KEJADIAN buruk yang menimpa Eryssa semalam tak dikongsi
bersama rakan-rakan yang lain. Bagi Eryssa perkara itu sungguh memalukan
dirinya. Dia juga berharap agar Zeek tak menghebohkan perkara itu di sekolah.
Tepat jam 10 pagi hari itu, pertandingan catur antara sekolah-sekolah di
daerah Hulu Langat bermula. Eryssa bersungguh-sungguh mahu menang kerana tak
mahu diejek sebagai pencacai najis seperti yang diugut oleh Zeek.
Entah kenapa dia dah tak marah kepada pelajar itu kerana mengugutnya.
Sebaliknya Eryssa berasa terhutang budi kepada Zeek kerana menyelamatkannya
semalam.
Kesungguhan Eryssa membuahkan hasil apabila dia berjaya menewaskan lawan
dan layak memasuki pertandingan di peringkat negeri yang diadakan pada bulan
hadapan. Bukan saja Eryssa layak, Zeek, dan beberapa orang pelajar dari
sekolahnya juga turut berjaya melayakkan dirinya. Kejayaan mereka disambut
dengan meriah oleh rakan sekolah yang lain dan guru-guru.
Sebagai membalas kesungguhan mereka, guru-guru telah sepakat membawa ahli
kumpulan kelab catur yang seramai 20 orang itu bersiar-siar ke Kuala Lumpur.
Aktiviti itu diadakan sebagai daya pendorong kepada pelajar-pelajar lain agar
mereka juga turut berusaha bersungguh-sungguh.
Antara tempat-tempat yang mereka bakal lawati ialah Petrosains, Akuaria dan
jambatan gantung di KLCC. Mereka bertolak pada hari Sabtu depan.
Kegembiraan Eryssa pudar pada petang itu sewaktu nak pulang dari sekolah. Walaupun
waktu persekolahan tamat pada pukul dua petang, dia sering pulang lewat kerana
menghabiskan masa di kelab catur. Paling awal Eryssa pulang adalah pada pukul
tiga petang.
Tapi kebiasaannya dia pulang pukul lima petang memandangkan jika dia pulang
awal ke rumah, tiada sesiapa di rumah sebagai teman bicara. Mama yang mulai
berjinak-jinak dalam dunia politik, sering pulang lewat. Dulu sewaktu dia masih
ada pengasuh, taklah sunyi di rumah.
Kini selepas dia memasuki sekolah menengah, abang dan kakaknya di sekolah
berasrama, mama berhenti menggaji pengasuh dengan alasan Eryssa dah cukup
dewasa menguruskan hidupnya sendirian.
Hari itu Huda pulang lebih awal daripadanya. Itu pun kerana ayahnya datang
menjemput. Dengan berat hati Eryssa menghampiri pondok bas. Walaupun ramai
pelajar yang turut sama menanti di situ, Eryssa tahu mereka turun awal
daripadanya nanti.
Disebabkan berasa takut kejadian semalam berulang lagi, Eryssa sengaja
melepaskan bas pukul 5.30 petang yang selalu dinaiki olehnya dengan harapan dia
tak bertemu lagi dengan lelaki keparat itu.
Kini tinggal dia sendirian menanti bas pukul 6.00 petang. Keadaan yang
sunyi menyebabkan Eryssa berasa menyesal kerana tak menaiki bas tersebut.
Nak berjalan kaki, memanglah jauh dan memenatkan. Sementelah, jarak dari
rumah ke sekolah pula 20 kilometer. Jika berkereta, hanya mengambil masa tak
lebih suku jam. Tapi dengan bas buruk boleh jadi hampir 45 minit kerana bas
bergerak perlahan dan banyak kali berhenti. Tambahan pula keadaan jalan kampung
yang bengkang-bengkok, sempit dan berbukit menyebabkan bas tak boleh bergerak
laju.
Selepas hampir sejam menanti, sebuah bas tiba. Eryssa berasa lega. Tiada
tempat duduk di dalam bas ketika itu walaupun keadaannya taklah sesak seperti
bas pukul 5.30 petang tadi. Selang beberapa perhentian, Eryssa dapat tempat
duduk. Mujur dia duduk di sebelah seorang wanita muda.
Selang satu perhentian dari kebun getah tempat di mana lelaki keparat itu
naik semalam, wanita muda berkenaan turun. Eryssa berasa cuak apabila bas mula
bergerak. Dia berdoa agar bas itu tak berhenti di kebun getah berkenaan.
Sewaktu degup jantungnya bergerak pantas menanti dalam ketakutan, seorang
pelajar dari arah belakang datang dan duduk di sisinya.
Eryssa yang terkejut segera menoleh. Dia mengeluh lega apabila mendapati
Zeek yang duduk di sebelahnya. Entah dari mana pelajar itu datang. Walaupun
hairan, Eryssa tetap bersyukur kerana Zeek ada di situ melindunginya lagi.
Bas yang berhenti di kebun getah membuatkan jantung Eryssa semakin pantas.
Sungguhpun Zeek ada di sisinya, dia tetap juga berasa takut.
Seperti yang Eryssa takutkan, lelaki keparat semalam menaiki bas itu.
Setelah memasukkan upah tambang di dalam tong duit, dia berjalan menuju ke
belakang. Tapi sebaik saja ternampak Zeek yang menunjukkan bet besbal, langkah
lelaki itu mati. Lantas dia duduk di satu tempat kosong di bahagian tengah bas.
Wajahnya jelas menunjukkan rasa tak puas hati.
Eryssa pula sebaik saja terlihat lelaki keparat itu, terus menggenggam
jari-jemari Zeek secara tak sengaja. Dia memang amat takut apabila terpandang
wajah lelaki keparat yang berjambang dan bermisai selekeh itu.
Lelaki keparat itu turun di perhentian seterusnya. Eryssa berasa lega.
Ketika itulah baru dia sedar akan tindakannya sebentar tadi.
“Maaf!” Dia segera melepaskan tangan Zeek.
Wajahnya merah padam menahan malu. Habislah dia kali ini. Tentu Zeek akan
menuduhnya sebagai perempuan yang tak tahu malu.
Namun Zeek hanya diam sehinggalah mereka tiba di perhentian yang terakhir.
Waktu itu hari dah gelap. Azan Maghrib mulai berkumandang dari corong surau
berdekatan.
“Kalau dah tau takut, lain kali jangan suka pulang lewat.”
Eryssa terdengar suara Zeek bergema di belakangnya. Dia tersenyum.
Entah mengapa hatinya rasa bahagia. Ingin saja dia menoleh ke belakang
mengucapkan terima kasih. Tapi dia malu. Lantas dipendamkan saja niatnya itu.
Seperti semalam, Zeek menghilangkan diri sewaktu dia tiba di luar pagar
rumahnya.
Eryssa mengeluh kesal kerana tak berpeluang mengucapkan terima kasih dan
memulangkan sapu tangan milik pelajar itu.
SEJAK kejadian itu, tiap-tiap hari Zeek menemaninya pulang dari sekolah.
Sungguhpun begitu mereka tak pernah berbual-bual. Eryssa ingin sekali berbual
dengan Zeek tapi dia malu. Dia bimbang pelajar itu berkata sesuatu yang kasar
terhadapnya.
Aneh sungguh ‘persahabatan’ ini. Eryssa tak memberitahu sesiapa pun
mengenai perkara itu hatta kepada Huda sekali pun. Dia mahu menganggap perkara
itu sebagai rahsia istimewanya.