Bab 11

°°••°°


MITSUBISHI berwarna perak itu memecut laju sejurus keluar dari simpang rumah Tia.  Haluannya hanya satu, iaitu ke Cheras di mana buah hatinya berada. Setelah meredah kesesakan lalu lintas di lebuh raya, Syamil memarkir keretanya di kotak parkir berhampiran laluan pejalan kaki.  Jambangan bunga mawar merah dan juga coklat tidak lupa dibawa bersama. Dia tersenyum sendiri lantas menekan butang lif untuk ke tingkat 13.

Siulan lagu mengiringi langkah Syamil ke rumah yang dituju.  Kini, dia berdiri di depan pintu bernombor 4. Rambut disikat kasar dengan jari agar kekal rapi.  Kesan darah di dahi telah dilap dengan bersih. Hanya tercalit sedikit darah beku pada luka itu. Senyuman yang paling manis dan menggoda diukir buat si jantung hati.  Setelah menghela nafas panjang, pintunya diketuk beberapa kali. Tidak lama kemudian, kedengaran tapak kaki seseorang menghala ke muka pintu.

Klak!

Seraut wajah yang menjadi pujaan hatinya kini tertayang di ruang mata.

"Hai, sayang!" sapa Syamil dengan rasa teruja.  

Gadis berambut panjang itu tidak bercadang mempelawa Syamil masuk.  Bibirnya terherot sambil bercekak pinggang. Matanya merayap pada kesan luka yang tidak berapa dalam pada  dahi dan juga tangan Syamil. Setelah itu, dia buat-buat tidak peduli.

"Buat apa datang ke sini?  Kenapa tak pergi pujuk girlfriend awak tu?" soalnya sebal.  

Semalam, barulah dia tahu, cintanya telah diduakan Syamil.  Sia-sia saja segala kepercayaan dan pengorbanannya sehingga sanggup berkongsi kereta demi kemudahan lelaki itu sejak beberapa bulan yang lalu.

"Sayang… bagilah Syamil masuk dulu.  Biar Syamil terangkan semuanya. Please!" 

Syamil tayang muka sedih dan menyesal.  Pujuk rayunya sering dijadikan senjata berharga untuk mencairkan hati para gadis.

"Bak sini kunci kereta saya!"  

Syamil terdiam seketika.  Jika kunci kereta tersebut diserahkan, habislah jatuh reputasinya sebagai lelaki bergaya dan memiliki kereta berjenama.  Pasti rakan-rakannya akan menjauhkan diri dan menjadikannya bahan lawak jenaka. Ini tak boleh jadi. Fairuz perlu dipujuk agar aset mahal itu terus kekal bersamanya.

"Sayang tak kasihankan Mil ke?  Penat Mil berdiri kat luar ni. Mil haus.  Bagilah Mil minum dulu." Rayuan demi rayuan disusun agar Fairuz berasa belas dengannya.

Perlahan-lahan mangga pada jeriji besi dibuka dan dengan senyum-simpul Syamil melangkah masuk ke dalam rumah dan pintu ditutup rapat.

"Untuk sayang." 

Jambangan bunga mawar merah dan juga coklat yang sama dihulurkan kepada Fairuz yang berwajah kelat.  Fairuz menyambut pemberian itu lambat-lambat. Matanya tertancap pada garis kelaran di lengan Syamil yang jelas kelihatan. Segera lengan kemeja yang dipakai Syamil ditarik ke bawah bagi menutup kesan kelar di tangannya.  Langkah gadis itu diatur ke dapur untuk mengambil minuman setelah pemberian itu diletakkan di atas meja makan. 

Namun tindakan Syamil lebih pantas dari itu.  Lengan Fairuz disambar lantas tubuh kekasihnya itu ditarik ke dalam dakapan sehingga melekat bau minyak wangi Syamil di kulitnya.   Mereka saling bertatapan mata buat seketika lalu tubuh Fairuz dicempung masuk ke dalam bilik tidur. Deruan nafas panas menampar ke muka kedua-duanya.

Syamil pandai menggoda dan memancing nafsunya sehingga dia rebah ke tilam nipis yang menjadi alas untuk Fairuz beradu.  Serakah yang menggila perlu dilunaskan segera. Ini bukanlah kali pertama mereka melakukan perbuatan terkutuk tersebut. Tidak terhitung telah berapa kali mereka bergelumang dengan noda dan dosa.  Tambahan pula, jiran-jiran tetangga tidak mengambil endah dan membuat hal masing-masing.

"Siapa perempuan tu?"  Fairuz bertanya tidak puas hati setelah melepaskan lelah dalam menzahir cinta dalam pengorbanan paling keji.

Terbayang-bayang raut wajah Tia yang manis itu dirundung sedih sehingga matanya bengkak kerana berendam air mata.  Dia yakin, gadis itu pastinya mempunyai hubungan atau setidak-tidaknya begitu rapat dengan Syamil.

"Siapa?  Yang kita jumpa malam tu ke?  Tak penting pun. Sayang lagi penting dari dia," ujar Syamil seraya mengelus lembut bahu Fairuz yang terdedah tanpa seurat benang dan basah dengan keringat dosa yang berjatuhan.

Fairuz mendongak, mencari kebenaran pada bening mata Syamil yang redup memandangnya.  Hatinya berbolak-balik. Mereka berdua pernah menjalin hubungan cinta sebelum mengambil keputusan membawa haluan masing-masing kerana tidak bersefahaman.  Waktu bergulir, setelah hampir empat tahun terpisah, mereka berjumpa semula dalam pertemuan yang tidak terduga.  

Pada waktu itu, tayar kereta Fairuz pancit selepas susur keluar lebuh raya NPE.  Syamil datang tepat pada masanya sebagai penyelamat dan menghulurkan bantuan yang sepatutnya. Sejak itulah hubungan mereka bertaut kembali dan  ia dirahsiakan Syamil dari pengetahuan Tia.

"Dengar tak apa sayang cakap ni?"  Dada Syamil ditampar kuat menyentakkan lena Syamil yang kian berlabuh ke alam mimpi.

"Apa ni?  Sakitlah!"  Dadanya yang perit diusap perlahan, meredakan rasa sakit yang masih tersisa.  

Fairuz bangun sekaligus meleraikan pelukan Syamil lalu menyarung kembali bajunya yang bertaburan di lantai.  Serentak itu juga, Syamil membungkus badannya dengan selimut lalu duduk bersandar di dinding bersama keluhan marah.  Sebatang rokok dicucuh sehingga asap putih itu berkepul-kepul lalu hilang di udara.  

"Hoi, perempuan!  Ambilkan aku air. Aku haus," arah Syamil seperti tuan besar.  

Fairuz mendengus sebelum kelibatnya hilang ke dapur. Sikap Syamil tidak pernah berubah seperti beberapa tahun yang lepas.  Dia ditatang apabila sayang dan dijadikan abdi apabila serakahnya dipuaskan. Itulah punca utama perpisahan mereka terjadi.  Oleh kerana sisa-sisa cinta masih lagi mekar berbunga, dia bertahan jua walaupun jiwa dan mentalnya acapkali terdera.

Segelas air oren sejuk dihempas ke lantai berhampiran tempat duduk Syamil.  Kocakan air menyebabkan percikan airnya jatuh ke lantai lalu basah. Kemudian, Fairuz membawa diri ke ruang tamu iaitu ke sebuah meja tulis tempat dia memerah otak sebagai pelajar separuh masa Sarjana Optometri.  Nampaknya api cemburu mula menyala di hati gadis itu. Dia perlu memadamnya sebelum ia menjulang tinggi dan memusnahkan rancangannya selama ini.

Puntung rokok yang masih menyala dibuang ke dalam botol air mineral yang keruh dengan beberapa puntung rokok yang lain.  Dia bangkit dari tilam nipis yang berbau kepam terus ke ruang tamu. Bahu Fairuz dirangkul dari belakang dengan niat untuk memujuk dan meraih kembali kepercayaannya.  Bibirnya yang lebam dirapatkan ke cuping telinga Fairuz yang tekun menyiapkan tesis.

"I love you, sayang," tuturnya bersama bau tengik tembakau yang terbit dari mulutnya.  

Tangan Syamil ditepis kasar sehingga lelaki itu tergemap.  Muak dia mendengar ucapan itu yang tidak lagi mempunyai makna dan terhapus nilai cintanya.  Pasti ucapan yang sama turut diucap kepada gadis yang ditemuinya di Mid Valley tempoh hari.

Adrenalin mengalir laju di dalam tubuh Syamil, memacu rasa marah yang terpancar pada sepasang matanya.  Bahu Fairuz dicengkam kuat memaksa Fairuz bangun dan menolak tubuh Syamil dengan kuat menjauhi dirinya.

"Sakitlah, bodoh!"  Diurut-urut bahunya yang sakit akibat dikasari.

"Kau dah pandai melawan.  Kau nak jadi macam perempuan celaka tu ke?Mana rasa hormat kau pada aku? Mana?"

Tubuh Fairuz ditolak kasar hingga ke dinding.  Rahangnya dicengkam sekuat tenaga hingga gadis itu tercungap-cungap kelemasan.   Kedua-dua belah tangan Fairuz menampar-nampar dada lelaki jahanam itu dan cuba menepis tangannya yang semakin kemas mencengkam.  Kakinya juga tidak duduk diam cuba menunjal-nunjal tubuh Syamil namun berjaya dielak. Fairuz terkepung tanpa dapat berbuat apa-apa.   Air mata Fairuz berjuraian tanpa dipinta kerana tidak mampu melawan kudrat lelaki sekuat Syamil.

"Ini balasan untuk kau kerana bersikap kurang ajar pada aku!"

Menjadi satu kepuasan kepada Syamil melihat Fairuz diseksa dan disakiti.  Hampir seminit dia diseksa dan dicekik. Kulit muka Fairuz bertukar kebiru-biruan tanda kekurangan oksigen.  Pegangan tangannya juga semakin lemah dan longlai. Dengan mata terbeliak dan erangan rayuan yang tersekat-sekat dan seterusnya senyap, Fairuz mulai pasrah dengan nasib dirinya yang di ambang maut.

"Ughhh!"

Syamil meleraikan cengkamannya lantas tubuh Fairuz terjelepok ke lantai.  Terbatuk-batuk Fairuz menghamburkan rasa sakit umpama nyawa di hujung tanduk.  Fairuz mengensot ke dinding dan duduk memagut lutut. Tanpa sesal, Syamil masuk ke dalam bilik semula dan bersiap-siap untuk keluar. 

Fairuz mengambil peluang menyelongkar perbualan WhatsApp antara Syamil dengan Tia.  Nombor Tia dicatat pantas lalu disimpan rapi. Telefon pintar milik Syamil diletakkan semula ke tempat asal dan Fairuz berpura-pura berbaring di sofa membelakangi Syamil yang teramat dia benci.

"Kau sama saja dengan perempuan sial  tu!"

Daun pintu dihempas kuat dari luar meninggalkan Fairuz keseorangan bersama linangan air mata dan keperitan seksaan Syamil terhadapnya.  

"Perempuan bodoh!  Siapa yang paling beruntung?  Aku jugak!'  

Syamil ketawa kuat di dalam kereta sambil mengira kepingan wang kertas yang dicuri dari dompet milik Fairuz sebagai menebus harga bunga dan coklat yang dilaburkan.  Dia ada Fairuz dan Tia yang dijadikan lombong emas saat poketnya kering. Untung atau rugi perniagaan yang dijalankan langsung tidak diambil kisah.  

Malam ini akan dihabiskan dengan bermain snooker bersama rakan-rakannya yang setia.  Sebelum itu, ada perkara yang lebih penting perlu dia uruskan. Demi menjayakan hasratnya itu dia harus menghubungi seseorang yang arif tentang selok-belok perancangannya.

"Hello, Badrul.  Kawe ada hal nak minta tolong demo."

°°••°°


HARI-HARI  yang berlalu terasa amat perit untuk dijalani.  Benarlah kata orang, bercakap memang mudah. Adakalanya Tia kalah dengan perasaannya sendiri apabila masa lalu menghimpit jiwanya.  Memori lama berputar-putar di dalam kotak fikiran walau segigih mana dia cuba mengusirnya dari kepala. Sekiranya ada ubat untuk melumpuhkan ingatan, pasti dialah orang pertama yang akan membelinya.

"Betul ni kau tak nak ikut aku balik kampung?” tanya Erin entah kali yang ke berapa.  

Sejujurnya dia agak risau untuk meninggalkan Tia seorang diri.  Namun dia harus pulang kerana kesihatan ibunya yang semakin merosot.

"Jangan risaulah.  Aku bukannya budak kecil lagi.  Hati-hati pandu kereta tu. Kalau rasa mengantuk berhenti je dulu,  jangan paksa diri. Ingatlah orang tersayang."  

Tia menyampaikan pesanan penaja persis iklan tersohor suatu ketika dulu.  Erin terkekeh-kekeh ketawa sambil menekan perut.  

"Bukan main lagi kau, eh?  Ingatlah orang tersayang bagai.  Kau tu, jaga diri baik-baik. Kalau budak tak empuk tu datang kacau kau, call aje polis biar dia ditangkap."  Bebelan Erin sama rancak dengan roda bagasinya yang berpusing-pusing.

Berkerut dahi Tia dengan panggilan 'budak tidak empuk' itu.  Ada-ada saja gelaran nakal yang diberi Erin.

"Budak tak empuk?  Siapa?" soal Tia jujur.  Erin serba-salah untuk menyatakan perkara sebenar.  Lambat-lambat dia menjawab, "Syamil."

Berubah seketika air muka Tia apabila nama lelaki yang pernah singgah dalam hidupnya disebut-sebut.  Syamil tidak lagi menunjukkan batang hidungnya semenjak hubungan mereka diputuskan beberapa minggu yang lalu.    

"Tia, kau okey?"  Erin bertanya bimbang.  

Dia tidak sengaja membangkitkan nama Syamil.  Tetapi, dia rasa perlu untuk mengingatkan Tia akan segala kemungkinan yang bakal terjadi.  Syamil seorang lelaki yang hebat berkata-kata. Dia juga pandai memanipulasi situasi dan juga pemikiran seseorang.  Bagi mereka yang lemah, sudah tentu akan mudah terpedaya dengan helah itu.

"Aku tak apa-apa.  Sampaikan salam aku pada mak dan ayah kau.  In sha Allah, ada rezeki nanti aku balik," ujar Tia dengan senyuman yang bergayutan di bibir.

"Baiklah.  Aku pergi dulu.  Ingat pesan aku tadi."

Mereka berdua bersalaman lantas berbalas pelukan.  Tia melambai kepada Erin yang menarik bagasinya untuk menaiki lif.  Selang seminit kemudian, pintu rumahnya diketuk. Tia membuka pintu utama dan terkejut dengan tampang wajah yang tersembul di sebalik daun pintu itu.

"Sorry!  Aku lupa ambil kunci kereta," jawab Erin sebelum sempat ditanya.  Tia menggeleng lalu tersengih. Mujurlah bukan Syamil yang datang menerjah.  Setelah sesi mengucapkan selamat tinggal berlangsung sekali lagi, Tia mengunci pintu lantas menonton TV ditemani kerepek pisang yang dibelinya di pasar malam.

Tok!

Tok!

Ketukan di pintu yang perlahan itu membuatkan Tia tersenyum.  Entah apa barang lagi yang Erin terlupa bawa. Banyak makan semut agaknya si Erin itu.  Sebab itulah sikap pelupanya semakin menjadi-jadi.

"Apa lagi E…." 

Berkerut dahi Tia melihat tetamu yang tidak diundang itu berdiri di muka pintu dengan riak muka bersahaja.

"Maaf!  Saya ingatkan tadi rakan serumah saya."  

Tia seperti pernah melihat lekuk wajah garis itu.  Tetapi dia benar-benar tidak ingat di mana.

"Cik cari siapa, ya?" soal Tia sopan.  

"Tia… saya cari Tia.  Awak ni Tia, bukan?" Gadis itu bertanya kembali seraya mengintai wajah Tia di sebalik jaluran jeriji besi.

"Ya, saya Tia.  Cik ni siapa?"

"Saya Fairuz.  Kita pernah jumpa dulu dekat Mid Valley.  Tentu awak masih ingat lagi."  

Nada suaranya begitu menjengkelkan Tia.  Sudahlah datang ke rumah orang tanpa dijemput, boleh pula dia bersikap acuh tak acuh kepadanya.  Tia sudah ingat sekarang. Gadis itu ialah gadis yang dipeluk Syamil di panggung wayang tempoh hari.  Bagaimana dia tahu alamat rumahnya di situ?

°°••°°


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh