“ Cinta saya tak pernah mengharapkan balasan yang sebegini. Cuma
harapan untuk satu kehidupan. Dan ini sememangnya tanggungjawab saya sebagai
anggota polis. Walau siapa pun di tempat awak, saya mempunyai tanggungjawab
yang sama.”
Tangan wanita itu galak cuba membuka ikatan yang
membelit tubuh lelaki itu. Namun tangannya yang pantas sedari tadi terhenti
dengan tiba-tiba apabila terdengar satu suara yang mengarahkannya untuk berbuat
demikian.
Nadia Asyila dan
Fazar Azameer mendongak dan mencari arah suara itu. Keduanya terpaku apabila
jelas dipandangan mereka berdiri insan yang amat mereka kenali. Satu kejutan
yang besar untuk mereka. Terutamanya kepada Nadia Asyila.
“ Syam”
Kedengaran
terlalu perlahan suara yang keluar daripada peti suara milik Nadia Asyila. Lelaki
yang diekorinya seketika tadi berdiri di sebelahnya. Mengacukan sepucuk pistol
di kepalanya. Namun Nadia Asyila tidak mengendahkan semua itu. Pandangannya
menjurus ke arah jasad yang berada di hadapannya. Tidak jauh dari tempatnya
berdiri.
“ Terkejut? Buat
pertama kali Syam tengok ada riak terkejut di wajah orang yang paling Syam
sayang. Selama ini segala kejutan yang Syam beri langsung tak berharga buat
Nadia walaupun terlalu bermakna untuk Syam. Dan hari ini Syam terpaksa mengaku
yang Syam berjaya memberi Nadia kejutan. Syabas untuk diri Syam sendiri.”
Nadia Asyila tidak dapat mengeluarkan sebarang hujah
untuk mematahkan hujah lelaki yang mencintainya itu. Memang segala apa
dituturkan oleh Iqmal Hisyam tidak salah dan tidak dapat dinafikan oleh
pendengarannya.
Iqmal Hisyam mengaturkan langkahnya menuju ke arah
mereka berdua dengan genggaman pistol yang kemas di tangannya. Diambil dengan
selamba pistol yang berada di genggaman Nadia Asyila. Iqmal Hisyam melebarkan
senyumnya.
“ Dalam dunia ni, tak pernah ada yang mustahil. Jangan
terlalu terkejut.”
Dibisikkan kata-kata itu rapat ke telinga Nadia Asyila.
Wanita itu masih kaku dengan apa yang dilihatnya. Masih tidak dapat menerima
kejutan yang diberikan Iqmal Hisyam.
“ Apa yang kita nak buat dengan mereka bos?”
Iqmal Hisyam memandang tajam wajah lelaki yang
mengacukan pistol di kepala Nadia Asyila. Lelaki itu kemudiannya menundukkan
wajah. Mungkin menyedari akan kesilapannya bertanyakan soalan seperti itu.
“ Tahniah sebab
berjaya sampai ke sini. Syam ingat tempat ni yang paling selamat dan terlindung
daripada pandangan mata pihak berkuasa. Tapi Syam tetap tak dapat lari daripada
Nadia. Tapi itulah yang membuatkan Syam bangga. Sebab keyakinan Syam bertambah
yang Syam langsung tak salah memilih untuk mencintai Nadia. Seorang wanita yang
bijak. Cekap! Tapi sayangnya cinta Nadia tak berjaya Syam miliki. Sama seperti
Nadia. Tidak berjaya memiliki cinta lelaki yang cuba Nadia selamatkan
sekarang.”
Cukup lembut ayat yang terkeluar dari bibir lelaki itu.
Iqmal Hisyam berhenti seketika. Melebarkan senyumannya
memandang wajah insan yang amat dicintainya. Betapa hancur luluh hatinya
apabila melihat dan mendengar gerak langkah dan percakapan mereka sebentar tadi.
Dia tahu kini, walau bertimbun usahanya dilakukan untuk
memenangi hati wanita itu dia tetap tewas. Bencinya semakin meluap-luap terhadap
lelaki yang bernama Fazar Azameer yang dia tahu bahawa lelaki itu adalah
sahabatnya sendiri.
Nadia Asyila masih kelu untuk berkata-kata. Sememangnya
dia tidak menyangka, lelaki yang selama ini terlalu elok lakunya berada
bersamanya di dalam gudang itu untuk menbongkarkan siapa dirinya yang sebenar.
“ Jadi selama ini, kegiatan curi kereta dilakukan oleh
Syam?”
Nadia Asyila mengutarakan pertanyaan itu. Masih sukar
untuk dia mempercayai apa yang dilihat dan didengarnya. Apakah selama ini
lelaki yang terlalu elok pada pandangannya melakukan sesuatu yang seumpama itu?
Melakukan jenayah? Memang sukar untuk dia menerimanya.
Walaupun dia tidak mencintai lelaki itu, namun, dia
tidak yakin yang lelaki itu sanggup melakukan kesalahan jenayah. Dia yakin yang
dia mengenali peribadi lelaki itu. Terlalu elok dirasakannya selama ini. Entah
kenapa dirasakan kekecewaan menerjah jiwanya. Sungguh dia tidak menyangka.
Iqmal Hisyam tersenyum. Dia tahu bahawa wanita itu cuba
untuk mengorek rahsia yang disimpannya selama ini. Tetapi padanya itu semua
tidak perlu. Kerana hari ini dia akan membongkar segala-galanya.
Segala realiti hidup dan segala apa yang dulu pernah
menjadi rahsia dan sekarang pun masih menjadi rahsia. Dia akan membongkar
segalanya. Atas kerelaannya sendiri.
Iqmal Hisyam
mengaturkan langkahnya mendekati Fazar Azameer. Dimain-mainkan hujung pistol di
wajah lelaki itu. Hembusan nafas yang kuat kedengaran. Dia cemas diperlakukan
begitu.
“ Kau lelaki yang
paling bodoh yang pernah aku kenal. Menolak sesuatu yang amat bernilai seperti
Nadia.”
Pandangnnya dialihkan kepada Nadia Asyila.
“ Tapi aku
sebenarnya perlu ucapkan terima kasih kepada kau kerana tidak menerima cinta
dia. Sebab aku berpeluang untuk terus mendekat. Walaupun sekadar hanya jarak
yang mendekatkan kami. Aku sendiri tak faham kenapa dia menolak cinta aku. Segalanya
aku lakukan untuk menambat hati dia. Tapi, aku tetap tewas. Dan kenapa dia
terlalu cintakan kau? Aku sendiri bingung. Entah apa yang ada pada kau yang
membuat hatinya betul-betul tak boleh lupakan kau. Walaupun bertahun-tahun dan
puas kau sakiti hati dia. Aku betul-betul tak faham dengan perempuan.”
“ Habis kenapa kau
juga berada dalam situasi yang sama?”
Fazar Azameer menyoal.
“ Kau tak layak
untuk bertanyakan soalan itu. Selama ini kau selalu dapat apa yang kau nak. Dan
aku selalu kecundang. Segalanya berjaya menjadi milik kau. Siapa yang salah? Takdir?
Aku sendiri? Dah terlalu banyak persoalan Fazar. Satu jawapan pun tak ada.” Dia
berhenti seketika. Menunduk. Dan mengalihkan pandangan pada Nadia Asyila.
“ Apa yang kurang
pada Syam?” Nadia Asyila membisu.
Tiada jawapan untuk soalan itu.
“ Selama Syam hidup. Syam belajar banyak benda. Kadangkala,
apa yang kita tak mahu dan tak relakan itulah yang kita dapat dan seringkali
terjadi. Dan apa yang terlalu kita hajati pula, itulah yang takkan kita miliki.
Kejam kan? takdir memang kejam. Setiap kali Syam menyalahkan takdir apabila
hati Syam sentiasa diuji dengan penolakan cinta daripada Nadia. Tapi entah
kenapa kalau melibatkan Nadia, Syam boleh tahan dan sentiasa bersabar.”
Matanya layu memandang Nadia Asyila.
“ Syam selalu berfikir sampai bila takdir akan kejam
dengan Syam. Sampai bila Syam perlu tunggu untuk mendapat cinta Nadia.”
Iqmal Hisyam menunduk. Keluhan dilepaskan.
“ Entah sampai bila Syam perlu tunggu. Dan sekarang,
Nadia sudah nampak wajah sebenar Syam. Musuh kepada kerjaya orang yang Syam cintai.
Seorang penjenayah.”
Dia ketawa. Meramas-ramas rambutnya. Kepalanya
berserabut.
“ Syam bukan jahat sebenarnya. Cuma melakukan kesalahan
kerana mengambil hak orang lain. Syam bukan melakukan jenayah yang melibatkan
nyawa. Tapi, dengan apa yang Nadia pandang sekarang, mesti Nadia semakin
menolak cinta Syam. Benci dengan diri Syam. Tengok! Sekali lagi takdir kejam
dengan Syam.”
Iqmal Hisyam merenung dalam anak mata Nadia Asyila.
Dipandang dengan penuh rasa cinta yang tidak pernah padam.
“ Entah apalah yang
tak sempurna pada pandangan Nadia. Dan kau! Kau gilakan sangat pada Fasha kan.
Sekarang kau dah berjaya miliki dia. Banyak yang kau tak tahu tentang dia. Banyak
Fazar. Terlalu banyak. Sebanyak mana kau kenal dia?”
Iqmal Hisyam ketawa sinis. Kedengaran tawanya yang
dibuat-buat.
“ Dia hanya memperbodohkan diri kau selama ini. Kau tak
pernah tahu. Sebab kau buta. Kau terlalu buta dalam percintaan. Kau menolak
permata dan memilih kaca. Bukankah itu dinamakan bodoh?”
“ Apa yang kau
cakap ni Syam. Apa yang kurang persahabatan aku pada kau? Aku sayangkan kau.
Aku tak pernah bermimpi pun yang kau akan bertindak sejauh ni.”
“ Ah! persetan
dengan persahabatan. Selama ini aku bencikan kau. Dan itu pun kau tak tahu kan?
Aku bencikan kau Fazar! Benci! Dan aku nak kau tahu. Sekarang, aku nak kau buka
telinga kau luas-luas dan dengar setiap patah perkataan yang keluar dari mulut
aku. Jangan terlepas satu patah pun. Kau terlalu layak untuk mendengar apa yang
bakal aku katakan.”
Iqmal Hisyam membelakangi keduanya. Melangkah
menjarakkan dirinya daripada mereka.
“ Fasha! Perempuan tak guna tu. Tapi itulah perempuan
yang kau cintai. Sejak dari dulu lagi aku tahu belang dia yang sebenar.
Perpisahan antara kau dengan dia lapan tahun yang lalu bukan kerana dia memberikan
kau ruang untuk bersama dengan Nadia. Tapi dia yang mencipta ruang tu untuk
bersama jantan yang dia jumpa di universiti. Mereka berbahagia dan kau pula
menyeksa jiwa Nadia. Kau hina dia puas-puas.”
Ditelan liurnya yang dirasakan agak kesat melalui kerongkongnya.
“ Dan sekarang kau jumpa Fasha dan bersama dengan
perempuan tu lagi. Kau percayakan setiap kata-kata dia dan kau terus-terusan
menghina Nadia. Kau tahu tak yang hati aku ni sakit. Apa hak kau untuk hina
dia? Ada dia buat salah dengan kau? Ya! Salah yang kau hukum tanpa sedar yang
sebenarnya dia langsung tak salah. Itulah aku cakap yang kau bodoh dan buta
dalam cinta. Terlalu bodoh. Dan kalau kau nak tahu, selama beberapa tahun kau
tak jumpa dengan perempuan tu, satu rahsia besar dia berjaya simpan daripada
kau. Kau nak tahu? Kebenaran yang akan buat kau tewas sangat-sangat. Kau nak
dengar? Dengar betul-betul. Jangan pekakkan telinga kau. Hasil hubungan dia
dengan kekasih dia dulu, dia mengandung. Kerana tak mahu bertanggungjawab,
kekasih yang selama ini yang sanggup dia serahkan segalanya buat dia
terkontang-kanting seorang diri. Dia ditinggalkan. Dan dia pulang ke kampung
sehinggalah melahirkan anak luar nikah yang dia kandung. Papa dia menghalau dia
keluar dari rumah setelah dia melahirkan Haziq. Tak lama lepas tu, papa dia
meninggal. Kerana terlalu kecewa dengan apa yang berlaku, emaknya mengalami
tekanan perasaan yang menjadi punca kepada kematiannya enam bulan selepas tu. Untuk
pengetahuan kau, budak lelaki yang bernama Haziq yang pernah kau jumpa. Itulah
anak mereka. Dan kau terus diperbodohkan. Kau layak terima semua tu sebab kau
memang bodoh. Sekarang dia kembali pada kau bukan kerana cinta tapi kerana
harta kau. Untuk dia memastikan masa depan dia terjamin. Apa yang Fasha
beritahu kau tentang budak lelaki tu? orang suruhan aku cakap yang dia panggil kau papa. Papa?”
Iqmal Hisyam ketawa sendirian.
“ Tak Syam kau tipu! Aku tak percaya.”
“ sejak jadi bos ni.. aku pantang kalau orang menyampuk
masa aku bercakap. Jadi tolong dengar apa yang aku nak cakap. Apa yang aku
dapat kalau aku tipu kau? Aku…”
Suara yang meluncur dari bibir Iqmal Hisyam tenang.
“Arghh! Kau tipu!”
“ Diam!”
Iqmal Hisyam menjerkah kuat. Fazar Azameer menelan liur.
Pistol yang diacukan tepat kemukanya membuatkan dia kecut perut. Baru hari ini
dia merasa takut dengan kawannya itu setelah bertahun-tahun dikenali.
“ Selama ni aku dah
cukup bersabar dengan kau. Jadi kau jangan nak cabar kesabaran aku.”
Iqmal Hisyam menyambung bila dirinya mendapat cukup
ketenangan.
“ Kau akan lebih
tak percaya kalau kau dengar lagi apa yang aku nak cakap. Kau masih nak
dengar?”
Iqmal Hisyam ketawa mengejek. Kemudian dia menggeleng.
“ Aku tak perlukan
jawapan kau. Aku berbesar hati untuk menceritakan segalanya pada kau. Setelah
kau ada hubungan kembali dengan Fasha, aku tak yakin dengan perempuan tu. Dia
sememangnya licik dengan apa setiap yang dia lakukan. Kalau kau nak tahu, aku
ada siasat tentang dia. Bukannya susah untuk siasat orang macam dia. Ramai
konco-konco aku yang berpengalaman dalam bab-bab jaga tepi kain orang. Jadi aku
arahkan dua tiga orang untuk siasat kekasih kau tu. Jangkaan aku sekali lagi
tepat. Kau sememangnya diperbodohkan. Sampai dah tahap yang boleh aku
kategorikan kau sebagai seorang yang sangat bodoh. Kau tahu kenapa? Kau
langsung tak mencurigai dia dan percaya dengan setiap kata-kata manis yang dia
lontarkan.” Dia berhenti. Digaru hujung keningnya dengan muncung pistol.
Matanya dipejamkan seketika.
“ Kalau nak bercinta pun ada caranya Fazar. Bukannya
bertindak bodoh dan mencintai membabi buta seperti kau mencintai Fasha. Aku
tahu perasaan mencintai itu indah apatah lagi jika kita dicintai oleh orang
yang kita cintai. Ya! Aku mengaku yang aku pun sama seperti kau. Tapi aku
mempunyai cara dan penilaian yang baik. Bukan mencintai perempuan seperti
Fasha. Wanita seperti Nadia Asyila yang patut dicintai. Dia tahu makna
menghargai dan kesetiaan. Seperti setianya pada kau sejak sekian lama. Tapi
bukan itu apa yang aku mahu timbulkan sekarang. Aku nak kau tahu yang Fasha mempunyai
rancangannya sendiri untuk mengikis semua harta kau. Dan apa yang berhak lagi
untuk kau tahu, dia tidak membuat rancangan itu seorang. Kau nak tahu siapa
yang berkomplot dengan dia? Syed Faizal. Ya! Syed Faizal. Oh! Aku lupa. Mungkin
kau tak pernah kenal lelaki yang bernama Syed Faizal. Itulah kekasih yang
mengandungkan dia dulu. Mereka kembali menjalinkan hubungan bila lelaki itu
mengetahui yang Fasha mencintai kau. Lelaki yang mempunyai tiga buah syarikat
dan agak berjaya dalam perniagaan. Dan satu strategi diatur untuk memperalatkan
kau. Dengan hanya janji manis yang ditabur oleh
lelaki itu, Fasha kembali padanya. Dan kau? Siapa kau di hatinya? bukan
sesiapa Fazar. Kalau kau nak tahu, sedikit masa lagi rancangan mereka akan
berjaya. Itu pun kalau aku tidak bocorkan rahsia ini pada kau. Dan apa yang
malangnya nasib si Fasha, dia sebenarnya tidak tahu yang Syed Faizal juga
melakukan satu rancangan. Rancangan yang akan memiliki semua harta kau. Tidak
mahu untuk melakukan perkongsian dengan Fasha. Mana aku tahu semua ni?
Orang-orang aku juga menyiasat tentang lelaki itu. untung sebenarnya jadi bos
ni.”
Iqmal Hisyam
melepaskan ketawanya. Ketawa yang agak panjang. Melepaskan bukuan perasaannya
yang dia sendiri tidak tahu emosi apa yang membebani jiwanya. Diburu dengan
bermacam perasaan yang berbisa.
“ Tetapi Fasha juga sama seperti kau. Buta dengan cinta.
Dia ingatkan yang lelaki itu jujur mencintainya. Tapi, dia tidak sedar yang
sebenarnya dia diperalatkan untuk mendapat kekayaan kau. Fasha menggunakan kau
dan Syed Faizal menggunakan Fasha. Hukum karma yang sangat adil. Kamu semua
memang bodoh. Layaklah untuk kau mencintai wanita yang bodoh seperti Fasha. Membuatkan
kamu akan terus hidup dalam kebodohan masing-masing. Tapi aku tak terlalu
kejam. Sebab tu aku beritahu kau semua ni. Sebab aku masih lagi punya hati
untuk memberitahu kau kebenaran daripada kau langsung tidak mengetahuinya.
Sekurang-kurangnya kau tahu. Manalah tahu lepas ni kau akan keluar dengan
selamat dari tempat ni dan berjaya menyelamatkan keadaan. Lantaklah! Itu semua
bukan urusan aku.”
Iqmal Hisyam sedikit berdehem. Dan melemparkan senyuman
sumbing.
“ Apa yang kau cakap ni Syam. Apa semua ni?”
Senyuman Iqmal Hisyam semakin lebar mendengar kekecewaan
yang terluah bersama kata-kata yang disuarakan Fazar Azameer.
“ Itulah hakikat yang kau patut tahu. Kecewa? Kau berhak
hidup dengan perasaan tu. Apa yang kau rasa? Sakit kan? Kalau kau nak tahu,
pertemuan kau dengan Fasha di hotel, itu juga dirancang. Bukannya satu
kebetulan seperti apa yang kau sangkakan. Dan, bila kau mesej aku yang kau
cakap kau dah jumpa dia masa tu aku rasa nak gelak. Aku bersimpati dengan kau
sebenarnya. Tapi tak apalah. Demi nak jaga hati kau, aku pura-pura yang aku
juga turut gembira. Aku pun seorang pelakon yang hebat Fazar. Bukan buah hati
kau seorang.”
Usikan itu sangat terbeban di jiwa Fazar Azameer.
“ Aku sendiri sebenarnya sudah penat menunggu untuk
mendapat sejujur kasih sayang dari insan yang aku cintai. Tapi, aku takkan
penat untuk mencintainya.”
Langkahnya diatur
perlahan-lahan mendekati wanita yang dicintainya. Ingin menyentuh wajah itu.
Tapi tindakan Nadia Asyila memalingkan wajahnya membuatkan dia menghentikan
tindakan seterusnya. Kembali menjatuhkan tangannya ke sisi badan.
“ Dia menyintai kau
dengan penuh kejujuran. Bertahun menunggu dengan penuh kesabaran. Tapi hinaan
kau yang sentiasa dia dapat.”
“ Kenapa Syam tak
ceritakan hal ni dari awal? Kenapa baru sekarang Syam mahu bongkar semua ni?”
Nadia Asyila menuturkan bicara.
“ Untuk apa? Supaya lelaki tak guna ni terima cinta
Nadia dan kalian bahagia? Tak! Itu tak mungkin Syam biarkan. Syam menunggu
Nadia terlalu lama bukan untuk melihat Nadia bahagia bersama dia. Langsung tak.
Syam tak bodoh untuk beritahu segalanya daripada awal untuk melihat Nadia
dimiliki oleh lelaki ini. Dia langsung tak layak untuk Nadia. Hanya Syam yang
layak.” Sekali lagi dia mencuba. Cuba memegang tangan runcing milik wanita itu.
Sekali lagi dia gagal dengan elakan Nadia Asyila. Dia mengangkat bahunya dan
seakan berserah. Pasrah.Iqmal Hisyam tersenyum.
“ Jangan terlalu suka membantah. Selama ini sudah
terlalu banyak Syam sabar.” Langkahannya makin mendekat. Semakin menghampiri
Nadia Asyila. Mata mereka tajam bertentang. Nadia Asyila dengan perasaan
berkecamuk dengan memikirkan apa yang lelaki itu akan buat. Pandangan tajam
Iqmal Hisyam seakan memberinya satu makna tersirat yang kejam. Apakah dirinya
akan dinodai? Dia berundur setapak dua.
“ Jangan Syam. Itu bukan cara yang betul kalau kau
mencintai dia.”
Fazar Azameer cuba menghalang perilaku kawannya.
“ Kau siapa untuk menghalang? Apa kau dah mula simpan
perasaan dan anganan untuk mendapatkan cinta dia?”
Iqmal Hisyam memandang wajah Fazar Azameer tajam. Fazar
Azameer menunduk. Terasa dirinya begitu asing pada saat ini. Iqmal Hisyam
kembali memandang wajah Nadia Asyila.
“ Jangan cuba
lakukan apa-apa. Jangan fikir yang Syam tak berani bertindak lebih jauh.
Setelah apa yang Nadia tahu dan nampak hari ni, peratusan untuk Syam memiliki
Nadia tinggal sifar.” Dia mendekat. Semakin dekat dan sesaat kemudian dia
menghentikan langkahan.
“ Jangan risau,
Syam takkan ambil kesempatan dan bertindak lebih. Syam cuma nak Nadia tahu yang
cinta Syam terlalu suci dan ikhlas untuk Nadia. Kalau boleh memang Syam mahu
lelakukan lebih. Mahu buktikan kasih dan cinta Syam bukan mainan gar lepas ni
Syam punya kekuatan untuk menghadapi hari yang mendatang. Nadia pun cukup pasti
kan dengan nasib Syam selepas ni selepas apa yang Nadia berjaya bongkar hari
ini.”
Iqmal Hisyam kembali melangkah. Menjarakkan dirinya
daripada mereka.
“ Syam tahu yang
Nadia dah minta bantuan. Syam tahu yang kebenaran yang Syam nyatakan pada hari
ini akan menjerat diri Syam untuk selamanya. Dan mungkin kamu berdua akan
bahagia bila kita keluar daripada tempat yang menjadi syurga Syam selama ini.”
Iqmal Hisyam memberhentikan langkahnya dan berpaling
menghadap mereka. Ada sebak yang menjalar di dada lelaki itu. Nadia Asyila
dapat mengesannya.
“ Tapi, Syam minta
maaf. Syam tak punya kekuatan untuk melihat Nadia bersama dengan sesiapa
terutama dia.”
Lelaki itu menunjuk tepat pada wajah Fazar Azameer
dengan jari telunjuknya.
“ Syam tahu kini
yang sampai bila-bila pun Nadia takkan terima cinta Syam. Jika kebenarannya
tersurat sebegitu, Syam takkan benarkan Fazar miliki Nadia.”
Jelas sebak kedengaran melalui suara yang diluahkan.
“ Maafkan Syam.”
Pistol yang berada
di tangannya diangkat dan picu ditarik. Laungan Nadia Asyila hanya berlalu
dibawa angin. Satu das tembakan kedengaran. Mencari sasaran untuk melekat di
badan Fazar Azameer.
Namun tindakan pantas Nadia Asyila menyebabkan tiada
sedikit calar pun pada badan lelaki itu. Peluru yang buta menemui sasarannya
yang baru. Tubuh Nadia Asyila dihuni.
Tindakan drastik itu
menyebabkan laungan Iqmal Hisyam dan Fazar Azameer bergema. Memanggil nama
wanita itu. Iqmal Hisyam sepantas kilat mendapatkan insan yang dicintainya.
Syazwan yang baru sesaat berdiri di pintu masuk gudang
dapat merasakan yang kakinya lemah. Sukar untuk mempercayai apa yang
dilihatnya.
Air mata Iqmal
Hisyam laju menitis menuruni pipi. Kekesalan yang teramat dirasakannya.
Dipangku wanita itu dan direnung sedalam-dalamnya bersama juraian air mata yang
setia.
“ Mengapa Nadia
sanggup lakukan semua ni? Kenapa sanggup berkorban untuk lelaki yang langsung
tidak memberikan kebahagiaan kepada Nadia. Mengapa? Apa salah Syam sampai Nadia
sanggup buat Syam macam ni? Kenapa tak pernah puas Nadia menyeksa jiwa Syam.
Kenapa berikan Syam balasan yang sebegini? Kenapa dera jiwa Syam sampai macam
ni. Kenapa?”
Dilaung kata-kata itu dengan deraian air mata yang laju.
“ Maafkan Nadia
kerana selama ini buta dan tidak nampak kutulusan cinta Syam. Syam dah terlalu
banyak menderita. Maafkan Nadia. Nadia tak nak Syam lakukan kesalahan lagi
setelah apa yang terbongkar pada hari ini.”
Suara yang terkeluar itu semakin agak perlahan namun
jelas di pendengaran mereka.
“ Tindakan ini bukan pengorbanan untuk menyelamatkan
nyawa Fazar tetapi untuk memberikan diri Nadia pengajaran. Sebenarnya bukan
sesiapa yang tak layak memiliki Nadia tapi sebaliknya Nadia yang tak layak
dimiliki oleh sesiapa. Maafkan Nadia kerana menyeksa jiwa Syam selama ini.”
Dengan nafas yang tersekat-sekat wanita itu cuba
menghabiskan ayatnya.
“ Tindakan Nadia
yang sebegini lebih membuat jiwa Syam terseksa. Tolong jangan tinggalkan Syam.
Syam merayu pada Nadia. Jangan pergi. Tolonglah. Cukuplah dengan segala apa
yang berlaku membuatkan Syam terseksa. Tapi tolong jangan pergi. Syam takkan
minta cinta Nadia lagi selepas ni. Syam relakan Nadia bahagia dengan Fazar.
Syam akan tolong satukan kalian. Tapi tolong jangan pergi. Tolonglah sayang.”
Rayuan Iqmal Hisyam semakin sayup kedengaran di telinga
Nadia Asyila.
Satu senyuman yang
tulus dilemparkan untuk lelaki itu sebelum matanya terasa ingin tertutup.
Sedaya upaya dia cuba mengangkat tangannya supaya berjaya menyentuh wajah
lelaki itu.
Disapu perlahan air mata yang membasahi wajah itu.
Seketika kemudian tangannya jatuh menimpa simen gudang. Matanya terpejam.
Laungan Iqmal
Hisyam terus kedengaran. Dipeluk erat tubuh yang dicintainya dengan sepenuh
hati. Ego lelakinya menghilang entah ke mana. Jeritannya bergema mengisi ruang.
Fazar Azameer kelu
untuk menuturkan patah perkataan. Dia merasakan yang dirinya tidak layak untuk
mengungkapkan apa-apa. Dia merasakan maruah dirinya terlalu rendah untuk
dibandingkan dengan kedua insan yang berada dihadapannya.
Dia merasakan semua yang berlaku adalah berpunca
daripadanya dan nasib yang buruk perlu menimpa dirinya. Bukan kedua insan yang
dikenalinya itu. Tiada apa yang dapat dituturkannya.
Apa yang pasti, ada air jernih yang laju menuruni
pipinya. Dia sebak yang teramat.
Siren polis yang
kedengaran bagaikan tidak memberikan apa-apa makna kepada mereka. Sepasukan
anggota polis yang memasuki gudang mengacukan pistol sebagai langkah berjaga-jaga.
Ruang mereka bertiga dikelilingi.
Syazwan yang tewas
seketika tadi menapak menghampiri mereka.
Menerpa Nadia Asyila dan mengesan nadi wanita itu.
“ Nadinya masih ada
kesan positif. Kita bawa dia ke hospital cepat.”
Kata-kata itu seakan memberikan nyawa kepada Iqmal
Hisyam. Dia langsung tidak menyedari bahawa wanita itu masih bernafas. Apa yang
dia tahu tadi mata wanita itu sudah terpejam rapat dan tangannya terkulai.
Segera dicempung badan wanita itu dan menuju ke arah
kereta peronda polis. Mereka perlu segera sampai ke hospital.
“ Nadia mesti
bertahan. Jangan rampas harapan yang ada ini. Syam takkan lakukan apa-apa yang
Nadia tak suka lagi selepas ini. Segalanya akan Syam ikut walaupun Syam akan
jauh daripada Nadia. Tapi tolonglah kembali. Syam mahu melihat Nadia seperti
dulu. Jangan rampas harapan ini daripada Syam. Syam rayu.”
Iqmal Hisyam membisikkan kata-kata itu di telinga Nadia
Asyila. Lebih kepada menenangkan dirinya sendiri.
Fazar Azameer hanya
mampu terkaku. Tiada apa yang dapat dilakukannya. Dia merasakan dirinya begitu
hina untuk berada di situ. Semuanya dirasakannya segala yang berlaku adalah
kerana dirinya.
Kekesalan yang teramat menerjah lubuk hatinya. Air
jernih menodai pipinya entah untuk kali yang ke berapa dia sendiri tidak pasti.
Syazwan pantas
membuka pintu kereta untuk ditembusi oleh Iqmal Hisyam yang mencempung kawan
karibnya. Penjenayah di depan matanya kini bukan lagi sebagai penjenayah di
matanya.
Lebih kepada seorang pencinta sejati yang benar-benar
mengajar sesiapa sahaja erti cinta. Kesedihan turut merajai jiwanya. Dia yakin
yang penyesalan banyak tumbuh di setiap jiwa yang berada di sekelilingnya kini.
“ Tolong! Syam merayu sangat. Jangan tinggalkan Syam
dengan keadaan yang macam ni. Syam takkan dapat terima. Syam betul-betul tak
dapat terima. Jangan uji Syam dengan perkara yang macam ni. Syam betul-betul
takkan dapat hadapi. Nadia kena kuat. Nadia tak boleh tinggalkan Syam dengan
kata-kata indah untuk Syam dengar. Syam tak nak kata-kata indah tadi menjadi
kata-kata terakhir yang singgah di pendengaran Syam.”
Air mata terus setia berjuraian di pipi lelaki yang
tidak pernah jemu menyintai dan mengungkapkan kata cinta itu.
Syazwan menyapu air jernih yang mula menakung di kelopak
matanya. Terasa kabur pandangannya. Dia tidak pernah silap mengenali dan
merelakan kawan baiknya dicintai oleh lelaki itu.
Syazwan membelok kereta menuju ke tempat kecemasan yang
telah berada di hadapannya kini. Pintu kereta pantas dibuka. Langkah yang laju
diatur oleh Iqmal Hisyam. Suaranya kuat menjerit memanggil doktor atau sesiapa
sahaja yang dapat memberikan bantuan.