Sudah
tiga hari Aby sampai awal di tempat kerja. Biasanya hujung bulan begini
pelbagai report yang harus disediakan untuk bosnya. Azfar sudah terkenal
dengan sikapnya yang berpegang dengan janji.
“Tak habis lagi ke? Aku nak balik
dah ni” Arissa menjenguk sahabatnya di sebelah tempat duduk yang dipisahkan
dengan partition. “Banyak lagi ke nak
update?”
“Hmm bolehlah. Dah siap, tinggal
semak aje. Jumlah kat hujung ni tak sama pula kalau aku kira manual”
“Kau cuba tengok titik perpuluhan tu.
Format dah lari lah ni”
Arissa menekan-nekan tetikus yang
sambil matanya tajam merenung skrin komputer. Dalam sekelip mata saja nombor
perpuluhan yang silap dapat dibetulkan.
“Wah hebatlah kau… aku dari tadi
cari. Siap kira berpuluh kali. Huh rupanya kat situ aje diamnya. Macam mana aku
tak terfikir tadi ye” Aby tersengih kecil. Lega betul dapat jawapan yang dicari
sejam yang lalu.
“Ye la dah dari semalam itu aje yang
kau buat, mana tak terkeluar bijik mata kau. Sampai benda kecil macam ni pun
tak sedar, tak ingat dah nak cari…… tak pe nanti kau belanja aku makan. Tak
payah yang mahal-mahal, KFC pun dah cukup”
“Amboi… tak ikhlas nampak. KFC tak
boleh sebab kau dah nak kahwin. Nanti baju pengantin tak muat. Kau kata nak
balik tadi? Tunang kau dah tunggu lama kat bawah tu”
“Mana kau tahu aku balik dengan
tunang aku hari ini?” Arissa kehairanan.
“Laa… kan pagi tadi kau cakap tak
bawa kereta. Kau kata petang ni nak pergi butik pengantin cuba baju. Aku teka
aje”
Lebar ketawa Arissa. Orang nak
kahwin, bahagia sungguh. Senyum pun lebar sampai ke pipi. Mereka sebaya. Cuma Arissa
tua dua bulan saja. Kawannya itu sudah bertunang tahun lepas. Bulan depan
mereka akan berkahwin. Kad jemputan pun sudah diedarkan. Tapi dirinya, sehingga kini belum berpunya. Bukan
tidak mahu, tetapi dia sukar berkawan lama dengan lelaki. Selalunya bila dia
berkenan, emaknya tidak berkenan. Bila emaknya berkenan, dia pula tidak suka.
Emaknya terlalu memandang harta. Mungkin sebab dia ada ramai adik-beradik yang
masih bersekolah dan perlu ditanggung. Itu sebabnya dia betul-betul memilih
lelaki yang boleh membantu mereka sekeluarga. Lelaki yang sanggup susah
bersamanya. Tapi adakah lagi insan begitu. Tambahan pula dia perempuan. Memang
bukan tanggungjawabnya tambahan pula kalau dia sudah berkahwin. Tapi hanya dia
harapan keluarga. Dia sanggup tidak berkahwin kalau perkara itu akan membuat
keluarganya susah.
“Kau lambat lagi ke?”
“Tak lah… tak pe kau balik dulu. Aku
hantar report ni. Lepas ni aku baliklah”
“Oklah kalau macam tu. Jangan balik
lewat sangat, dah tak ada orang kat sini semua orang balik awal hari ni”
Aby mengangguk sambil tangannya
melambai meringi perjalanan Arissa yang sudah sampai di muka pintu. Bila
kelibat rakannya itu tidak kelihatan lagi, dia menyambung kerjanya. Laporan ini
harus di hantar petang ini juga melalui e-mel. Esok pagi bila Encik Azfar
datang terus saja disemak dan di sahkan.
Selesai mengemaskan kerja, Aby
melangkah pulang. Ketika sampai di hentian bas. Bas Nadi Putera bewarna kuning
juga baru sampai dan menunggunya untuk naik. Langkahnya dibuka seribu.
“Lambat balik? Dah lama tak jumpa
kan”
Aby mendongak sambil tangannya
memasukkan duit ke dalam bekas, sementara menunggu tiket dicetak dia tersenyum
kecil. ‘Malangnya nasib hari ini…. Jumpa mamat merapu pulak ni’
“Terima kasih” Sepatah Aby menjawab
kemudian dia pantas mengambil tempat duduk jauh di belakang. Jauh dari pemandu
yang tersenyum simpul. Bencinya!
Hari sudah gelap bila dia tiba di
hentian bas berhampiran rumahnya. Kali ini dia turun bersama tiga orang
penumpang. Mereka tinggal satu blok dengannya cuma berlainan tingkat. Tapi
itulah kata orang, tinggal di bandar besar begini kebanyakannya tidak kenal
jiran tetangga. Dia sendiri begitu, dia cuma tahu mereka tinggal satu blok bila
selalu terserempak di lif.
Sambil dia berjalan seiring dengan
jiran yang tidak dikenali itu, dia menoleh ke belakang. Bas kuning itu masih
tidak berganjak. Masih setia menunggu. Ish mamat ni memang tak reti bahasa. Dia
tunggu aku naik la tu. Lepas ni jangan harap kau jumpa aku lagi! Aku tak akan
naik bas tu lagi!
Sampai saja di rumah, dua rakan
serumahnya sudah keluar. Selalunya memang rutin dua rakannya itu pulang ke
kampung bila tiba hari Jumaat. Setiap hujung minggu dia hanya sendirian di
rumah. Ada masanya Arissa akan datang lepak bersama. Tapi Arissa sendiri sudah
mula sibuk menguruskan hal perkahwinannya. Sahabatnya itu jarang singgah
kebelakangan ini. Aby menarik nafas panjang. Badannya dihempaskan ke sofa. Lega
betul rasanya dapat meluruskan badan yang seharian duduk menghadap komputer.
Walaupun jawatannya sekadar kerani, tetapi dia sibuk mengalahkan bos sendiri.
Encik
Azfar memang suka melambakkan kerja di atas mejanya. Semenjak lelaki itu berkhidmat
di jabatannya, dia menjadi pembantu tidak bertauliah. Sehingga mereka suka
menggelarnya ‘Anak Bos’. Bosnya itu pun satu, sesiapa saja yang memerlukan data
pasti talian akan disambungkan ke mejanya. Terbayang seraut wajah yang comel.
Kecil saja orangnya. Tapi tegas dan susah untuk tersenyum. Masih bujang
walaupun umur sudah cecah 38 tahun. Mungkin sebab itu dia seukar dekat dengan
perempuan. Harinya sibuk dengan kerja. Mesyuaratnya penuh seharian.
Kadang-kadang waktu makannya juga singkat. Nasib akulah kerja dengan orang
madam tu. Paling tidak lelaki itu jarang marah-marah dengannya. Cuma setiap
kali lelaki itu sibuk di luar, dialah yang menjadi khadamnya. Hampir semua
kerja lelaki itu dia kena buat. Namun dia rasa senang melakukan semua kerja itu
walaupun ada kalanya agak keterlaluan bagi jawatan sepertinya. Haish! Apasal
pula aku membebankan kepala otak aku dengan wajah Encik Azfar. Buat serabut
aje. Baik aku pergi mandi dari memikir kerja yang tak sudah… sampai esok pun macam tu juga!
Usai
mandi dan solat Isyak, Aby menggamit beg tangannya. Berkerut-kerut keningnya
sambil tangannya menyelongkar setiap inci ke dalam beg yang sederhana besar
itu. Hei mana pula perginya telefon bimbit kesayangannya. Adui! Takkan kat office? Berkerut-kerut dahinya memikirkan
di mana letaknya telefon bimbit tersebut. Aby menuju ke bilik tidur, tidak lama
kemudian dia ke dapur semula kerana baru sebentar tadi dia membancuh nescafe.
Manalah tahu kalau ada di dapur. Puas satu rumah dia mencari tetapi masih tidak
ada tanda-tanda telefon bimbitnya bersembunyi. Aduh! Tak boleh tidur malam ini
dengan telefon tak ada. Manalah agaknya?
Malam
itu, terkebil-kebil matanya. Sukar untuk melelapkan mata. Dirinya bagaikan
tercampak di sebuah pulau tak berpenghuni. Tanpa telefon bimbit, hidupnya tidak
menentu. Dia mula teringat setiap data yang disimpan kemas dalam telefon
tersebut. Juga beberapa gambar peribadi yang diambil untuk simpanannya. Gambar dia
yang tidak memakai tudung! Diambil ketika dia pulang ke kampung. Najwa adik
bongsunya yang mengambil gambar tersebut ketika dia cuba menyarungkan baju
pengantin sepupunya sebelum majlis persandingan tahun lepas. Kalau ada orang
upload di internet macam mana? Argh atau ada orang yang nak sabotaj gambar
tersebut. Ya Allah, lindungilah hamba-Mu dari diaibkan oleh orang-orang yang
keji.