Bab 7

"APA dia?  Tia dah lambat ni."   Beberapa kali muka jam tangannya ditilik.  

Hujung lengan baju Tia ditarik, menghalang gadis itu dari melangkah pergi.  Hajatnya yang satu itu belum lagi tertunai. Tia tenung wajah sayu Syamil dengan penuh tanda-tanya.

"Kalau Tia tak keberatan, boleh tak Tia pinjamkan Mil duit?  Mil tengah sesak ni." 

Jawapan Tia dinanti dengan sabar.  Air muka Tia sukar ditebak saat ini, bak air tasik yang tenang.  Namun siapa tahu, dasarnya bergelora hebat. Syamil yakin, Tia tidak sanggup menolak permintaannya.  Dia kenal benar hati budi Tia yang tidak betah melihat dirinya berada dalam kesusahan.

"Duit apa lagi ni?  Mana Tia ada duit?" Tia berkata jujur.  

Bagai hendak luruh jantung Tia dengan permintaan Syamil yang sudah dapat dihidu.  Pantang bila berjumpa dengannya, duit saja yang dipinta. Syamil anggap Tia seperti tukang cop duit.  Minta saja berapa jumlahnya, terus kepingan kertas itu jatuh ke ribanya dari langit.

"Tipu!  Tadi elok je boleh bayar makan."

Syamil cebik bibir.  Dia tahu Tia menipu. Gadis itu semakin pandai melawan cakap. Pasti angkara Erin.   Dia menyumpah-nyumpah Erin dalam hati. Gadis itu memang suka menyibuk hal orang!

"Tia anggap itu sebagai sedekah.  Tapi kalau Mil mintak duit selalu dengan Tia, lama-lama habis juga."

Jantung Tia berdetak kuat mengepam darah ke seluruh tubuh.  Dikawal rasa geram dan kecewa yang datang pada masa yang sama.  Cuping telinga terasa panas. Giginya yang indah tersusun diketap menahan rasa.

"Takkanlah itu pun nak berkira?  Mil tak minta banyak. Dua ratus ringgit je."   Suara Syamil naik seoktaf.

Stereng ditumbuk geram untuk melepaskan rasa marah bila hajatnya ditolak.  Dasar perempuan kedekut! Poketnya benar-benar kering. Hanya Tia tempat dia meminta simpati.  Dan hanya Tia saja yang sudi membantunya tidak kira masa. Kedunguan gadis itu dimanfaatkan sebaik mungkin demi kelangsungan hidupnya sehari-hari.

"Ya Allah!  Pernah ke selama ni Tia berkira dengan Mil?  Tia memang tak ada duit. Percayalah!"  

Tia sudah malas bertekak.  Dia muak dengan sikap Syamil yang suka mendesak.  Dia tidak ingin peristiwa yang terjadi dahulu berulang kembali.

Syamil mula berang.  Beg tangan Tia direntap kasar.  Terkejut Tia dengan tindakan di luar kawalannya itu.  Digeledah beg tangan berwarna coklat itu di setiap ceruk.  Syamil tidak ubah seperti orang gila akal.

"Mil!  Apa Mil buat ni?"

Tia cuba merampas semula beg tangannya.  Malangnya dompet Tia sudah tergenggam kemas di tangan Syamil.

"Ini apa?  Aku tanya ni, ini apa?  Kau memang sengaja tak nak aku bagi duit, kan?" 

Beberapa keping wang kertas diselit kemas di celahan jarinya.  Wang itu ditayang ke muka Tia yang merona merah. Tia rasa seperti hendak menangis. Tergamak Syamil 'mencuri' wang miliknya.  

"Tolong jangan ambil duit tu.  Itu aje yang Tia ada untuk belanja bulan ni."  Tia merintih dan merayu agar dikasihani.  

Dalam masa yang sama, matanya melingas ke sana-sini.  Zaman sekarang apa-apa saja yang menarik hati, pasti saja tular di media sosial.  Tidak sanggup Tia melihat rakaman dirinya sendiri dan menjadi tular ke setiap pelusuk dunia.  Bukan aib dirinya saja yang dijaja, maruah keluarganya juga terheret sama.

Sedikitpun tiada rasa kesal yang bertunas di hati Syamil.  Bahkan wang itu terus saja disimpan ke dalam kocek seluarnya selepas dicium berkali-kali.  Beg tangan Tia dicampak keluar tingkap lalu jatuh di atas jalan. Pedal minyak ditekan kuat, decitan tayar akibat geseran pada jalan tar membingitkan telinga.  Tia lekas-lekas mengutip kembali beg tangan itu dan mengesat takungan air mata sebelum sempat ia menitis ke pipi.

'Ada duit cakap tak ada duit,' omel Syamil sendirian.  Dia tersenyum puas dengan kemenangan yang dicapai.

Dahulu, senang-senang saja Tia memberi wang kepadanya tanpa banyak soal.  Sejak campur tangan Erin, Tia mula berubah sikap. Gadis itu suka mempersoalkan perihal masalah kewangannya berulang kali.  Tia juga sudah pandai membantah dan semakin bercambah sikap curiga terhadap dirinya. Dia tidak boleh membiarkan hal itu berlarutan.  Hidupnya juga yang akan susah nanti. Tia perlu diajar agar dirinya tidak dipijak-pijak sesuka hati.

Tia melabuhkan punggung di kerusi.  Pelipisnya dipicit kasar. Sakit kepalanya mengenangkan sikap biadap Syamil.  Sampai bila dirinya harus diperlaku begitu. Dia penat. Dia lelah dengan semua ini.  Syamil jelas menunjukkan belangnya yang sebenar. Syamil yang dulu sudah jauh bezanya dengan sekarang.

••°°••


ERIN memerhati sosok lelaki yang amat dikenalinya memasuki ke dalam restoran segera itu.  Mereka berjalan bergandingan seraya memilih tempat duduk. Tangan lelaki mirip Syamil itu berlingkar di pinggang ramping seorang gadis yang berpakaian menjolok mata.  

Jeans biru ketat menampakkan tiap lekuk tubuh.  Kemeja kosong berona merah jambu sengaja dibuka butangnya di bahagian dada, menonjolkan bahagian yang tidak sepatutnya dipertontonkan kepada umum.  Rambut panjangnya pula disanggul tinggi, mendedahkan leher gadis itu yang dikalung dengan seutas rantai emas.

Bibir munggil Erin mengucap istighfar, moga titik hitam dalam hatinya hilang kerana terlalu jauh menghitung kesalahan orang.  Syamil langsung tidak perasan akan kehadiran Erin di situ. Mereka kelihatan gembira dan bergelak-ketawa bersama-sama.  

"Pesanan cik dah siap," ujar juruwang di kaunter berkenaan.  Dua set burger keju dan minuman bertukar tangan.

Sengaja Erin menapak perlahan ketika melintasi meja pasangan sejoli itu.  Telefon pintar miliknya siap siaga dalam mod kamera. Sempat Erin merakam gambar wajah gadis itu dari jarak dekat.  Kerjanya menjadi lebih mudah kerana Syamil duduk membelakangkan dirinya. Secepat kilat Erin mengatur langkah ke ruang parkir.

'Aku ada bukti jelas untuk kau, Tia,' monolog Erin teruja dengan pecutan nafas laju.

Sampai di rumah, dilihatnya ruang tamu masih bergelap.  Nampak gayanya Tia pulang lewat lagi. Suis lampu dipetik, menjadikan ruang tamu terang-benderang.  Kasut tumit tinggi Erin disandar ke tepi dinding. Manakala, bungkusan makanan segera diletakkan di atas meja makan.  Lelah dilepas di sofa. Dia duduk bersandar sambil memeluk satu kusyen kecil berbentuk tembikai.

Neuron saraf mengaktifkan memori Erin kepada momen yang tidak diduganya tadi.  Pantas telefon pintar dikeluarkan dari beg tangan. Dibelek-beleknya gambar gadis seksi itu acap kali.  Entah bagaimana mereka berdua bertemu dan seterusnya berkenalan. Syamil sudah melampau. Dia bukan sahaja bertindak memeras Tia, malahan cinta Tia juga diduakan.  Dia berdoa agar Tia cepat sedar dan tidak lagi berhubungan dengan Syamil.

Klak!

Tombol pintu diputar dari luar.  Terlihat sosok Tia yang keletihan memasuki rumah.  Jika diikutkan hatinya yang panas, mahu saja dia menerpa ke arah Tia, menunjukkan gambar itu kepadanya dan berharap akan hubungan mereka putus di tengah jalan. Akan tetapi, apabila dilihat Tia yang kelihatan lesu dan tidak bermaya, niatnya itu terpadam.  Senyuman manis dilakar pada wajah yang tersirat dengan benci.

"Baru balik?  Aku dah belikan makanan.  Tapi burger ajelah. Kau okey, kan?" tanya Erin lembut.

"Ya.  Encik Haider balik lewat pula tadi.  Susah-susah je belikan untuk aku sekali.  Terima kasih, tau." Tia tersenyum manis.

Beza Tia dan gadis seksi itu tadi bagai langit dengan bumi.  Tia jauh lebih sopan dan penuh dengan sikap-sikap ketimuran. Erin seakan dapat menghidu niat Syamil terhadap Tia.  

"Erin!  Erin!" 

Tia terpaksa memanggil Erin berulang kali kerana sahabatnya itu seperti sedang mengelamun saja gayanya.  Erin menoleh pantas dengan riak bingung.

"Kau panggil aku ke?"  

"Iyalah.  Kau sedang fikir apa tu?  Aku nak mandi dan solat dulu.  Kalau kau lapar, kau makanlah dulu, tak payah tunggu aku," tutur Tia sekali lagi.

"Oh!  Okey… aku pun nak mandi dulu."  Erin bingkas bangun menuju ke biliknya. 

Begitu segar terasa saat pancuran air panas menyentuh kulit.  Segala sengal-sengal badan semakin berkurangan. Tia berada di bawah air hujan agak lama.  Bayang Syamil tiba-tiba menjengah di benak. Pili air hujan ditutup lantas wudhuk disempurnakan setelah tubuhnya dilap dengan tuala.

Usai solat dan wirid, lama Tia menadah tangan, memohon kepada Illahi agar diberi secubit ketenangan dalam hati.  Semoga dirinya sentiasa di bawah rahmat-Nya dan tidak lupa juga akan kesejahteraan kedua-dua orang tuanya. Terlalu banyak masalah antara dia dan Syamil sejak akhir-akhir ini.  Dia sendiri pun tidak tahu di mana salah dan silapnya. Syamil berubah 360 darjah dalam sekelip mata.

Telekung dilipat dan disidai pada rak yang terletak di sebelah almari.  Ternyata Erin keluar bilik lebih awal darinya. Bunyi suara dari TV yang terpasang menghilangkan rasa sunyi di rumah itu.

"Jom, makan!  Sorry lah, aku lapar sangat.  Aku terpaksa makan dulu," jelas Erin dengan mulut penuh.

Tia mengambil tempat di sebelah Erin, turut sama mengunyah burger keju yang telah sejuk.  Sesekali, air soda disedut buat penghilang dahaga. Erin melihat Tia dari sisi. Hatinya berbelah-bagi untuk menyatakan hal kecurangan Syamil.  Jika bukan dia, siapa lagi yang dapat membantu Tia.

Gemersik ketawa Tia kedengaran saat menonton siri lawak yang ditayangkan di kaca TV.  Wajah manis itu jarang sekali terhias ketawa. Mendung menyelubungi jiwa dan raga Tia, dan terpancar pada tampang wajah yang menafsir duka lara.  Perlahan-lahan Erin merangka kata-kata yang bakal diluah.

"Tia… aku ada benda nak cakap dengan kau."

"Apa dia?"  Tia bertanya tanpa menoleh.  Matanya tetap melekat di skrin TV.

"Pasal Syamil."  

Erin menunjukkan sekeping gambar pada telefon pintarnya.  Tia melihatnya sekilas lantas matanya dikalih semula ke kaca TV.  Erin bungkam. Tia langsung tidak bertanyakan perihal gadis itu.

"Kau tak nak tahu itu siapa?"  Erin terpaksa juga bertanya apabila Tia seakan tidak berminat untuk mengambil tahu.

Bahu Tia terjongket.  Bukan urusannya untuk cakna.  Apa gunanya Erin menyimpan gambar itu jika Erin sendiri pun tidak tahu siapakah gerangannya.

"Petang tadi aku terserempak dengan seorang lelaki mirip Syamil dan perempuan ini di restoran.  Dia orang nampak mesra sangat. Aku tak rasa mereka sekadar kawan."

Sorot mata Tia tajam menerkam ke arah Erin.  Separuh hatinya cuba percayakan akan kata-kata Erin.  Sememangnya Erin seorang sahabat yang jujur. Dia tidak nampak sebarang sebab dan musabab untuk Erin menipu dirinya.

"Mana gambar Syamil?  Kenapa gambar perempuan tu je yang kau ada?"  Soalan Tia menyentap hati Erin.

"Aku tak sempat nak tangkap gambar kedua-duanya.  Lagipun aku takut Syamil dapat cam aku di situ. Itu sajalah gambar yang aku ada." Nada suara Erin berbaur kesal.

Tangan Erin digenggami Tia.  Hangat terasa tatkala kulit mereka saling bersentuhan.  Tia mengusap tangan Erin perlahan.

"Erin… aku hargai apa yang kau sedang lakukan sekarang ni.  Tapi, kau perlu tahu satu perkara. Fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh.  Berdosa besar seseorang itu bila kita menyebarkan berita palsu. Kau cuma cakap lelaki tu mirip dengan Syamil.  Tak semestinya dia tu Syamil." Tia mengeluh kesal. Nafas dihela lama sebelum diluah dalam satu keluhan halus.

"Dalam surah al-Baqarah: 217 ada menyebut, dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan.

Aku minta maaf, Erin.  Kalau ada bukti kukuh yang menunjukkan Syamil dan perempuan tu ada bersama-sama, aku akan percayakan kau tanpa ragu-ragu.  Tapi… itu cuma sekeping gambar yang entah siapa-siapa.  

Kasihan gadis itu.  Dia tidak bersalah, malah difitnah pula.  Maafkan aku, Erin. Aku tak dapat nak bersetuju dengan pendapat engkau.  Tolong jangan salah faham. Sejujurnya, aku hargai niat murni kau. Tapi tidak kali ini," jelas Tia panjang lebar.

Erin mati kata.  Lidah terkelu bagai dicantas keluar.  Sesungguhnya hujah Tia sukar dipatahkan.  Setiap butir kata-kata Tia terbukti kebenarannya.

"Tia, aku… aku…."  Erin terpunduk lemah.  Manik-manik jernih mengalir dari empangan air mata.  

"Aku faham, Erin.  Aku faham."  

Tia pamit ke kamar tidurnya meninggalkan Erin keseorangan di ruang tamu.  Gelak ketawa penonton di pentas lawak itu seolah-olah sedang mentertawakan dirinya saat ini. Dia bagai terlambung-lambung di ombak penyesalan.  Rasa marah, geram, malu dan benci mengasak di tiap penjuru hati. Mukanya ditekup dengan tangan. Linangan air jernih mengalir di setiap ceruk wajah.  

'Itulah kau Erin.  Menyibuk hal orang lagi.'  Suara hatinya juga mengejek sama.

Pintu kamar ditutup rapat.  Tia bersandar di pintu, membendung rasa curiga di hati.  Tipulah jika hatinya tidak terusik walau seinci. Dengan sikap Syamil yang semakin berlawanan arus, peratusan telahan Erin boleh dipakai juga.  Sementelahan, telefon pintar Syamil sering saja disimpan rapi ke dalam poket. Apatah lagi kata laluan rahsia sudah mula ditetapkan. Tidak seperti dulu, Tia bebas meneroka ke setiap aplikasi telefon milik Syamil.

Nombor telefon Syamil didail.  Panggilan Tia terus disalurkan ke peti simpanan suara.  Tia tidak berputus asa. Didailnya nombor itu berkali-kali tanpa jemu.  Keadaannya tetap sama. Tia kalah pada perasaannya sendiri. Hatinya sakit seperti ditikam bertubi-tubi dengan pisau tajam.  Akhirnya tubuh kurus itu terjelepok ke lantai jubin dengan esakan halus di bibir. Wajah gadis di dalam memori telefon Erin berlegar-legar di ruang mata.

Beberapa detik kemudian, telefon di genggaman Tia bergetar.  Tanpa melihat nama pemanggil di skrin, terus saja Tia menjawab panggilan tersebut.

"Hello, Syamil."  Serak suara Tia menyapa.

"Siapa Syamil?"

••°°••




Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh