Bab 20

"KAU nak apa?"  Nelly mendengus tatkala menjawab panggilan Zahrin sebaik saja perbincangannya bersama Haider tamat.  

"Aku nak jumpa kau sekarang!" 

"Kau gila?  Kau nak aku kena buang kerja sekali? Sabarlah sikit.  Malam nanti kita jumpa."  Nelly mengawal intonasi suaranya yang nyata tertekan. 

"Kau takut?  Aku tak kira. Aku nak jumpa kau sekarang juga!  Kalau kau tak datang dalam masa satu jam, aku akan pastikan kau mendapat malu!" 

Panggilan ditamatkan Zahrin tanpa sempat Nelly memberi dalih.  Dalam keterpaksaan dia menyambar kunci keretanya di atas meja.  Nelly menyumpah seranah sepanjang perjalanannya ke rumah Zahrin.  Kedatangannya disambut oleh senyuman sinis Zahrin dan menambah tahap kebenciannya terhadap lelaki itu.

"Boleh pun kau datang cepat. Banyak sangat dalih kau ni.  Kau cuba mengelak dari aku ke?"  Zahrin merapatkan bibirnya ke telinga Nelly.  

Dada Zahrin yang tidak beralas itu ditolak kasar oleh Nelly.  Dibawa tubuhnya ke sofa dan duduk di situ.  Tas tangan mahal yang dibelinya di luar negara beberapa bulan lepas dilempar begitu saja di atas meja. 

"Ada apa kau ajak aku ke sini?" soal Nelly tanpa berbasa-basi.  Benci dia melihat sengihan Zahrin yang mengandungi 1001 makna itu. 

"Aku ada tugas khas untuk kau.  Aku nak kau musnahkan Haider dan  Tia.  Aku cukup dendam dengan dua ekor monyet tu."  

"Itu urusan kau dengan dia orang.  Kenapa aku pulak yang kena masuk campur?" marah Nelly geram. 

"Sebab kau saja yang ada access di pejabat tu.  Kau jangan risau, kalau kerja kau tip-top, habuan kau pun lumayan." 

Zahrin mengangkat kedua-kedua belah keningnya.  Dia yakin Nelly yang mata duitan itu tidak akan sekali-kali menolak tawarannya. 

"Heh, kau ada duit ke?" Nelly bertanya sinis.  Zahrin baru saja dibuang kerja.  Masakan pula dia punya wang yang banyak untuk menjadi tali barut lelaki di hadapannya.

"Kau jangan pandang aku sebelah mata, Nelly.  Kalau aku dibuang kerja sekalipun, tak bermakna aku sengkek nak mampus sampai tak mampu nak bagi kau duit."  Zahrin berkata seraya mengelilingi Nelly yang tidak senang duduk itu di sofa empuk tersebut. 

"Aku tak nak campur urusan kau, Zahrin.  Bukan senang aku nak capai kedudukan aku sekarang ni.  

"Pencapaian apa yang kau banggakan sangat tu?  Pencapaian sebagai kuli Haider yang tak tahu langsung menghargai kau?  Aku rasa kau tak patut tolak tawaran aku.  Kau sikit pun tak ada rugi apa-apa.  Sebaliknya kau dapat wang lagi.  Atau… kau akan ubah fikiran lepas tengok video ni?" 

Terbeliak mata Nelly tatkala video mesra mereka dimainkan di telefon pintar Zahrin.  Berair matanya menahan tangis.  Bibir digigit sesal.  Amarah dalam dirinya cuba dikawal.  Dia tidak sangka Zahrin mempunyai agendanya tersendiri selama ini.  Rupa-rupanya Nelly hanyalah umpan untuk mendekatkan diri kepada Haider.  Tetapi gadis itu langsung tidak dapat menghidu niat jahat Zahrin yang bertopengkan rupa paras yang menawan itu selama ini.

"Aku takkan pernah lupa layanan kau pada aku malam tu.  First class bitch!" 

Ketawa jahat Zahrin bergema di ruang tamu mewah tersebut.  Ruang yang hanya ada mereka berdua.  Ketakutan mula menggigit sanubari Nelly.  Lantaran itu, air matanya mengalir tanpa dipinta.  Mengertilah Nellya dia sekadar alat pemuas nafsu Zahrin semata.

"Dan bayangkan kalau video ni terlepas ke tangan Haider.  Agaknya kau juga akan dibuang kerja." 

Zahrin ketawa lagi.  Suka dia melihat muka cemberut Nelly.  Dia tahu gadis itu tersangatlah licik.  Jika Nelly adalah ular, dia pula sesumpah yang boleh bertukar watak dalam sesaat cuma. 

"Apa jaminan kau yang video tu takkan terlepas ke mana-mana kalau aku ikut cakap kau?"  

"Ini Zahrin la.  Sejahat-jahat aku pun takkan pernah aku mungkir janji." 

"Sial kau, Zahrin.  Aku tak ada pilihan lain.  Kau jangan ingat aku ikut cakap kau sebab aku suka!" 

"Peduli apa aku.  Yang penting, Haider dengan Tia terima akibatnya."

Nelly mati kata.  Dijeling Zahrin dengan benci.  Zahrin bersorak dalam hati kerana dia tahu, mahu atau tidak Nelly pasti akan menuruti kata-katanya jua.

***


"MIL janji yang Mil takkan sia-siakan hidup Tia."

Tia ukir senyum bahagia.  Wajah tampan Syamil ditatap lama.  Mereka saling berbalas pandangan.  Seketika, senyuman indah Tia memudar.  Nama Fairuz menjelma di dalam benaknya.  

"Habis tu, Fairuz macam mana?" Terlontar jua soalan itu dari bibir merah nan delima milik Tia.

Roman wajah Syamil berubah mendung.  Semerta wajah tampan itu menekur lantai.  Bahunya turut jatuh seperti dalam kehibaan teramat.

"Mil cuba cari jalan untuk putuskan pertunangan kami."

"Mil!  Apa yang Mil cakap ni?"

Meskipun Tia gembira dengan pengakuan Syamil tadi, dia juga bukanlah seorang wanita yang zalim sehingga sanggup membiarkan hidup wanita yang lainnya merana.

"Mil tak ada perasaan pada dia lagi.  Sejak dulu, kini dan selamanya, cinta dan rindu Mil cuma pada Tia.  Bukan Fairuz."

Tia tenggelam dalam ucapan cinta Syamil.  Hampir saja pendiriannya runtuh dek penangan ayat-ayat cinta itu.

"Tak boleh!  Mil tak boleh buat Fairuz macam tu.  Dia tunang Mil.  Sedangkan Tia bukannya siapa-siapa dalam hidup Mil.  Lupakah Mil yang kita sudah tidak punya apa-apa hubungan lagi?"

Tia memejam matanya seketika.  Akal warasnya yang hilang kembali menakluk jiwa.  Kejamnya dia kerana mengharap kasih kepada tunangan orang.  Di manakah letaknya rasa malu pada dirinya yang selama ini menjadi tembok penghadang yang paling utuh.

Syamil kian mendekati tubuh langsing Tia yang dingin digigit bayu.  Malam itu begitu indah dihiasi terangnya bulan dan kerlipan  kejora.  Bertambah indah dengan ucapan cinta Syamil yang hampir berjaya meyakinkan dirinya bahawa dialah wanita yang paling Syamil cintai.

"Sayang… walau apapun yang terjadi, Mil takkan sesekali melepaskan sayang dari hidup Mil.  Percayalah…"

Tidak semena-mena sebelah kaki Tia memijak tebing bukit lantas tubuh itu tergelincir dan tangannya sempat berpaut kepada bongkah batu yang ada.

"Tolong Tia, Mil!  Tolong Tia!"

Syamil bungkam namun pantas menangkap dan cuba menarik tubuh Tia dari terjatuh ke bawah sana.  Cenuram itu begitu dalam dan pastinya tubuh Tia bakal hancur ditembusi batu-batu tajam.

Tia memandang ke bawah.  Gaung itu gelp dan menakutkan.  Tia meronta-ronta agar diselamatkan segera.  Batu-batu kerikil berlumba-lumba jatuh ke bawah.  

"Pegang tangan Mil ni, Tia.  Jangan lepaskan pegangan Mil."

Sedikit demi sedikit tubuh Tia ditarik ke atas sehingga akhirnya berjaya diselamatkan oleh Syamil.  Wajah polos itu pucat lesi dan menggigil hebat kerana terkejut dengan kejadian yang tidak terduga itu tadi.  

Syamil mendapatkan Tia yang masih dalam ketakutan itu.  Hujung dagu Tia disentuh dengan jemarinya.  Tanpa dipinta, sepasang mata milik Syamil ditatap sayu.  Syamil menikam pandangan Tia penuh makna.  Bibirnya bergerak-gerak untuk memulakan bicara.

"Bukan ke Mil dah cakap, Mil takkan sesekali melepaskan Tia pergi."

"Syamil!"

Tia tersedar dari lena.  Bajunya lencun dibasahi peluhnya sendiri.  Diusap dadanya berkali-kali disulami istighfar bagi meredakan resah di hati.  Mimpinya tadi terlalu aneh.  Hanya ada mereka berdua.  Perlakuan Syamil kepadanya di dalam mimpi itu  bagaikan benar-benar terjadi.

'Mil takkan sesekali melepaskan Tia pergi…"

Serentak dengan itu kulitnya disapa bayu dingin.  Sepertinya Syamil benar-benar berada di sampingnya tika itu.  Roma merinding dengan sendiri.  Tiba-tiba telefon pintar Tia menyala di atas meja.  Tia turun dari sofa dan mencapai gajet itu dengan cepat.

'Syamil…'  Bibirnya menggumam.

Dia tidak berhajat untuk menjawab panggilan itu.  Sementelah, ada rasa aneh menjalar ke segenap jasadnya.  Namun kerlipan di telefon itu acapkali menyala.  Dengan malas Tia menjawabnya juga.

"Mil nak jumpa Tia malam ni.  Jam 8.30 malam Mil akan jemput Tia di rumah."

Tut… tut... tut…

Panggilan ditamatkan tanpa sempat Tia membalas sepatah kata.  Direnung skrin telefon itu sehingga cahayanya malap dan seterusnya gelap.  Tia serba-salah.  Suara Syamil kedengaran tegas dan tergesa-gesa.  Akalnya berbalah dengan hati.  Dia sudah berjanji kepada dirinya sendiri yang dia tidak akan bertemu dengan Syamil lagi.

Syamil telahpun menjadi milik orang.  Dia tidak seharusnya menjadi batu penghalang antara mereka berdua.  Namun kata hatinya berjaya mengatasi kewarasan akal.  Tia bersetuju untuk berjumpa dengan Syamil untuk kali ini sahaja.  Dan ini akan menjadi pertemuan terakhir mereka.  Seterusnya mereka akan membawa haluan masing-masing.  

***


TIA menyelinap keluar dengan berhati-hati setelah terdengar pancuran air di bilik mandi.  Dia cuba mengelak dari terserempak dengan Erin.  Banyak pula soalan yang akan meletus dari mulut becok Erin.  Sementelah, dia bukanlah seorang yang bijak mencari alasan.

Sepasang sandal ditarik keluar dari rak kasut.  Pintu rumah dikunci cermat lantas kaki diayun laju ke pintu lif.  Nasibnya baik kerana tidak perlu menunggu lama kerana pintu lif itu terus saja terbuka tanpa sempat dia menekan butang lif.

Dari jauh kelihatan kereta milik Syamil berada di tenpat biasa.  Tia mengetuk cermin kereta kerana Syamil langsung tidak menyedari akan kehadirannya di situ.

"Assalamualaikum…"

"Waalaikummusalam.  Kita pergi ke satu tempat ni dulu, ya.  Lepas tu baru kita keluar makan."

Tia sekadar mengangguk sekali.  Dia tidak jadi bertanya lanjut lantaran Syamil dilanda 'mood swing'.  Sesekali keluhan berat terlepas dari bibir Syamil.  Tia duduk tegak di kerusi dan memandang ke depan ke arah jalan raya.  Hatinya tertanya-tanya ke manakah destinasi mereka ketika itu.

Hampir setengah jam kemudian kereta dibelok memasuki perkarangan kolej.  Syamil memberhentikan keretanya di tepi sebuah blok yang masih menyala lampunya kerana blok-blok bangunan lain sudahpun bergelap.

Matanya dipicing kepada satu signboard bertulis 'Lecturer'.  Sedarlah dia bahawa Syamil membawanya ke tempat kerja Fairuz.  Tia tahu kerana Syamil pernah bercerita kepadanya akan tempat kerja part time Fairuz tidak lama dulu.

Lima belas minit telah  berlalu.  Puas merewang di setiap media sosial Tia akhirnya duduk bersandar sekaligus merehatkan tubuhnya yang keletihan.  Dalam kedinginan alat pendingin hawa Tia terlelap jua.

Setelah terjaga kelibat Syamil masih tiada di bahagian tempat duduk pemandu.  Sesekali lensa matanya mengitari sekitar.  Hanya kegelapan yang tersaji di depan mata.  Kerana bosan menunggu Tia mengambil keputusan untuk melihat apa yang berlaku kepada mereka berdua.

Pintu kereta dibuka perlahan-lahan.  Seperti seorang penyiasat persendirian lagaknya Tia berjalan menghampiri bilik yang tertera nama Fairuz.  Dari luar pintu lagi Tia dapat mendengar perang mulut antara mereka.  Sesekali, namanya juga disebut-sebut dalam bergaduhan itu.  Dada Tia berdebar-debar.  

Apa sebenarnya motif Syamil membawa dia ke situ?  Sekali lagi Tia terkejut bila terdengar bunyi kaca menghempas lantai.  Nampak gayanya pergaduhan mereka semakin serius.  Tia yakin dia juga menjadi punca kepada perang mulut antara Syamil dan Fairuz.

Sedang asyik memasang telinga, bunyi derapan kasut yang kian menghampiri pintu pejabat itu kuat kedengaran.  Seperti lipas kudung Tia berlari menyelamatkan diri.  

Dari dalam kereta kelihatan susuk tubuh dua orang manusia berjalan menghampiri kereta.  Jantung Tia semakin hebat dipalu.  Sebentar lagi mereka akan bertemu dan entah apa yang bakal terjadi.  Mahu saja Tia keluar dari kereta itu dan pulang ke rumah.  Memandangkan kawasan itu adalah asing baginya, hasratnya itu terpadam sama sekali.

Pintu kereta di bahagian belakang dibuka Syamil.  

"Masuk aku kata.  Kau memang suka kena pukul dulu ke baru nak dengar cakap aku?"

Tubuh Fairuz ditolak ke dalam kereta dengan paksa sebelum pintu itu ditutup.  Seketika kemudian, Syamil pula memasuki ke dalam kereta.  Tia curi-curi melihat ke belakang melalui cermin pemandu.

"Sukalah kau jadi pengacau dalam hubungan kami?"

Tia mengebam bibirnya lalu melirik sekilas ke arah Syamil yang baru saja menekan pedal minyak.  Kereta bergerak perlahan-lahan ke arah jalan raya.  Semerta dadanya sesak oleh figura-figura di sekelilingnya yang penuh emosi.

Di kala itu juga pemilik nama Erin terpapar di skrin telefon pintar.  

'Ish… nak angkat ke tidak?'  Ketenangan hati Tia mula berkocak.

***

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh