Home Novel Cinta Bitter Honey (Sudah Terbit)
Bitter Honey (Sudah Terbit)
Meja Editor
5/9/2023 10:02:46
11,940
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5
HANNAH memandang dirinya di cermin. Wajahnya kusam tidak bermaya, matanya pula sembab. Semalaman dia tak lena memikirkan kata-kata Damia. 

“Okeylah. Mungkin Damia betul. Aidil hanya menjadi tempat untuk aku melepaskan geram je. Aku ni yang sebenarnya tak bersedia nak kahwin. Tapi kalau bukan dia yang memandai-mandai nak meminang aku, benda ni tak akan jadi, kan? Jadi, tak salahlah kalau aku nak marah dengan dia pun.” Hannah bercakap di depan cermin. Cuba menganalisis sebab dan alasan yang paling kukuh untuk terus membenci Aidil. 

 “Assalamualaikum!” 

Ucapan salam dari luar rumah mengejutkan Hannah. 

“Huh. Dah sampai!” Hannah mendesis. Sekali lagi dia memandang wajahnya di cermin. Diurut-urut lingkaran di bawah matanya. 

“Huh… macam beruang panda. Aku sendiri pun tak lalu nak pandang!” Hannah mengeluh di depan cermin. 

Dia terus merenung wajahnya di cermin. “Argh! Biarlah nampak macam beruang panda ke, beruang kutub ke, beruang matahari ke, biar nampak buruk. Barulah si pelesit lulusan oversea tu tak lalu nak pandang aku. Then, cancel… tak jadi kahwin! Amin…” bebel Hannah seorang diri. 

Serentak itu, kedengaran pintu biliknya diketuk. 

“Hannah… keluar, sayang. Tetamu dah sampai.” Kedengaran suara ibunya memanggil lembut. ‘Nak je aku cakap, ada aku kesah! Tapi nanti jadi anak derhaka pulak aku.’ Hannah terpaksa membuka pintu biliknya. 

Terkejut Puan Siti melihat wajah Hannah. Dipandanganak gadisnya itu dari atas ke bawah. Puan Siti menggeleng sambil tersenyum lucu. 

“Comel anak mama ni. Nak tunjuk perasaan, ya?” PuanSiti mencubit pipi Hannah. 

Hannah mencuka. 

“Baju lusuh, tudung pun tak bergosok. Tak bagus Hannah buat macam ni. Nanti apa kata tetamu? Umi tak ajar anak umi macam ni tau.” Puan Siti masih tersenyum biarpun Hannah cuba menunjukkan tanda protes. Walaupun anak tunggalnya itu sudah dewasa tetapi manjanya mengalahkan budak tadika. 

“Hannah tolong umi, ya? Hannah pergi bilik umi, dalam almari ada sehelai baju kurung dan tudung yang dah siap digosok. Hannah pakai ya, sayang.” Dia memandang wajah anak gadisnya itu dengan penuh rasa kasih. 

Hannah tunduk merenung ke lantai. ‘Hebat betul umi! Macam tahu-tahu je anak dia ni nak buat perangai. Dah standby gosokkan baju untuk aku.’ Hannah mengalah dengan kehebatan uminya. 

“Bila dah siap nanti, Hannah turun ke dapur. Umi dah sediakan makanan. Hannah tolong bancuhkan minuman dan siapkan meja je. Bila semua dah sedia, Hannah datang panggil kami di ruang tamu depan, okey? 

Jangan lupa pakai bedak dan gincu sikit. Pucat sangat muka tu.” Puan Siti menolak lembut tubuh Hannah ke arah biliknya. Matanya terus memandang Hannah yang berlalu pergi tanpa sebarang kata. 

Anak bertuah. Puan Siti tersenyum lalu berpaling menuju ke arah tetamu yang sedia menanti di ruang tamu. 


MAKANAN dan minuman telah siap terhidang. Hannah masih lagi duduk merenung hidangan di hadapannya. Malu, berdebar-debar, geram, marah! Perasaannya bercampur-baur. 

Pasti umi sedang ternanti-nanti. Perlahan-lahan Hannah memaksa dirinya untuk berdiri. Digosok-gosok bajunya yang sedikit berkedut. Dalam terpaksa dia melangkah menuju ke ruang tamu. 

“Umi, ayah... hidangan dah sedia. Jemputlah.”Hannah tersenyum tawar. Dia memaksa diri untuk memandang Ustaz Azmi dan Puan Mariam. Namun Aidil langsung tidak dipandang. 

Dalam diam, Puan Mariam memerhati bakal menantunya itu. Dia akui Hannah jauh lebih cantik daripada Damia. Sebelum ini pun setiap kali mereka bertemu, dia amat menyenangi perwatakan Hannah. Namun begitu, hatinya tetap keberatan untuk menerima Hannah menjadi menantunya. 

“Apa lagi? Jomlah kita.” Encik Zainal menepuk bahu Ustaz Azmi. 

“Marilah, Kak Mariam. Saya masak simple-simple je.Saya tak pandai masak sangat, tak macam Kak Mariam,” ajak Puan Siti. 

“ALLAH… pandai apanya? Masak lauk-lauk kampung akak retilah.” Puan Mariam merendah diri. 

“Itu yang sedap tu…” Puan Siti memaut lengan Puan Mariam lalu terus mengajaknya ke ruang makan. 

“Aidil dan Hannah tinggal di sini dulu.” Aidil yang baru sahaja mengangkat punggungnya langsung terduduk kembali.

 “Kamu berdua pun dah lama tak berjumpa, kan? Kamu berbuallah dulu. Hari ni ayah bagi chance.” EncikZainal mengerling ke arah Hannah yang sejak tadi hanya menundukkan wajah. 

“Hah, Hannah! Kalau ada apa-apa yang nak tahu tentang Aidil, sekaranglah masanya. Tanya terus pada yang empunya diri.”Hannah menjegilkan mata kepada ayahnya. Geram betul dia! Dia tersedar yang Ustaz Azmi juga sedang memandangnya. Cepat-cepat dia menundukkan pandangan semula. Malu dengan kelakuannya tadi. 

Ustaz Azmi hanya tersenyum. Terhibur pula diamelihat Hannah diusik ayahnya. Dia dapat membayangkan bagaimana bakal menantunya itu akan menjadi mangsa usikan anaknya pula kelak. Hannah jadi kekok apabila ditinggalkan berdua bersama Aidil di ruang tamu. Dia sengaja berdiri membelakangi Aidil, supaya dia tidak perlu memandang wajah lelaki itu.

 “Hannah nak tahu apa pasal abang?” Tiba-tiba Aidil bersuara memecah kesunyian. 

‘Eeii… jangan perasanlah!’ Hannah cuba menahan diri daripada menghambur kata-kata yang kurang enak. 

“Jemputlah duduk. Lama-lama berdiri nanti kaki Hannah cramp. Tak pasal-pasal abang yang kena dukung.” Aidil cuba berseloroh tetapi hambar. 

‘Huh! Jangan harap. Aku sanggup merangkak, mengesot, berguling pun tak apa daripada kena dukung dengan kau! Nak dekat dengan kau pun, aku tak sudi tau tak!’ Hati Hannah membentak. 

Terasa sia-sia pula dia terus tercegat di situ. Peluang dah ada di depan mata. Masa untuk berkonfrontasi! Hannah mendengus kasar. Lantas berpaling lalu duduk bertentangan dengan Aidil. Dia memaksa dirinya memandang lelaki itu.

 Aidil hanya melirikkan senyuman. Renungan mata Hannah yang tajam mula membuatkan jantung Aidil berdegup kencang. Terasa seperti ada titisan peluh-peluh kecil yang mula terbit di dahinya. Dia risau kalau-kalau sistem tubuhnya mula buat hal lagi. Nanti hilanglah‘macho’ dalam dirinya. 

Aidil beristighfar berulang kali di dalam hati. Dia menarik nafas panjang dan dilepaskan perlahan-lahan. 

“Bismillahirahmanirahim…” bibirnya berbisik halus. 

“Apa yang Hannah nak tahu?” ulang Aidil lagi. Berlagak selamba dan bersahaja. 

“Kenapa saya?” Soalan Aidil dibalas dengan soalan. Mimik muka Hannah jelas menunjukkan rasa kurang senang.

 “Kenapa saya?” Aidil mengulangi soalan Hannah. Dahinya berkerut. 

“Ya. Kenapa saya? Kenapa nak kahwin dengan saya? Awak tahu tak saya belum bersedia lagi nak berkahwin? Saya selesa dengan life saya sekarang ni. I don’t need ahusband!” hambur Hannah. 

Dia tidak kisah andai kata-katanya itu menyinggung perasaan Aidil. Kalau Aidil terasa, dia lagi suka. 

Aidil langsung tidak ambil hati dengan kata-kata Hannah. Walau apa pun yang dilakukan atau diucap oleh Hannah, hatinya sudah bertekad. Wanita di hadapannya itu harus dia miliki. 

Aidil yakin Hannah ialah wanita yang dijadikan ALLAH daripada tulang rusuk kirinya, yang diciptakan ALLAH sebagai peneman hidupnya. Jika tidak, mana mungkin rasa cintanya kepada wanita itu tidak pernah pudar? Hannah adalah wanita yang diimpikan untuk menjadi suri hidupdan bidadari syurganya. Dan dia akan pastikan suatu hari nanti, cintanya akan terbalas. 

You know, I already have plan for my future. Dan sekarang saya perlu lupakan masa depan saya semata-mata kerana awak!” Hannah terus meluahkan rasa kecewanya tidak ubah seperti seorang ahli politik sedang membentangkan manifesto parti. 

Aidil diam tidak membalas. Dia memberanikan diriuntuk menatap wajah Hannah sepuas-puasnya. Wajah yang dirindui, yang sering mengisi mimpi dan angan-angannya. 

Dua pasang mata saling bertaut pandangan. Renungan Aidil menyuntik rasa gementar dalam diri Hannah. Tidak semena-mena jantungnya berdebar-debar, lidah menjadi kelu, butir bicaranya mula tersekat-sekat. Akhirnya Hannah memalingkan muka dan duduk diam berpeluk tubuh. 

Tersenyum nakal Aidil melihat wajah Hannah kemerahan menahan marah bercampur malu.

“Kenapa abang nak kahwin dengan Hannah? Kenapa tak boleh?” jawab Aidil acuh tak acuh. Dia mula mengusik Hannah. Suka dia melihat Hannah menarik muka masam. 

“Hisy, dasar pelesit lulusan oversea!” omel Hannah perlahan. 

“Apa, Hannah?” tanya Aidil kurang jelas. 

“Tak ada apalah!” Hannah mendengus geram. 

Satu jelingan yang tajam dihadiahkan kepada Aidil. Aidil tertawa kecil. 

‘Sewel agaknya mamat ni! Kena bebel pun tersenyum,kena marah pun tersenyum!’ Tetapi dalam masa yang sama, hati Hannah memuji ketampanan Aidil. Lebih-lebih lagi apabila lelaki itu ketawa tadi. Menampakkan sebaris gigi yang putih dan teratur, bertambah manis pula di matanya. 

“Okey… okey… maafkan abang. Abang suka tengok Hannah marah… semakin cantik.” Aidil cuba memujuk. 

Melihat Hannah yang terus membatu, Aidil mula serius. Sudah tiba masanya perasaan yang lama terpendam diluah kepada bakal permaisuri hati. 

“Abang tahu susah untuk Hannah percayakan abang.”Tiada lagi riak nakal pada wajahnya. 

“Tapi percayalah, hanya satu saja sebab abang ingin mengahwini Hannah.” Kata-kata Aidil yang tergantung membuatkan Hannah tertanya-tanya. 

“Kenapa?”Aidil berjeda seketika. Wajah Hannah ditatap dengan rasa kasih. Tenangnya Aidil pada saat itu bagaikan setenang air di kali. 

Love… I truly love you Hannah,” lafaz Aidil buat wanita yang ingin dia miliki sepenuh hati. 

Tersentak tubuh Hannah. Sungguh dia tidak sangka Aidil begitu berani mengungkap kata-kata cinta kepadanya. Langsung terkunci setiap sendi di tubuhnya. Dia tidak tahu reaksi apa yang harus ditunjukkan. Melihat Hannah diam menyepi, Aidil ambil kesempatan untuk terus meluahkan rasa yang telah lama terbuku di hati. 

“Hannah…” Aidil memanggil lembut. 

Walaupun tubuhnya masih kaku, anak mata Hannah yang berwarna perang muda itu melirik memandang Aidil. 

“Realitinya hati dan cinta abang dah lama abang serahkan pada Hannah. Cuma abang tak berani nak menyuarakan. Abang tak berani menghadapi kemungkinan yang Hannah akan tolak cinta abang. Mungkin Hannah mengharapkan lelaki yang lebih baik daripada abang. Tapi abang berjanji, dalam setiap hela nafas abang tiada lain yang abang inginkan selain membahagiakan Hannah. Insya-ALLAH Hannah tak akan menyesal terima abang dalam hidup Hannah.” Aidil terusmenagih dan mengharap. 

Hannah termangu-mangu. Setelah menadah telinga dan mendengar dengan teliti luahan hati Aidil. Hannah jadi tertanya-tanya. ‘Boleh percaya ke pelesit ni? Hebat betul skil mengayat dia. Mesti banyak practice ni.’ 

Pekikan Encik Zainal menamatkan sesi luahan hati kehati Aidil dan Hannah. 

“Aidil… Hannah… sudah-sudahlah tu. Mari makan. Nanti dah kahwin, bersembanglah sampai ke subuh pun. Kami tak kacau dah…” Kedengaran deraian tawa orang-orang tua mereka. 

“Jom, Hannah… ayah dah panggil tu,” ajak Aidil.Hannah mengangguk. 

Dibiarkan Aidil berlalu pergi sebelum dia menurut di belakang. 


SAYA minta maaflah kalau Hannah ni macam acuh tak acuh saja.” Encik Zainal mengerling ke arah Hannah yang baru muncul. “Maklumlah benda berlaku secara tiba-tiba…” sambungnya lagi. 

Hannah tersenyum tawar mendengar kata-kata ayahnya. Sempat dia mengerling ke arah Aidil yang sedang asyik menghirup kopi yang dibancuhnya tadi. ‘Menikmati betul… kopi kampung campur gula je pun. Cara minum macam hirup espresso.’ Hannah mencebik. 

“Itulah, saya pun terkejut jugak bila Aidil kata dia berkenankan Hannah ni. Saya kalau boleh nak kahwinkan dengan sepupunya, Damia tu.” Puan Mariam mencelah. 

Terkedu Ustaz Azmi mendengar kata-kata isterinya. Kuih koci yang baru dibuka pembalutnya diletakkan semula di atas piring. Encik Zainal dan Puan Siti saling berpandangan. Terasa kurang senang dengan apa yang didengari mereka. Ustaz Azmi mengerling pada isterinya. 

“Itu sebelum kami tahu yang Aidil ni dah ada pilihan hati,” tutur Ustaz Azmi berhati-hati. Dia perasan akan perubahan pada wajah sahabatnya itu. “Lagipun saya tak berapa berkenan sangat kahwin sepupu ni, kan Mariam?”Lalu dia menoleh memandang isterinya yang masih belum sedar akan kesilapannya.

Puan Mariam baru tersedar. 

“Ya… ya… payah kahwin sepupu ni.” Dia menarik balik keterlanjuran kata-katanya. 

‘Huh! Patutlah beria-ia kau nak aku kahwin dengan abang sepupu kau kan? Kau nak selamatkan diri kau rupanya.’ Hati Hannah menggetus geram. 

“Damia saya dah anggap macam adik saya, uncle…aunty.” Aidil terpanggil untuk turut menjernihkan keadaan. Risau jika Hannah tersalah sangka tentang dia dan Damia. 

Encik Zainal dan Puan Siti mengangguk faham.Sebagai ibu bapa, kebahagiaan Hannah jadi keutamaan. Adakah tepat keputusan mereka? Adakah Aidil pilihan yang terbaik buat Hannah? Semua persoalan itu mula bangkit di dalam fikiran. Namun begitu, keikhlasan dan kematangan Aidil berjaya mencuri hati mereka. Di mata mereka Aidil dan Hannah saling melengkapi. 

“Pandai hang jaga rumah ni, Zainal. Elok utuh macam dulu jugak.” Ustaz Azmi menukar topik. Mengeluarkan mereka daripada suasana yang canggung. 

“Alhamdulillah, Azmi. Kalau bukan aku jaga, sapa lagi nak jaga? Nak jual sayang… kalau ada rumah ni, rasa kuat sikit semangat nak balik kampung.”

“Yalah, betul tu.” Ustaz Azmi terangguk-angguk tanda sependapat dengan temannya. 

“Jadi, Zainal… aku ingat macam nilah. Aku dengan Mariam pun dah nak berangkat ke Mekah tak lama lagi. Apa kata tentang hal budak berdua ni, kita bincang lepas kami balik dari Mekah nanti. Yang pasti la ni, kedua-dua belah pihak dah setuju, kan?” Ustaz Azmi cuba mendapatkan kata putus. 

Encik Zainal memandang isterinya minta pendapat.Puan Siti membalas dengan senyuman. Hannah pula telah pun lesap ke dalam dapur. 

“Insya-ALLAH... pihak kami bersetuju. Nanti yang selanjutnya kita bincang kemudian.” Akhirnya, Encik Zainal memberikan kata putus. 

“Alhamdulillah…” sahut Ustaz Azmi sambil kedua telapak tangan disapu ke wajah. 

Aidil yang duduk di hujung meja cuba mengawal diri. Kalau tiada orang di sekeliling, sudah lama dia meloncat dan menari. Nurul Hannah bukan lagi bidadari di alam mimpi. Dengan restu kedua-dua orang tua, di alam nyata cinta mereka akan bersemi.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.