Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 9

9
 
 
BERLARI kanak-kanak itu mendapatkan papanya di meja makan. Senyuman sudah terukir lebar di bibirnya.

Morning papa,” ucap Dani.

Terhenti suapan bihun ke mulut Ruysdi dan cepat sahaja dia membalas senyuman anaknya itu.

Morning, my love. Awalnya anak papa ni bangun.” Penuh kasih Rusydi mengucup pipi anak kesayangannya itu.

“Dani lapar… tu yang Dani terbangun tu. Wah! Sedapnya. Papa masak bihun goreng!” terjerit kecil kanak-kanak lelaki itu. Selamba pula dijamahi bihun goreng yang masih memenuhi pinggan papanya.

“Pelan-pelan makan tu Dani. Jangan gelojoh sangat. Duduk makan tu.” Lengkap tiga arahan diberikan sekali gus oleh Rusydi kepada anak lelakinya yang sedang memenuhi arahan ketiganya.

“Kan bagus duduk sopan macam tu. Ni, bismillah dah baca ke belum ni?”

“Dah. Dani baca dalam hati. Papa tak makan ke?” soal Dani kemudiannya.

Tersenyum Rusydi mendengarkan soalan spontan anaknya itu, “Danikan dah makan bihun papa. Macam mana papa nak makan?”

“Alah papa ni… nahlah ambiklah balik.” Sudah monyok muka Dani saat dia menghulurkan pinggan yang hanya terluak sedikit sahaja isinya.

“Aloh… papa main-main jelah. Tak apa, Dani makan je bihun papa ni,” pujuk Rusydi.

“Betul ni?” Dani mahukan kepastian.

“Betul sayang. Papa dah kenyang.” Lembut benar suara Rusydi tika ini.

“Ya ke papa dah kenyang? Bukan tadi masa Dani datang, papa baru nak makan ke bihun ni?” ragu-ragu Dani dengan kenyataan papanya sebentar tadi.

“Itu tadi. Tapi sekarang bila papa tengok anak kesayangan papa ni bersemangat kunyah makanan, terus hilang rasa lapar papa tu.” Rusydi mengelus-ngelus lembut pipi anak kesayangannya itu. Terlihat limpahan kasih sayang seorang ayah buat anaknya tika ini.

“Okey. Tapi kalau papa nak makan nanti papa bagitahu ya. Boleh Dani sendukkan bihun tu untuk papa.” Mulut yang sedang dipenuhi bihun goreng dimuncungkan ke arah mangkuk kaca bersaiz sederhana di hadapannya.

Kian melebar senyuman Rusydi melihatkan telatah anaknya. Hanya anggukan diberikan dengan harapan anak kesayangannya itu menghentikan bicaranya. Namun usahanya itu tidak sedikitpun membuahkan hasil saat persoalan meluncur laju dari bibir anaknya itu.

“Papa. Malam tadi papa pergi mana? Kenapa papa balik lambat? Sampai tertidur Dani tunggu papa tau.” Manja benar suara kanak-kanak itu meluahkan isi hatinya.

“Maafkan papa ya sayang. Malam tadi papa ada buat kelas ganti untuk student-student papa. Tu yang papa balik lambat sikit tu. Kenapa Dani tunggu papa? Kan papa dah pesan kalau papa lambat balik, Dani masuk je tidur dulu. Lain kali jangan tunggu papa ya sayang.”

“Dani lapar. Tu yang Dani tunggu papa balik tu. Dani nak suruh papa masak nasi.” Selamba sahaja Dani mengadu kepada papanya yang sudah berubah riak wajahnya.

Terlihat garis ketidaksenangan terlakar di atas figura Rusydi, “Mama tak masak ke?”

“Mama masak Maggi je. Mana kenyang. Hari-hari mama masak Maggi sampai pedih dah perut Dani ni. Tapi kalau papa ada dekat rumah barulah best… dapat makan nasilah, bihunlah, macam-macam lagilah,” kegembiraan yang dipamerkan oleh Dani saat tuturan akhirnya sedikitpun tidak dapat mengusir amarah yang sudah mula memacakkan dirinya di hati papanya itu.

“Papa… kenapa papa pandang Dani macam tu? Dani takutlah tengok muka papa.”

Bagaikan baru tersedar, cepat sahaja Rusydi mengubah riak wajahnya. Senyuman yang camping terlakar.

“Dani… kalau papa pergi kerja, tengah hari Dani makan apa?” soal Rusydi lembut.

Pengakuan yang jelas perlu diperolehinya sebelum ‘serangan’ dilakukan pada seseorang. Seseorang yang masih membuta!

“Selalunya makan Maggilah. Kalau mama rajin baru mama orderpizza. Hari-hari makan benda yang sama… bosan tau papa. Papa… hari ni papa janganlah balik lambat boleh tak?” rayu Dani.

Kemarahan yang kian memuncak menyebabkan Rusydi bagaikan tidak mengendahkan kata-kata terakhir anak kesayangannya itu.

“Papa… papa dengar tak Dani cakap apa ni?” soal Dani buat kali keduanya.

“Ya sayang, papa dengar. Hari ni papa balik awal ya.”

“Yahooo!!! Papa balik awal. Papa malam ni papa masakkan Dani lauk ketam boleh tak? Dani teringinlah nak makan ketam,” kegembiraan disulamkan dengan permintaan oleh Dani.

“Boleh sayang. Nanti papa masakkan lauk ketam untuk anak kesayangan papa ni ya.” Mendatar sahaja nada Rusydi.

“Dani nak lauk ketam yang ada kuah tau papa.”

Anggukan diberikan oleh Rusydi dan senyuman tetap sahaja dikekalkan biarpun cetusan api kemarahannya sudah pun memuntahkan laharnya. Seketika, Dani bersemangat menghabiskan makanannya manakala Rusydi pula sedang berperang dengan kemarahannya sendiri dan akhirnya…

“Papa dah nak pergi kerja ke?” soal Dani saat dilihatnya papanya itu sudah bangkit untuk berlalu.

“Tak. Papa ada tertinggal barang dekat atas.” Tanpa menoleh, penjelasan diberikan dan aturan langkah diteruskan.

Bump!!!

Terpisat-pisat Azura saat terdengarkan bunyi hentakan pintu. Di dalam keadaan mamai dilihatnya seseorang sedang menghampirinya.

“Abang… ayang ingatkan Dani tadi,” tutur Azura sambil menggosok-gosokkan matanya.

Azura masih tidak dapat melihat dengan jelas emosi apakah yang sedang menguasai figura suaminya itu.

“Saya nak awak bangun sekarang!” bentak Rusydi.

“Apa abang ni… pagi-pagi dah memekak,” sela Azura.

“Memekak awak cakap! Apa nak jadi dengan awak ni ha?! Pemalas!” Kian tinggi nada suara Rusydi memarahi isterinya yang masih berlingkar di atas katil.

“Suka hati abanglah nak cakap apa. Saya mengantuk.” Azura langsung tidak mengendahkan kemarahan suaminya itu.

Lantas bantal yang sedang mengalas kepalanya ditarik dan ditakupkan di atas kepalanya bagi menghalang halwa telinganya daripada terus-terusan menjamahi kata-kata amukan daripada suaminya itu. Namun cepat pula bantal itu ditarik kasar oleh suaminya yang kian garang raut wajahnya.

“Abang ni kenapa?! Pagi-pagi lagi nak cari pasal dengan saya!” dicegilkan matanya saat intonasi meninggi itu dilontarkan bagi menunjukkan ketidaksenangannya dengan tingkah suaminya itu.

“Kalau nak ikutkan hati saya ni memang dah tak kuasa saya nak bertekak dengan awak! Tapi makin lama saya diamkan, makin awak naik kepala!” kemarahan Rusydi makin membara.

“Apa yang abang merepek ni? Naik kepalalah! Apalah! Sudahlah, nak pergi kerja tu… pergi jelah. Membebel pulak.”

Diam. Tiada kata balasan daripada Rusydi. Hanya nafasnya yang mendesah kasar dan pandangannya pula bagaikan hendak membaham insan di hadapannya itu. Semerta kegerunan menjalar di dalam diri Azura. Tertunduk dan menikus dirinya.

“Berapa kali saya dah pesan dengan awak! Saya tak kisah kalau awak tak jaga kebajikan saya! Tapi jangan sesekali awak abaikan Dani! Mama jenis apa awak ni?! Sampaikan makan pakai anak sendiripun awak tak pernah nak ambil pedulik! Mama apa awak ni!!!” jeritan Rusydi benar-benar menggila.

“Papa! Papa… jangan gaduh dengan mama. Dani tak nak papa gaduh dengan mama… tolong jangan marah mama lagi papa,” meluru si kecil mendapatkan papanya yang sedang menghamburkan amukannya pada si ibu yang sudah pucat wajahnya.

Tangisan segera mengalir bagi meraih simpati papanya itu agar menghentikan tengkingannya. Sudah agak lama sebenarnya Dani menyembunyikan dirinya di balik pintu bilik yang terbuka. Tengkingan papanya yang pertama itulah sebenarnya yang telah menggamit dirinya untuk melihat apakah sebenarnya yang telah terjadi dan di saat dirinya melihatkan kemarahan papanya yang kian memuncak lantas diberanikan dirinya untuk berhadapan dengan papa dan mamanya itu. Dia yakin papanya tidak akan naik ‘tangan’ padanya dan keyakinan agar papanya menghentikan perbalahan dengan si ibu juga kian meningkat saat papanya itu mendukung tubuhnya dan berlalu pergi dari ‘gelanggang’ pertengkaran itu.

Azura menghembuskan nafas leganya saat anak tunggalnya itu berjaya menjadi ‘benteng’ buat dirinya. ‘Benteng’ yang akan sentiasa mempertahankan dirinya saat pertengkaran dengan si suami tercetus. Wanita itu yakin anak tunggal mereka itulah kelemahan nyata bagi suaminya itu. Hampir lima minit kemudian terdengar deruman enjin kereta meninggalkan pekarangan rumah mereka.

“Dah pergi kerja pun.” Seraya menuturkan kata-kata itu, Azura melabuhkan semula kepalanya pada tilam empuk yang sedang menanggung beban tubuhnya. Sekejap sahaja sepasang mata kuyunya tertutup dan lena terus sahaja mengunci tidurnya biarpun kepalanya tidak beralas apa.

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.