Sebagai seorang gadis yang pernah melalui pengalaman kemurungan teruk dan sedang dalam proses membaiki emosi, bukanlah hal semudah minum ubat tahan sakit dan lepas beberapa minit semuanya akan hilang. Kenyataan tentang encik Aart yang tidak suka melihat aku baik-baik sahaja sekalipun sudah jauh di benua Amerika sungguh menyebalkan! Tidak cukupkah kesakitan yang telah aku lalui hingga menyebabkan semua rancangan karierku tersekat. encik Aart sudah berjaya, aku mengaku kalah, itu yang dia mahu, kan? Atau, semua itu belum cukup teruk, dia mahu aku merempat di pinggir jalan agaknya, grr… aku bukannya siapa-siapa yang, yang encik Aart takutkan sangat. Kuasanya berkali ganda lebih dari Kaizil yang sudahpun terpengaruh dengan ayahnya.
Selepas ugutan itu muncul semula secara tiba-tiba, aku kira aku telah mengambil keputusan yang betul untuk ke Barcelona dan menghilangkan diri selama sebulan ini. Tentu itu akan melegakan encik Aart, aku sudah berada jauh dan tidak mungkin dapat dijejak lagi. Jelaslah, dia tidak perlu risaukan apa-apa lagi. Aku pun sudah lenyap dari hati Kaizil dan tidak pernah bertemunya lagi selepas pertemuan kami berdua pada musim bunga lalu.
Apalagi yang perlu aku lakukan…? Aku kena turunkan tandatangan perpisahan itu dalam perjanjian bertuliskah? Atau umumkan kepada satu dunia kalau aku sudah berpisah dengan Kaizil Harlan, seorang lelaki terkenal yang telah mengucar-kacirkan hidupku. Menghairankan betul bodohnya macam mana orang seperti encik Aart berfikir. Huh… aku mendegus geram.
Aku berada di Vamos dari pagi sampai ke awal petang. Menghadiri kelas terakhir sebelum bertolak ke Barcelona lusa nanti. Hujan sedang turun walaupun tidak lebat tetapi berpanjangan sampai beberapa jam. Cuaca mendung menyelubungi bandar. Aku terus menyibukkan diri menyiapkan portfolio terakhir. Selena menyanyi lagu Sepanyol di sebelahku. Khas untuk aku katanya. Selena yang muda dua tahun dari aku itu memang jenis happy go lucky, salah satu perkara positif untuk aku kalau selalu dekat dengan Selena. Selain tidak mahu memikirkan sebarang ugutan aku tak suka hidup dalam keadaan tertekan dan mengangggu emosiku. Cukuplah semua perasaan derita yang kutanggung dulu, aku tidak mahu menghadapinya lagi. Atas alasan itulah aku cuba jadi berani dan tahu Tuhan akan melindungiku.
“Hola, Halyn… como esta?” tanya Selena dengan lagak wartawan. (*Hello Halyn, apa khabar)
“Bien, gracias.” Jawabku lancar dan mengemas beg bersiap-siap untuk pulang. (*Saya sihat, terima kasih)
Se Min bertepuk tangan.
“Como se ilama?” tanyaku pula. (*Siapakah nama awak?)
“Me ilamo Selena Marquez Agusto.” (*Nama saya Selena Marquez Agusto)
“Wahh, hasta labista!” Se Min menyampuk gembira mendengar aku boleh bercakap Sepanyol.
“Ok, kau dah lulus ke Sepanyol, jangan lupa bawa kamus terjemahan atau simpan apps bahasa dalam handphone kau.”
“Dah, terima kasih Selena.”
“Kalaulah saya tak perlu balik Korea, saya nak ikut Halyn ke Sepanyol…. hemmm…”
Aku lantas memeluk bahu Se Min. “Ada masa lagi Se Min. Err… Selena, macam mana aku nak cakap kalau orang tanya aku dari negara mana?” tanyaku lagi. Lebih baik aku hafal awal-awal sebelum aku kekok nanti di lapangan terbang.
“Soy de Estados Unidos, maksudnya saya dari Amerika Syarikat,” beritahu Selena.
Aku mengulang ayat itu. “Soy de es..tados… u…”
“Unidos.”
“Soy de Estados Unidos,” ulangku berkali-kali. (*Saya dari Amerika Syarikat)
“Ya, pandai. Semoga kau sukses kat sana, kau pun Se Min, jangan lupa belikan aku ole-ole dari Sepanyol dan Korea sebab aku tak ke mana-mana…” kata Selena.
“Kami tahu awak sayang nak tinggalkan teman lelaki awak, kan…” Se Min bersuara.
“Itu salah satu alasan, dia dah janji nak bawa aku ke Nevada, kamu tahu, itulah tempat paling aku idamkan di Amerika ni,” jawab Selena.
Alasanku rasanya lebih banyak dari Selena. Pertama, sebab aku nak lari dari ugutan dan pengintip. Kedua, aku nak tenangkan fikiran, Ketiga, aku suka belajar bahasa Sepanyol. Keempat, sebab aku suka Sepanyol, aku teringin hendak melawat kawasan bersejarahnya. Kelima, Barcelona pun terkenal sebagai pusat fesyen kebudayaannya. Dan banyak lagi yang tidak mampu aku senaraikan.
Selena sedang leka dengan handphonenya, sementara aku membantu Se Min membuat nota berkenaan jenis-jenis fabrik memandangkan aku sudah cukup mahir dengan fabrik berdasarkan pengalaman kerja.
“Di Korea, jaket atau seluar yang dibuat dari fabrik jean jenis lembut sangat laris, kainnya yang lembut tapi bergaya selesa dipakai pada musim bunga atau musim panas…” cerita Se Min.
“Aku pun suka buat rekaan baju gaun dari jeans, senang nak letak hiasan lain kalau kita kena jahit sendiri,” kataku sambil Se Min menulis lagi apa sahaja yang keluar dari mulut aku untuk panduan notanya.
“Bagus betul pengalaman awak tu…”
“Halyn… tengok ni…” Selena memanggilku.
Aku mengangkat muka dan berpaling ke kanan memandang wajah Selena yang berkerut dahi sekejap dan kemudian menganga entah kenapa.
“Kenapa?” soalku pelik dengan riak terkejutnya yang tiba-tiba.
“Kau pernah jadi kekasih Kaizil Harlan? Pemain bola dari Jerman tu?” Selena bercakap dengan pandangannya bersilih ganti dengan melihat muka aku dan skrin telefonnya.
“Kenapa?” tanyaku lebih risau.
Se Min turut berpaling ketika Selena menghulurkan kepadaku iphone miliknya.
“Itu gambar kau kan?” tanya Selena yang nadanya sendiri macam kurang pasti.
Aku membaca laman facebook yang dikongsi oleh satu laman tidak rasmi. Jantungku berdebar gelisah membaca tajuk berita itu.
‘Kaizil dan Mezfey Bakal Bertunang’
Kelihatan gambar Kaizil dan Mezfey yang terbaru sementara gambarku diletakkan dengan satu garisan meretak di sebelah Kaizil.
“Itu, itu… betul, betul ke awak ni Halyn…?” Se Min pantas mengambil telefon itu dari tanganku dan membaca berita itu dengan wajah yang bukan alang-alang terkejutnya. Dia melopong seketika sebelum bertanya lagi. “Siapa Kaizil Harlan ni?”
“Dia pernah main bola dengan kelab Madrid, abang aku minat sangat kat dia. Dah lama aku tak ambil peduli cerita bola sepak ni sejak dua tahun lalu tinggal di sini. Dulu di Sepanyol ada juga sebab bola sepak tu dah jadi budaya kami, kena nonton dan ambil tahu. Semua pemain bola di sana memang jadi selebriti yang orang-gila-gilakan. Kamu tahu tak macam mana ghairahnya penyokong kelab-kelab di Sepanyol, mereka akan sanjung kau kalau kau menang dan akan kutuk kau habis-habisan kalau kau kalah… tapi berita ni, buat aku terkejut sebab ada gambar kau Halyn, betul ke kau pernah bercinta dengan Kaizil Harlan? Setahun lalu? Kau pun baru berapa bulan di New York ni, ini gosip paling baru dari London tau aku dapat… Aku tak tahu pula dia dah main dengan kelab liga inggeris,” cerita Selena panjang lebar.
“Cerita lama,” kataku perlahan. “Kami dah tak ada apa-apa.”
“Apa! Oh Tuhanku, aku tak sangka…” sahut Selena dengan mulut ternganga.
Se Min yang jelas tidak tahu mengenai pemain bola sepak cuma memandangku simpati.
“Tapi, kenapalah dia pilih perempuan begitu, model-model macam tu semuanya hidup bertukar lelaki je, nanti aku nak baca cerita lain pasal kamu berdua…”
Aku tersengih sahaja. Selena mengingatkan aku tentang Julia yang bermulut lepas. Seperti disapa ingatan lama, aku tiba-tiba sedih mengenangkan Julia. Apakah khabar sahabat baikku itu. Jadi ugutan yang datang semalam cuba mengingatkan aku sekali lagi agar terus melupakan Kaizil. Kaizil bakal disahkan akan menjadi milik Mezfey tidak lama lagi.
“Macam mana kamu boleh bercinta?” tanya Selena lagi.
Aku mengeluh memandang siling, benar-benar tidak sanggup hendak menceritakannya.