Home Novel Cinta JOM KAWEN SEMULA [REVAMP]
JOM KAWEN SEMULA [REVAMP]
painarena
10/1/2022 02:07:29
158,371
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

BEBERAPA minggu berlalu. Ami dengan efektifnya menjadi instafamous selepas mendedahkan wajahnya pada internet sambil terus konsisten membuat video parkour. Tidak ramai golongan hawa yang elastik dan atletik seperti Ami, jadi beberapa sekolah sukan sedang mengintai peluang untuk membawa gadis itu memasuki akademi mereka. Perkara kedua yang membuat Ami popular di internet ialah mesej terbuka untuk meminta mamanya pulang. Tetapi sehingga kini tiada berita yang diterima.

Umar pula telah sah mengahwini Mimi dan sedang berbahagia melalui fasa berbulan madu. Hidup yang selama ini sepi kini terisi dengan perhatian seorang wanita. Tipulah kalau Umar tidak bergembira. Yang menjadi masalah terbesar ialah Ami dan Mimi tidak serasi malah terang-terang menunjukkan yang mereka tidak sukakan masing-masing.

“Masih?” soal Farid pada satu malam. Keluarga Umar dan abangnya cukup dan rapat dan mereka saling melawat sekali sekala. Malam ini salah satunya, dimana Umar membawa isteri dan anaknya makan malam di Vila Orked, sebuah banglo tiga tingkat yang diwarisi Farid serta kediaman yang menjadi tempat Umar membesar. Mimi meminta diri ke tandas, Ami melayan diri dengan kedua-dua sepupunya, manakala Umar memberi laporan pada abang dan kakakiparnya.

“Tapi Ami sebelum ni elok je dengan Mimi, kan? Pun Ami yang duk push kau kahwin baru,” soal Maya pula sambil mengunyah kacang.

Umar sekadar menjungkit bahu. “Mar tak tahu nak cakap apa.Dah nasihat, bawa jalan-jalan bersama, masih tak ngam.”

“Mimi pula macammana?” soal Maya. “Dia tak cuba nak ambil hati anak tiri dia?”

Umar menggeleng tanpa sekalipun mengalihkan perhatiandari TV. Farid dan Maya berpandangan. Tak lama kemudian, Mimi yang baru keluar dari tandas menyertai mereka. Wanita cantik itu melabuh duduk di sebelah suaminya dan Umar terus merangkul bahu sang isteri.

Perbualan mereka terhenti bila tiba-tiba TV bertukar gelap dan perkataan BOADICEA bertulisan putih terpapar di depan skrin. Aik? Ini ganjil.

Farid menutup TV sebelum dibuka semula, namun perkataan BOADICEA masih terpapar.

Itu ialah virus komputer. Beberapa perkataan terpapar satu persatu di skrin, menunjukkan BOADICEA meminta maaf kerana memotong siaran yang berlangsung, dan berjanji akan memberi siaran yang lebih baik.

Bukan sahaja isi Vila Orked, walhal tiada seorang rakyat Malaysia pun tidak menyangka TV nasional akan digodam oleh satu virus internet pada waktu yang sangat rambang. Virus itu memotong drama melayu TV3 yang sedang bersiaran di seluruh negara selepas Maghrib, yakni tempoh puncak tontonan diseluruh negara.

Keganjilan itu memanggil tiga sepupu, Munirah, Junior dan Ami untuk turut datang ke ruang tamu, termasuklah orang gaji di vila itu.

Cukup 10 saat diberi hingga seisi rumah dan warga internet menyedari hal tersebut, BOADICEA menyiarkan sebuah rakaman CCTV tanpa suara. Live. Dua orang manusia sedang bertekak di dalamnya, seorang lelaki separuh usia, dan seorang wanita yang duduk kerusi roda.

Farid memanjangkan leher ke TV. “Itu Dickens,” ujarnya,terkejut.

“Dickens.... Alastair Dickens?” soal Umar pula.

“Siapa Dickens?” soal Junior, menoleh pada ayahnya.

“Businessman. Company dia laris di Borneo, Shang Hai,Dubai dan London. Mereka yang support branch kita dibuka di sana...” jelas Farid sambil menjeling pada adik lelakinya yang turut menjeling padanya.Masing-masing mengiakan profil lelaki korporat itu melalui pandangan mata.

“Perempuan yang bercakap dengan dia tu pula siapa?” soal  Maya pula.

“Abang tak tahu...” Sememangnya wanita itu pula gagaldikenalpasti kerana membelakangkan kamera.

Dickens mengangkat pistol ke arah wanita itu. Mereka semua cemas, dan bang! Wanita itu ditembak.

Maya dan Mimi serentak terpekik.

Lalu seluruh Malaysia kecoh. Teori dan spekulasi mula terbentuk di internet. Realitikah? Palsukah? Siapa Boadicea? Kenapa mereka menyiarkan video ini berbanding cuba menyelamatkan wanita itu? Sebuah publicity stunt untuk Alastair Dickens bagi mendapatkan populariti? Jika ya, ini strategi yang sangat gila!

Rakaman yang tadinya bisu tiba-tiba melepaskan suara pecah melangit, sekaligus mengejutkan semua penonton yang masih tekun melihat. Suara seorang budak lelaki, serak dan pecah-pecah, diiringi bunyi pintu diketuk tendang sekuat hati.

“MA!! MA!! BUKAK PINTU NI DICKENS!! PULANGKAN MA AKU!! MAA!!”

Itu bunyi marah berisi tangis.

“Budak celaka!” Suara marah Dickens turut kedengaran. Lelaki berpangkat tinggi itu meluru ke pintu, ke arah punca suara raungan budak lelaki tadi. Dickens membuka pintu sederasnya, mendedahkan sebatang tubuh milik seorang remaja lelaki di sebalik pintu. Dickens mencengkam rambutnya.

Ami berlari ke TV seolah-olah cuba nak menyelamatkan budak lelaki itu dari ditangkap Dickens. Ah, emosinya meletup-letup sekarang ini!

“Lari!!” jeritnya.

“Dia tak dengar kau la bongok!” jerit Junior pula.

Tiba-tiba rakaman CCTV tertutup, diganti dengan skrin gelap. BOADICEA memberi terima kasih, kemudian menyambungkan kembali drama melayu yang dipotong tadi seolah-olah takda apa yang berlalu. Para penonton ditinggalkan bersama rasa pahit di anak tekak.

“What the...” Ami menepuk dadanya berkali-kali. Merasa seriau.

“Boadicea tu siapa?” soal Munirah.

“Entah la labu...” balas Junior bersama keluh panjang. “Entah real ke tidak...”

Umar pula terus senyap. Entah kenapa jiwanya berdebarl ebih dari biasa. Doanya agar wanita di dalam video tadi selamat.

Dan ya, wanita di dalam video itu selamat. Wanita itu ialah Aqi. Pelannya untuk menuntut cerai dari Chan tanpa merisikokan Umardisumbat ke lokap sedang dijalankan bersama beberapa orang rakan baru yang ditemui atas jasa Emir. Selepas 10 tahun, Aqi kini cukup pengalaman dan gear up untuk melawan Chan dan kembali ke pangkuan keluarganya.

 

EMPAT bulan kemudian, setelah dia boleh berjalan di atas kaki sendiri, Aqi berjumpa dengan Chan di dalam banglo kediaman suaminya itu.

“Macammana life sebagai pengganti Dickens? Heaven?” Barusaja Chan nak membuka mulut, Aqi memotong. “Aku tak kisah dengan apa-apa jawapan kau. Aku datang untuk tuntut janji kau. Aku bantu kau lepaskan diri dari Dick, kau kena serahkan semua bukti-bukti yang kau pegang, kemudian ceraikan aku talak tiga.”

“Amboi. Kau tak bahagia ke dengan aku Ekin? Lepas 10 tahun kita hidup bersama, kau langsung tak cintakan aku? Aku bertahan dengan nama islam yang aku pegang sebab nak terus ikat kau dalam perkahwinan kita—”

“Kau ni macam celaka, lah.”

“Ouch.” Dada disentuh. “I love you too, babe.” Sinis.

“Kau dera aku, kau cuba nak jual aku dekat pasaran gelap,kau tangkap aku bila aku lari, kurung aku sampai aku hampir mati, libas kaki aku sampai aku tak boleh berjalan, lepas tu kau cakap kau islam?” Satu persatu disebut sambil mengingati derita yang diberi lelaki ini sepanjang 10 tahun ini. “Kau islam celah kangkang pelacur mana?” tambah Aqi, buat puas hati sendiri.

“And yet kau masih tak berani nak lapor aku dekat polis…”balas Chan. Senyumannya meleret bila air muka isterinya mengeras, gagal  melawan.

Aqi mengeluarkan sebuah dokumen dari handbagnya. “Kau tau ni apa?”

Chan hanya membalas dengan kerut.

“Kau tahu silkstreet.com? Website yang menjadi platform jual beli dadah secara online yang diharamkan polis tapi Dickens syaitan tu buat pula website silkstreet2.com just because he can? Dokumen ini, Chan… ialah bukti transaksi semua pembelian di dalam website tu. Semua duit ribu riban yang masuk dalam akaun peribadi Dickens… some of it ke dalam akaun kau.”

Air muka Chan mengeras dari tadi. Aqi masih memegang butang kawalan perbualan ini.

“Proposal terakhir dari aku untuk kau. BOADICEA boleh delete rekod akaun kau dan tukarkan dengan akaun Dickens. Kau juga akan dapat semua harta Alastair Dickens dari sesen duit Malaysia hingga berbilion duitnya di Bank of London sana. Berhenti bercakap untuk efek dramatik…” luahnya sambil menarik nafas dalam. Chan direnung semula. “Ceraikan aku talak tiga. Bakar semua bukti yang kau ada tentang Umar. Sepatah kata dari aku, BOADICEA akan delete akaun kau dan kau boleh sambung jadi raja dalam empayar perniagaan Dickens.”

Chan menelan liur. Permohonan itu terlalu mudah untuk ditunaikan. Apalah sangat melepaskan permainan rosak yang dah tiada guna dalam hidupnya berbanding kebebasannya dari pihak berkuasa serta memiliki harta Dickens.

“Aku ceraikan kau talak tiga.” Senafas.

Kata-kata itu umpama kunci yang melepaskan kakinya dari rantai besi. Beban terasa jatuh dari bahu. Ringan sekali badannya, terasa macam bulu pelepah yang boleh terbang ke mana saja selagi ditolak angin. Tangis Aqi hampir pecah. Bahagianya hari ini ya Allah.

Kemudian dia melihat Chan mengeluarkan sebuah kotak dari mejanya. Di dalamnya ada dua CD.

Satu persatu CD dipasang ke laptop. Satu CD menunjukkan rakaman video bersama seorang wanita berbangsa Amerika. Satu lagi merupakan rakaman CCTV pada 14 tahun lepas. Kemudian Chan mematahkan CD itu satu persatu.

“There. Turn kau pula.”

Aqi menelefon seseorang. “Bo, as discussed,” ujarnya pada speaker iPhone. Chan kemudian direnung. “Kau buka akaun bank kau. Sejumlah wang dalam anggaran enam puluh lapan juta, lima ratus lima puluh tiga ribu, sembilan ratus tujuh puluh lapan dan tiga puluh tiga sen sepatutnya dipindahkan ke dalam akaun kau.”

Chan menurut. Jatuh terus rahangnya bila melihat akaunnyaterisi demi sedikit hingga menepati jumlah yang disebut wanita itu. “Holy…” Aqi dipandang dengan senyum luas.

“Buka ghost folder kau pula.”

“What?”

“Ghost folder yang simpan semua gambar masa kau seksa aku, video rakaman Umar yang kau simpan secara digital… everything.”

“Kau even tahu semua tu??” Chan ternganga lagi. Sejauh mana jenayahnya kantoi dengan wanita ini sebenarnya? Tetapi bila dibuka, file itu dah hilang. Chan terkebil, mencari lagi tetapi kosong.

Melihat bahasa tubuh Chan, Aqi menghela nafas lega.“BOADICEA dah selesaikan tugas dengan jayanya.” Lalu dia bangun. “Virus aku tu dah padamkan semua rekod digital yang kau simpan hingga ke lubang cacing.Semuanya. Dari ghost file, attachment dalam email, dalam smartphone kau…selagi berada dalam internet, BOADICEA track dan delete everything. Took months but its finally done. Satu-satunya yang dia tak boleh padamkan ialah rekod analog yang kau pegang.” CD yang dah patah itu dikerling.

Chan mengangguk. “You did well, survive dari aku sampai sekarang. Tapi…” Tubuh dirapatkan ke meja, merenung Aqi dengan muka yang bersedia untuk berbisnes. “BOADICEA tu… berapa kau sudi jual? Siapa yang pegang cotrollernya?”

Melihat sinar jahat di mata Chan, Aqi menjungkit sebelah kening. Memang dia maklum program sekuat itu akan menarik perhatian sesiapa yang tahu fungsi dan kegunaannya, lalu iPhone diangkat ke muka. “Bo, you there?”

Here.” Kedengaran suara serak yang perlahan.

“Kuro?”

“Em.”

As discussed.”

Buat beberapa ketika, Chan dan Aqi berpandangan sebelum tiba-tiba smartphone Chan meletup kecil hingga mengejutkan si lelaki.Termasuklah iPhone Aqi, disusuli laptop dan PC Chan. Lelaki itu spontan bangun kerana PC itu juga terbakar sedikit. Terus cuba dipadamkan dengan menggunakan kot di atas kerusi.

“Apa jadi ni Ekin!!”

“BOADICEA dah terpadam. Kami bomkan dia. Ekstra sikit dekat laptop dengan PC kau sebab dia penuh di situ,” senyumnya sambil bangun dan terus berpusing ke pintu keluar. Dibiarkan Chan kelam kabut memadam kebakaran itu, Aqi terus menghilang dari pintu.

Mata Aqi mencerah bila melihat langit biru. Dia akhirnya keluar dari rumah ini. Selepas 10 tahun terperangkap dalam perkahwinan yang menduga mental dan fizikalnya, akhirnya dia boleh keluar dan kembali hidup macam manusia yang bebas.

Fokusnya kini ialah pada keluarganya yang ditinggalkan diMelaka.

“Mar… Ami... I’m coming…”

 

PEKAN Melaka, lokasi yang menjadi tempatnya membesar sepanjang remaja hingga dewasa, mengenali Umar Darius sebagai teman sekelas sebelum berakhir sebagai duda, dan melalui tempoh paling bahagia di sisi lelakiitu selama dia hidup. Selepas lepaskan diri dari Chan, Aqi mahu balik ke sini,bina hidup di sini, dan dikuburkan di sini.

MyVi yang dipandu melepasi rumah Umar dengan kelajuan perlahan. Lelaki itu dilihatnya sedang berehat di buaian bersama pasangannya. Jadi betullah macam yang Kuro lapor, Umar dah kahwin baru. Mata dipicing bilamelihat gerangan isteri baru Umar. Menyirap terus darah ke kepalanya.

Engkau pandai balas dendam, Mar....

“Itulah ayah kau,” ujar Aqi pada anaknya yang duduk di kerusi  penumpang.

Emir melihat ke luar. Langsung tidak dipatahkan pandangannya pada pasangan di buaian itu sehingga mereka menjauh dan menghilang dari pandangan.

“Yang sebelah dia ialah bini dia, kan?”

“Yeap.”

“Cantik.”

Aqi memaksa senyum di bibir. Pedih di hati disimpan sendiri. “Cinta permata ayah kau sejak sekolah menengah. Mana ada perempuan lain yang dia nak buat bini selain cinta pertama dia...” tuturnya dengan tenang yang dibuat-buat.

Emir mengangguk, melihat ibunya terus memandu pergi. Mereka sepatutnya berhenti di rumah kosong yang telah dibeli di sini, tetapi kenapa ibunya tidak berhenti.

“Kita nak kemana, ma?”

“Balik KL.”

“Aik? Kata dah beli rumah kat sini.”

“Kita sewakan je. Ma nak balik KL.”

“Kata nak balik ke pangkuan ayah??”

“Mampus ah dia.”

Pulak?? Emir terlongo pada wanita yang tengah carca marba.

“Kan dari awal lagi Kuro bagi report yang ayah dah kahwin lain. Emir ingat ma dah handle feeling ma baik-baik sebelum datang ke sini??” tegur si anak lelaki dengan rasa terkejut yang ditahan.

“Mulanya ma pun ingat ma dah elok. Ma tak tahu dia nikah perempuan tu. Kuro pula tak cakap! Tapi bukannya Kuro tahu.... tapi aaargh!!” Hanya mampu menjerit di akhir kata kerana terkilannya dia.

“Kenapa dengan bini ayah?”

“Ma bencikan dia!”

Emir terkedu. Tak terkata terkejutnya.

“Dia pun bencikan ma, so... yea... ayah kau pandai membalas dendam...” dengusnya lagi. Benar-benar hangin.

Budak lelaki 13 tahun itu senyap seketika. Kepala diangguk perlahan. “Kalau ma taknak jumpa ayah, Emir okay. Lagipun Emir tak pernah tahu Emir ada ayah selama ni. Hidup Emir sama je.”

Aqi terkaku. Dalam amarahnya, dia terlupa tentang keperluan anak-anaknya. Malah, Ami juga masih bersama dengan Umar. Nak terus dipisahkan kembar itu, kah??

Tiba-tiba seorang remaja perempuan berlari di tengah simpang melalui kereta mereka. Aqi mengerut dahi, mengenali remaja itu. Kemudian disusuli seorang remaja lelaki dan akhirnya Ami mengekori di belakang mereka. Mereka bertiga tengah dikejar seekor anjing.

Aqi dan Emir melopong. Minyak ditekan nak menolong tetapi terkejut lagi bila mereka melihat Ami tiba-tiba brek dan berpusing menghadap anjing tersebut. Junior turut berhenti, berniat nak menghalang, tetapi Ami lebih tangkas bertindak. Anjing tersebut melompat ke arah gadis 13 tahun itu, lalu dengan sekuat hati, Ami melayangkan tendangan tinggi ke kepala anjing. Impak tendangannya boleh tahan kuatnya hingga anjing mixed breed itu terpelanting ke pokok di tepi jalan.

Aqi memberhentikan keretanya ke tepi. Dia dan Emir sama-sama keluar dari kereta, melihat gadis berambut panjang itu masih dengan kekuda, bersedia dengan serangan kedua sekiranya anjing gila tadi masih nak membaham.

“GRAH!!” Ami membentak sambil menghentakkan kakinya, sekaligus membuatkan anjing tersebut menangis pergi.

“Kau ni tak pernah fail buat aku terkejut,” komen Junior pula, masih gamam melihat apa yang berlaku depan mata.

Ami mendengus. “Jom lari! Cina tu masih mengamuk!” Dia kembali memecut berlari, mengejar Munirah yang dah jauh meninggalkan mereka.

Dua orang penonton itu masih tak percaya melihat apa yang baru berlaku. Aqi menggelengkan kepala bersama ketawa halus, mengagumi refleks Ami yang diwarisi dari Umar. Kemudian anak lelakinya yang masih tidak berkelip, dikerling. “Cam adik perempuan kau tak?” Sengaja menyoal.

Emir menjeling.

Aqi masih dengan senyum tenang. “Budak lelaki yang dengan dia tadi ialah sepupu kau...”

“Sepupu?”

Kepala diangguk. “Abang sepupu kau. Tua setahun dari kau dengan Ami. Farid Junior namanya. Dia ada kakak, bernama Munirah, yang mula-mula berlari memecut tadi...” Perhatian teralih lagi bila terdengar suara seorang Cina marah-marah di simpang tadi, seakan baru nak mengejar tiga remaja nakal yang dah membuat kesalahan apa entah kepadanya. Lalu anak beranak itu kembali masuk ke dalam kereta.

Untuk seketika, ruang kereta itu hening. Aqi tidak menghidupkan enjin, sebaliknya meneliti reaksi anak lelakinya yang sedang berteleku merenung jari jemarinya sendiri.

“Kau nak jumpa adik?” soalnya sambil memaniskan wajah.

Pemuda itu menjungkit bibir manakala matanya dikerling ke arah lain. “Dalam video dia, dia boleh meloncat atas kereta. Emir nak tengok live...”

Tersenyum lagi si ibu. “Benda apa yang bapak kau dah ajar dekat adik kau agaknya...” Wujud juga rasa marah dibuatnya. Nafas ditarik sedalam-dalamnya. “Ma minta maaf...”

Emir menoleh spontan. “Maaf pasal apa?”

“Emosi sangat pasal bapak kau. Ma honestly masih tak ready nak jumpa dia...” keluhnya sambil menyandarkan kepala ke sandaran kerusi. Bayangan Umar berpelukan dengan Mimi diimbas kembali di belakang kepala, memberikan rasa pedih yang tak asing. Tetapi bila dialihkan fokus perhatian dari Umar kepada Ami anak perempuannya, Aqi merasakan hatinya lebih ikhlas dan yakin nak kembali hidup di Melaka. Lalu Emir dikerling lagi, kali ini dengan senyuman lembut. “Ma minta kau bagi masa dekat ma untuk kenalkan kau dekat ayah kau. For the mean time, kau bolehlah jalan-jalan and kenal-kenal dengan adik kembar kau dengan sepupu-sepupu kau. Ma daftarkan kau satu sekolah dengan mereka.” ujarnya pada jalan di hadapan.

Si remaja lelaki menganggukkan kepala. Akal dah berkira-kira macammana nak membuat sesi perkenalan dengan adik kembar yang masih tidak mengetahui kewujudannya itu. Kemudian ibunya dikerling lagi. “Ma benci ayah ke?”

“Ma tak pernah bencikan dia selama ma hidup...” Kepala Emir diusap bersama senyuman lembut. “Ma masih sangat sayangkan dia. Cuma...antara ma dengan ayah kau sangat rumit sampai ma tak boleh nak explain...atau nak jumpa terus macam member jumpa member. Ma takut...” luahnya, berterus terang.

Emir masih sukar nak menghadam ragu-ragu itu, tetapi dihormati keputusan ibunya.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh painarena