapak kaki.

TAP TAP TAP!

“Apa yang dah terjadi ni?” jerkah pemilik derapan kaki. Dia seorang lelaki yang telah menceroboh kawasan rumahnya. Lelaki tersebut tidak langsung dikenali Arlisa. Dia berkulit cerah, bermata sedikit sepet dan berambut pendek. Boleh tahan kacak.

“Awak siapa? Macam mana awak boleh masuk rumah saya?” Arlisa menjadi cemas serta merta. Bagaimana lelaki ini boleh masuk ke dalam rumahnya?

“Pintu pagar tak berkunci. Apa yang awak buat pada Arissa?!” tanya lelaki itu dengan nada yang bengis.

“Saya tak buat apa-apa. Sumpah!” Arlisa cuba mengawal perasaan takutnya. Tambahan pula berhadapan dengan orang yang tidak dikenali.

“Tipu! Aku tak percaya kata-kata kau,” kata lelaki tersebut.

“Kau siapa? Macam mana kau boleh kenal Arissa?” tanya Arlisa. Dia cuba memberanikan diri dengan mengajukan pertanyaan.

“Arissa call aku tadi. Dia cakap ada orang cuba nak serang dia. Dan orang itu adalah kau kan? Adik kembar dia sendiri! Aku tak sangka…”

“Cukup! Aku tak buat semua ni! Demi Allah! Percayalah..” Arlisa mulai sebak. Hatinya sudah tidak tertahan membendung rasa sedih dan kecelaruan. Lalu air jernih itu mengalir dari matanya.

“Okey, aku mungkin akan percayakan kau. Tapi kau ingat polis akan percayakan kau? Kau ada pegang apa-apa benda sekeliling kakak kau ni?” Lelaki itu tampak serius bertanya.

“Ada.. botol kaca tu,” kata Arlisa sambil tersedu sedan.

“Itu sudah cukup baik untuk menyumbatkan kau dalam jail.. dan terus ke tali gantung. Kau tiada alibi yang kukuh. Kau tiada saksi.. kasihan orang di sekeliling kau..” Lelaki itu seperti bermain dengan psikologi Arlisa. Cuba menekan dirinya untuk mengakui suatu kesalahan yang dia tidak lakukannya.

“Tolonglah…. Aku tak mahu Mak Sue terlibat.. Apa yang harus aku buat?” Tangisan Arlisa kian mencurah.

“Aku tak boleh tolong kau.. kecuali…” Lelaki itu berpaling dari Arlisa. Sedang berfikir mungkin.

“Kecuali apa??” Arlisa dengan pantas bertanya.

“Kecuali kau ingin membantu diri kau sendiri..”

“Apa maksud kau? Jelaskan..”

“Aku boleh tolong bersihkan semua ni.. tapi kau harus lakukan sesuatu untuk selamatkan diri kau..” Lelaki tersebut memandang tepat ke mata Arlisa. Bagai menikam-nikam tajam pandangan lelaki itu terhadap Arlisa. Ia memaksa Arlisa untuk menundukkan pandangannya.

“Apa?” Arlisa mengelap airmatanya.

“Mulai esok, kau akan jadi Arissa. Pulang ke KL dan jalani kehidupan Arissa seperti biasa. Seperti tiada apa yang pernah berlaku.” Lelaki itu tersenyum. Tidak tahu sama ada senyuman itu mengejek ataupun dia sudah jumpa jalan penyelesaian yang terbaik.

“Tak.. tak mungkin.. aku tak boleh buat macam tu..” Arlisa berkata-kata sambil menggelengkan kepalanya. Gila? Itu memang kerja gila.

“Kalau macam tu.. aku rasa aku terpaksa telefon pihak polis. Tiada jalan lain lagi. Aku pun tak mahu terlibat dengan lebih mendalam mengenai hal ini,” Lelaki tersebut mencapai telefon Blackberrynya. Lalu mendail beberapa nombor. Arlisa menjadi cemas. Dia tidak mahu Makcik Sue terlibat sama dalam soal ini. Dia tidak mahu menyusahkan wanita yang telah menjaganya selama bertahun-tahun lamanya. Dia juga takut. Takut untuk ke penjara. Walaupun kesalahan itu tidak dilakukannya. Dia tidak punya wang untuk mempertahankan dirinya. Bayaran peguam sekarang agak mahal. Apa yang harus dia lakukan?

“Tunggu!” Arlisa bersuara.

Lelaki tersebut tersenyum melihat Arlisa. Dia kemudian menjauhkan Blackberry daripada telinganya buat seketika.

“Aku nak tahu, macam mana kau nak uruskan mayat kakak aku ni,” tanya Arlisa.

“Itu kau tak perlu risau. Ia masalah aku dan tahulah aku macam mana nak uruskannya. Tapi sekarang…” kata lelaki tersebut. Dia melutut ke arah sekujur tubuh milik Arissa lalu mengangkat tangan kanan wanita itu yang jari manisnya bersarungkan cincin emas. Telapak tangan kanan tersebut dihalakan ke arah Arlisa.

“Ambik cincin ni…” Lelaki itu mengarah Arlisa.

Arlisa memandang cincin tersebut dengan pandangan yang sayu. Dia tiba-tiba teringat akan kenangan kakaknya menayangkan cincin tersebut kepadanya petang tadi. Airmatanya mengalir sekali lagi tetapi kali ini dia menangis dalam diam. Matanya terkatup dan fikirannya melayang seketika. Mungkin inilah takdirku.

****

“MAMA..” Adam Farhan menjenguk bilik Puan Murni. Senyap. Kemudian kelihatan Puan Murni keluar dari tandas biliknya dengan wajah suram.

“Adam?” Puan Murni berubah wajah. Melihat wajah anak lelakinya, Adam adalah suatu rahmat di pagi hari.

“Mama, kenapa tak mahu turun bawah? Makan dengan kami..”

“Mama tak ada mood..” jawab Puan Murni ringkas.

“Arissa takde. Mama turun ya?” tanya Adam sekali lagi.

“Isteri kau ada ke, takde ke..sama saja Adam.”

“Mama, kenapa mama benci sangat dengan dia ni? Benci mama pada dia, bermakna mama bencikan saya juga.” Adam mula merungut.

“Mama tak bencikan kau Adam. Tapi mama cuma tak boleh terima Arissa. Kau cuba tengok Ameera tu. Dia tak pernah dapat sikit pun kasih sayang seorang ibu dari Arissa. Kau pernah nampak Arissa layan anak kau dengan baik-baik? Ajak budak tu berjalan-jalan? Tak ada bukan? Mama nak kamu buka mata hati kamu tu.. kecantikan Arissa takkan kemana Adam. Ia akan luput ditelan masa, tapi kebaikan hati budi… akan diingat sampai mati,” Puan Murni bersyarah panjang. Sudah lama dia tidak bercakap demikian dengan Adam.

Adam hanya terdiam kaku. Dia mengakui kata-kata Puan Murni itu benar, namun dia juga tidak boleh menyangkal cintanya kepada Arissa. Dia terlalu sayangkan perempuan atau dengan lebih tepat, terlalu obses terhadap Arissa.

“Mama, Adam turun dulu,” kata Adam. Dia terus keluar dari bilik Puan Murni. Adam tidak mahu menerima apa-apa teguran lagi. Dia sudah besar. Tahulah dia menguruskan hidupnya sendiri.

Puan Murni pula hanya menggelengkan kepala. Dia tidak akan berubah sikapnya sehinggalah Adam menceraikan Arissa. Itu adalah keputusan muktamad dan tiada siapa yang bisa mengubahnya!

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.