Home Novel Cinta Dia Bukan Arissa?
Dia Bukan Arissa?
Syaida Ilmuna Ismail
30/1/2013 16:05:03
211,385
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

Bab 17

PAGI yang mendung. Tanda-tanda hujan bakal turun tidak lama lagi. Hari ini hampir sudah seminggu lebih Arlisa tinggal di rumah keluarga suami kakaknya, Arissa. Sudah seminggu juga dia bertarung dengan pelbagai masalah dan hampir-hampir saja identitinya terbongkar. Dia juga sekarang ini berganding bahu dengan Adam dan staf-staf Fashionista yang lain dalam melaksanakan pelan perancangan baru mereka dalam memajukan syarikat tersebut.

Keadaan dia dan Adam juga bertambah dingin kerana dia beberapa kali menghindari Adam dan mula menjauhi lelaki tersebut. Selagi iman berada di dada, selagi itulah Arlisa akan menghindari Adam. Dia tidak mahu oleh kerana hati dan perasaan serta godaan syaitan, diri dan maruahnya tercalar. Walaupun tiada sesiapa yang mengetahui siapa dirinya yang sebenar, namun Arlisa tetap berpegang kepada janji dan amanah. Dia bukan wanita yang mudah disogokkan dengan harta dan wang. Dia wanita yang ada maruah dan harga diri. Maafkanlah dia Adam, maafkanlah.

Hari ini Arlisa akan ke pejabat tetapi bukan bersama Adam kerana lelaki itu terlebih dahulu sudah ke sana. Sudah hampir tiga hari dia dan Adam tidak bertegur sapa. Mereka cuba berbicara bila di pejabat itupun mengenai hal pekerjaan. Soal hati dan perasaan diketepikan. Puan Murni yang mula menghidu kelakuan mereka berdua seakan-akan menyokong perang dingin yang berlaku di antara mereka. Malah, Puan Murni mengarahkan Arlisa untuk pergi bersama Pak Mat ke pejabat kerana kononnya kata Puan Murni, dia mahu Arlisa siapkan Ameera yang ingin ke taska. Mak Jah pula tidak lagi melakukan pekerjaan itu oleh kerana Ameera sendiri yang mahukan Arlisa menyiapkan dirinya. Arlisa akur dengan perintah. Lagipun itulah yang terbaik buat dia dan Adam.

Sedang Arlisa leka melayani perasaan, Puan Murni menegurnya dari belakang.

“Rissa? Lambat ke pejabat hari ni?”

“Oh Mama. Saya saja datang lambat sikit. Lagipun hari ini tak ada apa-apa pekerjaan yang memerlukan saya,” jawab Arlisa sambil mengacau-ngacau oats di dalam mangkuk.

“Iya ke? Ataupun sebab kamu tak mahu bertembung dengan Adam?” Pertanyaan Puan Murni menusuk jiwa Arlisa.

“Tak.. tak.. mana ada mama.”

“Harini ada selection model kan? Pergi sajalah. Tengokkan model yang sesuai. Lagipun kalau kamu biarkan si Arman dengan Adam saja kat situ.. bahaya pulak. Mencuci mata dua-dua orang tu,” kata Puan Murni bersahaja. Sengaja dia menghamburkan kata-kata tersebut. Dia ingin menguji sama ada wanita penyamar ini sudah jatuh hati akan Adam atau tidak.

Arlisa yang mendengarkan kata-kata Puan Murni hampir tersedak. “Ah, tak mungkinlah mama,” jawab Arlisa ringkas sambil mengelap mulutnya yang bersisa kopi.

Puan Murni hanya tersenyum dan membalas, “Okey kita tengok nanti.”

Arlisa tidak membalas apa-apa jawapan walaupun hatinya jadi berdebar-debar dengan serta-merta. Jadi curiga dan susah hati secara tiba-tiba. Entah apa kena dengan aku ni.

Puan Murni sebenarnya mula menyukai Arlisa. Baginya, Arlisa seseorang yang sangat berlainan berbanding Arissa. Wanita ini seperti mempunyai magis. Apabila Arlisa turut serta, semua hal akan menjadi baik dan berjalan tanpa masalah. Sebagai contoh, insiden kebakaran tempoh hari, perubahan sikap cucunya Ameera dan syarikatnya, Fashionista. Tapi persoalannya, siapakah wanita ini?

***

ARLISA menjejakkan kakinya di Fashionista. Hari ini dia berbaju blouse baby blue yang menggeleber di bahagian tangan dan dipadankan dengan seluar jeans berwarna putih. Semakin lama dia tinggal di atmosphera keluarga Adam, semakin pandai Arlisa berfesyen. Tambahan pula, baju-baju kakaknya sangat cantik. Namun sesuatu yang istimewa mengenai Arlisa ialah dia kurang bermekap. Jikalau hendak bersolek, dia hanya akan mengenakan solekan tipis iaitu secalit lipstik merah jambu cair dan penggaris kelopak mata.

Pejabat Adam kosong. Arlisa masuk dan terus melabuhkan punggung di kerusi utama milik Adam. Mata dan tangannya sibuk bergerak dan melihat beberapa kertas di atas meja tersebut sehingga Vivian yang memasuki bilik tersebut tidak disedarinya.

“Puan..” Vivian bersuara perlahan. Tidak mahu mengejutkan Puan Arissa.

“Oh, Vivian. Maaf saya tak sedar tadi. Ada apa?” Arlisa hanya mengangkat wajahnya sekejap sahaja. Kemudian dia melihat semula kertas-kertas di atas meja.

“Encik Adam pesan kat saya kalau Puan dan sampai, dia suruh Puan pergi studio terus.”

“Studio? Ada apa?” Arlisa terlupa akan pemilihan model yang bakal dilakukan hari ini.

“Hari ni kan ada..” Tidak sempat Vivian menghabiskan kata-katanya Arlisa membalas.

“Pemilihan model tu? Kata dekat Encik Adam, sekejap lagi saya datang.”

“Baiklah, Puan.” Vivian menutup semula pintu bilik tersebut namun ditolak kembali oleh Fida yang ingin berjumpa dengan Arlisa.

Derap kaki Fida memasuki bilik tersebut disangka Vivian oleh Arlisa. ‘Ya, Vivian ada apa lagi?” kata Arlisa tanpa menoleh siapakah gerangan manusia yang tercengat di hadapannya.

“Vivi.. oh, Fida.. Ada apa?” Arlisa tersenyum melihat Fida yang sudah bercekak pinggang di hadapannya.

“Bekas kekasih suami kau ada kat sini. Kalau kau rasa macam tercabar dan nak kawal suami kau tu.. bolehlah ke studio sekarang.” Fida bercakap dalam nada memerli. Dia kemudian mudar-mandir di hadapan Arlisa sambil menantikan reaksi wanita itu.

Berderau darah Arlisa mendengarnya. Siapa pula bekas kekasih Adam? Arissa tak nyatakan pun dalam nota-notanya di iPhone.

“Siapa?” Arlisa membuat endah tidak endah dengan kata-kata Fida dan menyambung dengan tugasannya. Namun di dalam hati, dia terasa bagai nak menangis semahu-mahunya.

“Sofea.” Fida tersenyum. Dia kemudian terus keluar dari bilik tersebut.

Arlisa mengeluh panjang. Walau apa pun yang terjadi, Adam bukan miliknya.

****

“YANG tadi tu pun boleh tahan,” kata Arman memberi cadangan mengenai pemilihan model. Adam pula sekadar ketawa kecil. Beriya-iya Arman dalam membuat pilihan, padahal dialah orang yang kuat membantah cadangan Arissa, isterinya.

Isterinya, Arissa. Bagai dah tak serupa isteri. Pegang tak boleh, cium tak boleh dan sentuh sikit pun tak boleh. Entah di mana silapnya. Mungkin tuhan sedang mengujinya. Selalu benar dia khilaf dan meninggalkan solat dengan sengaja. Tambahan sekarang, memang langsung dia tidak menyentuh tikar solat. Arissa pula kelihatan sangat alim sejak pulang dari Pulau Pinang. Selalu benar dia mengintai di celah pintu melihat Arissa sedang khusyuk bersolat pada waktu Maghrib. Apa yang membuatkannya berubah?

Persoalan di jiwa Adam Farhan terhenti apabila dia terdengar suatu suara yang memanggilnya dari belakang. Suara wanita yang dia amat kenali. Suara tersebut juga telah menyedarkan Arman dari leka melihat para model-model beraksi di atas pentas.

“Adam..” Sofea bersuara sambil mengukir senyuman. Adam berkalih dan dia terpana seketika melihat keberadaan Sofea di studio tersebut.

“Hey Sofea!” Arman terlebih dahulu menegur Sofea dari Adam yang dari tadi seperti mengelamun. Dia kemudian berjalan ke arah Sofea sambil menghulurkan tangan untuk berjabat salam.

“Arman.. korang berdua sibuk ke?” tanya Sofea sambil melirik matanya pada Adam dari tadi.

“Tak adelah!” sahut Arman sambil melirik juga pada Adam.

Adam yang menyedari dirinya dipandang-pandang lalu bangun mendekati Sofea dan Arman. Dia mengukir secalit senyuman dan menghulurkan salam pada Sofea.

“Hey Sofea..” Hanya itu sahaja yang mampi terkeluar dari bibirnya. Mata mereka berdua saling bertentangan.

Arman yang menyedari hal berikut meminta diri untuk memberi peluang kepada Sofea dan Adam berbicara. Dia juga telah mengetahui dulu mengenai sejarah percintaan Adam dan Sofea. Oleh itu, dia tidak mahu mencelah atau menjadi batu penghalang kepada perbicaraan mereka berdua.

“Lama tak jumpa you.” Sofea tersenyum sambil membetulkan rambutnya supaya tidak terkena ke bahagian mata.

“You yang lama menghilang. Dua tahun kita dah tak berjumpa.” Adam membalas dengan nada sindiran. Sejak Adam mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Arissa, Sofea terus menghilangkan diri tanpa berita. Hari ini dia tiba-tiba datang dalam hidupnya dikala dia dirundung kedukaan.

“Perkara dulu, I tak suka bercakap soal tu..” Sofea menghela nafas panjang. Dia kemudian memandang ke arah lain untuk mengelak bertentangan mata dengan Adam yang baginya mempunyai daya penarik yang sangat kuat.

“Maafkan I. You sihat?” Adam cuba menukar topik perbincangan. Dia tidak mahu melukai hati Sofea lagi.

“Sihat, and how’s your wife? What’s her name?” Sofea sengaja cuba memasuki topik mengenai Arissa. Dia sebenarnya ingin mengetahui apakah benar Adam dan Arissa sekarang mempunyai permasalahan di dalam perkahwinan mereka?

Namun belum sempat Adam menjawab soalan tersebut, seseorang telah menjawabnya dahulu. Ternyata ia adalah empunya diri kepada soalan yang diajukan Sofea.

“Her name is Arissa. And.. I’m fine,” kata Arlisa sambil tersenyum. Dia menegur Sofea dari arah belakang. Adam yang melihat kedatangan Arlisa itu sudah dapat mengagak api kecemburuan yang kelihatan pada anak mata Arlisa.

“Oh! Arissa! I’m so sorry. I tak perasankan you tadi. Well I’m Sofea,” kata Sofea sambil menghulurkan salamnya. Arlisa menyambut salam dengan lembut dan masih tersenyum. Dia sebenarnya sedang menyembunyikan seketika perasaan cemburu yang dia sendiri kira tidak munasabah itu.

Adam yang berada di antara perbualan kedua-dua wanita itu, masih lagi berdiam. Dia tidak tahu handak berkata apa. Seorang itu bekas kekasihnya, lagi seorang merupakan isterinya. Dia tidak mhu kedua-keduanya tersentuh hati.

“Anyway Adam, here I am now. Macam mana dengan pemilihan model tu semua?” Arlisa cuba untuk menampilkan keadaan yang baik antara dia dan Adam di hadapan Sofea.

“Everything is fine dear. Masih lagi mencari..” Adam menjawab seperti acuh tidak acuh. Pandangan matanya lebih terarah pada Sofea. Arlisa yang menyedari hal itu terasa tersinggung tidak semena-mena.

Sofea pun menyedari yang dirinya menjadi tumpuan Adam. Walaupun dia mencintai Adam dan mencemburui Arissa, dia tetap tidak suka merampas seorang lelaki dari hak milik wanita lain. Dia cuba mencari akal untuk melarikan topik perbincangan kepada yang lebih santai.

“Adam, beginilah.. I ke sini sebenarnya nak meminta pertolongan you dan Arissa. I sebenarnya nak recommendkan seseorang untuk jadi model pakaian terbaru Fashionista. Kebetulan pula I dengar Fashionista nak keluarkan koleksi baru,” jelas Sofea.

“I see I see.. maybe you boleh perkenalkan I dengan orang tu..” sahut Adam. Kali ini dia berpura-pura tidak menyedari kecemburuan yang sedang ditonjolkan Arlisa. Dia memfokuskan perbincangannya kepada Sofea. Manakala Arlisa pula keterbelakang.

“So well I present you… Kamal Ariffin..,” kata Sofea dengan tangannya mengarah ke arah pentas yang terbentang luas di studio tersebut.

Sebaik mendengarkan nama yang diucapkan Sofea, Arlisa mengundurkan beberapa langkah. Tidak mungkin! Itu adalah nama… nama lelaki yang pernah menghuni hatinya. Darahnya berderau seketika. Arlisa menanti-nanti kelibat susuk tubuh yang bakal keluar dari belakang pentas itu dengan hati yang separa sabar. Dia takut bisik hatinya menjadi kenyataan.

Susuk tubuh kekar dan mantap lagi gagah keluar dari belakang pentas. Namun masih belum dipastikan siapa orangnya oleh kerana biasan cahaya dari belakang telah menimbulkan rupa silloutte pada bentuk tubuh itu. Arlisa cuba menjegilkan matanya agar dia dapat melihat wajah si lelaki yang sedang menghampiri namun tidak juga berhasil.

Susuk tubuh itu menghampiri hujung pentas yang semakin lama semakin kelihatan wajah lelaki tersebut. Arlisa tersentak seketika. Ia adalah benar. Lelaki tersebut ialah mantan kekasihnya, Kamal. Kamal tersenyum sambil memperagakan tubuhnya yang kekar itu. Pandangan Kamal teralih pada Arlisa dan memberi senyuman sinis. Ada maksud disebalik senyuman itu. Arlisa yang melihat Kamal tersenyum padanya memberi reaksi wajah yang menyebalkan. Dia mengecilkan matanya lalu terus menjeling tajam pada Kamal.

“Kamal, come here.. I want to introduce you to them..” ajak Sofea dengan gembira.

Kamal turun dari pentas dan menghulurkan salam pada Adam sambil tersimpul senyum pada Arlisa. Arlisa hanya membalas dengan senyuman ringkas.

“I’m Kamal, and you must be Encik Adam kan?” Kamal memperkenalkan dirinya sambil matanya meleret pada Arlisa.

“Ya, saya..” Adam menyambut salaman Kamal.

“Adam, Kamal ni sebenarnya…” kata-kata Sofea terbantut. Perasaannya berbelah bahagi. Dia cintakan Adam tetapi dia kini ada Kamal.

“Tunang I..,” sambung Sofea.

Arlisa sekali lagi terpana mendengar kata-kata Sofea. Matanya dijegilkan tetapi dia cepat-cepat mengawal perasaan. Takut-takut perasaan amarahnya itu disedari oleh Sofea dan Adam. Adam pula pada masa yang sama terkejut mendengar kenyataan Sofea. Akhirnya, wanita ini menjumpai seseorang dalam hidupnya dan dia sudah terlambat untuk mandambakan cinta dikala dirinya dalam kesepian ini.

“Oh, tahniah!” balas Adam dengan pantas sambil memberikan senyuman yang acuh tidak acuh.

“Sofea yang disebelah Encik Adam ni siapa pula?” tanya Kamal yang konon-kononnya berbisik tetapi kata-katanya didengari jelas oleh Adam dan Arlisa. Arlisa yang mendengar kata-kata Kamal itu menjadi semakin benci dengan sikap Kamal. Namun pada masa yang sama Arlisa takut Kamal tahu siapa dirinya yang sebenar. Hal ini kerana hanya Kamal sahaja selain Makcik Sue dan Nida yang dapat membezakan antara dia dan Arissa.

“Kamal, I lupa nak perkenalkan..” sahut Adam yang mendengar kata-kata bisikan Kamal kepada Sofea. “This is my wife, Arissa Rahman.”

“Arissa?” Kamal memberi mimik wajah yang mengelirukan. Keningnya diangkat beberapa kali. Tak mungkin, ini bukan Arissa. Dia Arlisa. Aku yakin dia Arlisa. Sesuatu telah terjadi dan aku mahukan penjelasan kau, Arlisa.

Adam yang mendengar persoalan Kamal dengan memberi nada pertanyaan ke atas nama Arlisa itu menjadi curiga. “Kenapa Kamal?” tanya Adam ringkas.

“No no.. I rasa macam pernah nampak Puan Arissa ni di suatu tempat or maybe pelanduk dua serupa mungkin,” tempelak Kamal. Dia sengaja ingin menguji Arlisa.

“Pelanduk dua serupa? Mungkinlah..” kata Adam sambil disahut dengan ketawa kecil dihujung kata-katanya.

Arlisa memandang tajam ke mata Kamal dan membalas kata-kata lelaki tersebut. “Sudah semestinya pelanduk dua serupa, sebab I tak pernah berjumpa dengan Encik… Kamal sebelum ni.” Arlisa menghelas nafas berat. Kali ini masalahnya bertambah-tambah. Apa yang harus dia lakukan untuk mengelakkan Kamal mengecam dirinya Arlisa?

“Ya.. mungkin..” Kamal menambah sambil membalas pandangan tajam Arlisa.

“Sayang, I nak kena ke pejabat dulu. See you in office.” Arlisa terpaksa mencari alasan untuk meninggalkan studio dengan segera. Lebih lama dia berhadapan dengan Kamal, semakin renyuk hatinya. Satu hal juga dia takut Kamal mengesyaki akan identiti sebenar dirinya.

“Okey dear,” kata Adam sambil membri ciuman di pipi Arlisa. Kali ini Arlisa terpaksa akur dengan ciuman itu untuk mengelakkan prasangka.

“See you again Puan Arissa..” ucap Sofea. Manakala Kamal pula hanya mengangguk dan menatap susuk tubuh Arlisa sehingga dia hilang dari pandangan. Lalu dia juga meminta izin untuk meninggalkan perbualan tersebut untuk ke bilik air walhal dia ingin mengejar Arlisa.

****

Langkah Arlisa dipanjangkan apabila dia terasa dirinya diikuti. Dia semakin menghampiri lif. Lalu ditekannya berkali-kali butang lif tersebut. Kamal mengekorinya dari belakang dan terus menghalang tangannya dari menekan butang lif. Arlisa terpaksa akur dengan tindakan Kamal.

“Nak pergi mana.. Arlisa?” Kamal berkata dengan nada berhemah dan sedikit sinis.

Arlisa mendiamkan diri dan buat-buat tidak endah dengan pertanyaan Kamal. TING! Lif terbuka. Arlisa cuba untuk memasuki lif secepat mungkin dan berusaha untuk menekan butang tutup pada sisi lif. Namun tenaga lelaki milik Kamal yang menepis tangannya ke tepi telah membuatkan pergerakannya terbatas. Lalu mereka berdua memasuki lif tersebut.

Kamal merentap lengan Arlisa. “Awak tak jawab pertanyaan saya!” tegas Kamal.

“Sakitlah!” Arlisa cuba untuk menarik tangannya kembali tetapi dia tidak berdaya.

“Arlisa.. awak buat apa kat sini? Kenapa guna nama Arissa?” Pertanyaan-pertanyaan yang terpacul dari lidah Kamal menderaukan darah Arlisa. Dia harus mencari helah dan alasan yang kukuh.

“Kenapa kau panggil aku dengan nama tu hah? Lepaskanlah…!” Arlisa cuba berlagak menjadi Arissa. Kakaknya lebih kasar dan berani dari dirinya.

“Sebab tu nama kau!” Kamal menjegilkan matanya. Dia tidak pernah melihat Arlisa sedegil ini.

“Kau dah salah orang! Aku Arissa! Dan jangan sesekali kau sebut nama tu. Arlisa tu kekasih kau kan? Kau dah lupa ke dia macam mana? Ataupun kau dah lupa dia sejak kau jumpa tu.. perempuan tu Sofea..” Arlisa meluahkan isi amarahnya yang terpendam melalui sikap Arissa yang dia cuba tonjolkan. Luka di hatinya kembali berdarah.

“Ahhh! Tak mungkinlah.. aku tahu kau Arlisa. Aku kenal kau! Aku tak silap orang..” terdapat sedikit getaran pada kata-kata Kamal. Dia seperti meragui dirinya kembali. Benarkah ini Arlisa?

Arlisa tergelak besar. “Orang lupa diri macam kau ni memang cepat pelupa kan? Sudahlah. Lepaskan aku!” Arlisa merentap tangannya denagn sepenuh hati. Akhirnya pegangan itu terlerai. Wajah Kamal memerah. Dia semakin merasakan dirinya sudah tersilap orang.

Namun dia cuba mengawal perasaan malunya itu. “Okey.. kau mungkin Arissa. Dan aku yakin bukan aku sorang je yang pelupa kat sini. Kau pun dah dua kali lima jugak kan? Tak sangka.. tak sangka. Kau hidup senang lenang kat sini. Laki kau orang kaya, kesian Makcik Sue dengan Arlisa.. kau perempuan yang tak mengenang budi dan lupa diri. Dari dulu sampai sekarang.. kau susahkan hidup dia orang, kau…”

Kata-kata Kamal pantas dipintas Arlisa. “Sudah! Kau tak tahu apa yang sedang kau cakapkan!”

Lif yang menuruni ke tingkat dua sudah tiba pada destinasinya namun Kamal menekan semula butang pintu untuk tutup.

“Kau rasa bersalah bukan?” ucap Kamal dengan nada sinis.

“Kau yang patut rasa bersalah. Kau sepatutnya malu dengan diri kau! Kau persiakan cinta adik aku demi gilakan harta kekayaan. Sekurang-kurangnya aku tak persiakan cinta siapa-siapa! Aku juga tak memberi harapan pada siapa-siapa!” Arlisa menjegilkan matanya tepat ke muka Kamal. Kali ini dia benar-benar berani. Walaupun jauh di hujung hatinya, dia berasa amat bersalah.

“Ahh!!! Aku akan bagitahu segala rahsia kau dekat suami kau! Biar dia tahu siapa kau sebenarnya! Perempuan kampung, lupa diri!” wajah Kamal terasa hangat akibat kata-kata Arlisa yang memberi tamparan hebat pada dirinya. Lalu dia bercadang untuk memusnahkan hidup Arissa yang baginya lebih hina dari penipuan yang dilakukannya pada Arlisa.

“Kau nak bagitahu suami aku? Kau ingat! Aku pun boleh bagi tahu hal yang sama pada tunang kau!” Arlisa menekan butang pintu lif untuk terbuka. Lalu dipercepatkan langkahnya menuju ke pejabat milik Adam.

Kamal yang masih berada di dalam lif tercengang-cengang mendengar kata-kata Arlisa. Dia harus berdiam buat seketika waktu dan mengelakkan dirinya dari masalah. Jikalau dia masih dengan nafsu amarahnya, sudah pasti angan-angan untuk bermertuakan ‘Datuk’ bakal musnah begitu sahaja.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaida Ilmuna Ismail