“SABAR ajelah, Rys. Jangan ambil hati sangat dengan mulut
dia tu. Bahasa dia memang kasar. Tak reti nak cakap baik-baik. Anak orang utan
agaknya.” Muncung-muncung mulut Huda mengumpat Si Rambut Kembang. Eryssa menarik nafas
panjang. Dia masih lagi termenung memikirkan kata-kata yang dilemparkan oleh
Zeek sebentar tadi kepadanya. Ada ke patut Zeek suruh dia balik ke rumah jadi
pencacai najis kalau kalah lawan catur esok?
Ingat ni macam filem
P.Ramlee Tiga Abdul tu ke? Eryssa sering kecil hati dengan kata-kata Zeek.
Walaupun mereka sekumpulan, Zeek tak pernah menunjukkan sikap mesra terhadapnya
dan juga ahli-ahli kumpulan yang lain.
Menurut
rakan-rakannya, Zeek diperintahkan masuk kelab catur jika tak mahu dibuang
sekolah. Memasuki kelab catur ialah hukuman yang perlu diterima oleh Zeek
kerana selalu datang lewat, ponteng kelas dan berpakaian selekeh. Nasib Zeek
agak baik kerana hanya disuruh menyertai kelab catur.
Nasib rakan-rakannya
yang lain lagi dahsyat. Ada yang dihukum menyertai kelab memasak, kelab andaman
dan kelab asuhan. Di sekolah itu, guru-guru mengamalkan hukuman dengan cara
mendidik.
Sesiapa yang melanggar
peraturan sekolah, tak dirotan ataupun dimalukan sewaktu perhimpunan.
Sebaliknya mereka diberi pelbagai tugas yang mendidik sahsiah mereka seperti
membuat kerja amal dan kebajikan di samping menyertai kelab ‘perempuan’ jika
pelajar itu lelaki.
“Jomlah balik. Hari
dah petang. Nampak macam nak hujan aje,” ajak Huda selepas puas membebel.
Eryssa menyandang
begnya di bahu. Bersama-sama Huda mereka melangkah keluar daripekarangan sekolah yang lengang.
“Alamak... budak
rambut kembang tu pun tunggu bas.” Huda agak tak senang melihat Zeek turut sama
menunggu bas bersama pelajar-pelajar lain.
“Buat tak tahu ajelah.
Nanti dia lazer kita, tak pasal-pasal pula semua orang ikut ejek kita.”
Eryssa tak mahu mencari perseteruan dengan Zeek. Dia amat maklum dengan mulut
celopar pelajar itu yang suka mengejek pelajar yang tak disukai olehnya.
Apa saja yang diejek
oleh Zeek, pasti menjadi ikutan pelajar nakal yang lain. Dulu Zeek pernah
menggelar seorang pelajar gemuk dengan gelaran Badak Ayu. Hampir semua pelajar
nakal memanggil pelajar bernama Kamisah itu dengan gelaran tersebut.
Kamisah terpaksa
menahan telinga. Walaupun dah diadukan kepada guru-guru, gelaran itu memang
melekat padanya hingga ke hari ini.
Eryssa dan Huda
berdiri agak jauh dari tempat menunggu bas yang berbumbung. Mereka tak mahu
menarik perhatian Zeek dan rakan-rakannya yang sedang membuat bising di pondok
menunggu itu. Tak sampai lima minit mereka di situ, hujan turun dengan lebat
secara tiba-tiba.
Dengan berat hati,
Huda dan Eryssa terpaksa berteduh di pondok menunggu bas itu. Walaupun
berbumbung, kesemua pelajar yang berteduh di situ hampir basah kerana angin
bertiup agak kencang.
Nasib mereka baik
kerana bas yang tak berpendingin hawa itu tiba awal dari biasa. Kesemua
tingkapnya dinaikkan. Pasti berkuap dan panas keadaan di dalamnya. Eryssa tiada
pilihan. Jika dia tak menaiki bas ini, sejam lagi barulah ada sebuah bas lain.
Tentu waktu itu hari dah gelap.
Pelajar-pelajar
berebut-rebut menaiki bas yang dah penuh. Riuh-rendah bunyi suara mereka. Huda
dan Eryssa ditolak-tolak ke belakang oleh rakan-rakan mereka sendiri. Begitu
bising mulut Huda memarahi mereka.
“Hoi! Diamlah Murai
Kepeng!” Suara Zeek lantang menyuruh Huda diam. Mendengar saja gelaran yang
baru diberi, beberapa orang pelajar lelaki yang nakal ketawa yang dibuat-buat
sambil mengulangi gelaran tersebut.
Wajah Huda merah padam
menahan marah. Esok tentu satu sekolah menggelarnya Murai Kepeng. Rasa nak
diganyang saja mulut Si Rambut Kembang itu.
“Buat tak tau aje,
Huda. Lagi kau lawan, lagi suka mereka mengejek.” Eryssa menarik beg Huda
menuju ke belakang. Ada ruang kosong di situ apabila bas berhenti menurunkan
penumpang.
Huda mengetap giginya
dengan geram. Habis kejang kulit wajahnya. “Kalau aku dapat Si Rambut Kembang
tu, aku lanyak-lanyak dengan steamroll biar penyek macam lempeng. Tak
guna. Dahlah rambut kembang macam sarang tebuan. Mulut pula tak makan saman!”
Huda terus merungut-rungut.
Eryssa
diam. Dia tak mahu cakap apa-apa. Nanti kalau dilayan, bak menyiram minyak ke
bara api pula. Sedikit demi sedikit penumpang mulai berkurangan. Hujan di luar
juga dah renyai-renyai. Ada tempat duduk yang kosong di belakang.
Eryssa ajak Huda duduk
di situ. Kakinya lenguh berdiri lama. Rumah mereka bukannya jauh sangat, tapi
disebabkan bas uzur yang bergerak perlahan dan kerap berhenti itu membuatkan
jarak rumah mereka terasa amat jauh.
Huda keberatan apabila
ternampak Si Rambut Kembang dan rakan-rakannya dah menghuni sebaris tempat
duduk paling belakang. Tapi selepas dia sendiri berasa penat berdiri, akhirnya
dia mengalah. Lagipun tempat duduk kosong itu selang sebangku dengan tempat
duduk paling belakang.
Beberapa orang rakan-rakan
Zeek turun di perhentian seterusnya. Tak lama kemudian, Huda pula yang turun.
Kini hanya tinggal beberapa orang saja di dalam bas. Eryssa tak mahu menoleh ke
belakang melihat siapa yang tinggal kerana dia tahu Zeek masih belum turun.
Kebetulan mereka turun
di perhentian yang sama iaitu perhentian paling akhir. Bas berhenti di sebuah
kebun getah dan seorang lelaki naik. Walaupun terdapat banyak tempat kosong,
lelaki itu duduk di sisi Eryssa.
Eryssa rasa agak pelik
tapi dia diamkan saja. Tiba-tiba dia terasa seperti ada sesuatu yang mencucuk
tubuhnya di sebelah tepi. Eryssa hanya biarkan saja dan anggap lelaki di
sebelahnya itu tak sengaja. Tapi, makin lama semakin kuat dan menjalar-jalar
menghampiri dadanya.
Eryssa jadi takut.
Nampaknya lelaki itu cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya. Lantas dia
menjarakkan dirinya dari lelaki itu. Eryssa duduk rapat ke tepi dinding bas.
Tapi, lelaki kurang
ajar itu tak faham bahasa. Sebaliknya dia semakin menghimpit Eryssa. Kali ini
sebelah tangannya pula meraba-raba paha Eryssa dengan berani. Eryssa tak tahu
nak buat apa. Dia panik.
Mahu menjerit meminta
tolong tapi peti suaranya bagaikan tersumbat. Eryssa tahu dia tak sepatutnya
membiarkan lelaki itu bertindak kurang ajar kepadanya. Lantas dengan berani, dia
menolak tangan lelaki itu.
Lelaki itu diam tak
bertindak apa-apa. Agak lama juga dia begitu. Eryssa berasa lega kerana
akhirnya lelaki itu faham bahasa. Namun, keadaan itu tak lama. Kali ini Eryssa
terasa kain sekolahnya diselak dengan kaki. Lelaki ini memang kurang ajar!
Dengan geram, Eryssa
memijak kasutnya. Akibat tindakan itu, lelaki berkenaan menjadi semakin berani.
Dia menyelitkan tangannya di belakang tubuh Eryssa dan mula meraba-raba.
“Hoi! Kau buat apa
hah?” Tiba-tiba satu suara menyergah dari belakang.
Serentak dengan itu,
satu tunjalan hinggap di kepala lelaki keparat itu. Apabila lelaki itu bangun
dan mahu bertindak balas, Zeek menunjukkan bet besbol di tangannya ke muka
lelaki itu.
“Kau nak kena ni?”
Zeek mengugut.
Lelaki keparat itu
terpisat-pisat. Dia terus berdiri dan menekan loceng. Apabila bas berhenti, dia
segera turun.
Penumpang-penumpang
yang duduk di bahagian depan langsung tak tahu apa yang berlaku di belakang.
Mereka hanya mendengar Zeek memarahi lelaki itu. Tapi, mereka malas mahu ambil
tahu kerana menganggap perkara itu sebagai masalah budak-budak sekolah.
Bas kembali bergerak
perlahan. Eryssa masih tergamam dengan kejadian yang baru berlaku kepada
dirinya. Air matanya mengalir perlahan. Dia berasa terhina kerana diperlakukan
begitu oleh lelaki yang tak berperikemanusiaan itu. Jika Zeek tak ada sebentar
tadi, entah apa pula yang jadi kepada dirinya.
“Lain kali menjerit
minta tolong. Bukan diam saja!” Zeek yang duduk di belakangnya, menghulurkan
sehelai sapu tangan kepada Eryssa.
Teragak-agak Eryssa
mahu menyambutnya. Air mata yang mengalir deras di pipi segera dikeringkan.
Akhirnya bas berhenti
di perhentian terakhir. Hanya tinggal tiga orang penumpang termasuk dia dan
Zeek yang turun di situ. Kadang-kadang hanya Eryssa seorang. Apabila memikirkan
perkara itu, Eryssa jadi semakin takut nak pulang dari sekolah selepas ini.
Jika
diadukan perkara itu kepada mama, tentu mama membebel dan dia dah ada sebab
kukuh memaksanya tinggal di sekolah berasrama seperti kakak dan abangnya. Kalaulah
papa ada ketika itu, tentu dia tak susah naik bas setiap hari ke sekolah.
Sejak kebelakangan
ini, papa sibuk menguruskan ladang strawberi di Blue Valley sehingga tak ada
masa nak hantar dan jemput dia dari sekolah seperti selalu.
Sewaktu Eryssa berjalan
pulang ke rumah petang itu, dia perasan yang Zeek mengekorinya dari belakang.
Dia tahu arah rumah Zeek bertentangan dengan arah rumahnya. Ketika itu Eryssa
dapat merasakan yang Zeek bukannya seburuk yang disangka.
Di sebalik sikap nakal
dan mulutnya yang celopar itu, pelajar itu memiliki hati yang murni. Sewaktu
membuka pagar rumah, ingin sekali Eryssa berpaling dan mengucapkan terima kasih
kepada Zeek. Tapi sebaik saja dia menoleh ke belakang, bayang pelajar itu tak
kelihatan di mana-mana.
Sapu tangan yang
dipinjamkan oleh Zeek masih tergenggam di tangannya. Esok, dia akan
pulangkannya. Dia juga perlu mengucapkan terima kasih kepada pelajar itu kerana
telah menyelamatkan dirinya.