Bab 10

°°••°°


TUMPUAN Tia tidak lagi dipusatkan kepada wayang gambar.  Adegan jelik Syamil dan pasangannya lebih menarik perhatian.  Perancangan Allah lebih sempurna daripada segala-galanya. Buktinya ialah dengan apa yang terpampang di depan matanya kini.  Sisi Syamil yang sebenar terbongkar pada masa yang tepat.  

Dalam kegelapan itu, Erin langsung tidak menyedari bahawa emosi sahabatnya itu sedang kacau-bilau.  Ditambah pula dengan latar suara dari filem yang begitu kuat, mana mungkin esak tangisnya dapat didengari oleh sesiapa.  Selama dua jam di dalam panggung itu dadanya berasa sempit, nafasnya sesak. Tidak seincipun pandanganya beralih.  

Begini rasanya bila diri dikhianati dan dicurangi.  Air matanya umpama empangan pecah yang tidak henti-henti mengalir.  Setelah tayangan tamat, lampu dinyalakan dan suasana di dalam bilik panggung wayang terang-benderang.  Erin menarik zip baju panas yang dipakai lantas air soda yang tidak habis diminum disambar sebelum melalui lorong tempat duduk ke bahagian tangga dan seterusnya ke laluan keluar.   

Tia melangkah longlai kerana semangatnya telah terbang melayang entah ke mana.  Segala urat saraf yang mengikat sendi-sendinya terasa pegal. Erin tercari-cari kelibat Tia setelah menyedari gadis itu ketinggalan jauh di belakangnya.  Wajah Tia yang basah dengan air mata dan matanya yang sembab menggusarkan jiwa Erin. Lantas dia mendapatkan Tia yang asyik dirempuh orang ramai yang mengejar masa untuk balik ke rumah masing-masing.

"Kenapa ni?  Kau sakit ke?"  Jelas terpancar riak kerisauan pada nada suara Erin.

Telapak tangannya menyentuh dahi Tia untuk mengesan suhu badan.  Manalah tahu, tiba-tiba saja Tia disampuk hantu. Maklumlah, mereka jarang-jarang keluar pada lewat malam begini.  Apa-apa saja boleh terjadi. Andaian yang bukan-bukan mula menerjah ke fikiran Erin yang mula menggelabah.

"Syamil…." ujar Tia lemah.  Telunjuknya dituding pada satu arah.

Tanpa banyak soal, Erin mengekori telunjuk Tia dan sosok Syamil bersama seorang gadis yang pernah dilihatnya dulu berada pada jarak hanya beberapa langkah dari mereka.  Syamil dan pasangannya kelihatan sungguh gembira dan sering ketawa bersama. Semakin lebat air mata Tia saat pinggang gadis itu dirangkul erat oleh Syamil. Kerutan di dahi Erin terlerai tatkala punca perubahan Tia secara mendadak itu berjaya dibongkar.

Erin menarik kuat tangan Tia memaksa rakannya itu berjalan laju.  Sengaja Erin merempuh tubuh Syamil hingga lelaki itu menoleh ke arah mereka berdua dengan riak terkejut.  

"Sorry!" Sinikal Erin meminta maaf.

Erin menjeling tajam kepada Syamil dan menyungging senyum.  Apatah lagi Tia turut menghadiahkannya satu pandangan yang sukar dia mengertikan.  Saat itu dia tahu, pekungnya telah terbongkar walau selicik mana dia bersembunyi. Rengekan manja gadis di sebelahnya mengembalikan kewarasan Syamil dari alam cinta mereka.  

"You tunggu kat luar dulu.  I ada hal sekejap," pinta Syamil kepada gadis berseluar sendat dan berkemeja merah jambu.

Kakinya dihentak geram.  Sanggup Syamil meninggalkan dia demi gadis bermuka sembab itu.  Erin dan kekasih gelap Syamil menanti di luar. Masing-masing menghantar pandangan benci.  Siapa agaknya gadis itu yang telah merosakkan masa romantisnya bersama Syamil.

"Apa pandang-pandang?" soal Erin garang kerana gadis itu  asyik mencuri-curi lihat ke arahnya.

Gadis tersebut menjegil matanya lalu menatap skrin telefon.  Dia tidak mahu bersengketa di hadapan orang ramai. Maruahnya tidak harus dijatuhkan secara murah semata-mata gadis garang itu.  Gaya samseng Erin sedikit-sebanyak menggugat keselamatannya juga.

"Tia tak cakap pun nak keluar sebelum ni?" soal Syamil menahan getaran nada suaranya.

"Kenapa?  Mil takut kecurangan Mil terbongkar, begitu?" Tia bertanya sinis.  

"Mil tanya Tia dulu, kenapa Tia keluar tanpa pengetahuan Mil?"  Suara Syamil naik seoktaf.

"Oh!  Jadi Tia tak boleh ke mana-manalah, ya?  Tia kena berkurung je dalam rumah macam orang bodoh.  Lepas tu, tunggu Mil pungut Tia kat rumah dan keluar sama-sama.  Setengah jam kemudian kita bertekak, kemudian balik. Mil nak Tia lalui kehidupan macam tu ke?"  Bicara Tia seperti peluru, bertubi-tubi menghentam Syamil yang terlopong mulutnya.

Syamil menarik nafas panjang cuba mengumpul hujah untuk mematahkan serangan Tia.  Gadis itu semakin berani melawan dan meninggikan suara kepadanya.

"Diam!  Aku tanya kau baik-baik, jadi kau jawab baik-baik juga.  Bukannya menuduh aku sesuka hati bapak kau aje!"  

Kembang-kempis hidung Syamil menahan marah.  Sesekali, dia melirik ke luar untuk memastikan kekasih gelapnya tiada berdekatan.

"Aku perhati aje sikap kau dari dulu.  Makin hari makin kurang ajar kau dengan aku.  Kau belajar dengan siapa? Erin?" 

"Hal kita tak ada kena-mengena dengan Erin!"  Menyirap darah Tia saat Syamil tidak habis-habis mencari kesalahannya.

"Iyalah tu.  Sudah banyak kali aku pesan, kalau nak keluar ke mana-mana bagitahu aku dulu.   Apa susah sangat kau nak faham ni?" Intonasi suara Syamil semakin tegang kedengaran.

"Mil tak ada hak untuk halang Tia ke mana-mana.  Kita belum ada ikatan yang sah. Tia bebas untuk berbuat apa sahaja selagi tidak melanggar hukum Allah."  Ketika menjawab sempat lagi Tia menyindir Syamil yang semakin berubah air mukanya.

"Kau jangan nak sibuk-sibuk hal aku.  Aku lelaki. Aku boleh buat apa saja yang aku suka."  

"Sudahlah, Mil.  Tia dah penat. Mulai malam ini, kita bawa saja haluan masing-masing.  Mil bebas untuk peluk cium kekasih baru Mil tu tanpa halangan sesiapa."  

Tia menekan jari telunjuknya kuat ke dada Syamil.   Segala beban yang terpikul di pundaknya terasa ringan.  Fikirannya juga lapang. Tiada lagi tali yang mengikat dirinya dari terus-menerus dibelenggu bayangan Syamil.  Usai berkata begitu, Tia keluar mendapatkan Erin yang setia menjadi peneman dirinya pada bila-bila masa saja.

"Jom, Erin.  Kita balik!"  

Tia mengorak langkah ke tempat letak kereta tanpa menoleh ke mana-mana lagi.  Dia tidak berharap agar Syamil mengejarnya dan menagih kembali cinta mereka seperti di dalam drama saban petang.  Dia ingin bebas dari cengkaman Syamil yang selama ini membelenggu jasad dan rohnya. Lagipun, Syamil sudah menemui pengganti walaupun hubungan mereka masih berjalan seperti biasa sebelum ini.

Masuk saja ke dalam kereta, Tia tertunduk membisu.  Lidahnya kelu. Dia berharap itu semua adalah mimpi semata-mata.  Erin diasak rasa geram dan benci sekaligus. Syamil memang seorang lelaki tak guna!  Sia-sia saja penantian Tia selama ini. Kesetiaan Tia dibalas dengan racun biasa yang tiada penawarnya.  Erin amat takjub dengan kesabaran Tia yang utuh. Jika dia di tempat Tia, telah lama dia rebah dan tersungkur ke bumi.

"Tia, janganlah macam ni.  Aku tak senang hati tengok kau membisu macam ni."  

Erin mati kata.  Dia tahu Tia sedih dan kecewa.  Dia juga tahu tiada kata-kata yang dapat menenangkan jiwa Tia yang merapuh.

"Menangislah.  Menangislah, Tia puas-puas."  

Erin sedia meminjamkan bahunya untuk Tia bersandar.  Menurut satu artikel yang dibacanya dalam majalah baru-baru ini, hati seseorang itu akan kembali pulih setelah menangis semahunya.  Justeru itu, dia cuba mempraktikkan teori itu kepada Tia.

Tia memejam mata.  Sekuat mana kelopak matanya dikatup, cecair jernih itu tetap jua mengalir keluar tanpa dapat ditahan.  Semuanya di luar kawalan Tia. Perlahan-lahan bahunya terhinggut. Semakin lama semakin rancak diselangi esakan kuat.  Tia seperti orang hilang akal, menangis dan menyebut-nyebut nama Syamil yang telah lama bersemadi dalam hatinya.

Tidak sanggup lagi Erin menyaksikan penyeksaan Syamil terhadap Tia.  Gadis itu terlalu banyak menderita atas nama cinta buta. Puas dinasihati pun Tia masih lagi bertahan.  Tubuh Tia dipeluk seeratnya. Bahu dan kepala gadis itu diusap penuh kasih. Dibiarkan sahaja Tia dalam keadaan begitu sehingga hatinya lega.  

°°••°°


KETUKAN kuat di pintu mengganggu ketenteraman jiwa Erin.  Malas dia hendak melayan drama swasta di awal pagi Sabtu begini.  Dia sudah sedia maklum akan tetamu yang terpacak di luar rumah mereka.

'Hish!  Nak berehat pun tak senang!'' 

Mulut Erin terkumat-kamit menyumpah-seranah Syamil yang tidak tahu malu itu.  Dengan terpaksa, langkah diatur jua ke muka pintu. Rasa malu terhadap jiran tetangga pada peristiwa lalu masih segar dalam ingatannya.  Ditambah pula dengan kerenah baru Syamil yang bakal menggegar pangsapuri mereka.

"Nak apa?" tanya Erin malas.  Dia memeluk tubuh dan bersandar di dinding lalu memandang tepat ke wajah kasanova terhebat.  Hebatlah sangat!

Syamil datang dengan sejambak bunga ros dan coklat di tangannya.  Mual Erin dengan tiba-tiba tatkala menyaksikan lakonan gred A oleh buaya darat kota itu.

"Tia mana?  Dia okey tak?"  

Syamil bertanya seoalah-olah tiada apa-apa yang terjadi antara mereka semalam.  Entah berapa inci tebal agaknya kulit muka jantan tidak tahu malu ini. Dia berlagak biasa lagi macho dengan harapan untuk menjernihkan kembali hubungan mereka yang keruh.  Erin tidak akan benarkan hal itu terjadi walau dalam mimpi.

"Tia dah mati!  Jiwa dan hati dia dah mati!  Sukalah kau boleh memadu asmara dengan kekasih baru kau tu.  Buat apa kau cari Tia lagi?" 

Terkebil-kebil Syamil mendengar hentaman kata-kata pedih dari Erin.  Riak sedih terpamer pada wajah Syamil yang erat memegang jeriji besi yang masih terkunci.

"Tolong panggilkan Tia sekejap, Erin.  Kau orang semua dah salah faham. Dia bukan girlfriend aku.  Dia… dia…." Syamil serba-salah untuk meneruskan kata dengan suara sebak yang memenuhi dada.

"Dia apa?" herdik Erin yang menyampah dengan alasan demi alasan yang dicipta Syamil.  

Hatinya tidak selembut Tia yang sanggup menelan bulat-bulat helah Syamil tanpa sedikitpun rasa curiga.  Jika itulah tanggapan Syamil terhadapnya, maka dia perlu merentang perisai menangkis apa jua bentuk pujuk rayu.

"Dia ex-girlfriend aku," jawab Syamil terpunduk.  

Ternganga Erin mendengar pengakuan Syamil.  Dia mendekati Syamil yang berjarak hanya beberapa langkah daripadanya.  Rasa-rasa dia belum pekak lagi. Tapi dia perlu mengesahkan sama ada benarkah dia yang tuli, ataupun kewarasan Syamil yang patut diragui.

"Kau ulang lagi sekali, Syamil.  Aku tak dengar."

"Dia ex-girlfriend aku.  Kami dah tak ada apa-apa hubungan lagi.  Percayalah. Tolong panggil Tia. Aku nak jelaskan sendiri pada dia," rayu Syamil sesungguh hati.

"Apa jadahnya kau keluar dengan dia?  Kau ingat kami bodoh? Kau ingat semudah itu kau nak tipu kami?  Hei, Syamil. Kalau negara ni tak ada undang-undang, dah lama aku tembak kepala kau sampai bersepai.  Tak pun aku siat-siat daging kau bagi anjing makan. Kau manusia paling keji pernah aku jumpa."

Erin mengamuk seperti orang gila.  Sakit hati mendengar penjelasan tidak masuk akal tersebut.

"Kau tak faham, Erin.  Aku dengan dia masing-masing dah ada kehidupan sendiri.  Kami dah move on. Malam tu kami terserempak, lepas tu kami ambil keputusan untuk tengok wayang bersama-sama sebagai kawan.  Takkan itu pun salah?"  

Gigi Syamil saling berlaga menahan geram.  Dia cuma mahu memujuk buah hatinya saja dan tidak mahu hal itu berlarutan.  Erin pula sibuk-sibuk menjadi galang-ganti dan masuk campur urusan mereka.

"Haaa… bagus betul lakonan kau.  Gred A! Haa… tepuk! Aku tepuk tangan kuat-kuat.  Kau selayaknya jadi pelakon. Eh, silap. Kau selayaknya jadi penipu besar!  Paling tidakpun scammer. Kalau beginilah kata kau, jangankan Tia, aku sendiripun takkan percaya skrip drama sampah kau tu.  Baliklah Syamil. Tia tak ingin pun berjumpa dengan engkau lagi."

Erin menolak daun pintu dengan kuat namun sempat ditahan oleh Syamil.  Apa lagilah yang lelaki itu mahu. Tidak faham bahasa langsung!

Tidak semena-mena, Syamil menghantuk kepalanya ke dinding konkrit bertentangan dengan pintu rumah Erin.  Gadis itu agak terkejut dengan kelakuan bodoh Syamil itu.  

"Syamil!  Cukup! Syamil! Sudahlah tu!"  

Keringat membasahi dahi Erin apabila tompokan darah mula terpercik ke dinding putih tersebut.  Tidak tentu arah Erin menyeru nama Syamil agar tidak meneruskan perbuatannya.

Syamil menoleh dan menyeringai kesakitan.  Kakinya menapak semula ke pintu rumah Erin.  Cecair merah yang menitis di dahinya dibiarkan mengalir begitu sahaja.

"Kau dah gila ke?  Kau saja nak menyusahkan kami?"  Bulat mata Erin menyoal. Matanya tidak lepas-lepas memerhati keliling.  

"Kau nak panggil Tia ke tidak?" soal Syamil mendatar tetapi tegas.

"Tia tak ada.  Dia balik kampung."  Erin sengaja menipu Syamil dan berdoa agar lelaki itu lekas pergi.

"Kau tipu!  Aku tahu kau tipu!  Aku nak Tia! Panggil Tia ke sini, anak gampang!" 

"Kau tak reti bahasa ke, hah?  Aku cakap Tia tak ada kat sini, tak adalah!  Woi, baliklah! Jangan buat bising kat sini!" 

Nampaknya situasi semakin tegang.  Kedua-duanya langsung tidak mahu mengalah.  Sebagai kawan, Erin bertanggungjawab melindungi Tia dari lelaki durjana seperti Syamil.  Membiarkan Tia hanyut dalam cinta palsu Syamil umpama melempar umpan kepada buaya ganas yang sedang kelaparan.  

"Aku peduli apa!  Aku tidak akan berganjak selagi Tia tak keluar.  Kau panggil dia cepatlah, celaka!"

Ini sudah lebih.  Kata-kata Syamil dianggap sebagai satu ugutan.  Semakin mendidih darah Erin dengan kedegilan Syamil yang tidak berpenghujung.

"Kalau kau tak pergi juga dari sini, aku akan buat report polis sebab kau telah mengganggu ketenteraman awam.  Biar kau meringkuk dalam lokap!" Erin memeluk tubuh dengan bangga.  

"Pergi mampuslah dengan report kau!  Kau nak panggil Tia ke tidak?"

Nafas Syamil kencang dan ia dapat dilihat dengan dadanya yang berombak.  Air mukanya keruh dan tegang. Tangan kanannya pula diseluk ke dalam kocek.  Entah apa yang akan dilakukan oleh Syamil lagi. Satu pisau lipat berada di genggaman Syamil kini. 

Dia mengangkat tinggi tangan kirinya lantas menoreh kulit tangan itu berkali-kali. Garis-garis panjang dihiasi darah mula terbentuk.  Erin panik dengan apa yang terjadi. Lelaki itu sudah gila agaknya hingga sanggup mencederakan diri sendiri.

Tiap kali lengannya ditoreh, tiap kali itulah nama Tia disebut-sebut.  Tia keluar dari bilik kerana tidak tahan dengan gangguan melampau Syamil sehingga perbalahan mereka mengganggu lenanya.

"Tia!  Kenapa kau keluar bilik?"  Erin menolak Tia ke belakang pintu.  Kesal apabila kemunculan Tia secara tiba-tiba itu menyebabkan usahanya tadi menjadi sia-sia.

"Aku malaslah nak dengar kau orang berdua bertekak.  Malu tau tak kalau jiran-jiran dengar."   

"Sayang!  Mil datang ni.  Tengok ni, sayang.  Ini bukti Mil cinta Tia pada sayang." 

Syamil mengangkat tinggi lengan kirinya lalu disorong melalui celahan jeriji.  Erin meneliti kesan torehan yang tidak terlalu dalam itu.

Jambangan bunga mawar merah kesukaan Tia tetap erat dipegang.  Coklat dalam bungkusan mewah keemasan diatur cantik ke dalam bekas yang diikat riben putih.  Tia pasti cair melihat usahanya yang tidak berbelah bahagi.

'Eleh!  Bukan dalam mana pun torehan tu.  Elok tikam terus je perut sendiri sampai mampus!'  Bibir Erin dicebik tanda meluat dengan kerenah Syamil yang semakin menjadi-jadi.

Tia membatukan diri.  Benci dia mendengar suara Syamil yang menyapa cuping telinganya.  Bencinya bertambah lagi tatkala wajah Syamil terjengul di sebalik jeriji yang memisahkan mereka.  Ulas bibirnya bergerak-gerak menahan sebak. Hatinya bagai dicucuk-cucuk dengan beribu-ribu batang jarum, perih dan sakit!  Dia tidak mahu nampak lemah di mata Syamil. Dia perlu kuat. Peristiwa semalam masih berbekas di hatinya.  

"Baliklah, Mil.  Tia tak nak jumpa Mil lagi.  Mulai sekarang, hubungan kita putus!"

Dum!

Pintu utama ditolak kasar menghasilkan dentuman yang kuat.  Syamil terkulat-kulat dengan tindakan drastik Tia yang di luar jangkaannya.  Tia berlalu ke bilik tanpa menghiraukan Erin yang tunak merenungnya dengan mata terbuntang.  Dalam masa yang sama, dia bangga dengan Tia kerana berani dan tidak terpedaya dengan cumbu rayu jantan tak guna terbabit.

Setelah berfikir masak-masak, dia bertekad untuk mengikut kata hatinya sendiri.  Segala kenangan lalu dan jerih payah meniti kehidupan bersama-sama akan luput dari ingatannya suatu hari nanti.   Tiada guna dia membazirkan air mata untuk lelaki yang tidak menghargai dirinya. Kepada Allah dia berserah. Sesungguhnya hanya Dia yang lebih mengerti.  

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh