Iqmal Hisyam kembali mendapatkan
duduknya. Sama di tempat yang ditinggalkannya tadi.
“ Surat daripada siapa bang?”
“ Entahlah! Dari Australia.”
“ Jauhnya. Siapa yang tinggal kat
sana?”
“ Abang pun tak tahu.”
Iqmal Hisyam membuka dengan cermat sampul
kuning empat segi yang berada di tangannya. Dikeluarkan isinya. Terisi kad
perkahwinan berwarna emas.
“ Daripada siapa tu bang?”
Iqmal Hisyam mengangkat bahunya tanda
jawapan kepada soalan yang diajukan isterinya. Sambil tangannya membuka dan
membaca nama yang tertera di dalam kad itu.
“ Fazar.”
Kedua-duanya berpandangan. Seketika
kemudian mereka saling membalas senyuman pula. Teringat yang baru sekejap tadi
mereka bercakap tentang Fazar Azameer. Kini tidak sampai setengah jam telah
hadir berita tentang dirinya.
Satu berita yang menunjukkan
kegembiraan apabila di dalam surat yang diterima terisi kad perkahwinan.
Menunjukkan yang lelaki itu akan mendirikan rumah tangga. Tetapi dengan siapa?
“ Haslinda Hasyim.”
Meniti nama itu di bibir Iqmal Hisyam.
“Sayang kenal?”
Nadia Asyila menggelengkan kepalanya.
“ Tak pernah pulak dengar nama ni. Ah!
Bukannya semua orang dalam dunia ni Nadia kenal. Abang ni. Mungkin makwe baru
dia la tu.”
Iqmal Hisyam tertawa dengan gelagat
yang ditunjukkan oleh isterinya. Foto yang turut disertakan oleh Fazar Azameer
ditilik oleh pasangan suami isteri itu. Kelihatan satu pasangan yang sangat
secocok bila digandingkan. Sama cantik sama padan.
Sesaat kemudian Iqmal Hisyam menyedari
ada sesuatu yang terjatuh dari dalam sampul di tangannya. Sekeping kertas.
Diambil kertas yang sudah mencecah tanah itu. Dibuka dan dibaca tulisan tangan
yang tersurat di atas kertas putih itu.
Assalamualaikum....
Syam,
maafkan aku kerana menghilang tanpa khabar berita. Silap! Seharusnya aku tujukan
maaf itu untuk kalian berdua. Kau dan juga Nadia. Aku tahu yang kalian berdua
telah berkongsi hidup sekarang.
Aku
mendapat khabar kalian berdua daripada Syazwan dua minggu lepas. Tentang alamat
di mana kalian tinggal sekarang. Maafkan aku kerana tidak menghadirkan diri
pada hari bahagia kalian.
Memang
aku tak ada alasan kukuh kenapa aku mengelak dari majlis itu. Cuma pada masa
itu aku tidak sanggup untuk menatap wajah kegembiraan kalian. Kerana
kegembiraan itu merupakan kesedihan aku. Maafkan aku kerana bersifat keanak-anakan.
Lagipun pada masa itu aku sudah lama meninggalkan Malaysia. Aku membawa diri
dan berhijrah ke Australia. Sudah lima tahun aku menghabiskan masa di sini.
Pada
petang kau dibebaskan dari penjara, aku ada pulang untuk menyambut kebebasan
kau. Tapi, saat terpandang kebahagiaan yang kalian tunjukkan, aku batalkan
hasrat aku untuk berjumpa kalian. Seakan kehadiran Nadia Asyila seorang sudah
cukup untuk kau. Malamnya, aku berangkat kembali ke Australia.
Mungkin
kau telah melihat foto yang aku sertakan. Itulah bakal isteriku. Haslinda
Hasyim. Pertama kali aku melihat wajahnya ketika di lapangan terbang semasa aku
mahu meninggalkan Malaysia pada malam pembebasan kau.
Kekalutan semasa check in membuatkan langkah aku sumbang. Bahu aku
terlanggar dengan seseorang. Itulah saat pertama kali aku memandang wajahnya.
Hatiku terdetik. Cantik! Kali kedua kami bertemu muka semasa di dalam pesawat.
Rupanya gadis cantik itu duduk di
sebelah aku. Sepanjang penerbangan aku berbual dengannya. Seakan sudah kenal
lama.
Tapi semuanya berakhir macam tu tanpa
ada apa-apa. Walaupun berbual
berjam-jam. Entah macam mana aku boleh lupa untuk meminta nombor
telefonnya. Hubungan kami terputus di situ.
Pertemuan
ketiga terjadi sebulan kemudian. Semasa aku menemuduga calon untuk pengambilan
staf baru untuk cawangan syarikat aku di sini. Dan tak pernah aku sangka yang
dia salah seorang yang hadir untuk ditemuduga. Oh, terlupa untuk aku beritahu
kau. Aku ada membuka cawangan syarikat aku di sini. Cuba mencari makan di
tempat orang.
Untuk
kali ini, aku tahu yang mungkin inilah takdir. Setelah mengenali hati budinya
hampir enam bulan, dua bulan lepas aku melamar dirinya. Itupun tanpa pernah
terjalinnya hubungan cinta. Selitan takdir yang terindah dalam hidup aku
apabila dia menerima lamaran itu.
Aku amat berharap dan berdoa kepada
Ilahi supaya cinta kami selepas perkahwinan nanti akan sehebat kalian. Iqmal
Hisyam dan Nadia Asyila. Sebuah kisah cinta agung yang mempunyai sejarahnya
yang tersendiri. Doakan kebahagiaan kami.
Aku juga berharap supaya kalian hadir
di majlis yang bersejarah itu nanti. Maafkan untuk semua salah dan silap aku.
Sahabatmu,
Fazar Azameer
Australia