“TAN
SRI!”
Tan
Sri Haiqal mengesat air matanya yang entah bila menitis di pipi. Gambar hitam
putih yang dipegangnya segera disembunyikan di saku kot.
“Cik
Eryssa dah ada di atas.” Jasmina sudah terpacak di tepi pintu kabin.
Tan
Sri Haiqal bangun dan keluar dari kabin. Hatinya yang sedih tadi beransur-ansur
tenang apabila mengenangkan raut wajah yang lembut itu. Senyuman di bibirnya
semakin melebar apabila terlihat si gadis sedang duduk di atas sofa sambil
menikmati pemandangan marina. Tengah hari itu dia sendirian dan Tan Sri Haiqal
berasa sangat lega. Dia tidak mahu pertemuannya dengan gadis itu diganggu oleh
sesiapa. Lantas dia memberikan isyarat kepada kapten supaya membawa bot itu
belayar.
Eryssa
gempar apabila bot perlahan-lahan bergerak meninggalkan jeti. Baru sahaja dia
hendak bangun bertanya kepada Shamina, Tan Sri Haiqal sudah muncul dengan
senyuman.
“Tak
mengapa kan kalau I bawa you bersiar-siar sebentar sambil kita berbincang?” Lelaki
itu sudah duduk di hadapan Eryssa.
“Oh?”
Perasaan kurang selesa di dada Eryssa cuba dipujuk tenang. “Tak jauh, kan?” Dia
cuba berlagak senang.
“Nope...just around the bend.” Tan Sri
Haiqal senyum lagi.
Eryssa
ikut tersenyum. Entah kenapa dia senang dengan senyuman lelaki itu. Senyuman
yang mendamaikan yang pernah menghiasi wajah seseorang yang entah di mana dia
berada. Eryssa lekas-lekas menolak ingatan itu jauh-jauh. Dia ada perkara
penting yang perlu diuruskan.
“Ini
skrip yang kami dah ammend ikut yang
Tan Sri minta hari tu.” Eryssa menyorongkan sebuah folder transparen di atas
meja.
Tan
Sri Haiqal hanya melihat folder yang disorongkan. Tiada tanda-tanda dia akan
mengambil folder itu. “Tak mengapa. I akan minta Jasmina semak.”
Eryssa
terus hilang kata-kata selepas mendengar kata-kata Tan Sri Haiqal. Jika skrip
itu tidak perlu dibincangkan, Eryssa rasa tugasnya sudah selesai. Tetapi
bagaimana dia hendak meminta Tan Sri Haiqal supaya menghantarnya ke jeti
marina? Mereka baru sahaja belayar.
“Dah
berapa lama you kerja dengan Channel 11?” tanya Tan Sri Haiqal apabila dia
lihat Eryssa seperti keresahan.
“Err...hampir
dua tahun.” Eryssa cuba menjawab setenang yang boleh. Dia masih berkira-kira
mahu meminta Tan Sri Haiqal berpatah balik ke jeti.
“Pekerjaan
pertama atau you pernah kerja di tempat lain?”
“Pekerjaan
pertama. Lepas grad, I menganggur dua tiga bulan sebelum dapat tawaran di
Channel 11.”
Perasaan
gundah mula berkurangan apabila Tan Sri Haiqal bertanyakan soalan santai yang
tidak terlalu peribadi. Dia juga turut berkongsi mengenai pengalamannya
memulakan perniagaan sendiri dan menolak untuk bekerja di syarikat keluarganya.
Ada persamaan antara mereka di situ. Eryssa juga pernah menolak bekerja dengan
papanya.
“Kenapa
you tolak?” tanya Tan Sri Haiqal sambil mempelawa Eryssa menikmati hidangan
makan tengah hari yang baru disajikan oleh chef bot persiaran itu.
“Nak
berdikari.” Eryssa memberikan jawapan, tetapi bukan jawapan yang sebenar.
Perhubungan Eryssa dan papanya bukanlah baik sangat sehingga dia sanggup hendak
bekerja di bawah lelaki itu.
“Kalau
you tak bekerja dengan dia, siapa pula yang akan warisi bisnes tu nanti?” Tan
Sri Haiqal tahu mengenai ayah Eryssa. Sengaja dia bertanya. Semata-mata ingin
berbual-bual dengan gadis itu.
“Abang
I ada walaupun dia juga bekerja sendiri.”
“Kalau
begitu, memang tiada warislah?”
Eryssa
angkat bahu. “Anak bongsu dia ada.”
Eryssa jawab sambil lewa.
Tan
Sri Haiqal menyembunyikan senyum. Ada sesuatu yang tidak menyenangkan Eryssa
tatkala dia terlalu banyak bertanya tentang ayah gadis itu. Lebih baik dia
mengubah topik jika tidak mahu kemesraan gadis itu sirna.
Daripada
berbicara mengenai hal peribadi, mereka beralih topik kepada kerja. Eryssa
berasa lega kerana perbualan mengenai kerja ialah zon selesa baginya. Satu
persatu isi kandungan skrip yang diubah dibincangkan secara terperinci.
Kadang-kadang Tan Sri Haiqal menyelitkan juga soalan-soalan yang tidak
berkaitan dengan kerja. Tetapi Eryssa begitu cekap mengubah situasi.
Entah
mengapa berada bersama Tan Sri Haiqal sering mengingatkan Eryssa kepada
seseorang. Sungguh melemaskan perasaan!
SUASANA
di Restoran Tijani’s agak sesak tengah hari itu. Ramai pengunjung datang hendak
merasai menu istimewa hari Khamis yang dihidangkan oleh Tijani iaitu set makan
tengah hari: ayam panggang dengan sos cendawan liar, asparagus dan kentang
panggang yang dihidangkan bersama sup pilihan dan roti bawang putih. Walaupun
menunya kedengaran mudah dan biasa, keenakan sos cendawan liar yang dicampurkan
dengan sedikit lada hitam itu memang menjadi buah mulut pengunjung yang pernah
datang. Eryssa
tidak menang tangan. Sekejap dia mengambil pesanan. Sekejap lagi dia menghantar
pesanan. Tidak lama selepas itu dia mengemaskan meja yang telah dikosongkan. Walaupun
pekerjaan itu bukan periuk nasinya, mujur dia sudah biasa membantu di restoran
itu apabila ada masa lapang. Kecekapannya memang sama jika dibandingkan dengan
pekerja restoran itu sendiri.
Seorang
lelaki bersut melangkah masuk ke dalam restoran. Hanya ada satu meja empat
tempat duduk yang masih kosong yang terletak di tepi dinding kaca, menghadap
jalan raya. Eryssa terus mempelawa lelaki itu duduk di situ. Sebaik sahaja
lelaki itu duduk, dia pun membukakan menu.
“Encik
tengok dulu menu yang ada. Sekejap lagi saya datang semula ambil pesanan,”
ujarnya dengan sopan sebelum berpaling ke meja sebelah dan mengemaskan meja
yang baru dikosongkan itu.
Lelaki
itu tidak terus memandang menu yang sudah terbuka di hadapannya. Sebaliknya
perhatian lebih ditumpukan kepada pelayan yang memakai apron merah hati yang
dipadankan dengan kemeja t lengan pendek dan seluar panjang biru gelap itu.
Rambut pelayan yang panjang melepasi bahu itu diikat kemas tocang kuda sambil
disemat dengan visor putih.
Eryssa tidak tahu yang dia menjadi perhatian
pelanggan segak itu. Dia meneruskan tugas-tugasnya seperti biasa. Selepas
menghantar dulang berisi pinggan mangkuk kotor, Eryssa kembali kepada pelanggan
yang baru melangkah masuk tadi.
“Encik
dah sedia nak order?” Eryssa sudah bersedia dengan pen dan buku pesanan di
tangan.
“Saya
nak order Nadrah Eryssa.” Pelanggan itu bersuara dengan tenang dan yakin.
Eryssa
tergamam mendengar pelanggan itu menyebut namanya. Lantas dia terus merenung
wajah lelaki di hadapannya itu. Lelaki itu sudah tidak memakai kot. Kotnya
diletakkan di atas kerusi kosong di sebelahnya. Walaupun setelah kaca mata
hitam ditanggalkan, Eryssa masih gagal mengecam lelaki itu.
“Maaf,
encik. Bagaimana encik boleh tahu nama penuh saya? Adakah kita saling
mengenali?” Sebagai Development Executive di Channel 11, Eryssa memang sudah
biasa bersopan begitu walaupun pada orang yang tidak dikenali olehnya. Dan
mungkin orang yang menegurnya itu pernah ditemuinya dalam satu temu janji
perniagaan ataupun mana-mana majlis yang pernah dihadiri olehnya.
Lelaki
itu tersenyum. Eryssa kenal dengan senyuman itu. Namun ingatan di fikirannya
masih gagal mencantumkan imej-imej yang tersimpan di otaknya.
Melihat
akan wajah Eryssa yang masih kebingungan, lelaki itu bersuara, “Eryssa, it’s me, Zeek. Haziq Haiqal.”
Nada suaranya lembut.
Eryssa
merasakan degup jantungnya berhenti beberapa saat. Dia hampir pitam. Lantas
dengan segera sebelah tangannya ditumpangkan ke meja bagi menyokong berat
badannya sendiri. Beberapa seketika dia memejamkan matanya sebelum menentang
wajah lelaki yang mengaku sebagai sahabat baiknya itu.
“Zeek?”
Eryssa memanggil, inginkan kepastian.
“Ya,
saya. Mungkin awak dah tak cam sebab rupa saya mungkin dah berubah.”
Eryssa
terkesima. ‘Saya’? Zeek membahasakan dirinya sebagai ‘saya’? Nada suara dan
lenggok bahasanya...kenapa begitu bersopan santun dan lembut?
“Saya
rasa awak perlu duduk, Rys. Nanti awak jatuh.” Zeek bangun dan menarik kerusi
di hadapannya. Dia menyuruh Eryssa duduk.
Seperti
dipukau, Eryssa terus duduk walaupun dia tahu tindakannya itu menyalahi etika
sewaktu bekerja.
“Rys...awak
sihat?” Zeek menghulurkan tangannya dan menggenggam jari-jemari Eryssa yang
sejuk.
Mata
Eryssa masih bulat merenung lelaki di hadapannya itu. Jika diamati
sungguh-sungguh, memang lelaki itu persis Zeek. Hanya rambutnya berbeza. Dahulu
Zeek berambut kerinting kasar dan kembang macam Hafiz AF. Kini Zeek sudah
berambut pendek, lurus dan kemas dipotong paras atas kolar. Gayanya juga
berbeza. Dahulu Zeek selekeh, gemar berseluar jean dan berbaju t longgar. Kini
dia kelihatan segak dan kemas macam ahli korporat.
“Zeek....”
Eryssa memanggil lemah. “Apa dah jadi dengan ka...awak?” Eryssa hampir
tersasul. Dahulu dia sering menegur Zeek agar jangan beraku dan berkau
dengannya. Kini apabila Zeek sudah bersaya dan berawak, dia pula yang tersasul.
“Bila balik? Tak beritahu pun.” Eryssa separuh merajuk. Dia agak berkecil hati
dengan Zeek kerana merahsiakan kepulangan dan imej baharunya itu.
Sejak
mereka berpisah arah lebih kurang sembilan tahun lalu, mereka meneruskan
hubungan melalui Internet. Hampir setiap minggu mereka berhubung menggunakan
laman sosial Facebook. Kadang-kadang mereka bercakap melalui aplikasi Skype. Namun
begitu, sejak memulakan tugas di Saluran 11 setahun yang lalu, Eryssa jarang
melekap di hadapan komputer. Dia begitu sibuk dengan kerja-kerjanya. Lantas
hubungan mereka pun renggang sedikit demi sedikit.
“Saya
baru saja pulang.” Sudah setahun,
Zeek menyambung dalam hati. Dia tidak mahu Eryssa berterusan merajuk dan
berkecil hati. Ada sebab yang kukuh mengapa kepulangannya itu dirahsiakan.
Mungkin suatu hari nanti, Eryssa tahu juga.
“Apa
dah jadi dengan awak? Kenapa awak boleh berubah sampai begini rupa? Saya
hampir-hampir tak mengenali awak tadi. Awak juga nyaris buat saya dapat
serangan jantung.” Eryssa menarik nafasnya dalam-dalam. Dia sudah boleh
bertenang.
Zeek
tersenyum. “Maafkan saya. Tak sangka pula awak boleh terperanjat begini. Saya
sangka awak berlari dan memeluk saya dengan erat sebaik sahaja nampak saya
tadi.”
Eryssa
senyum mengejek. Walaupun sudah berubah penampilan, sikap Zeek yang suka
mengusik ini masih tidak hilang.
“Bila
awak habis kerja? Saya nak ajak awak keluar jalan-jalan. Banyak yang perlu kita
bualkan.”
Eryssa
memandang jam yang melingkar di pergelangan tangannya. “Sejam lagi. Awak boleh
tunggu?”
“Boleh.
Sementara menunggu, boleh saya cuba menu istimewa hari ni.”
“Baiklah.
One set wild
mushroom chicken and a cup of hazelnut white coffee.” Eryssa bangun dan mencatat pesanan di atas buku
notanya.
“Awak
masih ingat minuman kegemaran saya?”
“Saya
sentiasa ingat awak dan apa yang awak suka.” Eryssa tersenyum sebelum
meninggalkan Zeek di tempatnya.
Setelah
menggantungkan kertas pesanan mengikut giliran, Eryssa menghampiri mesin
pembuat kopi. Jika orang lain yang membancuh kopi, tentu tidak sesuai dengan
selera Zeek.
“Amboi...amboi...amboi....”
Tijani sudah bercekak pinggang di sisi Eryssa. “Kau nak mengajar staf aku tak
berdisiplin ke, hah? Berborak sakan dengan kawan sampai lupa kerja.” Suara
Tijani sengaja dikeraskan.
Eryssa
tersenyum. Tanpa menoleh, dia menjawab tuduhan rakan serumahnya itu. “Itu bukan
sembarangan kawan. Itu Zeek. Buah hati aku dah balik!”
Bulat
mata Tijani merenung Eryssa. Sebentar kemudian dia menoleh ke arah lelaki yang
sedang berbicara dengan telefon bimbit itu.
“Itu
Zeek? Soal Tijani, tidak percaya. “Bukankah dia berambut afro dan berpakaian
selekeh?”
“Itu
dulu. Sekarang tak lagi. Aku nak hantar kopi ni sekejap, ya.” Sambil menatang
sebuah cawan kopi bermulut besar di atas dulang bulat, Eryssa meninggalkan
Tijani yang masih tercengang tidak percaya. Walaupun dia tidak mengenali Zeek
secara peribadi, wajah lelaki itu memang tidak asing daripada pandangan
matanya. Gambar Zeek bersama Eryssa terpampang di mana-mana sahaja di setiap
sudut bilik tidur gadis itu. Yang dicetak sebesar poster pun ada.
“Bila
dia balik? Kau tak pernah cerita pun.” Tijani terus menyerang Eryssa dengan
soalan apabila gadis itu kembali ke dapur mahu memastikan hidangan yang dipesan
oleh Zeek sedang disediakan.
“Dia
pun tak beritahu aku bila dia balik. Baru hari ni dia jumpa aku. Bagai nak
pengsan aku tadi. Ingatkan siapa yang tegur aku. Bukan kau saja yang terkejut
tengok penampilan dia, aku lagi tambah-tambah terkejut.” Eryssa meluahkan
perasaannya kepada Tijani yang tahu kisah percintaan monyetnya bersama Zeek
sewaktu zaman persekolahan dahulu. “Pukul 3, aku off duty ya. Budak baharu yang kau upah tu mula kerja hari ni,
kan?”
“Yelah.
Terima kasih sebab tolong aku hari ni dan semalam. Kalau aku tak cukup orang
lagi minggu depan, kau tolong lagi, ya?”
“Hmm...aku
rasa macam tak free pula
minggu-minggu akan datang. Maklumlah kali ni aku dah ada aktiviti yang perlu
dilakukan,” seloroh Eryssa dengan nada mengusik.
“Tak
payah sambung cintan cintun kau tu lama-lama. Lagipun memang dah lama kamu
berdua bercinta, kan? Lebih sembilan tahun. Kahwin sajalah cepat-cepat.” Ibarat
seorang kakak, Tijani menasihatkan.
Berkerut
dahi Eryssa mendengar saranan Tijani itu. “Kahwin? Siapa pula yang kata aku nak
kahwin dengan Zeek?”
“Habis
tu, kalau tak nak kahwin, buat apa kamu bercinta sakan sampai penuh
gambar-gambar dia dalam bilik kau? Kau pun bukan ada teman lelaki lain, kan?”
Agak tidak masuk akal kata-kata Eryssa sehingga menyebabkan Tijani terkejut
mendengar kata-katanya sebentar tadi. Kalau tidak mahu kahwin, kenapa bercinta
bagai nak rak?
Eryssa
terdiam. Ada benarnya kata-kata Tijani itu. Tetapi adakah itu yang dimahukan
olehnya dan Zeek? Selama ini mereka hanya berkawan baik. Adakah cinta monyet
sewaktu zaman persekolahan dahulu boleh dikira sebagai percintaan sebenar?
“Nantilah
aku tanya Zeek sama ada dia nak kahwin dengan aku ataupun tak,” ujar Eryssa
sambil lewa. Dia tersenyum mendengar loceng tanda pesanan telah siap. Tanpa
berlengah, dia membawa makanan yang dipesan ke meja Zeek.
Tijani
menggeleng kepala. Orang macam ini pun ada di dunia. Entah berapa ramai agaknya
bilangan mereka?