Home Novel Cinta Bitter Honey (Sudah Terbit)
Bitter Honey (Sudah Terbit)
Meja Editor
5/9/2023 10:02:46
11,941
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

TIDAK senang duduk Hannah sementara menanti kedatangan Damia. Sebaik sahaja temannya itu terpacak di hadapan rumah, terus ditarik tangan temannya itu menuju ke tali air di sebelah rumah. Itulah tempat kegemaran mereka sejak kecil. Setiap kali pulang ke kampung, pasti Hannah dan Damia akan ke situ.

Mereka mula berkawan sejak kecil lagi. Bapa Damia, Encik Daud dan Encik Zainal juga akrab. Bukan setakat teman sekampung, mereka juga berjiran ketika menetap di Kuala Lumpur.

Tetapi sepuluh tahun yang lalu, Encik Daud telah menerima tawaran Perberhentian Kerja Secara Sukarela (VSS) dari syarikat dia bekerja.Dengan pampasan yang diterima, dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan memulakan penternakan ikan air tawar. Alhamdulillah, usahanya berjaya dan terus berkembang maju.

Hannah dan Damia pula, mereka tetap kekal akrab walaupun berjauhan. Dan tidak lama lagi mereka bakal bersama-sama melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD.

“Mia, umi dan ayah paksa aku kahwinlah. Ini yang buat aku risau.” Belum sempat Damia melabuhkan punggung, Hannah sudah terlebih dahulumeluahkan kekecewaan yang terbuku di hatinya.

“Ha! Kahwin?” Melopong mulut Damia. Wajah Hannah ditenungnya.

Berguraukah Hannah? Namun riak wajah Hannah yang muram itu,menceritakan kekusutan yang sedang dihadapinya. Hannah langsung tidak memandangnya. Sebaliknya merenung jauh ke arah sawah padi yang terbentang luas di hadapan mereka.

Kahwin? Kasihan Hannah. Damia memilih untuk tidak bertanyakan sebarang soalan. Biarlah temannya itu sendiri bercerita. Dia pasti hati Hannah sedang berkecamuk. Dia tidak mahu terlalu menekan. Biarlah Hannah bertenang dahulu.

Sunyi. Sepi. Kedua-dua gadis itu hanya duduk membisu. Kelihatan setitis demi setitis air mata mengalir di pipi Hannah.

Hati Damia menjadi sayu melihat temannya itu. Air matanya turut berlinangan. ‘Apalah nasib kau, Hannah? Tak sangka uncle dan aunty pun macam mak aku. Suka memaksa-maksa anak kahwin. Tapi itulah, kau tu lemah lembut sangat. Kalaulah aku macam kau, dah lama agaknya aku dikahwinkan dengan pilihan mak. Entah-entah dah sedozen anak aku.’ Damia hanya mampu berkata-kata dalam hati. Sebolehnya dia tidak mahu membuat sebarang komen. Takut Hannah bertambah sedih.

“Aku tak nak, Mia. Aku belum bersedia. Aku ada cita-cita. Aku ada impian yang ingin aku capai. Apa akan jadi dengan semua perancangan hidup aku lepas aku berkahwin nanti?” bentak Hannah.

Kusut fikirannya apabila cuba membayangkan masa depannya yang semakin berselirat. Hannah terus berteleku. Sesekali jari-jemarinya mencabut kasar rumput di tanah.

“Tapi aku tak sampai hati nak membantah permintaan umi dan ayah aku.” Hannah mendesis sayu.

 “Tapi kenapatiba-tiba je? Aku tak pernah pun dengar parents kau cakap pasal benda ni. Lainlah mak aku tu asal tengok muka aku je, tak ada benda lain... kahwin...kahwin... kahwin,” respons Damia.

Hannah mengesat air mata yang membasahi pipinya.

“Entahlah, dia orang cakap bukan tiba-tiba. Dah lama dah diaorang fikirkan. Umi dan ayah aku kata, dia orang risau tengok aku tak settle down lagi. Takut nanti kalau diaorang dah tak ada, tak ada orang nak jaga aku,” rungut Hannah. Berkerut keningnya menahan geram.

Damia hanya diam dan terus mendengar.

“Apa, ingat aku budak kecil lagi ke? Aku tak perlukan suamilah untuk jaga aku!” Suara Hannah menjulang di udara. Tidak ubah seperti pemidato yang sedang bertarung debat.

“Habis tu... kau terima bulat-bulat je?”

“Dah aku cakap aku tak bersedia. Tapi tak jalan. Ayah danumi aku berkeras jugak.” Hannah mencebikkan wajah tanda tidak puas hati.

“Lagipun, kau tahu kan? Umi aku kalau memujuk, mana sampaihati nak membantah.” Nada suara Hannah mula mengendur.

Damia faham maksud Hannah. Umi Hannah amat lembut tutur katanya. Sepanjang dia mengenali keluarga Hannah, tidak pernah sekali pun dia mendengar Puan Siti meninggikan suara. Lainlah ibunya satu hari kalau suara tidak mencecah langit memang tidak sah.

“Kau tahu ke dengan siapa kau dipaksa kahwin ni?”

Hannah menelan liur. Pertanyaan Damia membuatkan Hannah terdiam. Dia teragak-agak untuk meyebut nama Aidil. Dia tahu Damia memandang tinggi abang sepupunya itu. Aidil sering dipuji-puji. Walaupun Hannah secara terang-terangan menunjukkan rasa kurang senang terhadap Aidil.

“Aidil.” Hannah menjawab pendek.

“Siapa?” soal Damia minta kepastian.

“Aidil… Abang Aidil kau tulah!” Hannah mendengus geram.

Damia tidak dapat mengawal riak wajah gembiranya.

“Alhamdulillah…” Terucap perkataan itu daripada mulut Damiatanpa sengaja.

Geram hati Hannah mendengar. Sebuah jelingan tajam dihadiahkan kepada temannya itu. Dia mengharapkan Damia akan menyebelahinya,tetapi malangnya tidak. Damia sedar dia telah menyinggung perasaan Hannah.

“Kalau bukan Abang Aidil yang dijodohkan dengan kau, kau naktak kahwin?” Damia cuba memancing.

“Aku masih tak suka, tapi taklah seteruk ni. Apa yang bagus sangat dia tu sampaikan semua orang pun suka sangat dengan dia? Aku betul-betul tak faham macam mana umi dan ayah boleh terima mamat kampung tu untuk dijadikan menantu. Apa aku ni tak layak dapat suami yang elok sikit ke? Takkanlah disebabkan ayah dan Ustaz Azmi tu kawan baik, aku yang jadi mangsa?”

Damia menggeleng. Dia kenal sangat perangai Hannah yangkeras hati itu.

“Itulah kau... dulu aku nak kenalkan dengan Abang Aidil kau jual mahal. Asal aku cakap pasal dia je, kau marah. Asal cakap je kau merajuk. Kalau tak kenal, maka tak cintalah.” Sengaja Damia bermain dengan perasaan Hannah yang sedang membara.

“Hisy, kau ni. Jangan sebut pasal cinta boleh tak? Menyirap darah aku! Geli-geleman aku dengar, tau tak?” Hannah semakin geram.

“Ala… kalau aku tak sebut pun, kau menyirap jugak kan? Kauingat, kau sorang je yang belajar sampai ke luar negara? Abang Aidil yang kau pandang hina sangat tu pun samalah.”

Hannah memandang Damia. Dahinya berkerut tak percaya.

“Dia tu engineer. Habis belajar terus ditawarkan untuk bekerja di sana. Sepuluh tahun jugak dia menetap di luar negara tu.” Bersungguh-sungguh Damia bercerita.

Budak kampung kaki lepak tu lulusan luar negara? Hannah tersentap. Orang yang dipandang lekeh dan dikutuknya selama ini rupa-rupanya bukan sebarangan. Namun, penjelasan Damia tidak dapat mengubah pendirian Hannah. Egonya tidak membenarkan dia untuk tunduk kalah.

“Oh, engineer?Lulusan oversea? Tapi perangai macam pelesit. Depan orang lagak baik!” Hannah mencebik bibirnya.

“Ya ALLAH, Hannah… peristiwa zaman budak-budak dulu pun kaunak ungkit? Normallah budak-budak lelaki sedang meningkat remaja. Nampak perempuan cantik macam kau, gila bayanglah dibuatnya!” Semakin lelah Damia bertekak dengan Hannah.

Hati Hannah pula semakin sakit apabila Damia terus menerus mempertahankan Aidil.

“Abang Aidil tu baik… anak ustaz lagi.” Damia menukar taktik. Dia cuba memujuk pula.

“Sejak bila pulak kalau anak ustaz tu gerenti baik?” Hannah terus memangkah. Hatinya terdetik rasa kesal. Dirasakan seperti agak keterlaluan kata-katanya tadi. Tetapi terlajak kata, menyesal pun tidak guna.

Damia menepuk dahi.

“Ya ALLAH… susah betul bercakap dengan kau ni. Atau kau tak suka Abang Aidil sebab dia tu orang kampung? Yalah, tak kena dengan standard orang KL macam kau ni?”

“Eh, tolong sikit. Aku bukan macam tu, okey? Orang kampung ke orang bandar ke, tak ada masalah untuk aku. Masalahnya orang yang perangai macam pelesit!” Hannah langsung tidak mahu mengalah.

“Aku rasa macam bercakap dengan tembok hari ni. Mata kau tuje yang terbuka luas. Tapi hati? Kau sendirilah yang tahu. Kau terlalu ikutkan perasaan sangatlah. Cuba kau bawa bertenang dan fikirkan betul-betul, apa sebenarnya masalah kau ni? Sebab aku tak rasa masalahnya pada Abang Aidil.”Akhirnya Damia angkat bendera putih.

Hannah hanya menundukkan wajahnya. Walaupun berkecil hati,dia akui ada benarnya kata-kata Damia. Kalau difikirkan elok-elok, memang Aidil tidak pernah buat salah padanya. Setakat gurauan sewaktu zaman remaja dulu. Apalah sangat? Mungkin juga Aidil sengaja dijadikan tempat untuk dia lepaskan segala kemarahan dan ketidakpuasan hatinya.

“Kalau kau tahulah betapa sayangnya Abang Aidil tu dengan kau, mesti kau menyesal tak kahwin dengan dia dari dulu lagi,” ucap Damia lembut.

‘Sayang? Murahnya kasih sayang kau, Aidil. Selalunya jenis lelaki yang murah kasih sayang ni orang panggil hidung belang.’ Hannah mendesis sinis.

“Tak apalah, Hannah. Aku nak balik dulu. Lambat-lambat nanti, bising pulak mak aku,” ujar Damia. Langsung dirangkul bahu temannya itu.

“Hmm…” jawab Hannah acuh tidak acuh sambil mengangguk.

“Kau jangan marah ya. Semua yang aku cakap tadi tu sebab aku sayangkan kau. Aku kenal Abang Aidil tu macam mana. Kalau betul dia bukan calon suami yang terbaik untuk teman baik aku ni, aku sendiri akan pergi bagitahu umi dan ayah kau. Tapi percayalah Hannah, youdon’t have to worry about him. Dengar nasihat aku ni, try to clear your mind. Fikir secara rasional. Apa sebenarnya yang buat kau marah? Betul kau marahkan abang Aidil? Atau ada perkara lain yang mengganggu fikiran kau?”

Hannah tidak membalas, dia terus membungkam. Wajah Damia langsung tidak dipandang.

Damia pulang tanpa dihalang. Dia sedar hari ini dia gagal menjadi seorang teman yang baik seperti yang Hannah harapkan. Namun, menjadi teman yang baik itu bermaksud dia harus berkata jujur, biarpun ia menyakiti hati temannya.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.