Home Novel Cinta Endless love
Endless love
sipencintapena
14/12/2022 12:03:24
79,457
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1


Hana tersenyum menghampiri sahabatnya Juju yang sedang melambai ke arahnya.

“Maaf, kita dah lewat ke?” soalnya dengan perasaan bersalah.

“Ada 5 minit lagi kelas nak mula. Jom, aku dengar hari ni budak popular tu sekelas dengan kita,” balas Juju dengan riak wajah yang teruja.

“Budak popular mana pula? Ramai sangat budak popular kau ni. Minggu lepas dengan budak tiktok entah apa nama. Kali ni apa pula? Budak ig?” soal Hana separuh menyindir sambil melangkah seiringan dengan Juju. Rakan baiknya itu hanya tergelak mendengar sindirannya. Masuk sahaja dalam kelas, Hana dan Juju mengambil kerusi bahagian tengah. Ramai juga pelajar yang mendaftar kelas bahasa korea itu. Selepas menyediakan buku dan pen, Hana memandang sekeliling. Pandangannya terhenti pada seseorang. Juju menyiku lengan gadis itu.

“Jatuh hati ke?” soalnya separuh mengusik. Hana berdehem perlahan. Dia memandang semula buku di hadapannya. Tumpuannya agak terganggu.

“Itu lah budak popular yang aku maksudkan. Beruntungnya siapa yang dapat Ivan. Dah lah handsome, orang kaya pula tu. Aku dengar Ivan ni dah ada perniagaan sendiri. Tak silap aku berkaitan dengan fesyen. Pereka fesyen kot. Aku pun tak pasti sebab aku dengar dari mulut orang lain,” beritahu Juju dengan senyuman lebar.

“Kita baru dua minggu kat sini tapi dah banyak cerita yang kau dengar,” balas Hana tanpa mengulas lebih lanjut apabila melihat pensyarah sudah mula melangkah masuk. Juju hanya tersengih mendengar komen sahabatnya itu.

                                   *****

“Giliran aku nak ambil makanan. Kau tolong jaga beg aku ek,” kata Juju sambil berdiri untuk berlalu. Hana hanya mengangguk. Matanya meliar memandang sekeliling. Sekali lagi hatinya berdebar apabila melihat Ivan yang duduk dengan rakan-rakannya tidak jauh dari mejanya. Ivan yang kebetulan duduk berdepan dengannya turut membalas pandangannya. Hana pantas tunduk memandang telefonnya semula. Dadanya berdebar hebat.

“Nasib aku memang tak baik. Penat aku berbaris,” rungut Juju yang baru sampai dengan makanannya sambil menarik kerusi di hadapannya. Hana agak lega apabila kelibat Ivan sudah terlindung dengan kehadiran Juju.

“Memang lah. Sekarang kan dah masuk waktu lunch,” balas Hana perlahan.

“Kau tau tak? Masa aku sedang berbaris tadi, depan, belakang aku cerita pasal Ivan. Masa tu lah aku dapat berita gembira. Aku dengar Ivan tu single,” beritahu Juju dengan senyuman lebar. Hana hanya diam membisu tidak memberi sebarang komen. Dia leka dengan makanannya. Juju hanya tersenyum melihat tingkah sahabatnya itu. Hana yang dikenalinya sedari kecil itu memang tidak pernah berubah. Gadis itu tidak pernah menunjukkan minatnya pada mana-mana lelaki. Dalam erti kata lain, Hana tidak pernah membuka hatinya untuk menerima seseorang.

“Lepas ni aku nak cari rujukan kat library. Kau nak ikut?” soal Hana tanpa memandang wajah Juju.

“Alamak, aku ada kelas lagi lepas ni. Kau tahu kan aku ada kelas teater lepas ni,” balas Juju separuh mengingatkan.

“Aku lupa. Sorry,” balas Hana dengan senyuman.

“Kalau dah selesai, aku beritahu kau. Kau duduk diam aje kat library tu,” kata Juju separuh mencadangkan. Hana hanya mengangguk tanda setuju.

                                *****

“Van, nampak tak awek depan tu?” soal Jamiel sambil tersenyum memandang ke hadapan. Ivan mengangkat wajahnya memandang gadis yang dimaksudkan oleh rakannya itu. Kelihatan seorang gadis sedang tekun membaca buku di tangannya.

“Namanya Kaira. Anak Datuk tu. Bijak dan cantik. Tak nak try?” beritahu Marqen dengan senyuman nakal. Ivan merenung lama gadis itu sebelum tersenyum.

“Ingat baju ke nak try?” balasnya separuh menyindir sebelum membelek semula majalah di tangannya. Jamiel dan Marqen hanya tersengih dengan komen lelaki itu.

“Aku dengar bulan depan Nelly nak balik Malaysia,” beritahu Jamiel. Dia cuba membaca reaksi wajah sahabatnya itu namun gagal.

“Bercuti?” soal Marqen ingin tahu. Jamiel mengangguk.

“Kau dan Nelly masih berkawan?” soalnya masih memandang wajah Ivan.

“Kami tak pernah bergaduh,” balas Ivan dengan senyuman. Jamiel memandang Marqen. Marqen menggeleng sebagai isyarat supaya Jamiel tidak melanjutkan lagi sebarang pertanyaan. Jamiel mengangguk tanda faham. Dia juga tidak mahu mengungkit lagi mengenai hubungan tidak kesampaian sepupunya dan kawan baiknya itu.

                                     *****

Ivan berjalan perlahan beralih dari satu rak ke rak yang seterusnya. Sebenarnya dia tidak tahu pun apa buku yang mahu dicarinya. Selepas Jamiel menyentuh cerita mengenai Nelly, fikirannya mula terganggu. Dia hilang tumpuan.

“Hello, tepi sikit boleh?” soal satu suara. Ivan berpaling. Kelihatan seorang gadis dengan beberapa buku tebal di tangannya. Hana terkedu saat bertemu pandang dengan Ivan. Dadanya berdebar semula.

“Maaf,” ucap Ivan apabila sedar dia sudah menghalang langkah gadis itu. Hana berlalu tanpa sepatah kata. Langkahnya laju meninggalkan Ivan yang masih memandangnya. Ivan bersandar pada rak. Dia melepaskan keluhan berat. Selepas setahun berpisah dengan Nelly, dia mula tidak tahu bagaimana hendak berdepan dengan gadis itu semula.

                                    *****

“Macam mana dengan kelas hari ni?” soal Puan Haryati sambil mengelus lembut rambut milik anak tunggalnya itu. Hana tersenyum sambil tangannya erat memeluk pinggang ibunya.

“Tak ada yang menarik. Biasa aje,” balasnya dengan senyuman.

“Hana, boleh mama tanya?” soal Puan Haryati dengan nada lembut

“Emm,” balas Hana yang mula mengantuk.

“Hana masih marah papa?” soal Puan Haryati dengan debaran di dada. Dia tahu sangat yang gadis itu sangat pantang jika dia menyebut mengenai lelaki itu. Hana diam tidak menjawab.

“Jangan salah faham dengan soalan mama,” kata Puan Haryati agak bimbang dengan reaksi anaknya itu. Menyesal juga bertanyakan soalan tersebut.

“Mama? Bagaimana dengan mama?” soal Hana kembali tanpa menjawab. Giliran Puan Haryati pula terdiam.

“Mama pun tak maafkan papa lagi?” soal Hana sambil mula memandang wajah wanita itu. Selepas berpisah dengan Datuk Ismail enam tahun yang lalu, baru dia boleh melihat seri pada wajah ibunya itu.

“Mama tak berdendam dengan papa. Papa Hana tu sakit. Semalam PA papa ada call mama. Dia nak jumpa dengan Hana,” beritahu Puan Haryati tanpa berselindung lagi. Hana terdiam mendengar kata-kata wanita itu.

“Mama nak Hana jumpa papa,” sambung Puan Haryati separuh mengarah. Dia tahu Hana sudah maafkan papanya. Cuma gadis itu tidak selesa kerana sudah lama tidak menemui Datuk Ismail. Selama ini bekas suaminya itu hanya bertanya khabar Hana melaluinya. Alasan lelaki itu dia tidak dapat menghubungi Hana kerana gadis itu langsung tidak menerima sebarang panggilan daripadanya. Mesej juga langsung tidak berbalas.

“Bila?” tanya Hana akhirnya. Dia memang berat hati menemui papanya itu. Selepas Datuk Ismail berkahwin lain, dia langsung tidak mahu bercakap apatah lagi menemui orang tua itu. Memang dia marah pada papanya. Sanggup memilih untuk meninggalkan dia dan mamanya hanya kerana keluarga barunya. Sampai saat ini dia masih tidak boleh lupakan peristiwa itu. Maaf? Ya, dia memang telah memaafkan Datuk Ismail. Namun untuk menemuinya adalah perkara yang sangat sukar baginya.

“Minggu depan,” jawab Puan Haryati yang agak terkejut dengan reaksi gadis itu. Sebelum ini Hana akan menolak dengan keras tanpa bertanya apa-apa. Namun hari ini reaksi Hana agak berbeza.

“Okay. Tapi sekali ni aje,” kata Hana dengan nada tegas. Puan Haryati tersenyum mengangguk.

                                 *****

Karl melangkah keluar dari keretanya. Dia memandang sekeliling sebelum terpandang seorang gadis yang sedang berjalan perlahan melepasinya.

“Excuse me,” tegurnya. Langkah Hana terhenti sambil membalas pandangan lelaki itu.

“Ya?” soalnya tanpa senyuman. Karl tersenyum.

“Pejabat bahagian akademik kat mana?” soalnya. Hana memandang lelaki itu dari atas ke bawah lagaknya seperti cikgu.

“Bangunan putih tu. Awak jalan lurus aje,” balasnya sebelum meneruskan langkahnya semula.

“Thanks,” ucap Karl namun Hana sudah jauh di hadapan.

Sombongnya.

Bisik hati kecil Karl.

                                    *****

“Kenapa semua pelajar dalam kelas kita ni hot belaka? Nampak tak budak baru tu? Handsome gila,” kata Juju dengan senyuman lebar. Hana hanya memandang sekilas ke arah pemuda yang baru saja mengambil tempat di sebelah Ivan.

“Aku dengar Karl tu kawan baik Ivan juga,” sambung Juju. Hana masih diam tidak menjawab.

“Kau okay ke? Sejak tadi macam tak ada mood aje,” tegur Juju yang mula perasan dengan tingkah laku Hana yang endah tak endah melayannya.

“Minggu depan papa nak jumpa aku,” beritahu Hana dengan nada perlahan. Terangkat kening Juju mendengar kata-kata gadis itu. Dia tahu yang hubungan kedua beranak itu memang kurang baik.

“So?” soalnya.

“Entah lah, mama kata dia sakit,” balasnya. Juju menyentuh jemari gadis itu yang berada di atas meja.

“Pergi lah,” katanya separuh menyuruh. Hana membalas pandangan gadis itu. Dia tersenyum hambar.

“Aku dah lama tak jumpa dia. Tak tahu nak buat macam mana nanti,” balasnya jujur. Juju tergelak kecil. Dia faham maksud gadis itu.

“Buat macam biasa aje. Tak payah jadi orang lain. Jadi diri sendiri aje,” katanya dalam penuh makna. Dia kenal Hana. Gadis itu tegas orangnya. Jika ada hal yang dia tidak suka, Hana tidak akan pernah menipu walaupun terpaksa menyakitkan hati orang lain. Hana mengangguk perlahan.

“Aku memang tak pandai berlakon,” balasnya. Juju tergelak sambil mengangguk.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.