BINGIT telinganya mendengar suara
Azira dan Anita yang bertekak di ruang tamu. Entah apa pula yang digaduhkan
kali ini. Kedua-dua adiknya itu memang pantang bertemu. Ada sahaja yang hendak
digaduhkan. Perkara kecil pun boleh jadi besar. Lemas betul dia dengan kerenah
mereka.
Setiap
kali Azira masuk ke dalam rumah, pasti ada yang ditegurnya. Adik yang seorang
itu pembersih orangnya, tidak gemar dengan keadaan yang bersepah, tetapi
berlainan pula dengan Anita. Adik keduanya yang memang tidak sayang mulut dan suka
melawan. Biarpun dia tahu dia yang bersalah, dia tetap inginkan kemenangan,
pemalas pula tu.
Seketika
kemudian dia mendengar suara ibu pula. Tentunya ibu sudah masuk campur. Tidak
senang dengan pergaduhan kecil yang tentunya disebabkan oleh Anita. Selalunya
begitu, Anita yang akan memulakan biarpun Azira menegur dengan cara yang
lembut.
DUMM!!!
Hampir
terloncat dia dari kerusi yang didudukinya. Pantas dia menoleh ke arah daun
pintu yang seketika tadi ditolak kuat ke dinding. Azira melangkah masuk dengan
perasaan marah. Daun pintu ditutup dengan kuat, cuma tidak sekuat ketika dia
membukanya tadi. Tubuh kurusnya dihempas di atas katil. Masam cemberut
wajahnya.
Rifhan
hanya memerhatikan adiknya yang sudah terbaring di atas katil. Simpati pula dia
pada si adik yang selalu sahaja menjadi mangsa keadaan. Dia tahu pastinya ibu
menyebelahi Anita. Azira mudah memaafkan, mudah beralah dan mengundur diri.
Tidak seperti Anita yang hanya tahu mementingkan diri sendiri. Selalu sahaja
inginkan kemenangan. Mungkin kerana sejak kecil dia dimanjakan. Manjanya
melebihi manja Razila, anak bongsu dalam keluarga.
“Kenapa
ni?” Rifhan duduk di birai katil. Disentuh paha adiknya yang sudah mengiring ke
kanan bagaikan tidak sudi memandang ke arahnya. Ada esakan yang kedengaran. Bertambah-tambah
rasa simpatinya pada si adik. Dia tahu hati Azira sudah terluka, bukan hari ini
sahaja tapi sudah terlalu kerap perkara ini berlaku.
“Zira...”
Sebagai kakak yang sulung. Walaupun dia anak kedua dalam keluarga, dia tetap
merasakan tanggungjawabnya sama seperti anak sulung. Ada abang pun tidak boleh
diharap. Umur baru mencecah 24 tahun, sudah sibuk hendak berkahwin. Kerjanya
tidak menentu, ketika bujang pun masih meminta pada ibu tapi masih ada hati
hendak berumah tangga. Sudahnya... asyik menyusahkan orang. Ada masanya dia
pula yang jadi mangsa.
“Ibu
tak adil. Kenapa nak lebihkan Nita? Dah terang-terang Nita yang salah tapi ibu
tetap menangkan Nita,” adu Azira dengan diiringi esakan.
Rifhan
mengeluh. Isu yang sama juga yang dibangkitkan oleh Azira. Tidak berpuas hati
dengan layanan ibu kepada mereka adik-beradik.
“Zira,
ibu tu sayang kita sama aje, tapi sebab Nita macam tu, ibu terpaksa menyebelahi
dia. Ibu tahu Zira anak yang baik. Zira boleh mengalah tapi tidak Nita.” Rifhan
cuba memujuk hati si adik. Biar reda kesedihannya.
“Sampai
bila Zira nak bersabar dengan Nita. Ibu tak patut buat Zira macam ni. Nita tu
pemalas. Lepas makan, minum... ditinggalkan aje pinggan dan cawan atas meja.
Salah ke kalau Zira tegur? Bukannya Zira berkasar pun. Zira cakap elok-elok
tapi dia tengking Zira balik,” luah Azira, tidak berpuas hati dengan apa yang
berlaku sebentar tadi.
Rifhan
mengeluh lagi. Anita memang keterlaluan. Tidak pernah memikirkan perasaan orang
lain. Apa yang dia tahu cuma diri sendiri, hati sendiri.
“Bila
ibu masuk campur macam nilah jadinya... Zira juga yang kena. Ada ke patut Nita
yang makan, Zira yang kena angkat. Ibu memang tak adil.” Azira menyambung
aduannya. Tetap tidak berpuas hati dengan penghakiman yang ibu adili. Tidak
adil namanya jika yang bersalah itu dilepaskan. Orang yang menegur pula yang
menjadi mangsa.
Rifhan
mengerling jam di dinding. Hati adiknya sudah terluka. Azira akan berkurung di
dalam bilik hingga malam. Biar perutnya kosong, asalkan hatinya puas. Biar ibu
datang memujuk, tapi tidak mudah untuk dia termakan pujukan ibu.
“Zira
dah makan?” tanya Rifhan, cuba untuk memujuk hati si adik.
“Belum.”
“Zira
lapar tak?” Rifhan bertanya lagi.
Azira
diam seketika. Diseka air mata di pipi. Mujur juga dia masih punya seorang
kakak yang memahami perasaannya. Rifhan pun selalu terkena juga, malah ada
ketikanya ibu memperlakukan Rifhan seperti orang gaji. Ada saja yang tidak kena
di mata ibu. Bila bercakap dengan Rifhan, jarang benar ibu hendak berlembut.
Dia sendiri tidak mengerti kenapa ibu harus bersikap begitu dengan kakaknya.
“Lapar.”
Azira bersuara. Dia sudah berada di meja makan sebentar tadi namun seleranya
mati dek kerenah Anita. Entah sampai bila Anita hendak bersikap begitu.
“Akak
pun belum makan. Jom... kita ke depan. Kita beli burger, akak belanja.”
Azira
sudah duduk bersila di atas katil. Terubat sedikit hati yang terluka. Ada
senyuman tersungging di bibir tapi esakannya masih berbaki.
“Pergi
cuci muka dulu... comot.” Rifhan mencubit pipi Azira.
“Hisy...”
Azira tidak sempat menepis tangan kakaknya. Rifhan sudah berdiri kemudian
melangkah ke meja komputer sambil ketawa-ketawa. Entah apa yang dibuat oleh
Rifhan bila menghadap komputer. Dia sendiri jarang menyentuh komputer yang
berada di dalam bilik itu.
AZIRA masuk ke bilik kakaknya semula.
Sudah bersiap dengan jeans hitam dan T-shirt berwarna merah. Rambutnya
yang panjang diikat seperti ekor kuda.
“Nita
tanya Zira nak ke mana. Zira buat dek aje,” cerita Azira sambil tersenyum.
Rifhan
hanya ketawa. Sudah hilang rajuk dan marah adiknya tapi Anita pasti memberontak
jika tahu mereka hendak ke mana.
“Nampak
Ila tak?” Teringat pula dia pada adik bongsunya. Dia berkongsi bilik dengan
Razila, tetapi sejak petang tadi, kelibat Razila tidak kelihatan.
“Itulah
kakak ni. Asal balik aje terus berkurung dalam bilik. Hal kat dalam rumah ni
tak nak ambil tahu.”
Ada
sindiran dalam kata-kata Azira, tetapi Rifhan tidak ambil hati. Memang dia
begitu, tidak suka mengambil tahu hal orang-orang di dalam rumah itu. Malas
hendak memeningkan kepalanya.
“Ila
ke mana?” tanya Rifhan sekali lagi.
“Berkhemah
dengan kawan-kawan dia,” jawab Azira.
Ada
perubahan pada wajah Rifhan. Kurang senang dengan jawapan itu. Adik bongsunya
masih bersekolah, baru di tingkatan tiga, tapi ibu berikan kebebasan yang sepenuhnya
pada Razila. Sewaktu dia seusia Razila dahulu. Pergerakannya sentiasa dikawal,
hendak ke mana-mana pun akan disoal siasat terlebih dahulu.
“Senang
pula ibu lepaskan.” Terlepas juga kata-kata yang berupa tidak berpuas hati di
bibirnya.
“Ibu
memang macam tu. Dengan Nita dan Ila macam mana pun tak apa, tapi kalau Zira,
huh... macam-macam kerenah,” rungut Azira.
Rifhan
menepuk bahu adiknya. “Sudah. Jangan mengumpat ibu, tak baik.”
Azira
tersengih. Sedar akan kesilapan diri.
Kedua-duanya
menuruni anak tangga ke ruang tamu. Ayah sedang menonton televisyen. Ibu tidak
kelihatan. Anita mungkin berada di biliknya.
“Nak
ke mana?” Haji Ahmad bertanya sebaik sahaja terpandang kedua-dua anak gadisnya
sudah bersiap, seperti hendak keluar saja gayanya.
“Keluar
sekejap, ayah. Beli burger kat depan tu,” jawab Rifhan.
“Kan
ibu dah masak?”
“Tak
apalah, ayah. Ayah kan ada? Ayah temankan ibu makan. Han nak ubah selera.
Hari-hari makan nasi... gemuk Han nanti,” balas Rifhan, kemudian tertawa kecil.
“Setakat
makan nasi sejemput. Tak ada gemuknya.” Haji Ahmad masih tidak berpuas hati
dengan alasan Rifhan. Tahu sangat dia dengan cara pemakanan anak gadisnya itu.
Azira
sudah ketawa. Memang Rifhan begitu menjaga pemakanannya. Hanya sedikit nasi
yang dijamahnya bila menghadap makan malam bersama keluarga.
“Tak
apalah. Ayah... Han keluar dulu.” Rifhan meminta diri.
“Yalah...
yalah... karang membebel ibu kamu tu.”
“Sayang
ayah.” Rifhan memeluk bahu ayahnya sambil mengenyit mata pada Azira. Ada
baiknya mereka berdua segera keluar jika tidak mahu ibu yang menegur. Panjang
pula bebelan ibu nanti.
“PANDAI bodek ayah.” Azira bersuara
sebaik sahaja mereka melangkah keluar dari pagar.
Rifhan
hanya tergelak. “Nak hidup.”
Langkah
terus diatur untuk ke simpang jalan yang jaraknya hanya 200m dari rumah mereka.
Sesekali bertukar selera ada juga baiknya. Jemu juga bila hari-hari menjamu
selera dengan nasi dan lauk-pauk yang disediakan oleh ibu.
“Kak,
Abang Hafsyam ada call akak tak tadi?” Tiba-tiba saja Azira bertanya.
Teringat akan perbualan antara Anita di ruang tamu senja tadi. Dia tidak pasti
dengan siapa Anita bercakap tetapi dia mendengar Anita menyebut nama Syam.
Seingatnya yang selalu membuat panggilan ke rumah itu yang bernama Syam cuma
teman lelaki kakaknya.
“Tak
ada pula. Kenapa?” Rifhan menoleh ke arah Azira.
“Zira
rasa tak sedap hati,” luah Azira.
“Apasal
pula?”
“Entahlah...
Zira bukan nak tuduh, tapi petang tadi Zira dengan Nita berborak kat telefon.
Zira rasa dengan Abang Syam. Dia selalu buat kerja macam tu,” ujar Azira. Bukan
niatnya hendak melaga-lagakan kedua-dua orang kakaknya itu tetapi tindakan
Anita itu sememangnya tidak wajar.
Rifhan
menggigit bibir. Andainya betul kata-kata Azira itu, memang Anita sudah melampau.
Sudah dua kali Anita mempermainkan Hafsyam. Masakan Anita berbuat begitu sekali
lagi? Dia sudah memberi amaran pada adiknya itu.
“Zira
order. Akak nak burger ayam special. Nak callAbang Syam
sekejap,” ujar Rifhan.
Azira
akur lalu meneruskan langkah ke arah gerai burger.
Rifhan
mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam saku jeans lalu menghubungi Hafsyam.
“Han,
kenapa lambat sangat ni?”
Rifhan
terlopong. Belum sempat dia memberi salam, Hafsyam sudah menyergahnya. “Syam,
assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.
Han kat mana?” Buru-buru Hafsyam bertanya.
Rifhan
sudah dapat meneka. Tentunya sangkaan Azira tidak tersasar. Anita sudah
mempermainkan Hafsyam.
“Kenapa
tiba-tiba tanya Han kat mana?” balas Rifhan.
“Han
juga yang janji dengan Syam nak datang sini.” Ada ketidakpuasan dalam nada
suara Hafsyam.
“Janji?
Datang ke mana?” soal Rifhan. Sengaja dia bermain tarik tali dengan Hafsyam.
Biar Hafsyam lebih berhati-hati selepas ini. Seharusnya Hisyam sudah dapat
membezakan suaranya dan suara Anita.
“Han
jangan nak mainkan Syam. Dah dua puluh minit Syam tunggu kat sini.”
Rifhan
mengeluh. Simpati dia pada Hafsyam yang sudah dipermainkan oleh Anita. “Bila
pula Han berjanji?”
“Petang
tadi Syam call. ALLAH...” Hafsyam sudah menyepi. Tentunya baru tersedar
dia sudah tertipu dengan lakonan Anita.
“Bila
masanya Syam call Han? Tak ada pula Han bercakap dengan Syam.” Rifhan
tersenyum sendiri. Sudah tahu siapa punya angkara.
“Ini
mesti si Nita punya kerja,” rungut Hafsyam.
“Mana
Han tahu? Kalau nak marah pun janganlah main sembur saja. Han tak janji apa-apa
pun dengan Syam. Tak pasal-pasal Syam marah Han.” Rifhan memperlahankan
suaranya, seolah-olah terasa hati dengan Hafsyam.
“Nita
ni memang melampau,” marah Hafsyam.
“Yang
Syam tu pun satu... takkan suara Nita dengan suara Han pun Syam tak kenal?”
balas Rifhan.
“Syam
cakap nak bercakap dengan Han, dia pun mengaku,” ujar Hafsyam.
“Syam,
Han dah pesan kan? Kalau masa Han dah balik kerja, jangan call telefon
rumah. Call handphone Han, okey?”
“Dah
call... tapi tak dapat. Yalah... yalah... Syam juga yang salah.” Hafsyam
terpaksa mengakui kesilapannya.
“Han
tak salahkan Syam. Patutnya Syam kena peka... suara kekasih sendiri pun tak
kenal. Kata sayanglah... rindulah... Tak dengar suara sehari pun dah rindu,”
omel Rifhan. Geram juga dia dengan sikap Hafsyam.
“Dah
Nita mengaku. Nita tu memang menyusahkan.” Masih ketara nada ketidakpuasan
Hafsyam.
Rifhan
mengetap bibirnya. Memang Anita sudah melampau namun dia tidak suka dengan
kata-kata Hafsyam itu. Buruk-buruk Anita, gadis itu tetap adiknya dan Hafsyam
masih orang luar. Cuma kekasih hatinya, belum menjadi sebahagian dariapada
dirinya.
“Okeylah...
Syam minta maaf. Syam tak patut marah Han.” Hafsyam memohon maaf. Tentunya baru
tersedar tentang kesilapannya kerana dia hanya mendiamkan diri.
“Tau
pun.”
“Okey...
sorryya, sayang? Next timeSyam hati-hati tapi Han pun kenalah
tegur si Nita tu.”
Rifhan
masih mendiamkan diri.
“Han
kat mana ni?” tanya Hafsyam.
“Kat
luar,” jawab Rifhan.
“Yalah...
kat luar tu kat mana?”
“Kat
simpang depan ni. Beli burger.”
“Makan
burger aje? Makin kuruslah sayang Syam ni.”
Tersenyum
Rifhan mendengar kata-kata Hafsyam.
“Syam
ambil Han sekarang, boleh? Syam dah ada kat luar. Mati-mati Syam ingat Han akan
datang ke sini. Rupa-rupanya Syam kena tipu.” Hafsyam sudah ketawa.
“Han
dah beli burger. Malaslah nak keluar.”
“Janganlah
malas-malas. Syam tak jadi pinang nanti, baru tau.” Hafsyam bergurau.
Rifhan
sudah tersenyum-senyum. Hafsyam memang begitu. Marahnya tidak pernah ke mana.
Lelaki itu memang pandai memujuk.
“Han
dengan siapa?”
“Zira.”
“Dengan
Zira tak apa. Kalau Nita, Syam tak nak bawa.”
Rifhan
ketawa kecil. Hafsyam juga tidak senang dengan Anita. Dia sendiri tidak tahu
kenapa Anita suka menimbulkan masalah.
“Han
tunggu kat situ. Syam datang sekarang.”
“Malaslah,
Syam. Marah ayah nanti.” Rifhan cuba mengelak. Dia tidak meminta izin daripada
ayahnya untuk keluar dengan Hafsyam.
“Tak
apa... Syam call ayah Han sekarang juga.”
“Syam!”
Rifhan sudah terjerit, kurang bersetuju dengan tindakan Hafsyam.
“Okay...
bye, Han. Tunggu kat situ.
Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam,”
balas Rifhan. Tentunya Hafsyam tidak mendengar jawapan salamnya. Hafsyam sudah
memutuskan talian. Tersenyum dia mengingatkan perbualan singkatnya dengan
Hafsyam seketika tadi.
“Kak,
duit!” Azira menjerit meminta duit daripada kakaknya. Burger yang dipesan sudah
siap.
Rifhan
menghulurkan RM10.
Selepas
membuat bayaran, Azira memulangkan wang baki kepada Rifhan.
“Simpan.
Buat belanja.” Rifhan menolak.
“Thanks,” ucap Azira, lebar senyumannya.
“Memang
Nita kenakan Abang Syam,” adu Rifhan.
“Huh...
teruk betul Nita tu. Dah melampau sangat,” bebel Azira. Tidak berpuas hati
dengan tindakan Anita.
“Nak
buat macam mana, Mira? Buruk-buruk Nita tu, dia tetap adik akak... kakak Zira
juga.”
Azira
menjuihkan bibirnya. Rifhan memang begitu. Terlalu memberi ruang kepada Anita.
Manalah kakaknya yang seorang itu tidak naik tocang.
“Abang
Syam nak ajak akak keluar. Sekejap lagi dia sampai. Zira ikut sekali ya?” usul
Rifhan. Ayah pasti tidak akan marah jika Azira mengikutnya bersama Hafsyam.
“Hisy,
buat apa nak ikut? Tak naklah.” Azira menolak.
“Abang
Syam cakap.... kalau dengan Zira, dia tak kisah. Tapi kalau Nita... dia tak
kasi ikut,” ujar Rifhan.
Ketawa
Azira mendengar kata-kata Rifhan. Kakaknya itu turut sama ketawa. Bangga juga
dia kerana Hafsyam lebih menyenangi dirinya berbanding Anita.
SEBUAH motosikal berhenti di hadapan
mereka. Rifhan dan Azira hanya memandang. Siapa pula penunggang motosikal yang
tiba-tiba berhenti di hadapan mereka? Rifhan menahan debar, bimbang juga jika
lelaki itu berniat jahat.
“Ya
ALLAH... Syam!” Terkejut Rifhan sebaik sahaja lelaki itu membuka topi keledar.
Hafsyam
tersengih.
Azira
turut sama ketawa.
“Apasal?
Takkan terkejut kut?”
“Yalah...
tak pernah-pernah bawa motor. Tiba-tiba saja hari ni bawa motor.”
“Kalau
Syam naik motor. Han tak pandanglah ya,” rungut Hafsyam.
“Memang
pun,” balas Rifhan sambil tersenyum-senyum.
“Abang
Syam ni... kata nak ajak Zira sekali, tapi naik motor.” Azira sudah bercekak
pinggang di hadapan Hafsyam sambil menjegilkan matanya.
“Sorry,
terlupa... tak sedar diri sekejap tadi. Kereta Abang Syam... ada orang pinjam,
terpaksalah pakai kapcai dia ni, tapi kalau Zira nak ikut juga boleh. Tak ada
hal. Zira duduk dalam bakul kat depan ni,” berderai tawa Hafsyam dan Rifhan.
Azira
yang pada mulanya hanya mencebek turut sama ketawa. Hafsyam memang begitu. Suka
mengusik dan bergurau. Alangkah baiknya jika lelaki itu menjadi abang
iparnya... tapi kalau jadi kekasihnya, tentunya dialah manusia yang paling
gembira. Hafsyam memang menarik di matanya. Kacak dan memikat. Senyuman dan
tawa Hafsyam menggoda hatinya. Ah, masakan dia hendak merampas Hafsyam daripada
kakaknya? Tidak mungkin dia menjadi perampas.
Lalu
dia meminta diri untuk balik ke rumah. Kakaknya akan keluar dengan Hafsyam.
Terpaksalah dia berhadapan dengan ayah namun menurut Hafsyam, lelaki itu sudah
meminta keizinan daripada ayah untuk membawa kakaknya keluar.