Home Novel Cinta PILIHLAH AKU!
PILIHLAH AKU!
Dhieya Adlynna
5/9/2014 09:51:35
40,135
Kategori: Novel
Genre: Cinta
[Bab 1]

BAB 1

Ainul Husna mengenakan blaus yang berwarna hijau pucuk pisang dan digayakan dengan jeans yang tersarung di badannya. Sesekali, tangan kanannya membetulkan tudung yang dipakainya. Dia lebih selesa untuk berpakaian ringkas serta sopan sebegitu. Tanpa mempedulikan orang lain yang masih lagi menanti bas, dia pula terus melemparkan pandangannya ke hujung sana. Sesekali, dia mengeluh kecil. Meskipun begitu, pandangan matanya langsung tidak berganjak dari terus menatap bangunan tinggi itu. Sehinggakan kesibukan jalan raya di hadapannya juga, tidak berjaya untuk mengganggu tumpuannya itu.

Ainul Husna tersentak. Perlahan-lahan, dia mengangkat tangannya. Lalu, hujung jari telunjuknya menyentuh air yang baru menitis pada wajahnya. Hujan? Perlahan-lahan, kerutan tebal mula terukir di wajah Ainul Husna. Air yang sudah melekat pada hujung jari telunjuk digosok-gosok pula dengan ibu jarinya.

“Air apa pula ni? Merah betul, macam darah saja,” komennya perlahan.

Darah? Dengar saja perkataan itu, Ainul Husna terus mengangkat wajahnya. Mahu mencari dari mana datangnya darah itu.

Pandangan Ainul Husna kini terarah pada seorang lelaki yang sedang berdiri di sebelahnya. Tangan lelaki itu pula dilihatnya sedang memegang erat pada tiang perhentian bas itu. Seperti mahu menampung tubuhnya. Wajah lelaki itu pula tidak dapat dilihat dengan jelas kerana terlindung pada lengannya yang sedang memegang tiang.

Darah tadi, milik dia ke? Terlontar persoalan itu di hati Ainul Husna.

Anak matanya terus terarah pada lelaki itu. Lama dia memerhatikan lelaki itu. Sehinggalah pandangannya terhenti pada tangan lelaki itu. Darah...? Banyaknya darah!

Ainul Husna telan liur. Tiba-tiba sahaja dia jadi bingung dan tidak tahu apa yang harus dilakukan dalam keadaan sebegini. Malah, perasaannya juga sudah mula bercampur-baur. Di antara rasa takut, bimbang dan juga kasihan. Semuanya bergabung menjadi satu.

Seketika kemudian, dia mengalihkan pandangannya pada keadaan sekeliling. Mengharapkan ada insan yang tampil untuk membantu lelaki itu kerana dia sendiri tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Sekali lagi, anak mata Ainul Husna membulat. Kosong? Mana perginya orang ramai tadi? Yang tinggal sekarang hanyalah dia dan lelaki itu sahaja.

Ainul Husna telan liur lagi. Apa yang harus aku buat? Tanpa membuang masa, dia terus mengalihkan pandangannya pada lelaki itu yang langsung tidak bergerak.

“En...encik...tak apa-apa ke?” soal Ainul Husna dengan suara yang hampir-hampir tidak kedengaran. Gara-gara perasaan takut yang dirasainya ketika ini, melebihi segalanya.

Senyap! Tiada jawapan yang diberikan oleh lelaki itu.

“Encik....” panggil Ainul Husna lagi. Kali ini, dia memberanikan diri untuk mencuit lelaki itu. Gara-gara tindakannya, pegangan lelaki itu pada tiang turut terlepas. Dan tubuh lelaki itu mula terhuyung-hayang, seperti menanti masa untuk tumbang.

“Eh?”

Ainul Husna yang terkejut dengan keadaan itu, terus bangkit. Secara spontan, tangannya juga sudah dihulurkan pada lelaki itu. Kononnya mahu menyambut tubuh lelaki itu. Padahal, saiz badan lelaki itu dua kali ganda lebih besar darinya.

Namun begitu, lelaki itu sempat mengawal tubuhnya dari tumbang. Tangannya kembali menggapai tiang perhentian bas itu. Ainul Husna tarik nafas lega. Sangkanya tadi, lelaki itu tumbang gara-gara dia.

Karang, tak fasal-fasal pula dia kena marah.

Pak!

Ainul Husna tersentak buat kali kedua. Lengannya sudah dipegang oleh lelaki itu. Erat. Dia mula menggelabah. Perasaan bimbang mula dirasainya. Terus dia teringat akan kes-kes jenayah yang sedang berleluasa. Wajah orang tuanya juga sudah tergambar di fikirannya.

Dengan pantas, Ainul Husna menepis tangan lelaki itu daripada terus melekat pada lengannya. Kemudian, dia menolak tubuh lelaki itu dengan sekuat yang mungkin. Tanpa membuang masa, Ainul Husna mula membuka langkah seribu. Dia mahu cepat-cepat beredar dari situ. Dia sudah tidak sanggup menanggung sebarang risiko lagi. Nyawanya juga mungkin menjadi taruhan.

Namun begitu, baru beberapa langkah yang diambil. Dia berhenti. Tiba-tiba sahaja dia rasa seperti ada yang tidak kena. Seketika kemudian, dia menoleh untuk melihat lelaki tadi. Dilihatnya lelaki itu yang sudah pun jatuh terlentang, gara-gara ditolaknya sebentar tadi. Malah, sikit pun tidak bergerak.

“Alamak! Dah mati ke? Bukan aku tolak kuat pun.”

Jantung Ainul Husna mula berdegup kencang. Pelbagai jenis andaian mula bermain di benaknya.

Dengan teragak-agak, Ainul Husna terus mengatur langkah untuk menghampiri lelaki itu. Dilihatnya tubuh lelaki itu dipenuhi dengan luka dan darah. Malah, pakaian lelaki itu juga tidak terkecuali menjadi mangsa. Sehinggakan, koyak sana-sini. Daripada pemerhatian Ainul Husna, lelaki itu seperti baru sahaja terlibat dalam pergaduhan yang teruk.

“Encik...” panggil Ainul Husna. Seperti tadi, tiada jawapan yang diberikan oleh lelaki itu.

“Encik....!” panggil Ainul Husna lagi. Kali ini nadanya lebih kuat dari tadi.

Malah, Ainul Husna juga menepis kaki lelaki itu dengan hujung kakinya. Beberapa kali juga, dia melakukannya gerakan yang sama. Seperti tadi, tiada respons yang diberikan oleh tubuh kaku itu. Ainul Husna mula rasa tidak senang dengan keadaan itu.

“Apa yang harus aku buat ni?”

Ainul Husna pandang kiri dan kanan. Mencari orang yang mungkin dapat membantu lelaki itu. Kosong! Maknanya, hanya dia sahaja yang dapat membantu lelaki itu. Dia menarik nafas panjang, kemudian dia melutut di sisi lelaki itu. Tangan lelaki itu, segera digapainya. Kemudian, dia meletakkan jarinya pada pergelangan tangan lelaki itu.

Masih ada denyut nadi, bisiknya perlahan.

Tanpa membuang masa, Ainul Husna terus mengeluarkan telefon bimbitnya. Belum pun sempat dia membuat panggilan, dia dikejutkan dengan suara yang menegurnya.

“Kenapa ni, nak?” tanya seorang yang agak berusia. Sambil anak matanya terarah pada tubuh kaku di sisi Ainul Husna.

Saat itu jugalah, baru Ainul Husna sedar yang dirinya sekarang tidak keseorangan lagi. Malah, sudah ada beberapa orang yang sedang mengelilingi dirinya. Masing-masing bagaikan berminat untuk mengetahui apa yang sedang berlaku.

“Kenapa dengan dia?”

“Banyaknya darah.”

Meskipun begitu, Ainul Husna tetap kesal dengan apa yang sedang berlaku. Mereka cuma berminat untuk mengetahui apa yang sedang berlaku. Malah, tidak ada seorang pun yang mahu menghulurkan bantuan buatnya. Tidak ada juga insan yang sudi menelefon pihak yang sepatutnya.

“Dia tak sedarkan diri. Pakcik ada kereta? Boleh hantarkan ke hospital?” soal Ainul Husna pada pakcik itu pula.

“Hah, ada. Jomlah, kita bawak dia ke hospital. Tapi, anak kena ikut juga. Nanti urusan pendaftaran semua, anak yang kena buat,” usul pakcik itu pula sambil melontarkan pandangannya pada Ainul Husna.

Riak wajah Ainul Husna terus berubah.

“Tapi, saya tak kenal dengan dia.” Ainul Husna cuba beralasan. Bukan dia tidak mahu membantu lelaki itu. Tetapi, dia mempunyai alasannya sendiri mengapa dia berkata begitu.

“Pakcik pun tak kenal dengan dia,” balas pakcik itu lagi. Jelas, dia juga tidak mahu mengalah dengan Ainul Husna.

Sudahnya, Ainul Husna terdiam seribu bahasa.

“Yalah pakcik,” ujarnya dengan berat hati.

“Boleh tolong angkat dia?” soalnya pada orang ramai.

Dengan bantuan orang ramai, mereka berjaya mengangkat tubuh lelaki yang kaku tidak sedarkan diri itu. Lalu, dibawanya pada kereta yang dimiliki oleh pakcik yang memperkenalkan dirinya sebagai Pak Musa itu.

“Perlahan-lahan,” pesan Ainul Husna, saat orang ramai mahu meletakkan tubuh lelaki itu ke dalam kereta. Kepala lelaki itu pula diletakkan pada ribaan Ainul Husna yang sudah pun menanti di dalam kereta.

Terus Ainul Husna menggapai lengan lelaki itu. Dan seperti yang dilakukan tadi, dia meletakkan jarinya pada pergelangan tangan lelaki itu. Sambil anak matanya terarah tepat pada jarum jam yang terlilit kemas di pergelangan tangannya.

Sesekali, anak mata Pak Musa mencuri pandang pada tindakan Ainul Husna itu. Apa yang dia buat tu?

“Pak Musa! Kita kena cepat!” jerit Ainul Husna dengan tiba-tiba.

Pak Musa yang tadinya mengelamun panjang, tersentak.

“Kenapa?” soal Pak Musa.

“Denyutan nadinya semakin perlahan. Kita kena cepat Pak Musa,” ujar Ainul Husna lagi.

Seketika kemudian, Ainul Husna mengalihkan pandangannya pada lelaki yang kaku di atas ribaannya itu. Sedikit sebanyak, perasaan risaunya turut tertumpah buat lelaki itu. Dan jauh di sudut hatinya, dia berdoa agar tiada apa yang berlaku pada lelaki itu.

Dalam waktu yang sama, dia turut tertanya-tanya apa yang sudah berlaku pada lelaki itu sebenarnya. Bergaduh? Ataupun dipukul? Dia pandang wajah lelaki itu lagi. Jangan-jangan....lelaki itu memang terlibat di dalam dunia kongsi gelap? Samseng?

Gulp! Ainul Husna telan liurnya bila perkataan ‘samseng’ itu mula bermain di benaknya. Bala apa pula yang aku cari ni?

Next: [Bab 2]

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.