BAB 25
Rayyan mendongkol. Sakit hatinya pagi tadi
masih belum pudar. Tergamak Tipah mengenakannya pagi-pagi buta begitu? Sekarang
ini bukan sahaja kaki, malah hatinya juga turut sakit. Ini semua gara-gara Tipah!
“Eei geramnya! Tipah!!!!!” Pintu biliknya
terus terkuak. Tipah terjegul di situ sambil menatang sedulang sarapan pagi. Di
letakkannya dulang itu di tepi meja bersebelahan dengan katil.
Tipah menyerigai. “Kalau iya pun rindukan
saya, tak perlulah terjerit-jerit macam ni. Kalau awak berbisik sekalipun pasti
saya akan muncul di sisi awak.”
Buntang biji mata Rayyan mendengarnya.
“Eei...tolonglah! Kenapa awak ni suka sangat perasan tak tentu pasal, hah? Nak
termuntah saya dengar tau!”
Tipah tambah galak mengusik Rayyan. “Apa
dia? Nak muntah? Kejap saya ambilkan bekas.” Tipah berlalu ke dalam bilik air. Di
capainya baldi kecil lalu segera di hulurkannya pada Rayyan.
Bertambah panas hati Rayyan di buatnya.
“Awak ni betul-betul dah melampau! Sekarang ni awak keluar! Saya tak mahu
tengok muka awak lagi!” Kali ini Rayyan betul-betul naik angin! Tak pasal-pasal
kena buat sessi pujuk-memujuk lah pula pagi-pagi buta begini...
Tipah memaniskan mukanya. “Awak...janganlah
marah. Saya minta maaf, yek? Takpelah kalau awak tak nak tengok muka saya pun,
sekurang-kurangnya awak jamahlah sarapan ni dulu. Nanti kalau perut tu kosong,
masuk angin lagi susah.”
Bertambah mengada-ngada Rayyan jadinya!
“Tak nak makan! Biar saya sakit perut! Barulah awak puas hati, kan?”
Meluat pula Tipah melihat putera kodoknya
itu. Kuat benar merajuknya! Selamba Tipah menukas. “Hah, bagus jugak kalau awak
sakit perut, kan? Boleh kitorang hantar awak kat hospital. Lepas tu saya dengan
Melah boleh ronda-ronda bandar Perth dengan kereta canggih awak tu. Aha! Abang
Raimi kan belajar kat Universiti Of Western Australia. Bolehlah saya ajak dia
ronda-ronda sekali.”
Berubah air muka Rayyan. “Jangan nak mengada,
yer? Dah, bagi makanan tu kat saya! Perut ni dah berkeroncong sejak dari pagi
tadi.”
Tipah segera duduk di birai katil. Piring
yang berisi roti bakar di hulurkannya kepada Rayyan. Rayyan mengunyah roti
bakar itu dengan rakus. Sesudah itu segelas susu segar di suakannya pula buat suaminya
itu. Lucu pula Tipah melihat beria-ria Rayyan menghabiskan sarapan itu. Dengar
nama Raimi sahaja, terus dia kecut perut. Mulut Tipah terkepam-kepam menahan
tawa dari meledak.
Kelakuan Tipah itu benar-benar menguji kesabaran
Rayyan. “Awak ni dah kenapa? Tersengih-sengih tak tentu pasal. Sakit jiwa ke
apa ni?”
Tipah tersenyum sumbing. “Hehe...takde
papelah. Awak makanlah dulu, yer. Kalau ada apa-apa hal nanti awak panggil je
saya. Saya ada kat bilik sebelah.” Rayyan hanya memerhatikan sahaja Tipah
melenggang-lengguk pergi dari situ.
Tiba-tiba akal jahatnya membisikkan
sesuatu. Segera dia berteriak. “Tipah! Oh, Tipah! Meh sini kejap!”
Berlari-lari anak Tipah menuju ke bilik
Rayyan semula. “Ada apa awak?”
Selamba Rayyan mengarah. “Tolong bukakan
langsir kat tingkap tu. Rimaslah duduk bergelap macam ni.”
Tipah hanya akur. “Ok, no problem.” Tipah
maju ke arah jendela. Di kuaknya langsir yang berjuraian sebelum menyelitkannya
ke telinga jendela. Selepas itu terus sahaja Tipah berlalu dari situ.
Rayyan masih belum puas hati. Isterinya itu
harus di kenakan dengan secukupnya! Sekali lagi Rayyan berteriak dengan kuat.
“Tipah! Oh, Tipah!”
Termengah-mengah Tipah berlari semula ke
bilik Rayyan. “Ada apa lagi ni awak?”
Rayyan tersenyum sinis. “Tolong bukakan tv
tu. Boring pula duduk melangut macam ni.”
Tipah hanya mampu mencempung perasaan geram
dalam hati. Pantas dia menuju ke televisyen ‘flat screen’ Sony premium LED HDTV
yang terlekat di dinding bilik tersebut. Di hidupkannya suis panel televisyen
tersebut. Alat kawalan jauh pula di hulurkannya pada Rayyan.
“Ada apa-apa lagi wahai tuan putera kodok?”
Sinis Tipah menyindir.
Rayyan menahan tawanya di dalam hati.
“Takde apa dah. Awak boleh keluar sekarang.” Tipah pun melangkah pergi dengan
hati yang lega. Namun tidak sampai beberapa minit dia melangkah, kedengaran
Rayyan memekik-mekik namanya lagi. Aishh, ini sengaja cari pasal namanya!
Tipah muncul di muka pintu dengan wajah
ketat. “Ye, tuan putera kodok, ada apa lagi?”
Rayyan tersenyum lebar hingga menampakkan
deretan gigi putihnya yang indah tersusun rapi. “Lupa pulak nak cakap tadi.
Boleh tak tolong gantikan balutan kaki saya ni? Rasa tak selesalah.” Mujurlah
kali ini permintaannya masuk akal. Kalau tidak ada juga orang yang nak mandi
susu pagi-pagi buta ni!
Tipah berlalu ke dalam bilik air. Segayung
air berserta dengan sehelai tuala kecil sudah berada di tangannya. Dengan
berhati-hati balutan di kaki Rayyan di bukanya perlahan-lahan. Tampak bengkaknya
kian menyurut berbanding dengan semalam. Tipah mengelap-ngelap kaki Rayyan
dengan lembut. Entah mengapa setiap kali Tipah memperlakukannya begini, hati
Rayyan terasa bagai di cuit-cuit. Dan setiap kali jugalah naluri keegoaannya
akan segera menyedarkannya agar tidak terus terbuai dek mainan perasaannya
sendiri.
Setelah selesai mengelap Tipah mencapai
‘bandage’ yang baru. Di balutnya kaki Rayyan dengan cermat. Walaupun Rayyan
langsung tidak mengiktiraf kedudukannya sebagai seorang isteri namun itu
bukanlah alasan bagi Tipah mengabaikan kebajikan suaminya itu. Segala-galanya
yang dilakukannya itu adalah ikhlas demi mendapat keredhaan dari Allah SWT.
Sesusuk tubuh tinggi lampai tiba-tiba
menjelma di muka pintu. Terjegil biji matanya apabila melihat adegan Tipah yang
sedang asyik-masyuk mengusap kaki Rayyan. Pantas dia menghampiri Tipah dan di
tolaknya gadis tersebut dengan sekuat hatinya.
“Perempuan miang! Apa yang you buat dengan sayang
I ni, hah?” Rayyan tergamam melihat tindakan melulu Zeta itu. Tipah bingkas
bangkit. Dia segera bertindakbalas. Kali ini Zeta pula terjelepuk jatuh ke atas
lantai akibat tolakan kuat Tipah.
“Hei! Suka-suka kau je nak panggil aku
perempuan miang, ya? Kaulah perempuan miang!” terhambur kemarahan dari bibir
Tipah.
Zeta bingkas bangkit sambil membentak.
“Hei, berani you tolak I! You tahu tak I siapa?”
Selamba Tipah membidas. “Entah! Tak kenal
pun. Kau ingat kau tu Miss Universe ke sampaikan semua orang kenal kau ni?”
Menyirap darah Zeta di buatnya. Dia segera
menghampiri Tipah. Di seretnya tangan Tipah ke hadapan cermin besar yang
terpampang di meja solek. “I memang cantik macam Miss Universe. Tapi cuba you
tengok muka you dalam cermin tu. Dengan cermin mata bingkai tebalnya, siap
dengan tocang kuda lagi. Dah macam rupa maid I je!”
“Apa kau cakap? Rupa aku macam maid kau?
Nah ambik ni maid kau!” Laju tangan Tipah di hayunkan ke arah pipi Zeta. Namun pantas
pula Rayyan menepis tangan Tipah sebelum sempat ia hinggap ke pipi Zeta.
Rayyan bertempik. “Awak jangan nak melampaui
batas, Tipah. Sedar sikit siapa diri awak tu! Jangan sesekali awak berani
angkat tangan pada Zeta, ya? Dia amat penting dalam hidup saya dan saya tak
mahu sesuatu yang buruk berlaku pada dia.”
Tipah terkedu. Sanggup Rayyan memalukannya
di hadapan perempuan ini? Begitu rendahnya martabat seorang isteri di mata sang
suami sehinggakan tergamak dia menyebelahi kekasihnya melebihi isterinya
sendiri. Tipah terasa maruahnya di injak-injak. Tanpa sebarang kata Tipah terus
berlalu pergi dari situ. Hatinya di palu luka yang teramat dalam!
Tangga di turuninya dengan pantas. Kakinya
segera melangkah menuju ke biliknya. Di humbankan tubuhnya ke atas tilam yang
empuk sambil menangis teresak-esak. Melah dan Makcik Roza yang sedang rancak
bersembang di dapur terlihat kelibat Tipah. Terus sahaja mereka menurutinya ke
bilik. Terperanjat mereka seketika apabila melihat Tipah berkeadaan sedemikian
rupa.
Melah segera melabuhkan punggungnya ke sisi
Tipah. Di usap-usapnya tubuh Tipah dengan lembut. “Tipah, kenapa ni? Kau
bergaduh dengan Rayyan ke?”
Senyap. Sunyi. Hanya esak tangis Tipah yang
menguasai suasana. Melah dan Makcik Roza saling berpandangan. Mereka
kebingungan seketika.
“Makcik Roza! Tolong sediakan makanan untuk
saya dan Zeta sekarang!” Pekikan Rayyan itu membuatkan Makcik Roza segera faham
dengan situasi yang sebenarnya.
Dia terus merapati Tipah. “Tipah! Kamu tak
boleh macam ni! Kamu kena kuatkan semangat. Kamu kena lawan balik!”
Tipah segera mengangkat muka. Dia memandang
ke arah Makcik Roza dengan wajah sayu. “Nak lawan macam mana, Makcik? Awal-awal
lagi saya dah kalah teruk. Makcik tengoklah sendiri, Zeta tu cantik, seksi,
tinggi lampai macam model pulak tu. Semua keistimewaan berpihak pada dia. Saya
bukan tandingan dia. Dia ada segala-galanya tapi saya tak ada apa langsung.”
Makcik Roza tersenyum. “Siapa cakap kamu
takde apa-apa? Tipah, kamu ada hak penuh ke atas Rayyan. Hak sebagai seorang
isteri ke atas suaminya. Adakah itu tidak cukup buat kamu untuk berjuang demi
meraih kasih sayang Rayyan? Takkanlah kamu nak mengaku kalah macam tu je?”
Tipah terkesima. Ya, kata-kata Makcik Roza
itu memang benar belaka. Kenapa dia harus takut dengan perempuan yang langsung
tiada ikatan dengan suaminya sedangkan sudah terang lagi nyata yang dia lebih
berhak ke atas Rayyan?
Tipah menyeka air mata yang masih bersisa
di tubir matanya. Wajahnya yang suram sudah mula bercahaya semula. “Betul cakap
makcik tu. Saya takkan mengalah semudah tu je. Jadi sekarang ni apa yang patut
saya buat?”
Makcik Roza tersenyum lebar. “Bagus!
Semangat macam nilah yang kita mahu. Mari ikut makcik ke dapur. Kita mulakan
langkah pertama kita.”
Berdedai-dedai mereka menuju ke dapur. Makcik
Roza segera membancuh air kopi yang memang menjadi kegemaran Zeta setiap kali
dia datang ke mari. Setelah siap air kopi itu di bancuh, dengan selamba Makcik
Roza meletakkan beberapa sudu garam ke dalam air kopi tersebut. Fahamlah Tipah
dan Melah. Rupa-rupanya Makcik Roza sudah merangka agenda untuk mengenakan
Zeta!
Tipah segera membantu Makcik Roza
menyediakan roti bakar. Sebaik sahaja roti tersebut siap di bakar, Melah
menghulurkan sos mustard pedas kepada Tipah dengan wajah yang nakal. Nampaknya
hari ini Zeta akan bersarapan pagi dengan menu kopi O masin dan roti bakar perisa
sos mustard pedas!
“Makcik, biar saya yang hantar sarapan ni
ke atas,” ujar Tipah dengan bersemangat.
“Nanti dulu!” teriak Makcik Roza. Segera
dia menguraikan tocang kuda Tipah. Rambut panjang lurus Tipah di biarkannya
berjuraian menutupi bahu.
“Hah, barulah cantik macam ni. Sekarang
kamu pergi hantar makanan ni ke atas.” Dulang yang berisi makanan itu segera di
angkat oleh Tipah. Berhati-hati dia mendaki anak tangga selangkah demi
selangkah.
Buntang biji mata Zeta apabila melihat
Tipah yang muncul di muka pintu bersama sedulang makanan. Rayyan terkesima seketika.
Belum pernah dia melihat Tipah membiarkan rambutnya lepas bebas begini. Terserlah
keayuan isterinya itu. Namun seperti biasa egonya pantas menidakkan.
“Hei, kenapa awak pula yang bawa makanan ni
ke atas? Makcik Roza mana?”
Dengan selamba Tipah menjawab. “Makcik Roza
sakit perut. Dia cirit-birit. Dia minta tolong saya hantarkan makanan ni ke
sini.”
Zeta sudah ketawa terbahak-bahak. “Kan I
dah cakap, you memang sesuai jadi maid je. Susah-susah sayang, you ambil je dia
jadi maid you. Hei, ambilkan roti bakar tu. Bawa ke sini!”
Menggelegak hati Tipah mendengarnya. Namun
amarah yang hangat menggelodak itu segera di cempungnya padat-padat dalam dada.
Tipah meletakkan dulang tersebut di atas meja solek. Dengan wajah yang paling
manis di hulurkannya piring yang berisi roti bakar itu kepada Zeta.
Zeta merampas piring itu dengan kasar.
Sambil menjeling tajam ke arah Tipah, dia mula mengunyah roti tersebut. Air
muka Zeta terus berubah menjadi merah padam.
“Hei! Apa yang you letak dalam roti ni?
Pedasnya! Ambil air tu cepat!”
Tipah segera menghulurkan secawan kopi pada
Zeta. Dengan rakus dia meneguk air kopi tersebut. Belum sempat kopi itu
mencecah kerongkong, air kopi itu sudah terhambur keluar dari mulut Zeta dan
tepat mengenai Rayyan! Tipah terus ketawa mengekek-ngekek.
Marahnya Rayyan bukan kepalang. Wajah manisnya
sudah bertukar menjadi kelat. “Zeta! Apa kena dengan you ni? Habis kotor baju
I!”
Zeta terus menuding jari ke arah Tipah.
“Sori....I tak sengaja, sayang. Kopi ni masin sangat. Ini mesti perempuan tu
punya pasal.”
Selamba Tipah menjawab. “Kalau tak tahu
menari, janganlah nak salahkan lantai yang jongkat-jongket! Sendiri minum,
sendiri sembur, sendiri mahu ingatlah!” Pantas Tipah berlalu dari situ
meninggalkan Rayyan dan Zeta tercengang-cengang.