Bab 17

TIA bungkam di dalam kereta.  Kolam matanya digenangi mutiara jernih.  Dalam satu hari sahaja jiwanya disentak dengan kejutan-kejutan yang tidak dia sangka.  Tanpa suara dan antara setuju dengan tidak, Tia menurut arahan jejaka di sebelahnya itu.  Dengusan nafas kencang impak rasa terkejutnya tadi kian surut sedikit demi sedikit.

Jejaka berkemeja ungu dengan kafling berukir huruf S itu menjeling Tia dari sisi.  Pelbagai soalan yang berlegar-legar di mindanya. Dia membiarkan Tia melayan perasaannya sendiri terlebih dahulu sebelum digali isi cerita.

Siapa sangka, sebaris nama yang ingin sekali Tia hapuskan dalam kamus hidupnya hadir dengan tiba-tiba.  Raut wajah yang paling dia benci kini bergentayangan di ruang mata. Sesak nafas dibuatnya. Dia percaya, aturan Allah itu pasti ada sebabnya yang tersendiri.  Tidak ada satu kejadian pun akan berlaku tanpa izin-Nya. Hatta perkara itu baik atau buruk, ujian yang diturunkan kepada hamba-Nya pasti mempunyai hikmahnya yang tersendiri.  

Tia kaku di tempat duduk.  Dia tenggelam dalam emosi sehingga tidak terdengar riuh-rendah di dalam restoran itu.  Sepasang mata tajam ralit memerhatikan Tia tanpa suara. Setelah pesanan mereka tiba, jejaka itu memanggil Tia dengan lembut.  

"Tia… awak okey?"  

Pandangan Tia ditala ke depan. Sekilas dia melihat wajah Syamil yang bersih tanpa jambang yang tumbuh melata tidak seperti biasa. Wajah itu tampak lebih segar dan tampan.  Beberapa detik berlalu, akhirnya Tia menggeleng. Kudup mata berkelip beberapa kali. Tia tidak pasti dengan perasaannya kini.

"Kenapa awak melintas jalan melulu?  Langsung tak toleh kiri kanan. Nyaris-nyaris tadi awak dilanggar.  Ada sesuatu yang mengganggu fikiran awak ke, Tia?" Syamil bertanya lembut.  

Tia geleng sambil terbatuk.  Akan tetapi, Syamil cukup arif dengan perangai Tia.  Gadis itu tidak pandai berbohong. Setiap kali dia berbohong, pasti Tia akan terbatuk-batuk kecil.  Syamil tersengih tatkala teringat akan tabiat Tia yang satu itu.

"Jangan tipu, Tia. Kalau tak pandai menipu kenapa nak menipu juga?  Tengok gaya Tia ni, Mil tak rasa Tia okey, betul tak?"

Nafas yang dihela terasa payah. Patutkah dia berterus-terang dengan Syamil?  Tia tidak dapat menyembunyikan resah hatinya saat itu. Tubuhnya kembali seram sejuk apabila momen celaka itu tadi singgah di kepalanya. 

"Tia tak tahu apa yang patut Tia rasa sekarang."  

Tia terpunduk lagi.  Gejolak rasa bencinya kepada Zahrin ditahan.  Tiap kali kudup matanya terpejam, tiap kali itulah tampang wajah Zahrin terlayar di ruang matanya, mengejek-ngejek dan mempersenda maruahnya yang diletak setaraf tapak kaki lelaki itu.

Syamil belum berpuas hati.  Namun tak guna dipaksa jika Tia tidak bersedia.  Dia cuma perlu bersabar. Jari-jemarinya dikepal di bawah meja.  Geram juga dengan Tia yang suka melengah-lengahkan masa.

"Tia minum air ni dulu.  Bila dah tenang nanti Tia boleh cerita pada Mil apa yang berlaku."

Terketar-ketar tangan Tia memegang gelas jus epal kegemarannya.  Hatinya agak sebak apabila Syamil masih lagi ingat akan minuman yang dia sukai.  

'Dia tunangan orang, Tia.'  Satu suara ghaib di dalam kepalanya cuba memberi amaran. 

Suasana jeda buat seketika.  Hanya lensa mata kedua-duanya yang saling berbicara.

"Sekarang, cuba beritahu Mil apa yang dah berlaku?"

Tia merenung Syamil di depannya tidak berkelip.  Seperti bermimpi, pemuda itu berjaya menyelamatkannya dari situasi cemas yang menimpa.  Walhal, sudah lama dia membuang nama Syamil dari lubuk hatinya itu. Senyuman Syamil tetap sama seperti dulu.  Tia mengetap bibirnya seketika dan mengeluh untuk ke sekian kali.

"Tia takut.  Tia tak sangka dia sanggup buat Tia macam ni."

"Siapa?  Bos Tia? Dia buat apa pada Tia?" terjah Syamil tidak sabar.  

"Bu… bukan.  Ini tak ada kena mengena dengan bos Tia.”  Haider tidak bersalah sama sekali dalam hal ini.   Tidak wajar nama Haider dikaitkan dalam kemelut itu.

“Habis tu?  Siapa? Cakaplah, Tia… siapa?  Mil tak ada masa nak berteka-teki,” hambur Syamil yang mula bengang dengan dolak dalih Tia.  Cuping telinganya mula berbahang.

“Zahrin…”

“Zahrin?”  Seingat Syamil, Tia tidak pernah bercerita tentang staf yang bernama Zahrin.  Siapa pula lelaki berkenaan? Boyfriend baru Tia kah?

“Dia staf baru di Juta Empire.  Tapi Tia benci dia! Dia….” 

“Dia kacau Tia?  Atau ada buat perkara tak senonoh dekat Tia?” potong Syamil laju.

Lambat-lambat Tia mengangguk, lemah.  Syamil tersandar di kerusi. Dia sendiri tidak pernah mencemari kehormatan gadis di hadapannya selama  mereka bercinta. Senang-senang saja lelaki durjana itu cuba mencabuli maruah gadis itu.

“Dia ada tunjukkan video tak senonoh pada Tia.  Lepas tu dia tanya, apa akan Tia buat kalau benda tu berlaku pada Tia.” 

Bergetar suara Tia bila mengingat kembali detik itu. Walaupun cuma beberapa saat klip itu ditayangkan, gambaran itu melekat kuat dalam kepalanya sehingga  kini.  

Tiba-tiba Syamil bangun lalu merentap pergelangan tangan Tia dengan kuat.  Tia terpinga-pinga apabila diheret untuk berjalan. Ke mana pula Syamil akan bawanya pergi.

“Mil nak pergi mana?” soal Tia cemas sejurus mereka masuk ke dalam kereta.

“Mil nak buat perhitungan dengan jantan keparat tu!”

Dada Syamil berombak seiring dengusan nafas marah.  Sakit hatinya melihat Tia menangis seperti budak kecil.

Tia tahu Syamil meradang dengan Zahrin.  Tetapi dia tidak mahu menimbulkan sebarang kekecohan di pejabat.  Dia malu untuk berdepan dengan staf-staf yang lain dan paling penting, mahukah Haider percaya dengan tuduhannya ke atas Zahrin?

“Jangan, Mil!  Kita tak boleh serang dia macam tu aje.  Kita kena ada bukti kukuh untuk membuat tuduhan.  Tia tak nak nanti orang cakap Tia saja-saja mereka cerita.  Siapa yang nak percaya cakap Tia kalau Tia tak ada bukti?" 

Syamil merenung lembut ke dalam anak mata Tia.  Tiada beza antara Tia yang dia kenali awal dulu, dan Tia yang berada di depannya kini.  Tia tetap Tia, seorang gadis yang naif tetapi suka berfikir jauh mendahulukan akal berbanding emosi.

“Biarlah semua orang dalam dunia berkata Tia ni penipu.  Mil tetap percayakan Tia. Mil kenal Tia lama, lebih daripada mereka yang mengenali Tia,” ucap Syamil senafas.

Titis demi titis air jernih terbit dari kelopak mata Tia.  Terharu rasanya bila mendengar pengakuan Syamil tersebut. Hati kecilnya mula berbelah bahagi dengan keputusan yang menolak Syamil dari hidupnya tidak lama dulu.  Mungkin dia terlalu mengikut kata hati sehingga tidak nampak akan sisi baik Syamil yang tersisa. Malangnya segala itu sudah terlewat.

“Jangan sedih lagi, sayang.  Mil ada cadangan. Malam ni kita ke pejabat Tia dan ambil bukti tersebut.  Mil hantar Tia balik dulu, ya?”

Tia bersetuju tanpa banyak bicara.  Otak dan mindanya terasa amat letih, sesak dan lemas.  Sampai di rumah dia mengeluarkan telefon pintar dari tas tangan.  Sengaja telefon itu dimatikan agar tidak diganggu oleh sesiapa dalam tempoh dia melarikan diri.

Hampir pitam Tia melihat deretan missed calls dan pelbagai pesanan suara dari Haider, Gina dan beberapa orang staf yang lain.  Sedang dia memeriksa mesej-mesej penting, skrin telefonnya menyala. Panggilan daripada Gina berdering beberapa kali. Tia berkira-kira untuk menjawab. 

"Hello, Tia!  Kau kat mana?"  Suara Gina memetir di corong telefon.

"Hmmm…"

"Hmmm?  Kau dah bisu ke, Tia?" jerit Gina geram.

"A… aku ada dekat rumah," jawab Tia malas 

"Ewah!  Ewah! Kita bagai nak gila cari dia.  Kau boleh bersenang-lenang dekat rumah pulak, ya?  Kau tahu tak, semua orang kat office ni cari kau. Terutama sekali bos kesayangan kau tu, Encik Haider. Dah macam kucing hilang anak gayanya. Merata-rata cari PA dia tak jumpa.  Call pun tak dapat-dapat. Apa kena dengan kau ni, Tia?" tembak Gina bertubi-tubi.

"Gina… aku tak tahu macam mana nak explain kat kau.  Tapi aku janji akan selesaikan masalah ni secepat mungkin," janji Tia lalu memutuskan talian mereka.

Terkebil-kebil Gina melihat skrin telefon yang sudah gelap.  

"Dia putuskan macam tu aje?  Eeeee…." Bibir yang bercalit gincu berona merah hati itu diketap geram.  Kesal dengan Tia yang bersikap acuh tak acuh melayannya.

"Tia cakap apa Gina?" sergah seseoramg dari belakang.  Gina teragak-agak untuk menoleh.

"B… bos!"

"Hai, tiba-tiba je bisu pulak? Saya tanya, Tia cakap apa tadi dengan awak?  Dia kat mana?" Haider terpaksa mengulang pertanyaannya semula.

Sebenarnya sudah lama Haider mencuri dengar perbualan mereka.  Gina saja yang tidak menyedarinya.  

"Sebenarnya, Tia tak jawab pun panggilan saya," jawab Gina penuh yakin.

Haider berdiri tegak penuh karisma.  Kedua-dua belah tangan kekarnya disilangkan.  Sorotan tajam anak mata coklatnya menikam-nikam ke dalam anak mata Gina yang waham.  Gina meneguk liurnya sendiri tatkala mereka beradu pandang. Gina tertangkap dan tersepit kerana menipu Haider bulat-bulat.   

"Tak usah nak tipu saya lah, Gina.  Saya dah dengar semuanya. Tia kat mana sekarang?" 

Gina takut-takut untuk bertentang mata dengan Haider.  Silap besar dia menipu Haider. Nampaknya Haider lebih cekap bertindak berbanding dia.

"Tia dekat rumah, bos.  Dia cakap dia terpaksa balik atas faktor kecemasan.  Sebab tu lah dia tak sempat nak beritahu sesiapa."

Haider menggangguk lantas berlalu ke pejabatnya  tanpa banyak soal. Gina masih terkaku di meja Tia.  Tidak pasal-pasal dia yang terpaksa menjadi PA ganti bagi menjawab panggilan-panggilan penting.  

Sedang Gina mengelamun kelihatan kelibat Zahrin melewati bilik Tia.  Zahrin hampa apabila sosok Gina yang berada di bilik itu dan bukannya Tia. Selangkah demi selangkah sepasang kaki milik Zahrin diayun merapati Gina yang berpura-pura sibuk membuat kerja.

"Tia mana?" Mata Zahrin meliar ke segenap bilik Tia yang kemas dan teratur.   Haruman vanilla dari air purifier mencipta suasana tenang bila berada di bilik itu.

"Tia tak ada.  Dia ada urusan kecemasan."

"Oh!"  Tanpa berkata apa-apa lagi Zahrin berlalu ke biliknya.  Gina terkebil-kebil dengan sikap Zahrin.

'Macam ada sesuatu yang tak kena aje ni.  Aku mesti siasat. Mesti!' tekad Gina bersungguh-sungguh.

•°•°•°•


"KAU dah jumpa staf baru kita, Tia?" 

Tersengih-sengih Gina bertanya.  Staf yang dimaksudkan oleh Gina adalah Zahrin.  Pemuda berkulit sawo matang itu memiliki tubuh tegap hasil kerja kerasnya di gim.

"Zahrin ke maksud kau?"  Tia menjawab dengan soalan juga.  Nadanya mendatar sahaja.

"Iyalah, siapa lagi?  Takkan si Nelly tu, kut?"

"Sudah..."

"Boleh tahan handsome juga dia tu.  Aku rasa, jodoh aku dah memanggil-manggil."  Gina ketawa nakal.

"Handsome semata-mata pun tak guna kalau orangnya tak senonoh."  

Tia malas untuk membicarakan hal Zahrin.  Dia tidak berminat langsung walaupun apa yang diperkatakan Gina itu benar belaka.

"Apa maksud kau?  Kenapa kau cakap dia tak senonoh?"

Tia berpura-pura tidak mendengar soalan Gina itu.  Sementelahan, dia tidak sengaja terlepas cakap. Sesaat kemudian pendiriannya berubah.  Dia langsung tidak menyesali akan mulutnya yang agak celupar itu tadi.  

Gina cuba untuk menggali lebih dalam isi hati Tia.  Malangnya deringan telefon merencatkan niatnya serta merta.

Lamunan Gina semasa perbualannya dengan Tia tidak lama dulu lebur tatkala Haider memanggilnya melalui interkom.  Buku nota dan sebatang pen dibawa sekali sebelum masuk berjumpa dengan Haider.

•°•°•°•


TEPAT jam 9 malam, Syamil sudah siap sedia menanti Tia di luar pagar.  Tia menyelinap keluar secara senyap-senyap ketika Erin sedang membersihkan diri di bilik mandi.  Dia tidak mahu Erin menghidu tindak-tanduknya yang berhubung kembali dengan Syamil.

"Tia dah ready?" aju Syamil sejurus Tia masuk ke dalam kereta.

"Entahlah, Mil.  Tia tak yakin tindakan kita ni betul ke tidak."

"Tia, dengar cakap Mil.  Kita tak boleh biarkan orang gila seks macam tu lepas macam tu aje.  Tia sanggup ke nak berdepan dengan orang macam dia tu hari-hari? Sanggup?"  Syamil menekan emosi Tia yang sedia rapuh.

Tia menjawab dengan gelengan laju.  Semestinya dia tidak sanggup. Untuk kembali berkerja dan berdepan dengan Zahrin setiap hari dan menganggap tiada apa-apa yang terjadi antara mereka adalah sesuatu yang mustahil.

"Dah tu… Tia tak perlu fikir macam-macam lagi.  Dengar cakap Mil. Kita buat seperti apa yang kita dah rancangkan tadi."

•°•°•°•


Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh