PROLOG
SUASANA dalam bilik
hotel Boulevard itu riuh rendah. Penuh dengan usikan dan gurau senda
teman-temanku yang seramai lima orang itu. Isi kandungan perbualan mereka
berkisar tentang majlis pernikahanku dan Nazrul yang akan berlangsung dalam
masa beberapa jam sahaja lagi.
Aku yang sedang duduk menghadap
cermin sambil wajahku dimekap oleh jurusolek itu lebih banyak mendiamkan diri.
Sesekali aku tersenyum apabila ada di antara kata-kata teman-temanku itu yang
menggeletek jiwa. Dalam hati,aku rasa bagaikan tidak percaya akan semua yang
terjadi ini.
Aku tidak pernah menyangka,satu hari
nanti aku akan berkahwin juga.Walhal sebelum ini, perkataan ‘kahwin’ itu pernah
menjadi musuh dalam hidupku. Apatah lagi,dengan lelaki sebaik dan sesempurna
Nazrul. Baik,kaya dan mempunyai latar belakang keluarga yang terhormat serta berpengaruh. Tetapi sanggup menerima
diriku yang serba kekurangan ini sebagai isterinya,tanpa mengambil peduli siapa
diriku dan siapakah ibu bapaku.
Ya,aku memang patut bersyukur.Aku
patut gembira kerana ALLAH S.W.T. telah mempertemukan aku dengan jodoh yang
baik. Apatah lagi,keluarga Nazrul juga sangat baik denganku dan sudah
menyayangiku seperti anak mereka sendiri.
Tapi,kenapa aku harus mempunyai
perasaan macam ni,YA-ALLAH? Kenapa hatiku kini kuat mengatakan bahawa Nazrul
bukannya orang yang telah ditakdirkan untukku? Dan kenapa saat detik-detik
bersejarah semakin mendekati,wajah Firdaus yang semakin kerap menghantui
fikiranku,bukan Nazrul? Kenapa?
Aku mengetap bibir. Hatiku kini
berada di persimpangan dilema. YA-ALLAH,bantulah aku!