"CANTIK tak rumah ni?” tanya Hafsyam
sambil menggenggam erat tangan isterinya. Mereka berada di hadapan sebuah rumah
teres setingkat. Itulah rumah yang bakal disewa daripada seorang rakan
sekerjanya, Normah.
Normah
terpaksa berpindah ke Kelantan kerana mengikut suaminya yang dinaikkan pangkat
dan bertugas di sana. Hampir lima bulan suami isteri itu duduk berasingan.
Normah bersama dua orang anak mereka di Kuala Lumpur. Suaminya pula
bersendirian di Kelantan. Normah akur dengan permintaan suaminya, meminta dia
berhenti bekerja dan berpindah ke Kelantan.
Justeru,
Normah sendiri menawarkan rumah itu untuk disewakan. Dia belum berniat untuk
menjual rumah yang dibeli ketika mereka baru berkahwin. Kata Normah, rumah itu
banyak kenangannya.
Normalah
yang menawarkan rumahnya untuk disewa kerana wanita itu sudah membuat keputusan
untuk berpindah ke Kelantan.
“Syam
dengar tak?”
Hafsyam
menoleh ke arah Rifhan di sisi. Entah apa yang Rifhan katakan, dia tidak pasti.
“Berangan
apa tu? Han panggil tak dengar,” tegur Rifhan lalu menampar lengan suaminya.
Hafsyam
tersenyum. “Bukan berangan, cuma teringatkan Kak Normah, tuan punya rumah ni.”
Rifhan
mengangguk kecil, tanda mengerti. Dia juga pernah bertemu dengan rakan sekerja
Hafsyam itu. Orangnya baik, cantik... masih punya potongan badan yang menarik
walaupun sudah beranak dua.
“Han
tak kisah. Duduk kat mana pun tak apa, asalkan bersama Syam,” ujarnya.
Seminggu
lamanya mereka berdua tinggal bersama keluarganya. Sememangnya mereka sudah
merancang hendak keluar dari rumah itu. Hafsyam sudah mendapatkan sebuah
pangsapuri cuma belum membuat keputusan untuk berpindah ke pangsapuri tersebut
disebabkan jarak yang agak jauh dari tempat mereka bekerja. Namun rezeki mereka
apabila Normah menawarkan rumahnya untuk disewa.
Sememangnya
Rifhan tidak sabar hendak tinggal di rumah sendiri. Sebelum berkahwin dulu, ibu
melarangnya keluar dari rumah itu tetapi selepas dia dan Hafsyam berkahwin ibu
sudah tidak sabar hendak melihat dia dan Hafsyam berpindah keluar. Ibu tidak
menyenangi mereka berdua. Dia tahu semua itu angkara Anita. Adiknya itu yang
menjadi batu api, menghasut ibu agar mereka berdua segera meninggalkan rumah itu.
“Kak
Normah kata, guna saja barang-barang yang dah ada dalam rumah tu, dia tak
kisah. Asalkan kita jaga dengan baik,” ujar Hafsyam mematikan lamunan
isterinya.
Rifhan
mengangguk. Syukur alhamdulillah, tidak banyak barangan yang perlu dibeli.
Keperluan asas di dalam rumah itu sudah mencukupi tapi dia sendiri sudah
menyediakan sedikit bahagian bagi melengkapkan keperluan mereka di rumah itu.
“Okey...
kita tengok sekali lagi apa yang kita perlu beli.” Rifhan menoleh ke arah
Hafsyam. Sudah tidak sabar dia hendak meneruskan tugasnya. Rumah yang baru saja
ditinggalkan dua minggu yang lalu agak bersepah dan tidak terurus.
Setelah
melihat sekali lagi keadaan di dalam rumah tersebut, mereka duduk dan
berbincang tentang apa lagi yang perlu disediakan. Rifhan menyediakan satu
senarai yang panjang tapi kebanyakannya barang-barang keperluan asas.
“Jom
kita keluar shopping dulu. Beli barang yang kita nak guna untuk
bersihkan rumah ni,” cadang Rifhan.
“Boleh...
tapi makan dululah. Syam dah lapar,” balas Hafsyam. Disentuh perutnya yang
sudah berbunyi sejak tadi.
Rifhan
tergelak kecil. Jam di tangan baru saja mencecah pukul 11.00 pagi, tetapi
suaminya sudah kelaparan.
Sepetang mereka berdua menghabiskan masa
membersihkan rumah tersebut. Rumah teres setingkat yang mempunyai tiga bilik
dan dua bilik air.
Kedua-duanya
duduk bersandar di kerusi rotan. Berkeriut bunyinya. Mungkin sudah agak lama
usianya tapi masih boleh digunakan.
“Penatnya.”
Rifhan melentokkan kepalanya di bahu Hafsyam. Mata dipejamkan. Enaknya kalau
dia dapat berehat dan tidur sepuasnya.
Hafsyam
tersenyum. “Kita tidur sini malam ni,” cadangnya.
Rifhan
membuka matanya. Cadangan yang baik tapi sebaiknya mereka bermalam di rumah
keluarganya dulu. Mereka belum memaklumkan perkara itu pada ibu dan ayah. Dia
tidak mahu membuatkan ayah berkecil hati tetapi dia tahu, ibu dan Anita pasti
akan bersorak kegembiraan jika dia dan Hafsyam meninggalkan rumah itu dengan
segera. Anita sudah tidak sabar berpindah ke biliknya. Dipaksanya Razila
berkongsi bilik dengan Azira kerana dia mahu menggunakan bilik itu sendirian.
Ibu pula menyokong apa saja yang diminta oleh Anita. Bertambah-tambahlah rasa
sakit hatinya pada Anita.
“Esoklah
kita pindah. Malam ni kita beritahu ibu dan ayah dulu. Lepas tu Han kemaskan
barang-barang kita, esok kita pindah. Barang-barang kita pun tak banyak.”
“Okey
bos, saya menurut saja.” Hafsyam mengenyit matanya dan Rifhan terus tertawa.
HAJI AHMAD hanya mendiamkan diri
sebaik sahaja Rifhan memaklumkan yang pasangan itu akan berpindah ke rumah sewa
keesokan harinya. Sememangnya dia sedar anak dan menantunya tidak betah untuk
terus tinggal di rumah itu dek kerana kerenah isterinya dan Anita. Sudah penat
dia menasihati isterinya namun dia tidak melihat sebarang perubahan. Hajah
Saodah hanya tahu mencari kesalahan Rifhan dan Hafsyam. Ada saja yang tidak
kena di matanya. Dia sendiri tidak mengerti kenapa isterinya harus bertindak
sedemikian rupa sedangkan Rifhan dan Hafsyam tidak pernah berkasar atau
menyakiti hatinya.
“Eloklah
tu, lagi cepat lagi baik.” Hajah Saodah yang bersuara selepas mendengar
kata-kata Rifhan. Rimas matanya melihat pasangan itu.
Haji
Ahmad melirikkan mata ke arah isterinya. Tidakkah isterinya tahu bagaimana
hendak menjaga hati anak dan menantu mereka atau sekurang-kurangnya menghargai
pengorbanan Rifhan selama ini? Rifhan yang banyak menanggung perbelanjaan di
dalam rumah itu. Hendak diharapkan wang pencennya yang tidak seberapa itu,
memanglah tidak mencukupi. Entah siapa yang hendak diharapkan selepas ini.
“Dah
ada rumahnya?” tanya Haji Ahmad.
Rifhan
mengangguk.
“Tak
apa, elok juga kamu tinggal berdua. Belajar hidup berdikari, tidak ada orang
lain yang campur tangan. Duduk kat sini pun, buat sakit kepala saja dengan
orang dalam rumah ni.” Haji Ahmad bersuara tanpa memandang ke arah sesiapa.
Matanya masih melekat pada buku agama di tangan. Buku yang dibelikan oleh
Rifhan beberapa minggu yang lalu. Dia yang meminta Rifhan mencari buku
tersebut.
Hajah
Saodah mengerling ke arah suaminya. Tentu kata-kata itu ditujukan padanya.
“Saya
pun tak sakit kepala kalau dia orang ni tak ada kat rumah ni,” balasnya
selamba.
Haji
Ahmad tersenyum. Tahu juga isterinya kata-kata itu ditujukan pada siapa.
“Kalau
ada apa-apa yang Han perlukan dari dalam rumah ni, Han ambillah,” usul lelaki
itu.
“Eh...
jangan abang nak memandai. Tak ada sesiapa pun yang boleh ambil barang-barang
dalam rumah ni. Semua ni barang kita, barang saya,” potong Hajah Saodah. Sama
sekali tidak bersetuju dengan cadangan suaminya. Rifhan tidak berhak untuk
mengambil barang-barang di dalam rumah itu sekalipun barang tersebut dibeli
oleh anak itu.
Rifhan
hendak ketawa tapi dia cuba bertahan. Malu pula dia pada Hafsyam namun mujur
Hafsyam sudah sedia maklum akan sikap ibu, cuma ketika itu Hafsyam melihat dan
mendengar sahaja. Apa yang diceritakan pada Hafsyam selama ini adalah satu
kenyataan dan bukanlah dia mereka-reka cerita.
“Ayah
jangan bimbang. Han tak perlukan apa-apa. Rumah tu dah lengkap. Tuan rumah
sewakan rumah dan benarkan kami guna barang-barang yang ada dalam rumah tu,”
ujar Rifhan. “Han takkan ambil apa pun dari rumah ni, apa yang Han belikan tu,
untuk ayah dan ibu,” sambungnya. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa.
“Apa
sangatlah yang kau dah beli kalau nak banding dengan Nita?” Hajah Saodah
bersuara sinis.
Tergeleng-geleng
kepala Haji Ahmad dibuatnya. Ada saja yang hendak dijawab oleh isterinya.
Berkali-kali dia berpesan agar tidak menyakiti hati anak-anak. Jangan
membezakan kasih sayang pada anak-anak tapi isterinya tidak pernah ambil
peduli. Anita itu ditatang seperti menatang minyak yang penuh tapi anak-anak
yang lain dipinggirkan begitu sahaja.
Rifhan
menarik nafas panjang-panjang. Tidak sudah-sudah ibu hendak membandingkan
dirinya dan Anita. Ibu tidak pernah berpuas hati dengan dirinya.
“Tak
apalah, ibu. Han tau apa hak Han dalam rumah ni tapi Han tak akan ambil. Ibu
jangan bimbang.” Kata-katanya cuma sampai di situ. Ikutkan hati mahu saja dia
menyambung lagi, meluahkan ketidakpuasan tapi dia tidak mahu menjadi anak yang
kurang ajar. Biarlah... itu hak ibu. Ibu boleh bercakap apa sahaja, dia tidak
mahu memikirkannya lagi. Cukuplah hingga hari ini. Mulai esok dia dan Hafsyam
akan memulakan hidup baru di rumah mereka sendiri. Berdua tanpa gangguan
sesiapa. Moga hidup mereka akan lebih aman dan tenteram, tidak ada rasa sakit
hati dan tidak berpuas hati dek sikap pilih kasih ibu yang cukup ketara.