Home Novel Cinta Abang Driver!
BAB 8

Zulqarnain menatap skrin I-Pad miliknya. Bibir lelakinya menguntum senyum. Berkali-kali dia membelek wajah comel itu. Berulang kali dia tersenyum sendiri membalas senyuman gadis itu. Walaupun sekadar gambar, tapi cukup membuatkan hatinya senang.

“Awak memang nakal kan!”

Senyuman Zulqarnain semakin lebar.

“Siapa yang nakal tu Qar?”

Zulqarnain tersentak. Nasib baik tidak terlepas I-Pad barunya dari genggaman. Dia lantas mengurut dada menghilangkan rasa terkejut yang tiba-tiba menyerbu. Perlahan degupan jantungnya kembali normal.

“Ibu….. terkejut Qar. Ingatkan siapa tadi”

“Kamu tu… dari tadi ibu perhatikan, asyik menung aje. Lepas tu senyum sorang-sorang. Sudahnya bercakap sorang-sorang. Apa yang kamu tengok di I-Pad kamu tu? Cuba bagi Ibu tengok”

Zulqarnain gelabah. Merah padam wajahnya di usik begitu. “Tak ada apalah bu. Qar tengah baca mesej kawan.”

“Iya lah tu Qar….macam lah ibu ni tak tahu. Hmmm…..ibu dah siapkan makan. Nanti kamu ambil sendiri ya. Ayah dan Ibu ada kelas agama malam ni. Kami balik lewat. Jangan lupa kunci pintu”

“Baik bu….Kirim salam dengan Imam Udin ya. Dah lama Qar tak jumpa semenjak sibuk dengan kerja ni”

Mak Seri memandang anak tunggalnya. Dia tahu bukan ini yang di harapkan anak lelaki itu. “Sampai bila kamu nak kerja ni Qar? Kerja ni tak sesuai dengan kelayakan kamu”

“Biarlah dulu bu….Qar pun seronok juga bawa bas. Hari-hari boleh tengok gelagat penumpang. Tunggulah setahun dua, nanti Qar mohon semula jawatan tu. Lagipun Qar masih teringat-ingat pasal kemalangan tempoh hari. Rasa takut pun ada”

Mak Seri tersenyum lembut. “Banyakkan berdoa Qar. Ajal maut di tangan ALLAH. Tak kira di mana kita berada. Doa Ibu dan ayah sentiasa ada untuk Qar”

“Terima kasih bu”

“Dah lah… ibu pergi dulu. Nanti lambat pula. Ingat pesan ibu”

Zulqarnain mengangguk. Pandangan matanya mengiringi susuk tubuh ibunya yang hilang di sebalik pintu. Tidak lama kemudian kedengaran suara pintu di tutup rapat. Pasti ayah dan ibu sudah pergi. Matanya beralih ke skrin telefon semula. Kali ini senyumannya semakin lebar.

“Macam manalah nak berkawan dengan awak ni. Setiap hari jumpa asyik nak marah aje. Takkanlah hari-hari bulan mengembang. Tak apalah, makin awak marah, semakin saya nak kawan dengan awak tau!”

Sambil membelek wajah ayu Aby, Zulqarnain baru teringat dia ada menyimpan nombor telefon gadis itu. Jarinya pantas menyentuh nombor yang tertera. Beberapa saat saja sudah kedengaran deringan nada dari telefon bimbit Aby. Lama deringan tersebut bernyanyi merdu di telinga. Tiada jawapan. Zulqarnain hampa. Dia berkira-kira untuk menghubungi nombor itu sekali lagi. Tiba-tiba dia rasa malu. Malu seandainya huluran persahabatan yang ingin di beri tidak bersambut. Apatah lagi dia sudah faham respon gadis itu bila mendengar suaranya. Muncungnya pasti sedepa. Zulqarnain kembali menatap gambar Aby. Nantilah……

Kening Aby berkerut seribu. Siapa gerangan menghubunginya malam-malam begitu. Telefon bimbitnya jarang berbunyi bila sudah mencecah pukul Sembilan malam. Hanya sesekali itupun dia pasti emaknya saja bila wanita itu memerlukan duit. Hari lain memang tidak ada. Apatah lagi bila melihat nombor yang begitu asing. Tiada dalam simpanannya.

‘Mak kot?’ Aby bertanya sendiri. Manalah tahu jika emaknya menukar nombor telefon kerana dia tidak menjawab panggilan tersebut dari awal pagi tadi. Tidak lama kemudian telefon bimbitnya kembali sunyi. Aby tersenyum sendiri. ‘Maaf ye mak, Aby tak tahu nak cakap apa kat mak. Aby tak ada langsung sekarang ni. Kalau dah ada Aby terus bagi kat mak ye’ Hatinya bermonolog lagi.

Aby mengamati skrin komputer ribanya. Bait-bait ayat yang baru saja di taip di imbas sekali lagi. Sesekali Aby mengangguk. Kemudian tangannya kembali rancak menari di papan kekunci. Laju saja terpapar barisan tulisan di skrin komputer. Aby berhenti seketika. Telefon bimbitnya berbunyi sekali lagi. Namun nadanya berlainan menandakan dia baru saja menerima mesej dari seseorang. Jari runcingnya beralih ke skrin telefon.

‘Aik… siapa ni?’ Aby bertanya sendiri. Singkat saja ayat yang di terima. Lama mata lentiknya merenung mesej yang tertera.

“Hai”

Aby mendengus. Memang menjadi tabiatnya yang tidak suka berbalas mesej. Dia lebih gemar bercakap terus di telefon dari menaip ayat-ayat yang sudahnya terpaksa di singkatkan bagi memenuhi peti mesej yang di khaskan. Sudahnya segala ayat Bahasa Melayu yang begitu indah menjadi hilang kuasanya. Terlalu banyak singkatan! Semua nak di pendekkan.

Matanya menatap lama nombor yang tertera. Matanya buntang. ‘Nombor tadi!’

Jarinya terus mendail nombor asing itu. Baru beberapa deringan talian sudah di angkat. Jantungnya berdegup kencang.

“Awak!” Satu jeritan kecil terlontar jelas dari mulutnya yang comel. Dari degup jantungnya berdebar semacam terus saja bertukar menjadi marah.

“Assalamualaikum….. awak ni kut ya pun terkejut, ucaplah salam dulu”

“Waalaikum salam!” Bentak Aby sekali lagi. “Mana awak dapat nombor telefon saya ni ha!”

“Telefon awak kan dengan saya tempoh hari….saya tahulah.”

Geram Aby mendengar nada selamba Zulqarnain. Apatah lagi mendengar ketawa lelaki itu yang seakan mengejeknya.

“Awak nak apa malam-malam ni? Saya ada hutang dengan awak ke?”

“Ish.. awak ni, cubalah bawa bertenang. Pantang dengar suara saya, memanjang nak marah aje. Awak bertuah tau dalam ramai-ramai perempuan yang nak berkenalan dengan saya ni awak sorang aje yang saya call. Ramai yang ternanti-nanti panggilan saya tau”

“Amboi Encik Zulqarnain, angkat bakul nampak!..... tu orang lain. Saya ni tak pernah pun nak bermimpi minta awak call tau…..awak yang cari saya. Kalau dah tahu ramai yang menanti panggilan maut awak tu, awak pergilah call orang yang sudi tu, apasal pula awak call saya!”

“Saja….saya nak dengar suara awak. Lagipun dah dua minggu saya tak jumpa awak tau. Awak asyik awal aje pergi kerja. Terlebih rajin la pulak”

“Eiii….dia ni. suka hati aje nak kata orang. Hari tu saya lambat pergi kerja awak bising, ni saya awal pun awak bising. Dah macam laki saya pulak…suka hati saya lah!”

“Bakal laki awak lah ni….. awak tak nak ke jadi isteri saya?”

“Hei gilalah awak ni!”

Telefon di tutup. Geram betul hatinya mendengar suara Zulqarnain yang mentertawakannya. Hilang segala idea untuk meneruskan skrip yang masih lima muka surat itu. Habis segala semangat yang berkobar untuk menyiapkan skrip tersebut malam ini. Huh…ni semua mamat tu punya fasal. Mamat berlagak!

Di Kampung Abu Bakar Baginda pula kedengaran ketawa Zulqarnain pecah di kesunyian malam.

“Aby…Aby….”

Lelaki itu menggeleng sendiri. Terbayang keletah Aby setiap kali menaiki basnya.

“Siap lah kalau aku jumpa kau nanti”

Zulqarnain bangkit dari duduknya. Telefon bimbit di genggam kemas sambil menuju ke dapur. Tiba saja di meja makan bau semerbak membuka seleranya. Nasi sudah terhidang di atas pinggan. Itulah ibu kesayangannya. Pasti akan menghidangkan nasi untuknya walaupun sudah di tegah. Baginya cukuplah ibu melayan ayah dengan sempurna. Tapi ibu hanya tersenyum menandakan dia gembira melakukan rutin tersebut.

Baru saja mencedok lauk ke gemarannya ke dalam pinggan, telefon bimbitnya kembali berbunyi. Senyumannya kembali lebar. Hatinya kembali berbunga.

“Hai Qar….”

Senyuman Zulqarnain mati bila mendengar suara lunak di talian. Pantas bayangan wajah Aby bertukar seraut wajah bujur sirih milik Syuhada. Gadis cantik manis keturunan Pakistan itu memang menjadi igauan setiap lelaki yang mengenalinya. Cukuplah gadis itu tersenyum. Mata-mata gatal akan terus melekat di bibir merahnya. Tapi sayangnya dia bukan lelaki yang turut menggilai gadis cantik itu. Walaupun dia tahu Syuhada menunjukkan minat terhadapnya.

“Hai…” Kelat suara Zulqarnain tersekat di anak tekak.

“Qar sibuk ke hujung minggu ni?”

“Kenapa?”

“Alah Qar ni…..Su Rindu lah. Dah lama kita tak jumpa….Hmmm tak seronok la kerja kat sini semenjak Qar tak ada”

“Laa… bukan ke ramai kawan Su kat sana tu. Lagipun yang lain tu kan ada”

“Tak sama dengan Qar…… Su nak ajak Qar keluar Sabtu ni. Ada benda yang Su nak minta tolong”

“Oh… cakap ajelah kat telefon. Kalau Qar boleh tolong Insya ALLAH Qar tolong”

“Tak nak lah.. tak seronoklah cakap kat telefon”

Manja suara Syuhada di talian. Suaranya yang seakan mengharap membuatkan Zulqarnain serba salah. Bukan tidak pernah mereka keluar bersama, tetapi sebelum ini mereka rakan sekerja. Lagipun selepas banyak gosip yang dikaitkan antara dia dan gadis itu membuatkan dia lebih berhati-hati.

“Bolehlah yer Qar….. Su belanja Qar makan”

Lentok suara Syuhada menggeletik hati lelakinya. Rasa meluat pun ada.

“Qar busy la minggu ni Su. Lagipun Qar baru mula kerja”

Please Qar……. Su janji sekejap aje. Lepas makan kita baliklah. Ok?”

“Qar….”

“Bolehlah Qar… Su harap sangat Qar dapat tolong Su. Please…..”

Zulqarnain di hambat seribu rasa. Betapa berat untuk mengatakan ya tapi tidak pula mudah untuk mengatakan tidak. Rayuan Syuhada penuh mengharap. Gadis itu di antara rakan-rakan yang banyak membantunya selama ini.

“Ok…. Tapi tengah hari tak boleh. Qar jumpa Su petang aje. Kita jumpa di Old Town Bangi ye”

Ok…. Thank you Qar. See you later

Zulqarnain mengeluh panjang. Argh lantaklah! Nasi di pinggan di jamah. Keenakan masakan Mak Seri menyebabkan hilang suara Syuhada yang melentok manja. ‘Jumpa Su pun bagus juga. Boleh dengar celoteh dia pasal kawan-kawan lain’ Zulqarnain mencari alasan sendiri untuk menyedapkan hatinya. ‘Apapun esok aku akan bertemu Aby…yup Aby!’


Previous: bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.