Home Novel Cinta Bitter Honey (Sudah Terbit)
Bitter Honey (Sudah Terbit)
Meja Editor
5/9/2023 10:02:46
11,943
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

cuma pentingkan kerjaya. Personal life? Pernah fikir pasal tu?" Encik Zainal mempertahankan keputusannya. Nada suaranya semakin menekan.

Puan Siti bingkas bangun.Dia sedar kesabaran suaminya semakin menipis. Maklumlah orang lelaki, memangsusah sikit kalau bab perbincangan hati ke hati. Dia melabuhkan punggung disebelah Hannah. Dirangkul lembut bahu anak gadisnya itu. 

Tubuh Hannah keras seperti patung. Puan Siti faham, dalam diam anak gadisnya itu sedang memberontak.

"Hannah..." Dia bersuara lembut. Digosok-gosok belakang Hannah, diharapkan dapat meredakan hati anaknya yang sedang panas.

"Keputusan yang umi dan ayah buat ni untuk kebaikan Hannah. Hannah bukannya semakin muda. Umi dan ayah pun entah berapa lama lagi nak hidup. Kalau umi dan ayah dah tak ada nanti macam mana? Percayalah dah lama kami fikirkan hal ini, bukan baru sehari dua. Ibu bapa mana yang tak nak lihat anak mereka bahagia, betul tak?" Puan Siti mengatur kata dengan teliti.

Ketegangan emosi Hannah sedikit reda dengan kata-kata ibunya. Dia akui, soal perkahwinan tidak pernah terlintas di fikirannya. Bukan tidak ada pengalaman bercinta. Pernah sekali dua, tetapi entahlah. Mungkin bukan jodoh barangkali, cintanya sering terlerai di tengah jalan.

Sejak dari zaman persekolahan lagi, Hannah merupakan pelajar yang amat berdedikasi. Hasil daripada keputusan SPMnya yang cemerlang, dia ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Dan lima tahun kemudian impiannya untuk menggenggam segulung ijazah tercapai.

Hannah tahu, segulung ijazah bukanlah tanda noktah dalam perjuangan untuk melunaskan cita-cita dan impiannya. Dia mula merangka perancangan dan menetapkan matlamat demi mendukung keinginannya untuk membina kerjaya dalam Industri Perbankan dan Kewangan Islam yang menjadi minatnya sejak dulu.

Sekembalinya Hannah ke Malaysia, dia memulakan kerjaya di Bank Negara Malaysia, agensi yang menaja biasiswa pengajian dahulu. Ketika bekas teman-teman sekuliahnya masih lagi bertatih mencari peluang pekerjaan, Hannah sudah pun satu langkah ke hadapan. Dia melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana secara sambilan, sambil terus menimba ilmu dan pengalaman di alam perkerjaan.

Sebagai seorang yang oportunis, Hannah tidak menunggu lama. Baru tiga bulan tamat pengajian sarjana,Bank Negara Malaysia mengeluarkan tawaran biasiswa untuk pengajian peringkat Doktor Falsafah. Tidak perlu berfikir duakali, Hannah pantas merebut peluang. Dia merupakan antara tiga calon yang berjaya daripada ratusan calon yang memohon.

'Tetapi kenapa mesti budak kampung kaki lepak tu? Hatinya membentak. Kalau ya pun nak kahwinkan anak, tak boleh cari yang berjenis sikit ke?' Gerutu hatinya tidak sudah-sudah.

Hannah risau memikirkan masa depannya. Bagaimana dengan pengajiannya? Kerjayanya? Mampukah dia melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri, jika ia tidak pernah termaktub dalam perancangan dan matlamat hidupnya? Apatah lagi apabila satu-satunya perasaan yang dia ada terhadap Aidil ialah perasaan meluat!

Bagaimana jika selepas kahwin nanti, si pelesit kampung itu tidak membenarkannya menyambung pengajian? Atau disuruhnya berhenti kerja? Dan dipaksa pindah ke kampung?

Silih berganti persoalan menerjah kotak fikirannya. Terasa sesak dadanya memikirkan segala perancangan yang dirangka rapi kini di ambang kegagalan.

"Hannah jangan risau. Ayah yakin Aidil adalah yang terbaik buat Hannah." Encik Zainal seperti memahami isu yang bermain di dalam fikiran anak gadisnya itu.

Hannah cuma mencebik mendengar kata-kata ayahnya. Air mata mula mengisi tubir matanya, tanda dia membantah.

"Lagipun, bila Hannah menyambung pelajaran di Perlis nanti, bolehlah ayah minta tolong Aidil untuk tengok-tengokkan Hannah. Umi dan ayah kan jauh?" pujuknya lagi.

"Sampai hati ayah. Membebankan sangat ke Hannah ni? Sampai tak sabar-sabar nak serahkan Hannah kepada orang lain?" rajuk Hannah semakin menjadi-jadi.

"Astaghfirullahalazim. Ke situ pulak dia!" Suara Encik Zainal mula meninggi.

"Hannah..." Cepat-cepat Puan Siti mencelah. Dia mengenyitkan matanya, sebagai isyarat supaya suaminya tidak lekas melenting.

"Tak baik cakap macam tu...umi setuju dengan ayah, Aidil lelaki yang terbaik, sayang. Macam ni, esokkeluarga Ustaz Azmi nak datang. Aidil pun ada. Jadi, umi dan ayah bagi peluang untuk Hannah berbual dengan dia. Hannah ambil peluang ni untuk cuba kenal hati budinya." Puan Siti pula cuba memujuk.

Suasana di ruang tamu itu hening seketika. Hannah merenung ke lantai lalu membungkam. Memprotes keputusan umi dan ayahnya. Hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa hatinya memberontak ingin melarikan diri. Namun tidak sesekali akan dia turuti desakan hatinya itu. Biarlah dia terus memendam marah dan kecewanya, asalkan umi dan ayah tidak terluka.

Hannah bingkas bangun. Pada saat ini dia hanya ingin menyendiri di dalam bilik. Dia tahu ayah dan uminya sudah nekad. Sebarang rayuan mahupun alasan tidak akan dilayan. Dia berlalu meninggalkan mereka tanpa sebarang kata.

Hannah menghempas kasar punggungnya di atas katil. Diambil sebiji bantal lalu ditekup pada wajahnya.

"Arghhh!" Hannah menjerit sekuat hati.

"Aku tak nak kahwin!!" sambungnya lagi sambil kakinya dihentak-hentak ke lantai.

Hannah mengalihkan bantal daripada wajahnya setelah puas melepaskan emosi yang terbuku di dada. Wajahnya yang putih bersih berubah merah saga.

Hannah termenung sejenak, dia sedar dia memerlukan seseorang untuk mendengar luahan hatinya. Seseorang yang memahami dan mampu berkongsi kekecewaan yang ditanggungnya ini bersama. Hannah mengeluarkan telefon pintar yang tersimpan di dalam poket belakang seluar jean yang dipakainya, lalu dengan pantas jarinya menekan nombor sahabatnya, Damia.

"Mia..." ucap Hannah dengan nada sayu sebaik sahaja panggilannya dijawab.

"Hannah? Kau kenapa ni?" soal Damia. Dia dapat mengesan kelainan pada suara Hannah.

Hannah diam seketika. Dia teragak-agak untuk meluahkan isi hatinya.

"Mia, kau datang sini sekejap, boleh tak? Ada hal sikitlah," pinta Hannah penuh mengharap.

"Kau kat kampung lagi? Belum balik KL?" Nada suara Hannah yang kedengaran serius membuatkan dia tertanya-tanya.

"Belum..."

"Kenapa? Lain macam je suara kau? Ada apa-apa masalah ke?" Soal Damia bertubi-tubi.

"Alah... kau datanglah sini. Please..." Hannah terus merayu.

"Okeylah, kejap lagi lepas asar aku pergi ke sana." Damia tidak sampai hati untuk menolak permintaan Hannah.

Keakraban mereka telah lama terjalin. Susah dan senang sering mereka kongsi bersama.

"Jumpa nanti. Assalamualaikum." Lega hati Hannah apabila Damia bersetuju untuk bertemu dengannya petang nanti.

"Waalaikumussalam."

Hannah mematikan talian. Dia melemparkan pandangan ke luar jendela. Dia merenung jauh ke arah sawah padi yang luas menghijau. Kelihatan pohon-pohon kelapa yang melambai-lambai ditiup angin. Kedengaran pula bunyi kicauan burung-burung yang cuba mencuri padi. Tetapi sayang, suasana yang seindah itu pun tidak dapat menghadirkan ketenangan di dalam dirinya.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.