Home Novel Cinta Gila-Gila Cinta
Gila-Gila Cinta
Izza Aripin
3/9/2013 21:00:15
40,698
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

BOT pesiaran laju itu terapung-apung beberapa kilometer di pesisiran pantai Pulau Jawahir. Melalui teropong, Karl dapat melihat suasana pantai Pulau Jawahir yang masih terpelihara. Pasir pantainya putih. Air di sekeliling pantai itu hijau kebiru-biruan. Sangat jernih hingga boleh melihat ke dasarnya. Ekologi pulau ini masih terpelihara daripada sebarang pencemaran. Karl terus meneropong ke segenap pantai.

“Karl...kat pulau tu tak ada resort atau chalet. Kalau kau masih nak turun, kita berkhemah ajelah kat tepi pantai. Aku dah bawa semua peralatan.” Logan menegur. Dia memandang Karl yang masih ralit meneropong ke satu arah. “Karl! Kau dengar tak?” Bahu rakan baiknya itu ditepuk.

Bukan Karl tidak dengar, tapi dia lebih suka menumpukan perhatian kepada susuk tubuh yang menjadi sasaran lensa teropongnya. Ayu sungguh gadis itu. Rambutnya yang panjang hitam berkilau jelas kelihatan di balik selendang putih yang terlilit di kepalanya. Meski hanya berkain batik dan berkebaya pendek, susuk tubuh gadis itu memang menawan. Apatah lagi wajahnya yang begitu ayu jelita. Perasaan Karl bagaikan dirasuk. Hatinya bagai diketuk. Walau apa pun caranya, dia perlu mendekati gadis itu.

“Ayuh Logan! Kita ke pantai.” Teropong dicampakkan dan enjin bot dihidupkan. Logan terhumban ke perosok bot apabila Karl membuat pusingan tajam.

“Woi woi! Are you crazy, man? What’s wrong with you?”

“Aku nampak bidadari, Logan. Yang ni confirm tak boleh dilepaskan.” Membuak-buak semangat Karl mahu mendapatkan gadis itu.

Wohoo...man!Sheena kau nak campak mana?”

“Sheena kat sana. Aku kat sini. Who cares?

Logan menggeleng kepala. Sikap Karl yang begini benar-benar membuatkan dia setengah gila. Selalunya dialah yang jadi mangsa Karl sebagai budak suruhan. Dia sanggup pun sebab habuan yang Karl berikan kepadanya cukup lumayan. Sebab itu dia tahan berkawan dengan Karl yang sudah dikenalinya sejak mereka sama-sama menuntut di Harvard Business School dahulu.

Hasil kerja keras Logan, mereka berdua dapat menumpang teduh di rumah tumpangan milik ketua kampung pulau itu. Makin senang usaha Karl kerana gadis yang menarik perhatiannya tadi ialah anak tok penghulu. Razanah namanya. Selama berada di rumah tumpangan itu, Karl memang berusaha bersungguh-sungguh menarik perhatian Razanah dan bakal bapa mentuanya. Dia sanggup berpura-pura menjadi baik dan bermurah hati menghulurkan bantuan bagi membangunkan kemudahan asas di pulau itu semata-mata mahu memikat perhatian semua orang.

Dia akan gunakan semua jalan dan cara yang ada bagi mendapatkan Razanah. Hasratnya, Razanah akan dimiliki sebelum dia meninggalkan pulau itu. Namun usahanya bukan semudah biasa. Tok penghulu dan ahli keluarganya seolah-olah kebal dengan budi dan bantuan yang dihulurkan olehnya. Ya, memang mereka amat berterima kasih kepada Karl kerana sudi membiayai pembinaan dewan orang ramai dan membaik pulih kemudahan telekomunikasi di pulau itu. Namun untuk tok penghulu menerimanya lebih dari itu, memang tidak nampak sebarang kemungkinan.

Cara baik Karl sudah pun digunakan. Namun, cita-cita Karl hendak mendapatkan Razanah, masih jauh panggang daripada bara. Lantas, dia berpakat dengan Logan untuk menggunakan cara paling kotor. Lagipun bukannya Karl tidak biasa gunakan kekerasan seperti itu.

Seperti biasa setiap pagi, Razanah akan datang ke rumah tumpangan itu untuk mengemas. Selalunya, sewaktu Razanah berkemas, Karl dan Logan akan bersarapan di rumah tok penghulu. Tetapi pagi itu, Karl sengaja menunggu kedatangan gadis itu. Razanah yang tidak menyedari Karl masih ada di dalam rumah, malah sebenarnya sedang bersembunyi di dalam bilik air, terus sahaja menjalankan tugasnya mengemas dan mengumpulkan pakaian yang hendak dicuci. Daun jendela semua dibuka bagi membolehkan angin pagi menyegarkan ruang rumah sederhana besar itu.

Ketika dia sedang mengemas bilik tidur, Karl keluar dari bilik air hanya bertuala di pinggang sambil mengeringkan rambutnya dengan tuala kecil. Razanah yang terkejut, segera memalingkan tubuhnya daripada Karl. Dia berasa malu kerana melihat lelaki itu tidak berpakaian seperti itu.

“Maaf tuan. Saya tak tahu tuan masih ada di sini.” Berdegup kencang jantungnya ketika itu kerana terkejut. Dia membelakangi Karl dan terus memasang cadar di atas katil.

Karl menahan senyuman. Tuala kecil dicampaknya ke atas katil. Razanah hanya memandang tanpa mahu menoleh ke belakangnya. Karl mengatur langkah mendekati Razanah. Selendang yang menutupi sebahagian kepala gadis itu ditariknya perlahan hingga jatuh ke lantai. Razanah terkejut bukan kepalang. Dek sebab itu, dia berpaling ke belakang. Bertambah terkejut apabila Karl hanya sedepa sahaja dari tempat dia berdiri.

Lekas-lekas Razanah memalingkan wajahnya yang sudah merah. Karl yang masih menahan keinginan hendak tersenyum gelihati melihat reaksi Razanah yang malu-malu, semakin teruja meneruskan niatnya. Dia mendekatkan jarak. Dan Razanah undur ke belakang hingga dia terlanggar katil dan jatuh terlentang. Terus sahaja Karl pura-pura jatuh dan menimpa tubuh gadis itu.

“Tuan!” Razanah terpaksa memandang wajah Karl dan berusaha menolak tubuh lelaki itu daripada menimpa dirinya.

“Kenapa nak rasa malu dengan saya?” Selamba Karl bertanya.

Kulit muka Razanah terus memerah. Tidak mampu dia hendak memandang wajah tampan itu lama-lama. Siapa yang tidak akan tertarik dengan wajah putih bersih dan kacak itu? Dia sendiri pun bagaikan tertawan. Namun memikirkan larangan keluarganya, Razanah rela membelakangkan keinginan sendiri. Sejak Karl dan rakannya menumpang teduh di rumah tetamu itu, dia memang sentiasa mengelak daripada berhadapan dengan Karl.

Tetapi pagi itu, lain pula jadinya. Kalaulah ayahnya melihat keadaan mereka ketika ini, pasti tubuhnya akan dibanting dengan kayu. Memikirkan hal itu, Razanah segera meronta mahu melepaskan dirinya.

“Tuan...tolong lepaskan saya!” Dada Karl ditolak sekuat-kuat hatinya.

“Belum lagi....” Karl sudah dirasuk nafsu yang menggila. Niatnya untuk main-main, sudah bertukar. Namun belum sempat dia bertindak lebih jauh, tok penghulu sendiri yang tiba bersama Logan dan beberapa orang lain, seperti yang telah dia rancangkan.

Tok penghulu yang terkejut melihat keadaan anak gadisnya dan tuan muda itu berasa amat malu. Walaupun dia tahu Razanah tidak bersalah dalam hal ini, dia terpaksa akur menjatuhkan hukuman. Walaupun dia tahu semua itu adalah perangkap dan angkara tuan muda itu, tok penghulu tidak dapat berbuat apa-apa. Nanti dia dituduh berat sebelah kerana menangkan anak sendiri.

Dengan hati yang berat, terpaksa juga dia menikahkan Razanah dengan Karl. Hatinya luluh apabila diberitahu yang Karl sebenarnya sudah pun beristeri. Malah sudah ada tiga orang anak yang masih kecil. Tambah luluh apabila dia berhasrat untuk tidak membawa Razanah bersamanya pulang ke Malaysia. Ketika dia meninggalkan Razanah untuk pulang ke tanah airnya, wanita itu sudah hamil tiga bulan.

Karl berjanji akan pulang melawat Razanah dan anak mereka sekiranya dia ada kelapangan waktu.
Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izza Aripin