Home Novel Komedi/Romantik Komedi PUTERA KODOK KU (JADI SUAMI SAYA, BOLEH?)
BAB 18 - Part 2


BAB 18 - Part 2

Angin bayu laut yang berpuput lembut tidak bisa mententeramkan jiwanya. Kakinya melangkah perlahan-lahan menelusuri jambatan kecil yang menghubungkan daratan dengan ‘the blue boat house’. Acapkali dia akan ke sini apabila hatinya terpana dengan kegundahan. Raimi melempar pandangannya jauh-jauh ke arah deretan kapal layar yang tertambat di sepanjang Matilda Bay ini. Perbualannya dengan Pak Saad sebentar tadi benar-benar menggugat ketenangannya. Setiap bait kata-kata masih berdenging-denging di corong telinganya.

“Tipah jadi kahwin dengan Rayyan, Raimi. Rayyan dah datang melamar Tipah,” ceria suara Pak Saad di hujung talian.

“Ayah, tak takut ke kalau si Rayyan tu buat perangai lagi macam hari tu?” pojok Raimi pula.

“Insya Allah, semoga segalanya di permudahan kali ni. Kita doakan yang terbaik sahaja untuk mereka berdua. Esok mereka berdua akan mengikuti kursus kahwin. Hujung minggu ni juga majlis pernikahan mereka akan berlangsung.”

Deruan ombak yang kian mengganas di Swan River itu menyentak Raimi dari lamunan yang panjang. Akhirnya gugur jua airmata jantannya di bumi Perth ini.

^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Berpeluh-peluh Rayyan mendaki tangga. Mujurlah Zura’s Akademik itu terletak di tingkat satu. Kalau tingkat sepuluh tadi, memang nak kena sangatlah si Tipah ni!

Rayyan merungut. “Ini tempat jin bertendang mana awak bawak saya ni, hah? Siap kena naik tangga lagi. Kata ini pusat perkahwinan yang tersohor di Malaysia tapi satu lif pun takde!”

Tipah menukas. “Eleh, baru naik tangga sikit dah bising macam buntut ayam! Kalau awak nak tahu, Zura’s Akademik ni memang jadi pilihan golongan artis dan selebriti untuk berkursus di sini, tau. Tu yang saya susah payah daftar nama kita kat sini. Manalah tau tiba-tiba ada pulak retis Malaysia yang berkursus sekali kat sini, glemerlah kita nanti!”

“Sukati awaklah Cik Tipah ooi!” Pantas Rayyan memanjat tangga dan meninggalkan Tipah terkapai-kapai di belakang.

Berlari-lari anak Tipah mengejar Rayyan dari belakang. “Rayyan! Tunggulah saya!”

Rayyan menjuihkan bibir. “Cepatlah sikit! Terhegeh-hegeh macam mak nenek! Jom kita pergi daftar cepat. Dah ramai orang kat kaunter pendaftaran tu.”

Tipah dan Rayyan segera mendekati kaunter pendaftaran. Setelah selesai mendaftar, mereka berdua di beri sebuah fail yang mengandungi jadual kursus dan sebuah buku panduan untuk memasuki gerbang perkahwinan tiap seorang. Selepas itu terus sahaja Tipah dan Rayyan memasuki Dewan Zamrud. Mereka berdua melabuhkan punggung ke bangku yang agak terkebelakang sedikit. Sedikit demi sedikit dewan tersebut mula di penuhi oleh para peserta.

Tipah kehairanan melihatkan hanya peserta lelaki sahaja yang duduk di situ. Peserta perempuan pula memilih untuk duduk di hujung sebelah sana.

“Tipah, rasanya baik awak duduk kat sebelah sana. Sini semua orang lelaki je yang duduk.”

Tipah menggeleng-gelengkan kepala. “Taknaklah. Kat sana tu macam tersorok sikit. Lagipun awak kan ada, apa nak di takutkan.” Sejurus selepas itu fasilitator untuk program hari ini sudah mengambil tempat di hadapan. Terbeliak biji matanya apabila melihat Tipah seorang sahaja perempuan yang duduk di kalangan peserta lelaki.

“Cik adik comel yang pakai spek mata tu, boleh tak pindah tempat ke sebelah sana yang khusus untuk orang perempuan? Jangan takut, bakal suami awak tu tak lari ke mananya,” seloroh fasilitator itu.

Dengan selamba Tipah menjawab. “Oh, perempuan kena duduk sana ke? Maaf saya tak tahu. Oh, ya, bercakap mengenai lari, bakal suami saya ni memang dah larikan diri masa majlis pertunangan kami tempohari. Nasib baiklah akhirnya jadi juga dia kahwin dengan saya.” Seisi dewan gamat dengan gelak tawa yang bergema di segenap ruang.

Merah padam muka Rayyan di buatnya. “Awak ni buat malu saja jelah!” gerutu Rayyan. Tipah hanya tersengih-sengih bagaikan kerang busuk.

Setelah Tipah berpindah ke ruangan khas untuk peserta wanita maka bermulalah sessi kursus untuk hari ini. Pelbagai informasi berguna tentang institusi perkahwinan yang berjaya di perolehi oleh Tipah dan Rayyan. Tipah amat tertarik dengan topik ‘hak-hak wanita Islam’ yang di utarakan oleh ustaz Zafran yang di import khas dari JAKIM. Apabila peluang untuk mengemukakan soalan di buka, pantas Tipah mengangkat tangannya tinggi-tinggi.

Sengaja Tipah menebak ustaz tersebut dengan soalan yang panas. “Ustaz, sekiranya pihak lelaki gagal melangsungkan perkahwinan, bolehkah pihak perempuan mengambil tindakan undang-undang?”

Ustaz Zafran tersenyum. “Bagus soalan dari cik...siapa nama cik, ya?”

Pantas Tipah menjawab. “Saya Tipah.”

“Baiklah Cik Tipah. Terima kasih kerana mengemukakan soalan yang bernas itu. Jawapannya ya. Sekiranya pihak lelaki tiba-tiba enggan melangsungkan perkahwinannya, pihak perempuan berhak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.”

Tipah berteriak. ‘Yay! Ini berita baik! Bukannya apa ustaz, saya kena standby. Maklumlah sebelum ni bakal suami saya pernah lari pada majlis pertunangan kami. Manalah tau kot-kot masa hari perkahwinan nanti dia buat magik lagi. Bolehlah saya bersedia apa-apa yang patut!” Sekali lagi dewan gamat dengan hilai-tawa dari kesemua para peserta.

Merah padam muka Rayyan di buatnya. “Aduh, macam ni ke perangai bakal isteri aku? Buat malu kaum kerabat je!” sungut Rayyan dalam hati.

Sessi selepas itu ternyata lebih menarik. Ustaz telah menjemput wakil dari peserta lelaki dan peserta wanita untuk menjayakan sebuah sketsa akad nikah. Dengan selambanya Tipah maju ke hadapan dan menawarkan diri.

“Saya nak berlakon kahwin-kahwin, ustaz! Tiap-tiap hari saya dah berlatih bersanding. Tapi saya nak bersanding dengan bakal suami saya, boleh tak?”

“Boleh! Lagi bagus kalau pasangan yang berlakon sama-sama. Bak kata omputeh, lagi ‘feel’ gitu! Hah, mana dia pasangan kamu?” Tersentak Rayyan mendengarnya. Nampaknya sekali lagi Tipah buat perangai gila-gilanya. Ini tidak boleh di biarkan. Otaknya mula ligat memikirkan cara-cara untuk melarikan diri dari situ! Perlahan-lahan dia terjengket-jengket keluar dari dewan tersebut.

Tipah yang menyedari perlakuan Rayyan itu segera berteriak. “Ustaz, tu dia bakal suami saya! Rayyan, awak nak ke mana tu? Marilah kita bersanding sama-sama!”

Berlari-lari Tipah mengejar Rayyan dari belakang. Seisi dewan gegak-gempita dengan gelak tawa dari para peserta.

Rayyan pula pantas membuka langkah seribu. Sedikit pun dia tidak menoleh ke belakang. Malunya dia tidak terperi. Perasaan kesal mula timbul di dalam hatinya. Adakah wanita sebegini yang ingin di nobatkan sebagai suri di hatinya? Rayyan mengetap bibir.

“Mungkin kau isteri di atas kertas namun tak mungkin sama sekali kau jadi isteri di hati,” gumam Rayyan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.