Home Novel Cinta Dia Lelaki Teragung
Dia Lelaki Teragung
Nkal
18/9/2017 11:06:59
120,701
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

BAB2

“Kau!!”

Pang!!!!

Sekali lagi wajah Zahra disinggahi telapak tangan lelaki dan kali ini dari papanya sendiri Datuk Iskandar.

“Abang..”Datin Khadeejah terkejut dengan tindakan suaminya. Ini kali pertama Datuk Iskandar mengangkat tangan pada anak perempuan mereka. Menitis air mata Datin Khadeejah melihat darah yang mengalir di tepi bibir Zahra. Tempat yang sama keluarnya darah akibat perbuatan Rayyan.

“Papa. Apa salah Zahra? Kenapa papa tampar Zahra.” Air mata Zahra berderai lagi.

Adam terkesima. Ingin dihalang namun dia tidak berdaya. Lagipun dia bukan siapa-siapa dalam babak ini.

“Sanggup Zahra malukan papa dengan mama. Inikah hasil didikan agama yang papa dan mama berikan pada Zahra? Sanggup Zahra menconteng arang ke muka papa dan mama?!!”Tengking Datuk Iskandar kuat.

Datuk Iskandar tidak peduli lagi dengan keadaan sekeliling. Amarah di hatinya lebih membara kini.

“Apa yang Zahra dah buat papa, mama?” Zahra terus menahan sebak yang kian tebal di dadanya. Kenapa papanya menuduh dia dengan tuduhan seperti itu? Apa maksud Datuk Iskandar?

“Zahra tanya lagi apa yang Zahra dah buat pada kami? Sepatutnya Zahra tanya diri Zahra kenapa Zahra tergamak buat semua ini pada papa dan mama. Zahra tak kasihan ke melihat mama menanggung malu dihina oleh keluarga Rayyan kerana perbuatan Zahra.” Suara Datuk Iskandar masih tegang. Dadanya kian berkocak bila teringat kata-kata hinaan dari keluarga Rayyan tadi. Tak sangka anaknya Zahra sanggup lakukan perkara terkutuk dan mencemarkan nama baik keluarga.

“Rayyan?”

“Ya.Keluarga Rayyan datang tadi. Mereka minta kita kembalikan cincin pertunangan Zahra dan anak mereka.  Kata mereka kamu tak layak memakai cincin itu. Rayyan juga tak mahu menjadi pak sanggup pada wanita yang sudah ditebuk tupai.” Sambung Datuk Iskandar lagi.

“Zahra tak buat perkara terkutuk tu papa. Percayalah Zahra difitnah.” Zahra cuba mempertahankan maruah dirinya yang sudah dipijak untuk keberapa kali dia sendiri tidak pasti.

“Sudahlah Zahra. Jangan kau berdalih lagi. Sarah dah ceritakan pada papa dan mama yang dia pernah nampak Zahra muntah-muntah dan tak bermaya. Apa lagi yang Zahra nak tutup dari kami?”

Lagi-lagi nama perempuan itu juga yang singgah di cuping telinga Zahra. Apa sebenarnya maksud Sarah melakukan semua ini pada dia? Kalau Rayyan yang dia inginkan,lelaki itu sudah berada dalam genggaman dia sekarang. Zahra tidak kisah kalau Sarah ingin menjadikan Rayyan teman hidupnya tapi bukan dengan cara kotor seperti ini.

“Mama.Percayalah Zahra. Zahra tak buat semua tu.” Rayu Zahra pada Datin Khadeejah.Tangan Datin Khadeejah dipegang erat demi sebuah keyakinan. Hanya Datin Khadeejah yang diharapkan untuk mempercayainya.

“Abang..”Datin Khadeejah cuba bersuara.

“Sudah Dee. Abang tak nak dengar apa-apa lagi. Cukuplah sekali abang dengar penghinaan orang pada Dee. Abang dah tak sanggup lagi.” Kali ini suara Datuk Iskandar bertukar lembut. Memang sepanjang perkahwinan mereka Datuk Iskandar tidak pernah meninggikan suara pada isterinya Datin Khadeejah.

“Tapi abang.”

“Sudah Dee.”

Datin Khadeejah terpaksa akur dengan kehendak suaminya. Tubuh Zahra dipeluk kejap.Sebagai ibu dia dapat rasakan yang Zahra tidak bersalah dalam hal ini. Namun dia tidak punya bukti. Apa lagi kekuatan untuk mempertahankan Zahra dalam keadaan Datuk Iskandar yang sedang dilanda amarah yang memuncak.

“Mesti kau lelaki tu kan? Lelaki yang dah hanyutkan anak aku sampai anak aku lemas dan masuk dalam perangkap kau. Sampai anak aku hamilkan anak kau. Kau memang tak guna!!” Satu penumbuk hingga di pipi Adam Faris. Dia tidak sempat mengelak tumbukan itu. Hangat pipinya terkena tumbukan padu itu.

“Papa! Dia…”

“Saya akan bertanggungjawab pada anak pak cik. Saya akan berkahwin dengan dia. Esok pak cik boleh datang ke pejabat agama.” Tutur Adam yakin.

“Hum. Banguslah kalau macam tu. Esok aku  datang ke sana. Kau boleh bawa dia malam ni juga. Aku dah sediakan pakaian dia.  Kau boleh bawa dia ke mana yang kau nak.”   

“Papa.”Lemah suara Zahra memanggil papanya. Kenapa dia dihukum tanpa diberi peluang untuk mempertahankan diri?

“Sudah Zahra. Mulai hari ini papa tak benarkan kamu menjejakkan kaki ke rumah ini lagi. Papa dah tak ada anak bernama Zahra Mawaddah. Pergi dari sini!” Datuk Iskandar menarik kuat tangan Zahra dari Datin Khadeejah. Tercampak badan Zahra ke tanah. Pedih sikunya kerana cuba menahan badannya yang ditolak kuat oleh Datuk Iskandar.

Adam menghampiri Zahra. Tubuh Zahra diangkat lembut. Untuk kedua kali dia melihat Zahra diperlakukan kejam oleh seorang lelaki. Adam mengambil beg yang berisi pakaian Zahra. Zahra tidak sepatutnya berada di sini. Makin lama Zahra di sini mungkin lebih teruk dia didera oleh papanya sendiri. Adam percaya semua ini dilakukan kerana amarah yang sedang beraja di hati. Dia pasti suatu hari nanti semua ini akan kembali seperti biasa. Untuk sementara waktu ini biarlah dia yang menjaga Zahra.

“Abang.” Datin Khadeejah ingin merayu pada suaminya. Dia tidak sanggup berpisah dengan satu-satunya bunga yang ada dalam keluarga ini. Takkan kerana perkara itu Zahra harus dibuang daripada keluarga ini? Lagipun belum tentu Zahra bersalah dalam hal ini. Mungkin benar apa yang Zahra sampaikan. Semua ini adalah fitnah.

“Sudah Dee. Ini keputusan abang. Jom. Kita masuk.” Datuk Iskandar memeluk erat bahu Datin Khadeejah. Dia faham isi hati isterinya. Namun perbuatan Zahra tidak boleh dimaafkan.

“Mama..Mama..!” Tangis Zahra sebak melihat kelibat Datin Khadeejah di bawa pergi oleh Datuk Iskandar ke dalam rumah banglo itu.

“Sudahlah Zahra. Awak ikut saya. Saya janji saya akan jaga awak.” Yakin Adam memberikan harapan pada Zahra.

Zahra terpaksa akur. Dia sendiri bingung. Dia tidak tahu ke mana harus dia melangkah selepas ini. Mujur Adam tidak meninggalkan dia setelah menghantar dia dihadapan pintu pagar tadi. Kalau tidak, dia sendiri tidak pasti apa akan terjadi. Tidur di rumah kawan? Siapa? Sarah? Orang yang telah mengkhianati nilai sebuah persahabatan?

*************

        Kereta Mazda 3 milik Adam terus menyusuri jalan raya yang sudah hening dari suara-suara kenderaan yang selalu sesak pada siang hari.  Zahra terus menangis. Fikirannya kosong. Ke mana sahaja Adam membawanya itulah destinasinya selepas ini. Dia sudah bertekad untuk mengikut apa sahaja kehendak Adam. Dia sudah tidak berdaya. Insan yang paling dia sayang disekelilingnya sudah mula membenci dirinya.  Hanya kerana satu perbuatan yang dia tidak dilakukan.

Adam memandang Zahra sekilas. Air mata gadis itu masih laju mengalir turun dari kolamnya. Kalaulah gadis itu sudah sah untuknya sekarang juga dia akan memberikan bahunya untuk disandarkan kepala Zahra agar gadis itu merasa tenang.

Zahra sedar dirinya diperhatikan. Cepat dia menyeka air matanya yang mengalir. Dia cuba bertahan tapi dia kalah pada perasaannya. Air mata itu tidak mahu terhenti walau seketika cuma.

“Menangislah.Seorang wanita akan lebih kuat bila dia mengeluarkan air matanya. Saya percaya awak akan mendapat ketenangan di sebalik air mata yang awak tumpahkan itu.”

“Kenapa semua ini terjadi pada saya? Apa salah saya?” Rungut Zahra masih sebak.

“Zahra. Dalam kehidupan ini banyak benda yang kita tak tahu. Awak tahu apa akan berlaku esok? Mungkin kita sudah merancang tapi mungkin takdirnya tidak seperti yang kita rancang, Awak kena yakin semua yang terjadi ini merupakan satu ujian.Ujian untuk Dia melihat sekuat mana hambaNya. Allah tidak akan menguji hambanya sesuatu yang tidak terdaya oleh kita. Percayalah.” Panjang Adam memberikan nasihat pada Zahra. Harapannya semoga Zahra lebih tenang untuk melalui semua ini.

Zahra merasa sedikit tenang. Dia lupa yang dia masih ada Yang Maha Esa. Yang akan mendengar setiap rintihan hambanya.

Ya Allah. Berikan aku sedikit kekuatan.

“Malam ni awak tidur di kondo saya. Rehat secukupnya. Esok kita akan ke pejabat agama untuk mendaftar perkahwinan kita nanti. Awak dah ada sijil kahwin?”

“Awak serius ke nak kahwin dengan saya? Awak tak jijik ke dengan saya? Awak dengarkan macam-macam tuduhan yang mereka lemparkan pada saya?” Zahra masih ragu-ragu. Mereka baru kenal hari ini. Tidak sampai dua puluh empat jam lagi.  Semudah itukah Adam ingin mengahwininya?

Adam cuba menarik nafasnya. “Saya ingin menolong awak.”

“Tapi saya tak nak awak menikah dengan saya kerana simpati. Awak dah tolong saya hingga ke saat ini pun sudah cukup memadai. Saya sendiri tidak tahu apakah saya mampu membalas semua budi awak pada saya nanti.” Zahra sedikit tegas dengan soal ini. Dia tidak mahu Adam mengorbankan perasaan sendiri hanya kerana ingin membantunya. Adam berhak untuk hidup lebih bahagia bersama orang lain.

“Saya sendiri tidak pasti kenapa. Apa yang saya tahu saat awak ditampar papa awak dan dituduh dengan pelbagai tuduhan. Terdetik satu rasa dalam hati saya yang saya perlu tolong awak demi maruah awak. Dan cara untuk menolong awak hanyalah dengan menghalalkan ikatan ini.” Tenang Adam meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

“Mungkin ini jodoh. Saya sendiri pun tidak tahu kenapa saya boleh bertindak segila ini. Bertemu dengan awak tidak sampai satu hari, kemudian ambil keputusan nak bernikah dengan awak. Awak tak rasa semua ini gila?” Sambung Adam menduga Zahra.

“Itulah yang cuba sampaikan pada awak. Semua ini memang kerja gila.” Zahra meluahkan apa yang bermain dalam kotak fikirannya.

 “Saya percaya pada jodoh. Mungkin ada sebab mengapa Allah temukan kita. Macam nilah, kalau awak tidak yakin yang saya boleh menjadi imam awak. Sampai di kondo saya nanti awak bersihkan diri, kalau awak boleh sembahyang awak buatlah solat sunat istiqarah. Minta pentunjuk dari Dia.Kalau betul saya jodoh awak, insha Allah segalanya akan dipermudahkan.” UjarAdam. Sedikit pun tidak memaksa atau mendesak untuk Zahra menerimanya serta merta.

Adam tahu Zahra perlukan masa. Masa untuk bertenang. Masa untuk mendapat petunjuk yang sebenar.

“Tapi awak dah berjanji dengan papa saya.” Zahra mengingatkan Adam tentang ungkapannya semasa di banglo milik Datuk Iskandar.

“Pasal itu awak jangan risau. Nanti saya terangkan pada Datuk Iskandar. Yang penting awak buat apa yang saya suruh tadi.”

Zahra akur dengan kehendak Adam. Memang itu yang harus dia lakukan demi sebuah jawapan.

Siapa Adam yang sebenarnya? Kenapa setiap lafaz kata-katanya begitu mudah meresap ke dalam sanubari Zahra.

Ya Allah kalau benar dia jodoh yang terbaik untuk aku maka kau dekatkanlah dia pada diri aku. Seandainya ia adalah sebaliknya maka kau jauhkan dia dari hambaMu ini.

Amin.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.