Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 4

4

 

SEJAK memulakan pemanduan mulut Aliif tidak habis-habis meluahkan ketidaksenangannya, “Kenapa pulak kita yang kena beli barang? Suruhlah abah yang pergi. Bukan ke adik abah yang nak datang malam ni, ni kita pulak yang nak kena susah-susah pergi sana sini.”

“Abahkan dah tua. Cepat penat. Takkan nak susahkan abah pulak.” Lembut tuturan Suhailah.

Aliif terus membisukan mulutnya. Pandangan masih dihalakan ke hadapan dan stering kereta masih dipegang kuat, petanda amarah masih membuku di hatinya.

“Akak tak suruh adik ikut. Kan, akak suruh adik temankan ibu je dekat rumah. Akak boleh memandu sendiri,” tutur Suhailah lagi.

Diam. Masih tiada kata-kata balasan daripada Aliif. Figuranya juga masih mencuka.

“Adik… akak tahu adik masih marahkan abah sebab benarkan Pak Alang tu tidur di rumah kita. Tapi nak buat macam mana, abah tukan ketua keluarga. Kita kenalah hormat dia,” Suhailah cuba mereasionalkan adiknya itu.

“Tapi rumah tu rumah akak. Bukannya rumah abah!” Tanpa disangka-sangka, Aliif membentak.

“Tak baik adik cakap macam tu. Dengar abah, kecil hati dia.” Suhailah mengalihkan pandangannya ke arah insan di sisinya.

“Tak adanya abah dengar. Dah tentulah abah dekat rumah. Lagipun betul apa adik cakap… abah tak boleh sesuka hati nak benarkan Pak Alang tu datang rumah, dia kena tanya akak dulu.” Aliif mempertahankan kata-katanya.

“Tak payah tanya. Sebab akak tak pernah larang sesiapa pun untuk datang ke rumah tu.” Segera Suhailah menjawab.

“Adik tak fahamlah akak ni! Orang tua tu dah cakap macam-macam dekat akak pun, akak masih boleh bersabar lagi!” Intonasi Aliif kian meninggi. Suhailah tahu untuk situasi seperti ini dia harus terus berlembut dengan adiknya itu.

“Adik… akak tak pernah simpan dalam hati apa yang Pak Alang pernah katakan pada akak. Akak dah lupakan semuanya,” ujar Suhailah.

“Tipu! Mungkin akak boleh tipu orang lain. Tapi bukan adik. Adik kenal akak. Kenal sangat!” Laju Aliif mematahkan penipuan kakaknya itu.

Suhailah terdiam. Tergamam. Tidak tahu untuk melahirkan kata apa lagi. Sia-sia baginya untuk melahirkan kata-kata saat mulut adiknya itu dikuasai dengan amukan jiwanya. Hampir sepuluh minit suasana beku di antara dirinya dan adiknya itu sebelum pacuan empat rodanya diparkirkan elok di tempat letak kereta IOI Mall.

“Turunlah.” Ghaib sudah nada amarah Aliif.

“Adik tak nak ikut?” ajak Suhailah.

“Malaslah.” Aliif menolak.

“Kalau macam tu, adik tunggu akak dekat sini ya. Adik nak kirim apa-apa tak?” soal Suhailah di penghujung kata-katanya.

“Adik nak kirim sekilo kesabaran boleh?” Selamba Aliif menuturkan permintaan itu.

Suhailah sudah tersenyum. Tahulah dia, kemarahan sudah mulai meninggalkan hati adiknya itu sedikit demi sedikit.

“Ada jual tak?” Sekali lagi soalan, Aliif tujukan kepada kakaknya itu. Tetapi kali ini senyuman sudah mulai merekah di bibirnya.

“Tak ada. Tapi kalau adik nak akak belikan buku panduan untuk menjadi insan penyabar, akak boleh carikan. Nak?” sakat Suhailah pula.

“Tak payahlah. Buat habis duit akak je. Nanti adik nampak muka pak cik tua tu, hilang semua panduan-panduan yang adik baca. Dahlah, akak pergilah cepat. Kang membebel pulak abah dekat rumah tu. Yalah, kan ke adik kesayangannya tu nak ‘bertandang’ ke rumah kita. Tetamu terhormatlah katakan,” sinis Aliif.

Suhailah hanya menggelengkan kepala. Adiknya yang seorang ini kalau sudah membebel, mengalahkan perempuan.

“Yalah. Akak pergi dulu.” Segera Suhailah membuka pintu kereta sebelum mengatur langkah.

Suhailah mengeluarkan senarai barang yang hendak dibeli setelah mendapatkan troli. Dia memacu trolinya ke bahagian barangan basah. Satu persatu barangan yang tercatit di dalam senarai dicarinya. Sememangnya dia senang untuk membeli-belah di Pasaraya AEON ini kerana setiap barangannya tersusun rapi. Barangan basah dan kering turut diasingkan malahan barangan Non-Halal juga sudah diletakkan di satu bahagian lainnya.

“Alhamdulillah semua barang dah dapat.” Suhailah tersenyum sambil matanya mengerling ke arah jam di pergelangan tangannya dan pada saat itulah…

Bump!!!

“Maaf Encik, saya tak sengaja.” Laju tuturan maaf meluncur dari bibir Suhailah saat troli yang ditolaknya berlanggar dengan troli di hadapannya itu. Lelaki bertubuh tinggi itu hanya memandangnya. Tiada riak marah. Pandangannya bagaikan terpaku.

“Maaf Encik, saya tak sengaja.” Kemaafan, Suhailah tuturkan sekali lagi.

“Tak… tak… tak apa.” Agak tergagap lelaki itu menuturkan kata-katanya. Segaris senyuman dilemparkan dan pantas sahaja Suhailah membalasnya sebelum langkah diteruskannya untuk menghampiri kaunter pembayaran.

“Pak Long… Pak Long tengok apa tu?” soal si kecil yang baru sahaja tiba di sisi lelaki itu.

Lelaki itu masih memandang ke arah wanita yang sedang memunggahkan barang-barang di dalam trolinya ke atas kaunter pembayaran. Wanita itu entah mengapa mampu mencuri perhatiannya.

“Pak Long kenal ke kakak tu?” Si kecil yang sama, masih bertanyakan soalan.

“Ha? Apa?” Terpinga-pinga lelaki itu.

“Tak… kakak tanya, Pak Long kenal ke kakak tu?” Si kecil sudah memandang tepat ke wajah bapa saudaranya.

“Kakak mana?” Masih terpinga-pinga lelaki itu saat dia melahirkan pertanyaan.

“Kakak yang Pak Long tengok tulah. Pak Long kenal ke? Ke kawan Pak Long?” Lancar si kecil menuturkan dua pertanyaan serentak.

Lelaki itu terdiam lagi. Kenalkah dirinya dengan wanita itu? Seingatnya inilah kali pertama dia bertentang mata dengan wanita itu. Tetapi entah mengapa terasa bagai ada satu perasaan indah menyelusup ke dalam jiwanya saat terpandangkan sepasang mata sayu milik wanita itu.

“Kakak! Adik dah jumpa susu coklat Dutch Lady,” berlari si adik mendapatkan kakaknya.

“Adik jumpa dekat mana?” soal si kakak pada adik sebayanya.

“Tu dekat sana tu.” Jari telunjuk kecilnya terus dihalakan ke satu bahagian yang dikhaskan untuk hasil tenusu serta minuman-minuman botol dan tin lainnya.

“Pak Long. Kakak dengan adik pergi sana kejap tau,” maklum si kecil yang bertanyakan pelbagai pertanyaan sebentar tadi.

Lelaki itu hanya menganggukkan kepalanya sedangkan matanya masih memerhatikan wanita yang sedang menolak trolinya keluar setelah pembayaran selesai dilakukan. Langkah wanita itu kian menjauh.

“Siapa wanita itu?” Tanpa sedar soalan itu meluncur keluar dari bibir lelaki bertubuh tinggi itu.

 

BEGITU senang Jaafar melayani adik dan adik iparnya di meja makan.

“Makan lebih sikit Basri. Bukannya selalu kau datang rumah abang ni,” ramah Jaafar.

“Tu, isteri kau tu… tambah lagi nasinya,” pelawa Jaafar lagi.

“Tak apalah Bang Long. Tadi siang, saya dan isteri saya dah makan dah dekat rumah Azrul,” maklum Basri.

“Rumah Azrul? Dia bukan duduk dengan kamu ke?” Laju Jaafar bertanya.

“Taklah. Nak dekat sebulan dah dia duduk rumah yang dia beli dekat Subang tu.” Sedikit riak Basri memaklumkan.

‘Dah mula dah!!!’ jerit hati Aliif. Namun mulutnya masih mengunyah makanan. Ditoleh kakaknya di sisi. Wajah kakaknya itu masih beriak tenang. Dikerling pula ibunya di sebelah. Muka ibunya itu sudah sedikit mencuka, petanda yang dirinya juga tidak menggemari akan topik perbualan yang sedang dibualkan oleh suami dan adik iparnya itu.

“Besar rumahnya. Mengalahkan rumah aku. Bertingkat-tingkat lagi. Apa nama rumah anak kita tu Fauziah? Susah berbeno aku nak menyebutnya.” Basri memandang ke arah isterinya.

“Apartmen… tak silap saya,” jawab Fauziah.

“Lah… apartmen je. Ingatkan rumah banglo lima tingkat tadi,” perli Aliif.

Terkejut Suhailah dengan kata-kata perlian yang meluncur keluar dari bibir adiknya itu. Suhailah mengerling ke arah adiknya. Namun adiknya itu masih beriak selamba, bagai tiada salah apa yang dilakukannya. Abahnya pula sudah memerah mukanya menahan amarah. Pak Alang dan Mak Alangnya terus sahaja mencuka wajah mereka.

“Eloklah si Azrul tu beli rumah. Tak lama lagi dah nak mendirikan rumah tangga. Senang kalau dah ada rumah sendiri. Tak payah nak menyewa. Zaman sekarang ni bayaran sewa rumah pun dah macam bayar ansuran rumah dekat bank. Rugi kalau menyewa ni. Berapa umur si Azrul tu?” Jaafar cuba menyelamatkan keadaan. Tidak mahu adik dan adik iparnya itu terus-terusan terasa.

“31 tahun dah umurnya. Tu yang aku membebel suruh cepat langsungkan pernikahannya tu. Bakal isterinya tu pulak budak lagi, baru lepas SPM.” Masih riak Basri berbicara.

“Eloklah tu, dapat isteri muda-muda ni untung. Nanti kalau kita sakit ada jugak yang nak menjaganya.” Sedikit berlainan nada Jaafar kali ini.

Asiah sudah menjeling tajam ke arah suaminya. Panas hatinya dengan bicara suaminya itu.

“Yalah. Betullah tu. Lebih baik dapat pucuk muda daripada yang dah ‘liat’,” sinis Basri.

Terhenti suapan makanan Suhailah ke mulutnya. Dia tidak menyangka Pak Alangnya itu sanggup melahirkan kata-kata seperti itu. Dia yakin kata-kata itu memang ditujukan kepadanya apatah lagi saat melihatkan jelingan Pak Alangnya itu. Jelingan yang lebih kepada mencebik sebenarnya.

‘Ya ALLAH…’ Hanya kalimah suci itu yang Suhailah harapkan untuk memadamkan rasa sakit di hatinya. Sakit di hati itu hanya ALLAH sahaja yang tahu bagaimana rasanya.

“Kamu ni pulak bila lagi nak mendirikan rumah tangga Suhailah?” soal Fauziah.

Suhailah terkaku sekali lagi saat mendengar pertanyaan Mak Alangnya itu. Apakah jawapan yang terbaik dapat dilahirkan? Dia tahu jawapan apa pun yang diberikan takkan menghentikan penghinaan dan perlian pasangan suami isteri di hadapannya itu.

“Tak payahlah nak jual mahal sangat. Awak tu bukannya muda lagi.” Kian sinis bicara Basri.

Hampir sahaja Suhailah menitiskan air matanya saat mendengarkan itu.

“Apa yang Pak Alang nak sibuk sangat pasal akak. Biarlah dia nak kahwin ke tidak. Dia nak jual mahal ke apa, biarlah. Bukannya ada susahkan sesiapa pun.” Aliif melepaskan rasa tidak puas hati yang berbuku sedari tadi.

“Aliif!” Terdengar garang suara Jaafar memanggil nama anaknya itu. Terhenti bicara Aliif, namun dari riak wajahnya, Jaafar tahu hati anaknya itu masih ‘membengkak’.

“Dekat kampung Pak Alang tu ada Tuan Haji kaya. Dia tu baru je kematian isteri. Kalau kamu sudi Pak Alang boleh aturkan.” Basri tidak henti-henti menyakiti hati anak saudaranya yang satu itu.

“Tak payah! Saya tak izinkan anak saya dijodoh-jodohkan dengan sesiapa yang dia sendiri tak berkenan.” Tegas nada Asiah sebelum dia bangkit dan berlalu dari meja makan itu.

“Ibu!” Seraya memanggil nama insan yang sudah mendaki anak tangga, Aliif lantas bangkit untuk mengatur langkah.

Namun baru selangkah aturannya, dipusingkan tubuhnya menghadap kakaknya. Bergenang air mata Aliif. Rasa bersalah sedang berbalah di hatinya. Haruskah dikejar ibu yang sudah menjerut rasa atau kakaknya yang sedang mengulum derita?

Perlahan Suhailah menundukkan sedikit kepalanya sebagai petanda agar adiknya itu pergi memujuk ibu mereka yang sudah tersinggung benar hatinya. Aliif pantas meneruskan niat untuk mendapatkan ibunya yang sudah mengurungkan dirinya di dalam bilik barangkali dan Suhailah… dia masih berada di meja makan itu bagi menghadapi kekejaman kata-kata yang pasti sahaja merabakkan hati yang sudah sedia terluka.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.