HARI bahagia yang dinanti akhirnya
tiba juga. Dengan sekali lafaz Rifhan kini sah sebagai isteri Hafsyam. Hanya
senyuman yang terukir di bibir Rifhan dan air mata mengalir juga ke pipi. Hari
ini dia disatukan dengan Hafsyam dalam satu ikatan yang sah di sisi Islam.
Tidak ada sesiapa lagi yang mampu menghalang hubungan mereka melainkan ALLAH
yang berkehendakkan begitu.
Tatkala
Hafsyam menyarungkan cincin ke jari manisnya dan buat pertama kalinya dia
menyalami dan mencium tangan Hafsyam suaminya, ada suatu perasaan aneh yang
menerjah ke dalam hatinya. Perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan
kata-kata. Sesungguhnya dia berasa cukup gembira, seolah-olah beban yang selama
ini tergalas di bahu sudah dilontarkan jauh-jauh. Hari ini dirinya sudah
menjadi tanggungjawab Hafsyam.
Rifhan
menghela nafas. Dia tidak bersendirian ketika itu tapi terasa seperti dia
berada di dunia yang cukup asing. Cuma hanya dia dan Hafsyam. Tidak ada
suara-suara ibu yang melengking marah, tidak ada sindiran dan kata-kata yang
menyakitkan telinga yang dituturkan oleh Anita. Mereka bagaikan tidak wujud di
dalam hidupnya.
“Rifhan!”
Panggilan
itu membawanya kembali ke alam nyata.
“Okey...
okey, stop macam tu kejap. Baru boleh ambil gambar.” Suara Zubaidah,
sepupu Rifhan cukup jelas di telinga. Hafysam sedang mencium dahinya dan mereka
diminta terus berada di dalam keadaan begitu untuk seketika semata-mata untuk
merakamkan kenangan yang satu itu.
Hafsyam
tergelak kecil tetapi diikut juga arahan Zubaidah. Dia tahu hari ini dia tidak
punya pilihan, dia harus mengikut apa saja kata mereka-mereka itu.
Selesai
acara membatalkan air sembahyang, mereka berdua diminta duduk di pelamin
ringkas yang disediakan di ruang tamu rumah itu. Rumah yang sederhana besarnya
itu menjadi sedikit sesak dengan kehadiran saudara mara dan para tetamu.
Pelbagai aksi digayakan mengikut arahan jurugambar-jurugambar yang tidak
bertauliah.
Rifhan
bersalaman dengan ayah. Melihat wajah mendung ayah membuatkan hatinya disapa
hiba. Ada genangan di mata ayah. Adakah ayah bersedih kerana terpaksa
melepaskan dirinya kepada Hafsyam? Menyerahkan tanggungjawab kepada seorang
lelaki yang hari ini bergelar seorang suami? Rifhan cium tangan ayah.
“Ayah,
maafkan Han. Doakan Han dan Syam.” Hanya itu yang mampu dituturkan. Dada terasa
sebak, bila-bila masa sahaja air mata pasti tumpah jika dia tidak berusaha
melawan.
Haji
Ahmad mengangguk, diseka air mata yang tiba-tiba sahaja mengalir di pipi. Dia
gagal mengawal perasaannya, malu pula rasanya bila menangis begitu. Air mata
itu air mata gembira dan sedih. Kedua-dua perasaan itu sudah bercampur menjadi
satu.
Hajah
Saodah pula mengambil giliran untuk bersalaman dengan anak dan menantu barunya.
Biarpun hati terasa amat berat untuk berhadapan dengan pasangan itu namun
diteruskan juga apa yang telah dirancang.
Hampir
jam 4.00 petang, barulah keadaan menjadi tenang. Tiada lagi tetamu yang datang.
Yang tinggal cuma saudara-mara dan jiran terdekat sahaja. Majlis kenduri itu
menggunakan khidmat katering. Rakan-rakan Rifhan dan Hafsyam turut sama
menghadirkan diri. Tidak akan ada majlis besar-besaran di pihak lelaki, hanya
majlis ringkas untuk saudara mara terdekat sahaja untuk menyambut kedatangan
satu-satunya menantu di dalam keluarga mereka.
Rifhan
duduk bersandar di kerusi yang diletakkan di bawah khemah. Sebahagian dari meja
dan kerusi sudah dikemaskan. Disusun dan diletakkan di bahagian tepi.
“Kak,
besttak kahwin?” tanya Azira lalu tersenyum-senyum. Sengaja hendak
mengusik Rifhan yang kelihatan begitu cantik dan anggun dengan pakaian
pengantinnya.
Rifhan
dan Hafsyam mengerutkan dahi. Tidak ada soalan lainkah yang hendak ditanya?
“Jangan
tanya yang bukan-bukan ya, Zira? Awak tu belajar dulu, jangan dok fikir pasal
nak kahwin. Nanti belajar ke lain, terus kahwin,” bebel Rifhan. Dia cukup
bimbang andai Azira tidak menamatkan pengajiannya. Dia tidak mahu Azira terlalu
bergantung pada orang lain. Adiknya itu harus terus belajar dan menamatkan
pengajiannya dengan keputusan yang cemerlang.
Azira
tersengih. “Tanya ajelah...” Azira melangkah pergi, meninggalkan pasangan itu
bersendirian di bawah khemah.
Rifhan
mengerling ke arah Hafsyam di sisinya. Hafsyam yang kelihatan tampan dan
bergaya dengan pakaian pengantin yang tersarung di tubuhnya. Lagak seperti
seorang pahlawan melayu tapi kerisnya sudah hilang entah ke mana.
“Kenapa
pandang-pandang?” tanya Hafsyam sebaik sahaja menyedari dirinya menjadi
perhatian isterinya.
Rifhan
tergelak kecil. “Saja-saja nak pandang. Kenapa? Tak boleh?” balas Rifhan.
Hafsyam
tersenyum. “Mestilah boleh...”
“Akak,
andak suruh masuk dalam!” jerit Razila dari hadapan rumah.
Rifhan
menoleh sekilas ke arah Razila. Ada saja yang tidak senang melihat dia berbual
berdua-duaan dengan suaminya di situ.
Mereka
berdua segera masuk ke dalam rumah. Badan juga sudah melekit, berpeluh dan
kepanasan. Pakaian pengantin yang diperbuat dari kain songket itu memang
merimaskan.
TIDAK ada lagi suara-suara yang
kedengaran. Masing-masing sudah keletihan, penat seharian menguruskan majlis
perkahwinan itu. Keluarga dari pihak lelaki sudah berangkat pulang ke kampung
halaman. Mekar senyuman ibu dan ayah mertuanya sebaik sahaja mereka berdua
duduk untuk bersalaman.
“Syam,
jaga Han baik-baik. Han satu-satunya menantu ibu.” Itu pesan Hajah Amnah kepada
Hafsyam.
Hafsyam
tersenyum dan mengangguk. Masakan dia hendak mempersia-siakan Rifhan? Rifhan
gadis pertama yang dicintainya dan andai diizinkan ALLAH, Rifhan jugalah yang
terakhir di dalam hidupnya. Setiap perngorbanan yang dilakukan oleh Rifhan
sejak mereka di bangku sekolah lagi, tidak mungkin dilupakan begitu sahaja.
Apatah lagi saat ini Rifhan sudah sah menjadi isterinya.
Rifhanberbaring di atas katil. Dia
benar-benar keletihan. Bila-bila masa sahaja dia akan terlena.
Hafsyam
melipat sejadah sebaik selesai mengerjakan solat isyak. Dia menghampiri
isterinya yang nampak lena di atas katil.
“Sayang...”
Rifhan
membuka mata perlahan. Berat rasanya. Terasa pipi disentuh seseorang. Hafsyam
sedang duduk di sisinya.
“Han...”
Hafsyam merenung wajah isterinya. Rifhan sudah bangun dan duduk bersila di
hadapannya.
Rifhan
membalas renungan Hafsyam. Adakah ada sesuatu yang ingin diperkatakan oleh
Hafsyam padanya.
“Han
sayang Syam?” tanya Hafsyam. Wajah Rifhan masih menjadi tatapannya.
Rifhan
tergelak kecil. Dia dan Hafsyam sudah sah menjadi suami isteri. Masakan dia
hendak melangkah sejauh itu jika dia tidak menyayangi Hafsyam?
“Hmm...
kalau tak sayang?” Dia sengaja hendak bermain tarik tali.
“Kalau
Han tak sayang Syam. Siapa lagi nak sayang Syam ni. Dahlah tak ada harta, rupa
tak ada... apa pun tak ada,” balas Hafsyam lalu melepaskan keluhan.
“Kita
dah nikahlah, Syam. Kita bukan lagi orang asing, kita adalah suami isteri.
Syamlah suami Han, kekasih Han, sahabat Han... tidak ada orang lain yang layak
mendapat semua tu selain Syam,” bisik Rifhan.
Hafsyam
masih merenung wajah Rifhan. “Janji dengan Syam, ya?”
Terjongket
kening Rifhan. “Janji apa tu?”
“Han
tak akan tinggalkan Syam walau apa pun yang berlaku.”
Rifhan
tersenyum, kemudian mengangguk.
“Kalau
Syam buat silap, Han tegurlah Syam. Han maafkan Syam.”
Rifhan
mengangguk. “Insya-ALLAH, sayang. Syam pun sama... kalau Han buat salah...
jangan terus marah Han pula.”
Hafsyam
tersenyum. “Tak buat salah, tak marahlah... tapi kalau Han buat salah, memang
kena marah, kena rotan,” giat Hafsyam.
Rifhan
memuncung. “Tak adillah macam tu. Syam salah... Han kena maafkan macam tu aje.”
Hafsyam
menarik tangan isterinya, kemudian dikucup lembut.
“Terima
kasih, sayang sebab Han sudi terima Syam.”
“Han
pun nak ucap terima kasih juga... sebab Syam sudi kahwin dengan Han. Dari
sekolah sampai sekarang asyik berkepit dengan Syam. Inilah dinamakan jodoh yang
ditentukan ALLAH,” ujar Rifhan.
Hafsyam
lega. Bahagia rasanya mendapat isteri secantik dan sebaik Rifhan. Doanya moga
rumah tangga yang terbina itu akan membuahkan kebahagiaan yang berpanjangan.
Hanya Rifhan di hatinya. Hanya Rifhan yang disayanginya.