BAB 28 - Part 2
Berdegup-degap jantung Tipah jadinya. “Rayyan! Apa yang awak
buat dalam gelap ni? Kenapa...”
Pantas Rayyan menutup mulut Tipah. “Syyhhh...jangan bising.
Awak lapar, kan? Tulah, tadi orang ajak makan, jual mahal sangat.”
Tipah segera menepis tangan Rayyan. “Eh, awak jangan nak
sibuk hal sayalah. Saya tak mahu cakap dengan awak.”
Tipah cuba melepasi Rayyan namun pemuda itu lebih pantas
mencengkam kedua-dua belah bahu gadis itu. Di sandarkannya tubuh Tipah pada
peti sejuk itu. “Mana awak nak lari, hah? Ini rumah saya jadi suka hatilah saya
nak buat apa pun,” tukas Rayyan sambil tersenyum sinis.
Sengaja di rapatkan tubuhnya dengan tubuh Tipah. Makin lama
makin rapat sehinggakan Tipah tidak boleh bernafas. Bagai hendak tercabut
jantung Tipah dengan perlakuan berani Rayyan itu. Sorotan mata Rayyan tepat
tertancap ke seraut wajah polos itu. Dalam remang malam yang menyirnakan
warna-warna kesuraman, sepasang mata hazel kecoklatan milik Tipah benar-benar meregut
ketenangan hati Rayyan.
Bisikan yang berkumandang di gegendang telinga Tipah terus
sahaja menyentak tangkai hati Tipah. “Ikutkan kita belum rasmikan malam pertama
kita lagi, kan?”
Buntang mata Tipah di buatnya. “Apa maksud awak ni? Takkanlah...”
Bahu Tipah di goncang dengan kuat. “Shhyy...janganlah
bising. Awak nak semua orang bangun dan tengok kita buat kerja gila kat sini
ke?”
Rayyan di jentik rasa teruja tatkala melihat Tipah dalam
keadaan ketakutan. Tinggal beberapa inci sahaja sebelum wajah kacak itu menyapa
pipi gebu Tipah. Bertambah pantas ritma jantung Tipah jadinya. Apa sebenarnya
permainan suaminya ini? Dah hilang akal agaknya si Rayyan ni!
Tipah terus teringat pada epal hijau yang berada dalam
genggaman tangannya. Pantas di sumbatkan epal hijau tersebut ke bibir Rayyan
sebelum sempat berlaku sebarang kejadian yang tidak di ingini!
“Ouchh!” pekik Rayyan sambil memekup mulutnya.
Kesempatan ini di ambil oleh Tipah untuk meloloskan diri. Pantas
dia berlari masuk ke biliknya semula. Degupan jantungnya yang kencang tidak dapat
di kawal lagi. Ini kalau buat ujian elektrokardiogram atau ECG bagi jantung
sah-sah doktor cakap dia ada masalah jantung gamaknya!
Perutnya kian rancak menyanyi minta di isi. Epal hijau tadi
dah selamat tersumbat dalam mulut Rayyan. Nampaknya dia tiada pilihan. Dia
harus ke dapur semula. Di tekadkan hati, di kuatkan semangat, kakinya terhayun
semula ke dapur. Kelibat Rayyan tidak kelihatan di mana-mana. Sudah naik ke
atas barangkali. Kali ini dia sudah serik untuk bergelap di situ. Punat suis
dapur segera di petiknya. Pantas dia menuju ke peti ais. Sepotong kek coklat dan
sebotol jus oren segera di capainya. Terus sahaja di labuhkan punggungnya ke
atas kerusi. Tanpa berlengah lagi kek coklat itu di jamahnya dengan rakus.
“Rayyan tu sukakan kamu juga sebenarnya, Tipah. Cuma dia
terlalu ego untuk mengakuinya.” Hampir-hampir sahaja gugur jantungnya tatkala
mendengar lontaran suara yang datang secara tiba-tiba dari belakangnya.
Tipah terus berpaling. “Lah, makcik rupanya. Buat
terperanjat saya je. Apa yang makcik buat malam-malam buta kat sini?” soal
Tipah kehairanan.
“Makcik nak tengok telenovela di antara kamu dengan Rayyan,”
balas Makcik Roza bersahaja.
Merah padam muka Tipah di buatnya. “Err...makcik nampak ke
apa yang dah terjadi tadi?” soal Tipah kaget.
Makcik Rosnah tersenyum simpul. “Makcik dah tengok dan
dengar segala-galanya. Jelas sangat, Tipah. Rayyan pun cintakan kamu
sebagaimana kamu mencintai dia. Cuma hatinya terlalu ego untuk mengakuinya.”
Tipah mengeluh dengan wajah sedih. “Saya tak rasa dia
mencintai saya, makcik. Dia kahwin dengan saya pun sekadar untuk melunaskan
wasiat dari arwah papanya. Saya ni cuma batu sandaran sahaja baginya, makcik.
Lagipun dia dah ada Zeta.”
Terjegil mata Makcik Roza mendengarnya. “Makcik tak percaya
kata-kata ini keluar dari mulut kamu, Tipah. Kamu dah lupakah dengan kuasa kamu
sebagai isteri? Bukankah sepatutnya kamu bermati-matian mempertahankan ikatan
perkahwinan kamu ni?” tebak Makcik Roza bertubi-tubi.
Tipah tertunduk pilu. Tiada sesiapa pun faham dengan
situasinya yang sebenar! “Makcik! Saya bukan tak nak mempertahankan hak saya
sebagai isteri. Masalahnya ikatan perkahwinan kami berdua hanyalah sekadar di
atas kertas. Tidak lebih dan tidak kurang dari itu.”
Makcik Rosnah menggeleng-gelengkan kepala. “Suka hati
kamulah, Tipah. Makcik cuma nak ingatkan kamu sesuatu. Dalam Islam, tiada
istilah perkahwinan di atas kertas sahaja. Ikatan perkahwinan yang telah di
meterai secara sah oleh sepasang suami isteri seharusnya di bajai dan di
lestarikan dengan kasih sayang. Jangan sesekali menganggap ikatan perkahwinan
ini suatu perkara yang enteng, Tipah. Hukum Tuhan bukannya perkara yang boleh
di buat main-main. Ingat tu baik-baik,” tuntas Makcik Roza sebelum dia berlalu
pergi meninggalkan Tipah sendirian. Lembut tetapi tersirat ketegasan dalam
setiap bait-bait ayatnya membuatkan dada Tipah terasa berpijar!
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Angin pagi yang bertiup sepoi-sepoi bahasa di bumi Perth ini
benar-benar meruntun jiwa Tipah. Sedari tadi kakinya sudah terpacak di hadapan
kediaman mewah ini. Kata-kata Makcik Roza malam semalam masih terngiang-ngiang
di telinganya. Perit kedengarannya tapi kebenarannya tidak dapat di sangkalkan.
Melah muncul dari belakang secara tiba-tiba. “Awalnya kau
bangun. Nampak kusut semacam je. Afsal ni, beb?”
Tipah tersenyum hambar. Otaknya merangka-rangka ayat yang
paling sesuai untuk di lontarkan buat teman baiknya itu. “Hmm...susahlah nak
cakap, Melah. Aku buntu sebuntu-buntunya ni. Pening kepala otak aku memikirkannya.”
“Buat apalah kau nak pening sorang-sorang? Kongsilah sikit
dengan aku. Eh, tak payahlah kongsi dengan aku. Karang dengan aku sekali pun
pening sama nanti,” tukas Melah selamba. Geram pula Tipah mendengarnya.
Pantasnya tangannya mengutil lengan teman baiknya itu.
“Adoi!! Isshh kau ni tak boleh nak bergurau sikit. Tak
sporting langsung,” gerutu Melah sambil menggaru-garu lengannya yang sudah
kemerah-merahan.
Tipah merengus kasar. “Padan muka kau! Dahlah malas aku nak
layan kau! Layan abang Raimi lagi bagus. Eh, dari tadi langsung tak nampak
batang hidung dia. Mana dia pergi agaknya?”
“Tak payahlah nak cari abang Raimi kesayangan kau tu! Dia
dah balik semalam! Tulah, yang kau merajuk sakan semalam siapa suruh? Sampai
dia dah nak balik pun kau berperap lagi dalam bilik lagi, apa kes?” balas Melah
separa mengejek.
Sebuah kereta sport Audi TT 2.0 berwarna putih susu terus
sahaja meluncur laju di perkarangan kediaman tersebut. Seorang gadis jelita
berbaju tali halus dan bermini skirt yang menyerlahkan peha putih gebunya
melangkah keluar dari kereta tersebut. Dengan wajah bongkak terus sahaja dia
mendekati Tipah dan Melah.
“Hei! Kekasih hati I mana, hah?”
Nak termuntah Tipah dan Melah mendengarnya. Selamba Tipah menukas.
“Kot iya pun tak reti nak bagi salam ke? Main hei-hei orang je tak tentu pasal.
Kekasih hatilah konon! Dah macam gundik je aku tengok!”
Menyirap darah Zeta di buatnya. “Kurang ajar punya
perempuan! Jaga mulut tu sikit!” Belum sempat Zeta menerpa, Rayyan sudah
melangkah keluar sambil menjinjit sebuah beg pakaian yang sederhana besarnya.
Mata Tipah tertumpu pada kaki kanan Rayyan yang sudah togel tanpa sebarang
balutan.
“Awak nak pergi mana ni, Rayyan? Kaki awak tu belum sembuh
lagi. Nak saya balutkan ke?”
Hati Rayyan masih sakit mengenangkan penolakan Tipah
terhadap dirinya semalam. Egonya rasa tercalar. “Awak tak payah nak tunjuk
maksum sangat kat sini, ya? Jangan masuk campur urusan saya, faham?” jerkah
Rayyan.
Terus sahaja Rayyan dan Zeta melangkah ke arah kereta.
Sempat lagi Zeta melayangkan sebuah pandangan mengejek pada Tipah sebelum
melabuhkan punggungnya ke dalam kereta tersebut. Sejurus selepas itu kereta
tersebut terus meluncur laju meninggalkan perkarangan kediaman tersebut.
Tipah hanya menunduk sayu. Melah segera menggoncang-goncang
bahunya. “Tipah! Kenapa kau biarkan je perempuan urban tu keluar dengan Rayyan?”
“Habis tu apa yang aku nak buat?” soal Tipah bagaikan orang
dungu.
“Kita ikut diorang Tipah! Walau ke hujung dunia sekalipun
kamu kena jejaki Rayyan sebab dia suami kamu!” tokok Makcik Roza yang muncul
dari belakang.
“Ikut dia ke mana sahaja? Mampu ke aku buat semua tu?” getus
Tipah dalam hati.