Home Novel Cinta Halyn 2
Halyn 2
Ann Hann
21/9/2019 10:24:11
104,557
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

Encik Aart sudah menunggu di belakang ketika aku dibawa masuk ke dalam kereta mewah. Seperti biasa, ayah Kaizil itu cuma tersenyum tawar, seolah-olah ada urat besi di sekeliling wajahnya hingga sukar menunjukkan senyuman yang lebih ramah. Aku cuba tak pedulikan sikapnya dan terus duduk di sebelah.

“Halyn.”

Tegur suara garau encik Aart yang buat perutku kecut sesaat.

“Kamu apa khabar?”

“Baik, macam yang encik nampak sekarang,” jawabku.

Kemudian kembali senyap. Mungkin perkataan janggal bukan lagi sesuai pada ketika itu. Rasanya macam aku sedang didakwa dan menunggu bila-bila sahaja hakim memutuskan hukuman apa yang sepatutnya diberikan kepada aku kerana didapati mencuri harta paling berharga milik jutawan dari Jerman. Jadi aku cuba membela diri.

“Saya minta maaf encik Aart. Saya dan Kaizil tak boleh berpisah,” aku dengan beraninya lebih dulu menyampaikan semua kata-kata yang dahulu tidak dapat aku luahkan dengan tepat.

“Tak mengapa Halyn.” Sahutnya dan berdehem dengan suara parau macam bintang filem barat. “Tapi saya minta awak dengar dulu apa yang saya nak cakap kali ini. Semuanya bukan pasal menentang hubungan percintaan kamu berdua. Tetapi tentang maruah Kaizil dan saya.”

Jelaskan permainan kata-kata orang kaya? Mereka sering berselindung di balik maruah mereka seolah-olah cuma mereka sahaja yang dilahirkan dengan maruah. Aku memutuskan mendengar maruah apa yang hendak dipertahankan oleh Encik Aart.

“Saya mohon Halyn. Karier Kaizil akan musnah kalau semua yang saya rancangkan gagal. Bapa Mezfey pemilik kelab Jerman. Dengan harga 70 juta pound bermain di sana, itu tawaran terbaik untuk Kaizil pada usianya 29 tahun ini.”

Aku memang tak begitu faham sangat apa yang Encik Aart cuba katakan jadi aku menjawab dengan jujur. “Adakah saya penyebab karier Kaizil hancur? Encik kelihatan tak profesional meminta saya tinggalkan Kaizil hanya untuk tawaran 70 juta pound. Encik tak fikirkan perasaan Kaizil?”

Encik Aart kelihatan mengkhayal sejenak, merenung langit kelabu dari tingkap kereta yang memang gelap. Wajahnya pudar seperti kesuraman matanya. Aku kira usianya mungkin sudah menjangkau 60 tahun, rambutnya hampir putih semuanya cuma dia kelihatan begitu segak dengan status jutawan. Setelah dia membiarkan aku menunggu dalam seminit dua, Encik Aart kemudian bersuara dan berkata.

“Nama Kaizil besar dalam dunia bola sepak. Dia wakil Jerman dan kepentingannya dalam pasukan sangat diperlukan. Tapi bapa Mezfey lebih berkuasa. Dia boleh mencantas nama Kaizil dari mewakili Jerman dan timbulkan spekulasi buruk yang akan menjejaskan kariernya. Bagaimanapun kalau Kaizil memilih untuk ikut kata-kata saya, semuanya akan selesai. Saya boleh bernafas lega dan Kaizil meneruskan kariernya.”

“Termasuk mengahwini Mezfey?” Itulah yang pernah dikatakannya dulu. Kononnya, Mezfey merupakan pilihan terbaik untuk Kaizil. Mezfey, model terkenal di Jerman dan merupakan anak gadis seseorang yang berpangkat besar di Jerman, aku tak pernah tahu siapa gerangan seorang lelaki yang lebih berkuasa itu dan aku tak teringin nak tahu.

Encik Aart mengangguk sebelum menjawab lagi. “Saya tak kisah kalau awak jadi orang ketiga, yang penting, Mezfey dan Kaizil perlu bersama.”

Aku senyum sinis. Tawaran itu cukup menyakitkan hati. Encik Aart sebenarnya tidak bersikap adil, barangkali kerana status aku sebagai gadis biasa dan tidak memiliki apa-apa. Dia cuma memberiku satu jalan iaitu, tinggalkan Kaizil. Itu sahaja sebenarnya yang diminta oleh Encik Aart.

“Kaizil tahu semua ni? Semua yang Encik Aart ceritakan pada saya?” 

“Dia tahu… cuma dia tak berani putuskan apa-apa.”

Kaizil tahu? Aku lantas tertunduk merenung tanganku sendiri. Jari-jariku yang saling bertaut. Diam-diam aku meyakinkan hatiku kami akan bertahan, aku tak mahu termakan kata-kata Encik Aart yang memang hanya memikirkan kepentingannya sendiri. Aku ingat lagi apa yang Hensen katakan. Encik Aart seorang yang obses kepada kekayaan. Hensen mengenali Encik Aart kerana ayah Kaizil biasa melibatkan diri dalam pelaburan industri filem Hollywood. 

Tiba-tiba pintu terbuka di sebelahku, aku tersentak lagi, Kaizil berdiri di luar dengan riak marah lalu merentap tanganku dan membawa aku keluar dari kereta mewah itu. Setelah aku keluar, Kaizil membongkok sedikit dan bercakap agak kasar dengan Encik Aart.

“Keputusannya tetap sama, aku takkan bermain di Jerman lagi! Tolong jangan racun fikiran Halyn dan jangan pentingkan diri!” dia menghempas pintu kereta itu dan kami terus melangkah pergi. Sebenarnya kereta itu tidak bergerak pun. Aku dan Kaizil masih berada di luar tidak jauh dari kafe tadi. Kami berdua kekal berdiri sehingga kereta yang dinaiki Encik Aart beredar dari situ.

“Aku minta maaf, jangan percaya apa-apa pun selagi aku ada dengan kau.” Kaizil lantas memelukku erat. Airmataku menitis perlahan.

Bayangan musim luruh lalu seolah berulang semula. Aku bakal dihantui kenangan menyedihkan. Kami jalan berjalan beriringan menuju ke kereta dengan beberapa orang yang ada di situ mengambil gambar kami berdua dengan telefon pintar. Selepas setahun dengan Kaizil aku hampir tak mempedulikan betapa sibuknya orang luar tentang kisah cintaku dan Kaizil. Tetapi kemunculan Encik Aart bagai musuh yang menyelinap dan membimbangkan meskipun aku tahu Kaizil tetap disisi, tetap menyayangiku dengan seluruh cintanya.

“Semua keputusan terletak ditanganku Halyn, bukan ayah aku,” ujar Kaizil sambil memandu.

Aku berpaling kepadanya. “Termasuk keputusan tidak memilih Mezfey? Aku bukan orang ketiga. Encik Aart kata, kau belum putuskan apa-apa…”

“Oh Tuhan, hentikan semua! Buang semua apa yang Encik Aart katakan pada kau. Aku cintakan kau, aku akan mengahwini kau bukan Mezfey. Demi cintaku, aku mohon Halyn, hentikan semua fikiranmu tentang Mezfey dan ayah aku. Fikirkan kita berdua saja.” nadanya mula meninggi, rahang tampannya bergerak dan sedang menahan marah. Namun beberapa saat kemudian, Kaizil yang menyedari tingkahnya pantas meraih tanganku dalam genggamannya dan berbicara lebih perlahan. “Jangan jumpa Encik Aart lagi, biar aku saja yang jumpa dia. Kalau ada apa-apa terus telefon aku. Aku akan terus berada di London, kontrakku belum berakhir di sini, tak mungkin aku tinggalkan kelab, aku suka di sini, London macam rumahku sendiri, sama seperti kau.”

Keadaan sepi seketika di antara kami berdua, aku memandang ke arah jalan melihat dedaunan yang terbang merata-rata sebelum bersuara lemah.

“Kaizil, aku cintakan kau. Seberapa besar pun dugaan yang aku alami aku tetap pilih kau, samada kita jauh atau dekat aku tetap cintakan kau. Samada kau ada di sisiku atau tidak, hatiku tetap sama. Samada kau pilih aku atau tidak…” kataku terhenti, aku mengelap airmata yang jatuh setitis dari pelupuk mata kananku, memikirkan aku akan kehilangan Kaizil buat dadaku sebak. Aku belum bersedia, malah tak sanggup bayangkan bagaimana hidupku tanpa Kaizil suatu hari nanti. 

Kaizil menghentikan kereta di tepi jalan dan terus memelukku lalu membisikkan cintanya yang menusuk jauh ke dalam lubuk hatiku yang kuharapkan semuanya akan terkunci di situ. Tidak ada sesiapa yang mampu membukanya kecuali Kaizil sendiri.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.