Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 18

18

 

SEKALI lagi minuman di dalam gelas disedutnya perlahan. Terasa dingin tekaknya dibasahi jus oren yang segar. Pandangan masih jua dililau-lilaukan, mencari sesusuk tubuh seseorang yang masih belum menampakkan bayangnya. Jam di pergelangan tangan dilihat sekilas.

“Dah pukul tiga… mana pulak dia ni.” Bukan bebelan, hanya sekadar meluahkan resah yang membungkam di dada.

Resah menantikan seorang sahabat yang sudah lama dikenali dan sudah dua minggu tidak diketemui. Biarpun dalam tempoh yang tidak begitu lama, namun kerinduan cepat sahaja menjelma terhadap sahabatnya itu.

“Assalamualaikum.” Salam dihulurkan.

Tersentak Suhailah dan berderai lamunan yang menyinggah sebentar cuma.

“Waalaikumussalam.” Bersama ucapan itu Suhailah bangkit dan memeluk erat sahabat yang sudah muncul di hadapannya. Sahabat yang dinanti-nantikan kehadirannya sebentar tadi.

“Hang sihat ka Suhailah? Awatnya aku tengok hang ni makin kurus ja? Hang tak makan ka apa?” Junaidah sudah meleraikan pelukan antara mereka sewaktu pertanyaan demi pertanyaan ditanyai kepada sahabatnya itu.

“Banyaknya soalan kau. Mana satu aku nak kena jawab dulu ni?” tutur Suhailah bersama senyuman yang masih belum mati di bibirnya saat punggung dilabuhkan di kerusi. Junaidah turut mengikuti tingkahnya, mengambil tempat di hadapannya.

“Banyak ka? Aku rasa sikit ja tu. Tak palah hang jawab mana yang hang nak jawab sudahlah. Tapi yang penting aku nak tanya hang ni, hang sihat ka? Awat aku tengok hang makin kurus ja ni?”

Hampir sahaja Suhailah mencetuskan tawa kecilnya saat mendengar dua daripada tiga soalan yang ditanyai oleh Junaidah, ditanyai semula oleh sahabatnya itu.

“Aku sihat. Kau tu yang aku tengok makin kurus. Kenapa? Tak serasi ke dengan makanan orang Kanada tu?” jawapan berserta soalan dituturkan bersama.

“Kanada? Aku rasa hang memang patut pi melancong kat sana. Best aku habaq kat hang. Mesti hang tak menyesal punyalah.” Beria-ia Junaidah melahirkan kegembiraan di dalam bicaranya itu. Senyuman melebar sudah pasti menambahkan lagi gambaran kegembiraan hatinya tika ini.

“Habis tu kalau dah gembira sangat dekat sana, kenapa badan kau susut semacam je ni?” Suhailah sudah melambai-lambaikan jari jemarinya sewaktu terlihatkan seorang pelayan melalui meja mereka.

“Ya, Puan. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Lembut pelayan itu bertanya. Tidak dilupakan senyuman manis buat kedua pelanggan.

“Bagi saya segelas lagi jus oren dan…” ayat Suhailah terhenti di situ sambil pandangan dihalakan semula ke arah insan di hadapannya.

Junaidah yang mengerti akan erti pandangan itu…

“Bagi saya segelas jus tembikai na.” Segera Junaidah membuat pesanan.

“Makan?” soal pelayan itu lagi.

Junaidah dan Suhailah serentak menggelengkan kepala dan segera pelayan itu beredar. Tanda mengerti keinginan kedua pelanggannya.

“Kau tak lapar ke?” Segera Suhailah bertanya setelah pandangan mereka bertemu semula.

“Aku kenyang lagi. Sebelum mai sini, aku dah makan tengah hari dengan mak, pak aku dulu. Tu yang lambat sikit tu. Sorryna, buat hang tertunggu,” jujur Junaidah kepada insan yang sudah lama dikenali.

“Tak apa. So, macam mana Kanada? Best?” Tanpa sedar Suhailah bertanyakan soalan yang sama buat kedua kalinya.

“Macam aku habaq tadilah. Best sangat! Tulah hang, aku ajak hang ikut aku pi melancong hang tak nak.”

“Bukan aku tak nak. Tapi kau, kan tahu yang aku busy sangat.”

“Alah… hang tu memang memanjang ja busy. Tak pernahnya aku tengok hang ni tak busy. Suhailah… hang kena ingat na, masa kita solo nilah kita nak pi sana, pi situ. Nanti bila kita dah kahwin, belum tentu lagi kita dapat buat apa yang kita suka. Silap-silap hari bulan dapat pulak laki yang tak boleh pakai. Asyik nak menyusahkan kita ja, tak ka haru hidup kita nanti. Tulah sebabnya aku habaq kat hang selalu, time nilah aku nak hang enjoy dengan life hang. Jangan dipikiaqkan sangat kerja hang tu. Kalau hang asyik pikiaq pasai kerja ja, memang takkan ke mana-manalah nanti. Percayalah cakap aku,” bebelan Junaidah sudah menjelma.

Suhailah sekadar mengukirkan senyuman. Dia sudah begitu arif dengan fiil insan di hadapannya itu. Bebelan sememangnya cukup sinonim dengan sahabat yang sudah lama dikenalinya itu.

“Yang hang senyum ni apa hai? Aku habaq kat hang baik-baik, hang boleh pulak bantai senyum. Awat… lucu sangat ka apa yang aku nasihatkan dekat hang ni?”

“Tak adalah. Mana ada lucu, cuma… aku musykillah,” tutur Suhailah bersama senyuman yang masih kekal di wajahnya.

“Apa yang hang musykil?” Laju Junaidah bertanya.

“Tak adalah… kau kata, kau seronok sangatkan melancong ke Kanada tu. Tapi… kenapa aku tengok badan kau susut semacam je? Pada hal baru dua minggu je kau melawat ‘tempat orang’.” Sekali lagi perihal perubahan fizikal Junaidah, Suhailah pertikaikan.

Junaidah tidak terus menjawab sementelah pelayan tadi sudah datang semula menatang dua gelas minuman bersamanya. Setelah minuman-minuman itu diletakkan elok di hadapan mereka, ucapan terima kasih serentak Suhailah dan Junaidah tuturkan. Melihatkan bayangan pelayan tersebut sudah menjauh, barulah Junaidah menggerakkan bibirnya untuk melahirkan kata-kata.

“Macam manalah tak susut… hang tau dak Suhailah, sepanjang dua minggu aku dekat sana… hampir setiap hari aku mentedarah Maggi ja.” Jus tembikai di hadapannya, disedut laju oleh Junaidah setelah bicara dinoktahkan sebentar.

“Bukan tak dak makanan sedap-sedap kat sana. Banyak, tapi tulah… aku tak yakin. Entah ka halal ke tak, aku sendiri pun tak taulah,” aduan mengenai dirinya di negara orang diteruskan Junaidah. Sahabat di hadapannya itu masih tekun mendengar.

“Masa dua minggu aku dekat sana, aku rasa nak cepat-cepat ja balik. Hang tau dak pasai apa?”

“Pasal apa?” Akhirnya Suhailah memberikan responsnya dalam bentuk kata-kata setelah menjadi pendengar yang setia.

“Pasai dah dua minggu aku tak makan nasik hang tau dak. Perut aku ni dah kematu dah hari-hari makan Maggi, roti, Maggi, roti.”

Tanpa sempat ditahan-tahan, tawa Suhailah terhambur jua melihatkan riak wajah yang dipamerkan oleh sahabatnya itu. Riak wajah kegeraman bercampur kesedihan yang diukirkan oleh Junaidah itu benar-benar mengusik rasa di hati Suhailah.

“Tulah kau… bukan main tinggi lagi kau memuji negara orang. Last-last, perut sendiri terima musibah. Ambik kau.”

“Sampai hati na, kau kutuk aku.” Junaidah berpura-pura merajuk.

“Bukan mengutuk. Cuma mengingatkan kau yang kita ni orang Malaysia. Dah namanya pun orang Malaysia, nasi tu memang sajian utama. Bila tak dapat nasi, mulalah perut tu meragam. Tambahan pulak orang yang ‘suka makan’ macam kau tu,” tawa sudah terhenti, namun senyuman masih terukir.

“Yalah, betullah apa yang hang habaqkan tu,” keluhan terpacul dan jus tembikai disedut sekali lagi.

“Kau ada tangkap tak gambar-gambar menarik sepanjang kau dekat sana?” Sekadar ingin tahu, Suhailah bertanya.

“Ada. Banyak hang tau dak. Paling banyak aku tangkap gambaq masa aku pi melawat Air Terjun Niagara. Cantik aku habaq kat hang. Ah… aku rasa macam aku berada di… berada di apa na, adui… tak dapatlah aku nak bayangkan kecantikan Air Terjun Niagara tu. Tak pa-tak pa. Nanti balik ni, aku terus post kat FB aku. Bolehlah hang tengok na.” Terukir jelas kegembiraan dan semangat sewaktu Junaidah mewarnai pengalamannya itu.

“Air Terjun Niagara? Tak silap aku… air terjun tu terletak di sempadan Kanada dan USA, kan?” Perlahan Suhailah melahirkan pertanyaannya.

“Ha, betuilah tu. Kalau hang nak tau, Air Terjun Niagara tu jugak dikenali sebagai Honeymoon Capital of the World. Biaq pun Air Terjun Niagara tu bukanlah yang tertinggi atau yang terlebaq tetapi air terjun tu telah diiktiraf sebagai air terjun tercantik di dunia.”

“Wau! Mesti cantik, kan?” Keterujaan untuk melihat kecantikan ciptaan ALLAH S.W.T itu akhirnya tergambar di wajah bersih milik Suhailah.

“Memang cantik. Waktu aku tengok kecantikan Air Terjun Niagara terus hati aku ni memuji kebesaran ALLAH S.W.T dengan apa yang terbentang di hadapan mata aku waktu tu. Terasa segala bebanan masalah aku selama ni hilang hang tau dak. Sebab tulah… aku beria-ia nak ajak hang ikut aku hari tu. Tapi nak buat macam mana… hang sibuk ja memanjang.”

Bebanan masalah? Semerta imbauan Suhailah singgah terhadap pergaduhan yang tercetus di antara dirinya dan abahnya, gara-gara dia terlupakan tarikh majlis resepsi anak Pak Alangnya. Tanpa sedar kesayuan yang terjentik di hatinya terlahir di wajahnya.

“Hang ni kenapa Suhailah? Awat muka hang lagu tu?” Cepat sahaja Junaidah menyedari perubahan di wajah sahabatnya itu.

“Tak… tak ada apa-apalah. Aku okey je.” Segera kesayuan diusir dan ‘ditempekkan’ kegembiraan di wajahnya.

“Tak payahlah hang nak tipu aku. Awat… pak hang buat hai lagi ka? Tak pun, pak cik hang yang tak betui tu sakitkan hati hang lagi?” telah Junaidah.

Ternyata kedua-dua sangkaan Junaidah itu tepat. Tetapi haruskah Suhailah melahirkan derita di hati?

“Suhailah… aku kenai hang bukan sehari dua na. Aku tak nak hang simpan sorang-sorang apa yang hang rasa tu, hang perlukan aku.” Junaidah masih berusaha ‘mengopakkan’ ‘dinding’ yang menyembunyikan rasa hati sahabatnya itu.

Namun Suhailah masih terdiam membisu. Hanya pandangannya sahaja yang sudah terhahala ke bawah.

“Suhailah… habaqlah kat aku…” Kali ini Junaidah memegang lembut jari jemari sahabatnya itu.

Suhailah mengangkat sedikit kepalanya dan wajah dihalakan ke arah insan yang sedang memandangnya sayu. Tersentuh hatinya dan semerta hadir semula hiba di dada.

“Aku nak tau, apa sebenaqnya yang telah berlaku? Aku nak tau Suhailah.” Masih lembut Junaidah merayu dan kali ini ‘dinding’ yang menyembunyikan kesedihan Suhailah sudah berjaya ‘dikopakkannya’.

Perlahan, Suhailah menggerakkan bibirnya untuk melahirkan kata-kata. Kata-kata yang akan membentuk barisan bicara bagi meluahkan derita dan kekecewaan terhadap abahnya. Insan yang sama berulang kali menyakiti dan melukai hatinya.

Junaidah menjadi pendengar yang begitu setia. Mulut dikuncikannya rapat-rapat biarpun hatinya membentak untuk membebeli sikap ayah kandung sahabatnya itu terhadap apa yang telah dilakukannya. Kemarahan Junaidah kian berada di kemuncak saat mengetahui punca sebenar amukan lelaki tua itu. Hanya kerana sahabatnya itu terlupakan tarikh resepsi majlis perkahwinan anak Pak Alangnya, lelaki tua itu sanggup memaki hamun dan mencaci hina insan yang sudah mengalirkan air matanya tika ini. Hati Junaidah kian sebal saat mendapat tahu lelaki tua itu mengatakan anak kandungnya ini majal!

“Ish!!! Geramnya aku! Pak jenis apa abah hang tu sampai sanggup cakap hang majai! Gila ka apa?!” Turun naik dada Junaidah menahan amarah.

Suhailah pula masih berusaha menyeka air matanya akibat kesedihan yang kian menggila.

“Aku minta maaflah Suhailah. Aku bukan apa, aku memang tak boleh nak terima kalau pak hang habaq macam tu pada hang! Aku… aku memang meluat tengok pak hang tu. Patutnya, dia bela nasib hang bila ada orang kutuk hang ni anak dara tua ka apa. Ni tak, dia pulak yang lebih-lebih caci maki hang!” Masih belum puas Junaidah melempiaskan amarahnya.

“Tapi silap aku jugak Junaidah… silap aku sebab aku lupa tarikh majlis resepsi sepupu aku tu.” Serak suara Suhailah tika ini.

“Silap apanya? Kalau akulah jadi hang, tak inginnya aku nak ingat majlis resepsi anak Pak Alang hang tu! Orang macam Pak Alang hang tulah... Ish! Aku nak habaq lagu manapun aku tak taulah! Meluat aku dengan orang macam Pak Alang hang tu!” Sudah memerah wajah Junaidah, menandakan betapa hatinya sedang terbakar.

“Entahlah… aku pun tak tahu nak cakap macam mana. Kadang-kadang aku fikir, salah aku ke sebab sampai sekarang tak berjodoh lagi? Salah aku ke, bila aku menolak lamaran lelaki-lelaki yang Pak Alang aku sampaikan sedangkan aku tahu yang aku tak mungkin akan bahagia dengan lelaki-lelaki tu. Bukan sebab status dia orang duda ke apa, tapi sebab aku sendiri tak kenal dan tak pernah bercinta pun dengan mereka semua tu…” Kian serak nada suara Suhailah.

“Aku faham. Aku faham apa yang hang rasa. Sebenarnya Suhailah, aku pun selalu jugak kena perli ngan pak cik, mak cik aku. Tapi tak daklah seteruk Pak Alang hang tu dan yang paling aku bersyukur, pak aku selalu bela aku bila ada orang dok canang pasai jodoh aku tu. Habis berbiratlah hati dia orang tu bila kena bebel dengan pak aku!” Kegeraman terzahir jua melalui kata-kata di hujung bicara Junaidah.

“Junaidah… kau rasa betul ke aku ni majal? Betul ke aku ni majal yang macam abah aku katakan?” Kali ini tangisan yang sudah berhenti, menjelma semula.

“Apa yang hang merepek ni? Hang jangan cakap lagu tu na, hang tu bukannya majai. Malahan dalam Islam sendiri mana ada istilah majai ka, sial ka, tak dak. Kan ka hang yang bagitahu aku dulu. Suhailah… hang dengaq sini apa yang aku nak habaq kat hang ni! Hang bukannya majai, tapi pak hang tu yang tak tau menilai pengorbanan hang pada dia dan pada keluarga hang. Hang anak yang terlalu baik dan percayalah cakap aku, satu hari nanti pak hang tu akan telan balik kata-kata dia! Percayalah cakap aku ni!”

Junaidah menggenggam jari jemari Suhailah. Kuat dan erat sehingga mengalirkan satu rasa di dalam diri Suhailah. Rasa yang benar-benar telah ‘ghaib’ sewaktu dia dicaci maki oleh ayah kandungnya sendiri dan kini, rasa itu muncul semula… kekuatan! Ya rasa itulah yang sedikit demi sedikit menguasai jiwa dan daerah hati Suhailah sehingga mengusir jauh kesedihan yang merantai jiwa raganya sedari semalam.

Previous: BAB 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.