Home Novel Cinta Dia Bukan Arissa?
Dia Bukan Arissa?
Syaida Ilmuna Ismail
30/1/2013 16:05:03
211,383
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

Bab 13

MALAM itu sungguh sunyi. Adam sedang berehat di katilnya. Dia tidak tahu tahu nak berbuat apa. Duduk tak kena, tidur tak kena dan berjalan juga tidak kena. Pemikirannya terarah pada Arissa. Wanita itu sangat mengagumkan. Tambahan pula, sejak Arissa pulang dari percutiannya, isterinya berubah menjadi wanita yang lebih baik dari sebelumnya. Namun, Adam juga dapat merasakan yang Arissa sedang menjauhkan diri daripadanya. Sentuh sedikit pun tidak boleh. Kalau nak mendekat sedikit pun Arissa akan cuba cari jalan untuk menjauhkan diri. Arissa dulu tidak begitu. Mengapa dia berubah? Apa yang membuatkan dia berubah sampai begitu?

Adam bangun dari pembaringan. Dia keluar dari biliknya dan menuju ke bilik Arissa. Pintu bilik isterinya tidak berkunci. Dia memulas tombol pintu dan apabila pintu terbuka, kelihatan Arlisa sedang tidur bersama majalah-majalah fesyen dan iPhone di tangannya. Keadaan bilik agak berselerak. Penuh dengan kertas dan alatan tulis.

Adam menyimpan semua peralatan tulis dan majalah-majalah fesyen yang berselerak di atas katil di suatu sudut. Dia kemudian mengambil iPhone dari tangan Arlisa. Terpapar di skrin iPhone tersebut enjin carian Google.

Kata hati Adam berbisik. ‘Dia sedang buat research kah? This is unbelievable!’

Adam mengangkat tubuh Arlisa untu dibawa ke tengah katil. Kemudian dia mengambil selimut dan menyelimuti badan isterinya dari kesejukan. Adam memberi ciuman di dahi Arlisa tanpa wanita itu sedari. Selepas itu, Adam terus keluar dari kamar Arissa.

****

PUAN Murni bangun awal pagi dan bersiap-siap untuk ke taman kecil di halaman rumah. Hari ini dia berasa sedikit cergas dari selalunya. Terperap di dalam bilik semata-mata, tidak memberikan apa-apa kelebihan. Lalu hari ini, Puan Murni bercadang untuk turun ke bawah dan mencergaskan diri dengan apa-apa aktiviti yang menarik perhatiannya.

Mak Jah yang sedang sibuk di dapur terkesima melihat Puan Murni tiba-tiba turun ke ruang tersebut. Bersemangat pulak Puan Murni hari ini!

“Mak Jah sibuk ke?” tanya Puan Murni.

“Eh tak adalah Puan.. ni tengokkan si Siti ni memasak..” jawab Mak Jah sambil cuba menghidupkan dapur gasnya.

“Saya nak ajak kamu ke taman kecil saya tu. Nak tengok pokok bunga matahari yang Mak Jah tanam hari tu,” kata Puan Murni sambil tersenyum.

“Oh marilah Puan kalau macam tu. Lagipun saya ada hal sikit nak cerita dengan Puan,” tambah Mak Jah.

Siti yang berada bersama mereka ketika itu menjeling dan cuba pasang telinga. Ni mesti pasal Puan Arissa lah tu!

Mak Jah menjeling Siti yang sedang curi-curi dengar perbualannya dan Puan Murni.

“Siti, kamu tolong tengokkan dapur. Tak boleh pulak nak hidupkan api ni. Gas dah abis kot. Pegi telepon orang gas tu,” kata Mak Jah. Wanita itu sengaja memberi Siti tugas lain untuk dibuat. Jangan jaga tepi kain orang!

“Mak Jah, gas ni baru hari khamis ari tu je dah tukar… tak pelah saya guna mancis lah nak hidupkan api dapur ni.” Ish! Mak Jah ni sengaja je tau.

“Baik-baik pakai mancis tu. Karang tersambar pulak dengan api!” nasihat Mak Jah. Lalu Puan Murni dan Mak Jah berlalu pergi.

“Elehh dia ingat kita tak tahu dia nak cerita pasal Puan Arissa,” bebel Siti. Siti cuba melaraskan api dapur. Namun tidak juga hidup-hidup api dapur tersebut.

“Nak kena guna mancis jugak la ni…” bisik Siti sendirian.

****

ARLISA duduk di atas katil sambil menatap iPhonenya. Semalam dia langsung tidak sedar bilamana dia tertidur dan siapa yang mengemas semua barang-barang yang berselerak di atas katilnya. Tetapi Arlisa sudah dapat mengagak. Ini pasti kerja Adam!

Ah, lelaki itu! Orangnya tampan, menghormati wanita dan sangat ‘gentleman’. Malangnya, sudah berkahwin. Abang iparnya pulak tu! Kalaulah dia dapat memiliki lelaki sebaik Adam… aduhai! Bahagianya hidup. Rugi Arissa kerana mempersiakan kehidupan yang dia ada. Tapi siapalah dia hendak berkata begitu pada Arissa bukan? Kakaknya itu sudah jauh entah ke mana. Semoga tuhan sentiasa menempatkan dia di tempat yang baik-baik dan bersama orang-orang yang soleh, walaupun dia tahu Arissa tidak layak mendapatkan itu semua.

iPhone itu ditatap lagi. Makcik Sue, Lisa rindukan Makcik Sue! Mungkin jikalau telefon dia sekali tidak apa bukan? Arlisa mendail number telefon rumah Makcik Sue dan telefon diletakkan di telinga. Terdengar bunyi deringan di sebelah sana.

TUTT TUTT TUTT…

“Assalamualaikum…” Suara Makcik Sue kedengaran.

Arlisa terdiam seribu kata. Dia tak mampu nak meluahkan apa-apa.

“Siapa tu? Hello..” Makcik Sue masih di talian.

Arlisa cuba untuk mengeluarkan sepatah perkataan. Namun dia tidak mampu. Dia berasa sangat bersalah. Dia merasakan tindakannya akan membawa masalah kepada Makcik Sue.

“Arlisa ke tu nak?? Kamu ke tu? Jawab lah Arlisa.. Makcik tau tu kamu kan..?” Makcik Sue bersuara perlahan.

Airmata Arlisa berguguran. Dia menekap mulutnya supaya bunyi tangisan tidak kedengaran.

“Lisa.. kalau itu kamu, kamu baliklah nak.. Makcik tak marah kamu. Kamu baliklah, Makcik rindukan kamu.. Arlisaaa…”

Airmata Arlisa turun makin deras. Dia tak sanggup lagi mendengar kata-kata Makcik Sue yang memujuknya. Dia cepat-cepat menekan tanda merah untuk menamatkan panggilannya.

****

SITI menyalakan mancis. Mancis yang bernyala tersebut disuluhkan kepada penunu dapur. WRAP! Api naik dengan tingginya. Siti jadi cemas. Dia tidak tahu bagaimana hendak melaraskan api itu supaya menjadi perlahan. Api yang naik tinggi tersebut mengenai langsir yang berdekatan lalu mula membakar keseluruhan langsir tersebut dengan pantas.

“AHHHHH!” jerit Siti. Dia terus larikan diri dari dapur.

Mak Jah dan Puan Murni yang mendengar jeritan Siti terus menuju ke dapur. Mereka yang sampai di dapur terkejut keadaan api yang sedang marak membakar langsir di dapur dan mula untuk merebak ke bahagian yang berdekatan.

“Siti! Apa yang kamu dah buat ni?!’ jerit Mak Jah.

“Saya tak tahu Mak Jah! Tak tahu!” Siti jadi bingung seketika.

“Mak Jah pergi telepon bomba. Saya nak telefon Adam,” arah Puan Murni. Wajahnya yang ceria tadi, tiba-tiba berubah menjadi risau.

“Baik puan,” Mak Jah berlari ke telefon.

Manakala Siti pula menawarkan dirinya untuk memanggil Puan Arissa.

“Puan Murni, saya panggilkan Puan Arlissa turun,” kata Siti.

“Buat apa kamu panggil dia turun? Tak ada kegunaan pun. Dia bukan boleh buat apa-apa!” Puan Murni sedikit emosi. Perempuan tu apa pun tak tahu!

“Tak pe saya panggilkan jugak!” Siti terus meluru naik ke atas tanpa menghiraukan Puan Murni.

****

PINTU bilik Arlisa diketuk kuat. Terdengar jeritan Siti dari luar biliknya. Arlisa cepat-cepat mengelap airmata yang membasahi pipi lalu membuka pintu bilik.

“Puan Arissa! Cepat turun!” kata Siti dengan penuh cemas.

“Kenapa?” Arlisa terkejut melihat reaksi wajah Siti.

“Dapur terbakar Puan!”

“Apa??!” Arlisa terkejut mendengar jawapan Siti. Dia dengan pantasnya berlari menuruni tangga dan menuju ke dapur.

Sesampainya dia di dapur kelihatan api sudah marak membakar hampir keseluruhan ruang dapur dan mula mengacah-acah untuk mendekati peralatan elektrik yang berdekatan. Arlisa mengarahkan Siti untuk memanggil pengawal dan membawa bersama alat pemadam api dengan pantas.

“Siti cepat sikit tau!” Arlisa sempat bersuara mengingatkan Siti.

“Kau turun buat apa Rissa?” tanya Puan Murni. Sempat lagi cari gaduh.

“Puan Murni, ini bukan masanya untuk kita bertekak,” jawab Arlisa. Wanita ini sangat mementingkan diri sendiri. Tolonglah bertekak lain hari. Kalau rumah dah terbakar, apa pun tak boleh buat! Gigit jari sajalah.

“Eh aku tak kira! Kau ni jangan nak tunjuk baik sangat.” Puan Murni sempat memerli Arlisa. Hatinya sakit saja kalau terpandangkan Arissa.

Namun Arlisa hanya mendiamkan diri. Bukan masanya untuk bertikam lidah.

“Puan! Ni mereka dah datang!” kata Siti yang tercungap-cungap keletihan akibat berlari.

“Awak cepat semburkan pemadam api tu!” arah Arlisa pada pengawal tersebut.

“Puan, saya tak tahu nak guna ni!” jawab pengawal tersebut. Wajahnya tampak berserabut dan resah. Macam mana nak guna pemadam api ni?

“Ya Allah!” Arlisa menggelengkan kepalanya.

Dia terus meragut alat pemadam api tersebut dari pengawal. Nasib baiklah aku masih ingat cara nak menggunakan alat pemadam api ni masa kerja kat taska dulu. Arlisa kemudiannya terus menarik picu keselamatan yang berada disalah satu pemegang alat tersebut. Selepas itu dia menghalakan nozel alat pemadam api itu ke arah punca api yang sedang rakus membakar. Pemegang lever ditekan dan pancutan debu keluar dari alat pemadam api tersebut. Nozel itu kemudian dilayangkan ke bahagian-bahagian lain di mana api itu merebak.

Arlisa juga mengambil risiko dengan cuba memulas pelaras api dapur untuk ditutup sepenuhnya. Pada ketika itu hampir 50% api kebakaran sudah terpadam. Pengawal rumah serta Pak Mat datang membantu dengan mencurahkan air di bahagian yang masih merebaknya api. Kesemua mereka yang melihat kejadian tersebut jadi terpana dengan tindakan drastik Arlisa yang disangka Arissa. Orang yang benar-benar terkesan dengan kejadian itu adalah Puan Murni. Dia tidak menyangka Arissa seberani itu. Dia juga telah mengesyaki sesuatu.

“Mak Jah..” bisik Puan Murni.

“Ye Puan..” Mak Jah menjawab.

“Dia bukan Arissa.. dia orang lain,” bisik Puan Murni lagi.

“Aish! Tak adalah Puan. Ni helah dia saja. Tiba-tiba berani macam tu.. tapi saya pun terkejut Puan.. dia dah selamatkan kita semua!” jawab Mak Jah.

Puan Murni memerhatikan gerak tubuh Arlisa yang mencampakkan alat pemadam api ke tepi dan terduduk di atas lantai tak berdaya. Siti yang melihat keadaan majikannya yang semakin lemah itu cuba untuk membangun Arlisa. Arlisa dibawa Pak Mat dan Siti ke bahagian yang lebih luas ruang udaranya. Wajah Arlisa dipenuhi kotoran dari asap kebakaran tadi.

“Dia bukan Arissa Mak Jah, saya yakin.. dari fizikalnya mungkin dia sama, tapi dia ada perangai yang berlainan..” jelas Puan Murni.

“Mustahil Puan!” balas Mak Jah.

‘Tiada apa yang mustahil… dan aku tahu macam mana caranya untuk uji kau, penyamar Arissa!’ bisik Puan Murni di dalam hatinya.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.