Home Novel Cinta JOM KAWEN SEMULA [REVAMP]
JOM KAWEN SEMULA [REVAMP]
painarena
10/1/2022 02:07:29
153,281
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

ALLAH ialah sebaik-baik perancang. Itu ialah fakta yang tak dapat disanggah oleh sesiapa yang beriman dengan agama Islam, kerana walau sekuat mana seseorang merancang hidupnya, bila Allah tidak mengizinkan, maka tidak akan berlaku.

Qadar pula terbahagi kepada dua kategori, iaitu yang hakiki/mutlak (takdir mubram) dan satu lagi ialah ketentuan Allah yang boleh diubah dengan doa dan usaha (takdir muallaq). Contoh takdir hakiki adalah ajal, dimana tiada siapa tahu bila dan dimana tetapi hanya Allah yang Maha Mengetahui. Contoh takdir muallaq pula adalah ketentuan jodoh, masuk universiti atau dapat kerja yang bagus.

Sebetulnya doa ialah senjata terkuat seorang Muslim,selain dari bukti takwa seorang hamba kepada Penciptanya. Bagi hamba Allah yang bernama Umar Darius, atas doa serta tahajud yang tidak putus selama dua tahun selepas menceraikan isterinya, kehendaknya untuk bersama semula dengan bekas isteri yang pernah dicintai sepenuh hati itu akhirnya dimakbulkan dalam suatu bentuk yang dia langsung sangka.

 

BUNYI interkom kedengaran, memecahkan fokus Umar pada kerjanya seketika. Tanpa mengalihkan perhatian dari skrin laptop, tangan dipanjangkan ke interkomnya. Speaker dipasang.

Speak.”

“Maaf ganggu bos, tapi ada orang nak jumpa.” Suara setiausahanya, Fatin, kedengaran. “Katanya dia bekas abang ipar bos.”

“Saya takda bekas abang ipar,” spontan menjawab pada spreadsheet di skrin laptop.

“Dia cakap dia abang Aqi.”

Anak mata membesar terus bila mendengar nama bekas isterinya disebut. Lalu Umar menjeling pada interkom sebelum merenung tajam pada daun pintu di depannya, seolah-olah boleh tembus ke luar dan merenung tetamu siapa entah yang bersama dengan setiausahanya sekarang.

“Siapa namanya?”

“Ilyas Zachary.”

Ilyas Zachary... Zach... ah ya, dia ingat abang tiri Aqi separuh German itu tapi kenapa tiba-tiba mahu bertemu dengannya? Malah di pejabat pula. Selepas wanita itu diceraikan dua tahun lepas, bekas isterinya itu terus hilang lesap macam angin lalu. Mereka hanya berkomunikasi melalui emel atau pihak ketiga bagi menyelesaikan urusan penceraian di mahkamah.

Liur terasa kelat. “Send him in,” ujar Umar akhirnya, memilih untuk menerima takdir yang hadir secara mengejut pada petang ini.

Bayangan Ilyas Zachary yang pernah ditemui pada waktu remaja kini berganti dengan imej seorang lelaki tinggi berambut coklat gelap di pintu pejabatnya. Lelaki itu membawa bersama seorang kanak-kanak perempuan.

“Ye, encik? Awak abang Aqi?” soal Umar, sekadar berbahasa.

“Heh. Kau pakai ‘awak’ dengan aku, Umar Darius? Dah bertahun-tahun pun amnesia kau tak pulih lagi huh?” Lelaki itu menutur selamba .Bila dia merapat, anak matanya nampak kehijauan. Kanak-kanak perempuan yang dibawa bersama diangkat supaya duduk atas kerusi di hadapan meja Umar.

Zach menghembus nafas pendek. “Aku Zachary. Abang tiri Asyikin, your ex-wife.”

Terangkat tinggi keningnya. Dia tahu, tapi masih pura-pura tak tahu. “Saya tak pernah tahu Aqi ada abang tiri… ataupun keluarga tiri.”

Giliran Zach mengangkat tinggi keningnya. “Dia tak pernah ceritakan lepas kau amnesia? That stupid half-sister of mine…” Mengeluh seketika sambil mengurut dahinya. Umar mendiam, membenarkan Zach meneruskan kata-kata. “Well, long story short, dia balik ke German lepas kau ceraikan dia. And produce this child.” Ibu jari ditunjuk pada budak perempuan yang berambut panjang itu. Umar terkebil, manakala Zach tidak berhenti berkata. “Ini Ami Dania. Your daughter.”

Kelam dibuatnya. Sel otak langsung tidak berinteraksi ketika ini hingga membuatnya membatu buat beberapa ketika. Antara terkejut dan cuba memproses maklumat mengejut tersebut. Nafasnya tersekat di rengkung, manakala matanya membulat pada budak perempuan itu. 

Bila budak perempuan itu menoleh, jantungnya hampir gugur lagi bila melihat anak mata budak itu sama dengan warna matanya, berwarna coklat hazel. Rambut itu hitam lebat dan lurus, sama dengan rambutnya. Dan rias wajah mereka juga hampir serupa. Kini dia benar-benar jadi robot rosak.

"Kau dengar tak? Budak ni anak perempuan kau," ulang Zach bila Umar mengambil masa terlalu lama untuk respon.

“Erk... ya... ya..."

"Kau okay? Nak aku minta secretary kau ambikkan air?" Prihatin pula dia.

"Nay, ts'okay... tunggu kejap... I'm still processing it..." Muka diraup sekali sebelum memandang muka comel di depannya lagi. "Allahuakbar...” luahnya bila menemui nafasnya semula. Anak itu ialah keturunannya. Dia ada anak... dia ada anak!! Panas sekali rasa mukanya ketika ini.

Zach membasahkan bibir dengan lidah, memahami reaksi lelaki itu. “Aku minta maaf bagi pihak adik aku...” Kemudian sijil beranak yang mengesahkan status Ami Dania sebagai darah daging Umar disorong ke hadapan lelaki itu.

Umar membaca maklumat pada kertas tersebut, pada tempat kelahiran anaknya iaitu di Jerman. Aqi sanggup mengandung dan melahirkan anak mereka seorang diri sampai seberang dunia?? Pedihnya rasa hati ya Allah....

“Dia... dia kat mana...?”

“Dia busy.”

Dan Umar berhenti bertanya.

 

TIGA hari berlalu. Anak perempuannya tidak berhenti-henti menangis nakkan emaknya walaupun jam dah menunjukkan pukul 9 malam. Kenapa anaknya taknak tidur?? Umar pula terlalu bebal nak berbuat apa-apa. Tiba-tiba dapat anak, manalah dia tahu apa nak buat! Lalu dipanggil skuad tambahan untuk membantu memujuk anak perempuannya iaitu Maya, kakak iparnya. Tetapi si kakak itu masih tak sampai-sampai sedangkan jarak rumah mereka hanyalah dua puluh minit!

Sepanjang menunggu, dia sedaya upaya memujuk tetapi sedikit pun Ami Dania itu enggan diam. Malah makin nyaring tangisannya hingga memecahkan malam dan sampai ke perhatian jiran. Ah sudah, Umar makin kelibut!

“Cepatlah Kak Maya...!!”

Kedengaran bunyi ketukan di pintu rumah. Terus Umar memecut macam pelesit. Penyelamatnya sudah mari!! Tetapi bila daun pintu dibuka, yang berdiri di hadapannya bukannya kakak iparnya yang bertudung labuh, tetapi wanita yang diceraikannya dua tahun lepas. Umar gamam.

Wanita itu diteliti dalam masa beberapa saat, mahu memastikan matanya tidak menipu. Figuranya masih kecil dan halus macam pencungkil gigi. Rambut hitam panjang itu menjurai ke dada. Air mukanya nampak penat. Bibir itu kering. Pecah. Malah ada kesan lebam yang nak sembuh di tulang pipi kiri.

“Ami mana...??”

Permintaan Aqi menyentak sedarnya. Ah, perempuan ini masih nakkan anak mereka, jadi bukannya Aqi membuang Ami seratus peratus kepadanya. Tangisan anak perempuannya kedengaran lagi, lalu Umar memberi ruang pada Aqi untuk melangkah masuk.

Wanita itu juga tidak menunggu. Dia bergegas ke arah bunyi tangisan itu iaitu ke bilik tidur Umar. Melihat anak perempuannya tengah menangis di katil, terus didapatkan. Dipeluk seeratnya, malah dia kini juga menangis.

“Ma ada sini sayang... berhenti nangis... ma dah balik...” Dicium-cium anaknya, berusaha memujuk. “Dah... jangan nangis...shh...”

Lelaki tinggi itu memerhati dari pintu bilik tidur. Sekejap sahaja tangisan anak mereka berhenti. Mungkin penat bahana tenaga yang dihabiskan untuk melepaskan emosinya selama tiga hari. Mungkin juga rindu pada ibunya akhirnya terlerai, hingga membuatkan Ami terlentok di bahu si ibu.

Aqi menepuk punggung Ami berkali-kali dengan lembut. Rambut lepas bebas diselak ke sebelah bahu agar lebih selesa merenung wajah comel yang dicintai sepenuh hati.

Raut wajah yang penuh kasih itu memberi rasa pedih yang cukup asing di hati Umar. Dia sangat berkecil hati kini. Aqi dah sembunyikan anak mereka selama dua tahun, tetapi kemudian diserahkan padanya melalui orang ketiga. Apa benda??

Umar mahu bertanya, tetapi bunyi enjin kereta yang dikenali menyapa telinga. Dia menoleh ke pintu. “Kak Maya dah sampai.”

“Kak Maya?!” Mata Aqi membulat.

“Aku call dia untuk tolong pujuk Ami... tapi kau pula yang tiba-tiba muncul...”

“Jangan cakap kat dia aku ada kat sini...!” ujarnya lekas. Suara bertukar sendat kerana menahan jerit, takut suaranya akan membangunkan anaknya kembali.

Lelaki itu menoleh kembali bersama kerut keliru.“Kenapa?”

“Ergh... aku pun takkan datang ke sini kalau bukan pasal Ami, Mar... jadi tolong jangan tanya kenapa aku taknak dia tahu aku ada kat sini.”

“Sebab tu aku tanya kenapa...” deramnya, mula geram.

“Sebab nanti aku kena judge!”

Kening Umar terjungkit. “Tau pulak takut kena judge. Lepas tu lari tinggalkan aku macam lari dari pembunuh...” bebelnya sambil berjalan ke ruang tamu. Tetapi dia tak sempat ke pintu bila tetamu dah pun buat macam rumah itu mereka yang punya. Yang masuk itu Farid, abangnya, disusuli Maya.

“Anak menangis tapi tak reti nak pujuk. Bapak jenis apa kau ni?!” marah Farid terus sambil mencekak pinggang.

Si lelaki bermata hazel merenung datar abangnya sebelum berpaling pada Maya yang merapatinya. “Kenapa bawak taiko ni sekali?”

“Dia risaukan kau,” balas kakak iparnya bersama senyum.

“Haktuih!”

“Kau berani ludah daulat, Umar Darius...” deram Farid.

Sebelum dua beradik itu bertekak, Maya terus mencelah.“Mana Ami? Akak tak dengar pun bunyi budak menangis.” Kepala ditoleh kiri dan kanan, mencari si kecil itu.

Si adik ipar terkaku seketika. Teringat permintaan Aqi tadi. “Ohh... dia dah tidur...” Refleks juga telunjuk dituding ke pintu bilik tidurnya.

“Akak nak tengok dia kejap.” Terus dia memasuki bilik tidur Umar. Lelaki itu pula tak sempat menghalang. Dia berlari anak ke muka pintu, tetapi yang berada di dalam bilik tidurnya hanyalah Maya dan Ami yang tengah tidur di atas katilnya.

Aik? Mana perempuan jadian itu?

“Allahu... kesiannya anak kau ni... dia demam, Mar...”

Lelaki itu menoleh. “Ha, tu la. Mar dah bawa ke klinik tapi dia masih tak berhenti nangis. Mar tak pandai pujuk...” Terus almari baju dibuka. Hanya itu lokasi yang dia boleh fikir dimana Aqi mungkin menyorok.

Bulls eye.

Pasangan cerai itu bertukar renung seketika sebelum lelaki itu terus mengambil peluang menyekeh kepala bekas isterinya. Hukuman sebab berani menyembunyikan anak mereka darinya! Aqi menggigit bibir menahan jeritan sakit.

“Tu la... dari dulu akak suruh kau cari bini untuk gantikan Aqi, tapi kau taknak. Kalau tak, ada orang boleh jagakan anak kau bagi pihak kau...” ujar Maya selepas memastikan demam Ami tidak teruk. Adik iparnya yang tengah berdiri di depan almari baju, ditoleh. “Akak tahu kau mungkin masih simpan hati dekat janda kau, tapi bila tengok keadaan dah jadi macam ni, kau rasa Aqi masih nak pulang ke pangkuan kau? Dia siap serahkan anak kau melalui pihak ketiga...”

Umar menoleh. “Aqi memang gila sikit, kak, tapi Mar tahu dia masih sayangkan anak kami...” Tangan dipanjangkan lagi ke dalam almari. Pipi Aqi pula dicubit geram, membuat Aqi memukul tangannya meminta dilepaskan.

Farid menahan ketawa. “Dari mana optimis kau datang?”soalnya, membuat si adik menelan kata.

Maya pula masih tidak berputus asa. “Perempuan kat dunia ni bukannya Aqi seorang... Mimi tu sampai ke sudah menunggu kau datang meminang tapi kau sombong. Ketegaq tunggu janda kau. Entah-entah Aqi tu pun dah kahwin lain kat luar sana.”

Lalu kakak iparnya diberi kerut seribu. Maya pula merenung si mata hazel dengan riak serius seperti seorang peguam yang mahukan anak guamnya mengikut cakapnya dan jangan memandai-mandai buat keputusan sendiri.

“Akak memang sukakan Aqi, tapi nampak sangat dia selfish, Mar. Hilang lesap macam asap. Macam kubur tak bertanda. Walhal dia dengan kau... dengan keluarga suami akak... cukup rapat sebab dah kenal bertahun-tahun. Kau tak langgar hukum Allah kalau kau cari yang lain, Mar. Semua orang faham... sebab untuk kebaikan kau... dan sekarang, untuk kebajikan Ami terutamanya.”

Umar masih tidak menjawab. Cuma senyapnya kali ini sebuah tanda kekalahan. Kepala dipalingkan semula ke dalam almari baju, pada si wanita yang membatu di dalamnya. Aqi pula enggan dilihat, lalu wajahnya disembunyikan di sebalik kemeja kerja Umar yang tergantung.

“Akak ulang. Mimi tu masih tunggu kau...” Maya masih cuba cucuk jarum.

“Dia kawan je. Mar tak pandang lebih.” Umar menamatkan spekulasi itu tanpa mematahkan renungannya pada Aqi.

“Ouch.” Farid yang terasa pedihnya. “Ada apa dekat almari kau tu sampai kau melekat sangat berdiri kat situ?” soalnya pula. Dari tadi dia perasan adiknya kerap kali memanjangkan tangannya ke dalam almari tapi tidak mengeluarkan apa. Tingkah laku yang aneh.

“Toyol,” balas Umar lekas.

Farid menjungkit sebelah kening. “Kau simpan toyol?”

Lekas pintu almari ditutup. “Dah selesai, kan? Pergilah balik cepat.”

 

FARID dan Maya bergerak pulang tidak lama kemudian, meninggalkan Umar dan Aqi serta Ami yang dah tidur lena. Aqi kembali beralih ke katil bagi mendapatkan anak perempuannya, manakala Umar bergerak ke dapur. Berniat nak membancuh minuman panas untuk tetamu yang tak diundang itu.

Bila dia bergerak semula ke bilik tidurnya, dia diberi pula pemandangan indah tanpa dijangka. Aqi sedang berbaring mengiring di atas katilnya sambil memeluk anak mereka. Wanita itu juga membelakangi pintu, sekaligus menunjukkan bentuk belakang yang berlekuk macam gunung untuk didaki. Allahuakbar. Mulut terasa kering tiba-tiba. Lekas pandangan ditundukkan.

“Aqi. Jangan baring kat katil aku.”

Wanita itu menoleh ke belakang. Lekas dia bangkit duduk bila melihat Umar di depan pintu bilik tidur. “Sorry. Aku rindukan Ami sangat-sangat...”

“Kalau kau nak ceritakan apa yang berlaku, aku sudi pasang  telinga.”

Wanita itu menoleh lagi, melihat si lelaki masih di situ.Masih tidak berganjak walau seinci. “Kenapa tak masuk?”

Umar diam. Milo di tangan dipandang. Kemudian pada wanita cantik yang berada di atas katilnya. Ah sudah. Dahlah tengah malam. Naluri lelakinya mula bangkit, membawa haba panas di seluruh urat darah. Kenapalah dia benarkan Aqi masuk tadi?

“Meh sini, ambik Milo kau.”

“Kau la masuk. Aku penat.”

“Kau ialah perempuan dalam bilik tidur aku, Aqi... there’s a threshold that I can’t pass...” balasnya perlahan, mohon difahami.

Aqi mendiam, meneliti lelaki itu. Perasan bahasa tubuhnya yang agak janggal. Penuh dengan ragu-ragu. Syaitan mungkin tengah buat mesyuarat tingkap di cuping telinga Umar.

You serious?” soalnya bersama lontaran nafas tak percaya. Mereka bukannya bujang dan dara untuk tak biasa dengan kehadiran masing-masing. Tetapi melihat Umar masih membatu dan langsung tidak responsif dengan komen sardoniknya, Aqi memilih untuk menghormati malu lelaki itu.

“Maaf. Aku sepatut datang siang. Tapi aku risaukan Ami, jadi aku datang secepat mungkin...” Lalu muka anaknya diusap sebelum dicium-cium lagi sampai puas.

Mengesan Aqi tidak akan bangkit dari katilnya, Umar menyandarkan bahu di tepi pintu. Rileks saja di situ. “So... care to share?” soalnya sambil menghirup Milo.

“Panjang ceritanya, Mar.”

“Kita ada sepanjang malam.” Milo diteguk lagi.

“Kau minum air aku?”

“Aku suruh kau datang ambik sini, kau taknak.” Dihirup lagi. “Em, sedapnya~”

“Cih...” Barulah dia bangun. “Nak...” pintanya sambil melangkah dekat.

Kau nak yang dekat cawan ni ke, atau yang dekat mulut aku? Hati si lelaki bertanya, tetapi sempat dihalang akal sebelum miang itu kantoi pada lidah. Uish gila. Tak sampai sepuluh minit Aqi duduk dalam rumahnya, Umar boleh merasa dia bertukar jadi orang lain. Nyah kau syaitan!!

“Kau tak kerja esok?” soal Aqi, masih menunggu cawannya dihulur.

Lamunan Umar pecah. Barulah cawan bertukar tangan.“Kerja, tapi aku nak tahu kau hilang kat mana selama ni, kenapa tak bagitau awal-awal yang kita ada anak, dan yang paling penting, Zach jadi posto sebab fail SPM ke??”

Ketawa Aqi terlepas spontan. Halus sekali bunyinya tetapi menembusi sepi malam dan menusuk terus ke hati si lelaki seperti terbit mentari yang memecahkan malam kepada siang.

Perempuan... nalurinya berbisik. Pandangan matanya juga bertukar redup, khusus buat hawa di hadapannya. Bukannya dia tak pernah dengar perempuan ketawa, tetapi Aqi mempunyai kuasa aneh yang mampu merendahkan egonyadan mengusik naluri lelakinya. Walaupun dua tahun berpisah, tetapi wanita ini tidak pernah putus disebut namanya dalam doanya. Mungkin kerana itu hatinya masih bergetar kuat terhadap Aqi.

“Sedap,” komen Aqi setelah mencicip Milo, kini wajah itu nampak lebih ceria berbanding tadi.

Lalu senyum turut tercuit di bibirnya. Umar tidak pasti jika perasaan sukanya ketika ini kerana ada perempuan di dalam bilik tidurnya, atau kerana perasaannya pada Aqi menghangat semula. Yang dia tahu, dia menyenangi wajah penat yang tersenyum itu.

“Kalau nak merasa air tangan aku lagi, kau kena stay lama sikit,” guraunya pula.

Sekali lagi wanita cantik itu tertawa, membuat hati Umarterus berkembang luas seluas Gua Niah. Debar turut bergendang kini.

I would love that... Tapi aku tak boleh... maaf Mar...”

“Kenapa?”

Mereka berpandangan. Lambat-lambat, Aqi membuka mulut.

“Rumah kau busuk.”

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh painarena