Bab 18

MEREKA tiba di Wisma Juta Empire tepat jam 10 malam.  Syamil memperlahankan kereta yang dipandu tatkala melintasi pondok pengawal keselamatan.

"Nak ke mana, encik?  Kawasan ni dilarang masuk selepas waktu pejabat," ujarnya.

"Pak cik, saya Tia pembantu peribadi Encik Haider.  Saya nak masuk pejabat sekejap.  Ada dokumen penting untuk mesyuarat esok."  Tia menerangkan secara ringkas kepada pengawal tersebut seraya menunjukkan pas kerja miliknya.

Setelah pengesahan dibuat, Tia dibenarkan masuk ke dalam wisma.  

"Nak saya temankan ke, Cik Tia?"

"Tak perlu.  Saya boleh pergi sendiri."

Syamil menanti di dalam kereta kerana hanya staf di Wisma Juta Empire yang dibenarkan memasuki bangunan dengan alasan munasabah.  Apabila sepasang kaki beralas sepatu tinggi itu melangkah masuk ke dalam perut lif, pelbagai rasa bergolak di dalam minda.  Pintu lif terbuka di destinasi yang dituju.  Tia menapak dengan laju ke arah biliknya dalam bantuan cahaya dari aplikasi torchlite di telefon pintar. 

Pandangan dilempar ke bilik Haider, gelap.  Nafas dihela lemah.  Rintik peluh di dahi terhasil kerana ruang pejabat itu agak pengap tanpa alat penghawa dingin.

'Mana pula kunci ni?'  Tia mengomel geram.

Sedang dia mengejar masa, benda yang dicari pula tidak dijumpai.  Beberapa minit kemudian kunci bilik Zahrin ditemui dalam laci kedua.  Kunci bagi setiap bilik di ruang itu telah diamanahkan kepada Tia untuk menjaganya.  Jadi tidak menjadi masalah kepadanya untuk mencari bukti gangguan seksual yang dilakukan oleh Zahrin kepadanya siang tadi.

Dengan lafaz Bismillah, Tia memutar tombol pintu.  Lampu meja di bilik itu masih lagi terpasang.  Bebola mata Tia melingas sekeliling.  Romanya hebat merinding kerana dihantui perbuatan biadap Zahrin di bilik itu.

Jari jemarinya buas menyelongkar ke segenap pelusuk meja lelaki durjana itu.  Laci ditarik dan digeledah.  Tiba-tiba indera pandang menangkap satu pen drive yang dicari-cari.  Tatkala kaki ingin melangkah keluar, telinganya menangkap bunyi ketawa seseorang.  

Sayup-sayup menyapa lohong pendengaran lantas romanya kembali menegak, jantung juga hebat berdetak.  Bermacam-macam andaian buruk dan menyeramkan berlayar di kepala.  

'Han… hantu!' 

Seluruh tubuh Tia menggigil.  Seketika itu, dia terlihat sejalur cahaya yang mencuri keluar dari bilik rehat Zahrin.  Bilik itu dikhaskan sebagai ruang peribadi untuk lelaki itu menukar pakaian dan juga solat.  Menyedari ada sesuatu yang tidak kena, Tia berhasrat untuk memeriksa.  Tidak dihiraukan getaran telefon pintarnya di dalam tas tangan.  

Langkah disusun cermat.  Tubuhnya kian menghampiri pintu ruang rehat itu yang sedikit renggang.  Dengan sisa-sisa keberanian yang ada, Tia cuba mengintai ke dalamnya.  Hampir luruh jantung gadis itu melihat aksi yang tidak sepatutnya oleh dua orang manusia yang sudah hilang sifat malu dalam diri.

Dua orang manusia yang amat dikenalinya itu langsung tidak menyedari kehadiran Tia yang menjadi pemerhati rahsia perbuatan terkutuk mereka.  Telefon di dalam tas tangan dikeluarkan.  Beberapa keping gambar dan juga rakaman video aksi panas mereka disimpan kemas di dalam telefonnya. Tia sendiri tidak tahu kenapa dia bertindak begitu.  Mungkin itu dapat dijadikan bukti penting sekiranya Zahrin mula berdolak-dalik.

Syamil gelisah di dalam kereta.  Hampir setengah jam Tia meninggalkannya sendirian.  Bayang gadis itu tetap jua belum muncul.  Sudah berapa batang rokok menjadi habuannya malam itu.  Jam yang melekap di pergelangan tangan acap kali dikerling.  Sesekali dia mendengus marah.

"Jom, kita balik!" ajak Tia sejurus melabuhkan punggung di sebelah Syamil.

"Dah jumpa barang tu?"  Tia mengangguk laju. 

"Ni kenapa pucat semacam macam nampak hantu?"  Syamil tidak jadi memulakan perjalanan apabila melihat Tia yang gelisah dan terkejut.

"Tak ada apalah.  Jalanlah cepat. Dah lewat malam ni."

Akhirnya pedal minyak ditekan tanpa banyak soal.  Sebelum menghantar Tia pulang, sempat mereka singgah untuk membasahkan tekak di warung setelah jenuh dipujuk Syamil. Suasana di dalam kereta sunyi tanpa suara.  Dalam dingin malam dan alat penghawa dingin yang menyapu kulit membuatkan kudup mata Tia memberat.  Berkali-kali dia menutup mulut yang ternganga kerana menguap.

"Terima kasih sebab temankan Tia.  Selamat malam."

Lekas-lekas Tia berjalan memasuki kawasan bangunan kediamannya sejurus pintu kereta dihempas.  Puas dia melingas ke sana-sini tercari-cari kelibat Erin yang mungkin saja ada di sekitar.  Dia tidak mahu dilihat berada bersama Syamil.  Apa pula kata Erin nanti.  Sudah tentu perang dunia ketiga akan meletus sekiranya rahsia itu pecah.

•°•°•°•


SYAMIL menyanyi-nyanyi girang sambil menyikat rambutnya di hadapan cermin.  Fairuz menjeling lelaki itu dengan rasa benci.  Gadis tersebut menyarung telekung lalu sejadah biru itu dihampar ke lantai.

Syamil mencebik perbuatan Fairuz dan berlalu ke dapur.  Tercari-cari apa jua makanan yang ada di dapur buat mengalas perutnya yang berkeroncong.

'Heh, satu apa pun tak ada.  Dasar pemalas!'

Terpaksalah Syamil memasak sebungkus mi segera.  Dibawa mangkuk mi segera yang masih berasap ke depan TV.  Sengaja volume TV itu dinaikkan.  Fairuz agak terganggu dan solatnya tidak kusyuk.  Sejurus memberi salam, Fairuz menghempas daun pintu bilik dengan kuat.  Terkekeh-kekeh lelaki itu ketawa kerana berjaya memancing kemarahan Fairuz.

"Sejak bila kau solat?"  

Fairuz menjarakkan tubuhnya dari Syamil yang terbaring bersebelahan.

"Solat itu wajib bagi semua umat Islam. Takkan itu pun kau tak tahu?" jawab Fairuz acuh tidak acuh.

Syamil ketawa geli hati.  Manakan mungkin air dan minyak boleh bercampur.

"Kau solat, tapi dalam masa yang sama kau buat dosa.  Tengok situasi kita sekarang ni.   Ini sudah dikira bersekedudukan.  Kau dengan aku cuma bertunang aje tau.  Bukan sebagai suami isteri yang sah.  Kita berzina sebelum nikah.  Zina termasuk dalam salah satu dosa-dosa besar.  Kau faham ke tidak?"

Fairuz mengubah posisi baringnya kepada duduk.  Wajah jelik Syamil dipandang penuh benci.  Suka-suka hati saja jantan keparat itu membahasakan dirinya.

"Apa pilihan yang aku ada, Syamil?  Kau yang paksa aku untuk tinggal dengan kau.  Kau juga yang paksa aku untuk terus menerus hidup dalam kemaksiatan.  Kau ingat aku suka?" hambur Fairuz dengan linangan air mata.

"Ya, memang kau suka.  Kalau kau tak suka apa yang aku dah buat pada kau, kenapa kau tak halang aku sejak dulu?  Kenapa kau biarkan aku ulit tubuh kau berulang kali?  Jadi aku nak tanya kau sekali lagi, apa gunanya kau solat kalau kau masih bergelumang dengan dosa?"  Intonasi suara Syamil perlahan namun berbaur tekanan.

"Sekurang-kurangnya aku boleh memohon ampun kepada Tuhan.  Aku berdoa semoga dosa-dosa aku selama ni diampunkan walaupun aku tahu aku bukan hamba-Nya yang baik.  Moga-moga segala dosa aku dikecilkan dan terhapus suatu hari nanti berbanding kau yang langsung tak berbuat apa-apa!"

Sekali lagi Syamil ketawa.  Lucu dia mendengar pengakuan Fairuz.  Agaknya otak tunangnya itu sudah rosak kerana selalu dipukul.  

"Kau jangan cakap macam penagih dadah, boleh tak?  Kau bukannya tak pernah goda aku dulu.  Atau kau sudah hilang ingatan.  Kau jadi biol sebab tangan ni selalu sangat  hentam kepala kau macam ni, kan?  Betul tak?"

Tangan Syamil galak menolak kepala Fairuz.  Terteleng-teleng kepala Fairuz mengelak. Tindakan  Syamil langsung tidak dijangka oleh gadis tersebut.  Tangan kecil Fairuz bertindak menahan dari dikasari.  Suara bantahan Fairuz bertingkah dengan ketawa Syamil, bingit.

"Berubahlah, Syamil!  Sampai bila kau nak dera aku macam ni?"  

Ditolak tangan Syamil dengan kuat lalu merapatkan diri ke dinding.  Tangan memagut lutut.  Wajahnya disembam ke situ.  Segala tangisan kecewa dihambur semahunya.

"Sampai hati aku puas!  Kau dengar sini, eh.  Kau ingat aku hairan dengan diri kau yang rosak tu?  Kau dengar sini baik-baik, betina sundal.  Ramai lagi perempuan di luar sana yang sanggup melayan kemahuan aku.  Bukan kau seorang aje yang boleh.  Silap-silap hari bulan dia orang bagi aku khidmat free dengan layanan first class.  Kau... heh, semua benda aku kena ajar.  Kalau tidak kaku ajelah macam kayu balak!   Bermodalkan RM30 pun aku boleh lanyak dia orang sampai ke pagi.  Puihhh!"

Raungan penyesalan bergema di ruang bilik tersebut.  Tidak terkira betapa sesalnya dia kerana mengenali Syamil.  Segantang emas pun tidak dapat menggantikan rasa kesalnya kerana terjerumus dalam lembah hina yang jauh ke dasarnya.  

Jika dia keraskan hati dan tidak mengikut hawa nafsu, sudah tentu dia tidak akan sesat sejauh ini.  Kepada Allah dia meminta ampun.  Kepada-Nya juga dia memohon agar hati Syamil yang gelap itu diterangi cahaya  kesedaran.  Fairuz mengimpikan sebuah rumah tangga yang indah umpama syurga.  Bukannya syurga dunia yang dikecapi cuma sementara.

Tidak sanggup lagi rasanya dia diperlakukan seperti binatang, dihina dan dicaci seperti dia tidak punya sekelumit perasaan.  Pada malamnya pula dia dipaksa melayan serakah Syamil yang tidak berkesudahan.  Bagaimana pula penerimaan orang tuanya nanti jika belang sebenar Syamil terbongkar.  Kepalanya menjadi serabut dengan tiba-tiba, sarat dengan soalan demi persoalan yang tiada jawapan.

'Mak… ayah.  Fairuz tersalah pilih bakal suami….'

•°•°•°•


SUBUH yang damai dimulai dengan kalam-Nya.  Sujud dan zikrullah menghidupkan bilik yang dihuni Tia.  Dipohon agar hatinya diberi ketenangan, agar langkahnya dipermudahkan dan keadilan akan berpihak kepadanya hari ini.

Air mata pilu berlinangan tatkala doa ke atas kedua-dua orang tuanya dipanjatkan.  Tinggal beberapa hari lagi dia akan pulang ke kampung halaman.  Pohon rindu kian lebat dan rendang.   Panggilan telefon sajalah yang mampu menjadi pengubat rindu di dada. 

Sebelum itu, dia harus menyelesaikan kerumitan yang membelenggu diri. Semalaman dia tidak tidur.  Tia sibuk menimbang tara segala kemungkinan yang akan terjadi apabila berdepan dengan Haider.  

Segala tindakan dan keputusan Haider akan diterima dengan tenang.  Dia bergantung harap sepenuhnya kepada Allah.  Gadis itu mengenakan sepasang kurung hijau lambang ketenangan jiwa.  Selendang berona krim menjadi pelengkap gaya Tia di pagi itu.

"Allahumma laa sahla illa maa ja’altahu sahlaa, wa anta taj’alul hazna idza syi’ta sahlaa.”

"Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali yang Engkau buat mudah. Dan engkau menjadikan kesedihan (kesulitan), jika Engkau kehendaki pasti akan menjadi mudah."

Rintik hujan menitis di bumi Allah yang indah mengiringi perjalanan Tia ke Wisma Juta Empire.  Tinggal 15 minit lagi sebelum menjengah ke pukul 8 pagi.  Tatkala bunyi derap kaki berjalan ke arahnya, jantungnya semakin berdebar-debar.  

Ada dua perkara yang mengganggu fikiran Tia saat itu; penjelasannya kepada Haider akan kehilangan dirinya secara drastik semalam, dan juga pengakuannya tentang kejahatan Zahrin terhadapnya yang pasti mengundang pelbagai implikasi.  Notifikasi dari aplikasi WhatsApp di telefon pintar bergetar di dalam genggamannya.

Syamil
Jangan lupa buat apa yang Mil suruh.

Tia membacanya sekilas dan tidak berhasrat untuk membalas pesanan itu.  Ah!  Tidak pasal-pasal Syamil terlibat dalam hal ini.  Tia memejam kudup mata, nafas dilepas perlahan dan tidak lupa untuk berdoa kepada-Nya agar diberi kekuatan diri dan dilindungi daripada segala marabahaya.  Selebihnya dia berserah kepada yang Maha Kuasa.

"Assalamualaikum, Tia."

Bagai terhenti detak jantung gadis itu apabila Puan Habibah menjenguknya di muka pintu dengan memberi salam.  Teragak-agak dia menjawabnya dan terus bersalaman.

"Puan sihat?"  Itu sahaja soalan yang terlintas di benaknya waktu ini.

"Alhamdulillah, sihat.  Tia apa khabar?"

"Alhamdulillah, khabar baik, Puan."

Puan Habibah mengangguk dengan senyuman meleret.  Haider di sebelah ibunya merenung Tia tidak berkerdip.  Sesekali Tia melihat kakinya sendiri.  Dia tidak betah menatap sepasang mata itu lama-lama.  Dia tahu, Haider akan tetap menuntut penjelasan darinya pada bila-bila masa sahaja.  

"Saya masuk ke pejabat dulu dengan Haider.  Nanti kita jumpa lagi, ya."

Puan Habibah dan anaknya pamit ke bilik Haider sehingga susuk tubuh itu hilang dari pandangannya.  Kehadiran Puan Habibah ke pejabat itu langsung tidak dijangka sama sekali.  Semenjak kematian suaminya beberapa tahun yang lalu, wanita anggun itu amat jarang menunjuk mukanya di pejabat melainkan ada sesuatu hal yang penting.

Dalam masa yang sama, Tia agak kecewa kerana rancangan asalnya tersasar dengan kehadiran Puan Habibah yang langsung tidak dijangka.  Seboleh-bolehnya dia tidak mahu hal itu digembar gemburkan kepada semua staf di situ.  Walaupun Zahrin ternyata bersalah, aib pemuda tersebut tidak harus dicanang ke seluruh pelusuk Wisma Juta Empire.

Tia menatap telefon di tangan.  Gambar-gambar tidak senonoh yang berjaya dirakam secara curi-curi dilihat.  Seterusnya video aksi panas mereka pula ditonton tanpa suara.  Jijik pula Tia melihatnya.  Tergesa-gesa Tia cuba untuk memadam bukti-bukti tersebut.

"Tia…"

Buk!

Telefon pintarnya jatuh di atas karpet dengan skrinnya terlungkup ke bawah.  Tangan sasa milik Haider terus saja mengutip telefon itu dan pergerakannya kaku apabila matanya tertancap kepada sebuah video tidak senonoh dan pelakunya adalah kedua-dua orang stafnya sendiri.

Tia gemuruh lantas bibirnya diketap.  Mutiara jernih bertakung di tubir mata.  

'Habislah….'  Hati kecil Tia berkata-kata.

•°•°•°•


Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh