Aku mengeluarkan semua baju yang ada di dalam almari ke
atas katil. Sudah dekat dua jam aku memilih baju yang sesuai untuk aku gayakan
malam ini. Aku membelek-belek baju yang tersarung di tubuhku di hadapan cermin.
Sehelai gaun malam berwarna hitam.
“Seksi sangat ni. Tak sesuai lah.” Aku mengomel sendiri.
Aku mencapai pula sehelai t-shirt ringkas berwarna putih
dan seluar jeans berwarna hitam. “Emm...yang ni nampak ringkas sangat pula. Susahnya
nak pilih baju!” Aku duduk di birai katil sambil memandang ke arah baju-baju
yang berselerak di atas katilku. Aku masih tidak dapat membuat pilihan.
Beberapa ketika kemudian barulah aku tersedar yang aku tidak perlu beriya-iya
untuk bersiap malam ini. Mengapa pula aku mahu kelihatan cantik di hadapannya
malam ini?
“Maya kau buat apa ni? Berseleraknya.” Suara Farhin yang
datang dari arah pintu membuatkan aku menoleh.
Farhin duduk di sebelahku. “Nak pindah ke beb?” Riak
resah terpancar di wajahnya.
“Tak adalah, mana ada aku nak pindah. Aku nak keluar
malam ni tapi aku tak tahu nak pakai baju apa.” Kataku.
Mata Farhin tajam memandangku. “Selalu kau tak macam ni
pun. Keluar pakai baju biasa aje. Ini mesti ada apa-apa ni.”
“Firqin ajak aku dinner.”
Ujarku tanpa berselindung.
“Arrrrrrgh......Maya.” Jeritan Farhin itu membuatkan aku
menutup kedua-dua belah telingaku.
“Bingitnya. Kau ni dah kenapa jerit macam tu? Sakit
telinga aku tau.” Omelku geram.
Farhin ketawa sambil bertepuk tangan. “Betul ke Maya?
Seronoknya aku dengar. Kat mana? Kat mana?”
“Kau ke aku yang nak pergi dinner sekarang ni? Dia punya suka amboi...bukan main lagi.” Kataku
sambil tersenyum-senyum.
Farhin menepuk bahuku. “Kau lah dengan Abang Pilot tu.”
Dia turut tersenyum-senyum.
“Just a dinner...”
Kataku sambil
tanganku kembali membelek-belek baju. Aku mengerling ke arah jam yang
tergantung di dinding. Alamak sudah hampir jam 8.00 malam. Siang tadi aku janji
dengan Firqin yang kami akan berjumpa pada pukul 8.30 malam.
“Aku dah lambat ni. Pakai apa yang ada ajelah.” Kataku
sambil aku mencapai sehelai blaus berwarna kuning cair dan jeans berwarna biru.
“Eh mana boleh. Pakailah yang glam sikit. Candle light
dinner kan.”Sampuk Farhin.
“Tak payahlah. Aku dah lambat ni.” Aku terus masuk ke
bilik air untuk menukar pakaian.
Terdengar ketukan di pintu. Apabila aku buka, Farhin
menghulurkan sehelai gaun labuh berwarna biru muda kepadaku. “Macam warna baju kartun
Frozen aje.” Kataku.
“Pakai yang ni Maya. Yang tadi tu ringkas sangat. Cantik
apa gaun ni. Kau masih ingat kan kau pernah pakai baju ni masa malam graduation dinner kita. Kau cantik
sangat pakai baju ni masa tu.” Farhin mengingatkan aku.
“Yang aku pakai ni tak cukup cantik dah ke? Aku rasa
boleh dah ni.” Balasku.
“Ringkas sangat lah. Bagi kau memang lah boleh. Tapi kau
fikirlah apa yang Encik Pilot tu akan fikir pulak nanti. Dia bawak kau pergi tempat grand, tapi kau pakai simple aje. Tak bestlah macam tu.”
“Kalau dia fikir macam tu bukan salah aku. Lagipun dia
kenalah terima aku seadanya.” Aku sempat mengomel.
“Maya cepat dah pukul berapa ni!” Sergahan Farhin itu
membuatkan aku terus menutup pintu bilik air dan segera menukar pakaian. Aku
akur dengan pilihannya. Memakai gaun berwarna biru itu.
Aku keluar dari bilik air dan berdiri di hadapannya.
Farhin tersenyum lebar memandangku. “Kalau aku yang perempuan ni kata kau
memang cantik gila, apatah lagi lelaki bila pandang kau. Mesti cair lah Encik
Pilot tu nanti.” Pujinya.
“Ada-ada ajelah kau ni. Dah aku dah lambat. Pergi dulu.”
Aku terus mencapai beg tangan dan menyarung kasut.
Farhin mengikutiku. “Kau jangan kata kau naik motor pulak
bila dah pakai cantik-cantik macam ni.”
“Dengan gaun ni aku nak naik motor? Buruk sangat
rupanya.”Aku sempat berseloroh.
“Maya dah sampai sana nanti callaku tau. Aku nak tahu cerita jugak. Cerita first date korang.”
“Aku pergi dulu.” Aku terus keluar. Farhin tu kalau aku
layan semakin menjadi-jadi dia mengusikku. Aku terus ke kereta dan menghidupkan
enjin.
Selepas lebih kurang lima belas minit memandu, aku sampai
ke tempat yang dijanjikan Firqin tadi. Aku tiba-tiba rasa pelik melihat kawasan
sekitar tempat itu yang menempatkan deretan-deretan kedai makan yang dipenuhi
ramai orang. Aku tidak nampak pula tempat makan yang agak esklusif di sekitar
sana. Aku silap tempat agaknya. Aku membuat andaian di dalam hati.
Aku terkejut apabila cermin tingkap keretaku tiba-tiba
diketuk dari luar. Firqin! Lelaki itu tersenyum dan mengisyaratkan aku untuk
turun dari kereta. Aku menurunkan cermin kereta di tempat pemandu. Aku
sebenarnya malu untuk keluar. Aku tidak menyangka yang Firqin sebenarnya mahu
mengajak aku makan malam di kedai mamak aje! Sudahlah aku pakai bukan main
cantik lagi malam ini. Memang tak kena tempatlah. Ini semua gara-gara Farhin
lah yang memaksa aku pakai gaun ini. Malunya.
“Err...kita makan kat sini ke? Soalku.
“Iyalah. Kenapa awak tak suka ke makan kat tempat macam
ni?” Wajahnya nampak berubah. Bagaikan mahu mengujiku.
Aku menggeleng. Tak. Saya tak kisah makan kat mana pun.
Cuma err...saya pakai baju yang tak sesuai malam ni.” Jujur aku akui.
Berkerut dahinya memandangku. Kemudian matanya beralih
memandang ke arah bajuku. Spontan dia tergelak. Aku menjelingnya. Bukan main
suka dia ketawakan aku ya. Aku balik karang baru tau! Omelku geram di dalam
hati.
Agaknya dia perasan yang riak wajahku sudah berubah, lalu
dia cuba memujukku. “Alang-alang awak dah sampai ni, apa kata awak turun aje
dan kita pergi makan. Saya tak kisah awak pakai baju apa pun.” Katanya yang
cuba meyakinkan aku. Aku memandang ke arahnya yang nampak ringkas memakai
sehelai t-shirt berwarna hitam dan seluar jeans. Kontra benar dengan pakaianku.
Firqin membukakan pintu kereta untukku. Aku mematikan
enjin kereta dan mula melangkah turun dari kereta. “Boleh kita masuk sekarang?”
Suaraku menahan geram. Geram kerana dia tidak memaklumkan aku dari awal ketika
di menghantar pesanan ringkas kepadaku tadi yang kami akan makan malam di kedai
mamak saja bukan di restoran mewah. Kalau tidak tak perlulah aku memalukan diri
memakai pakaian formal seperti ini. Aku memandangnya yang masih tidak berganjak
itu. Matanya masih terpaku ke arahku.
“Firqin.”Panggilku.
“Saya tarik balik ketawa tadi. Awak cantik. Sangat
cantik.” Senyumannya nampak ikhlas. Aku tersenyum mendengar pujiaannya itu.
“Saya boleh bayangkan saya makan roti canai pakai baju
macam ni.” Kataku. Firqin ketawa mendengarnya.
“Okaylah tu. Awak jadi orang paling cantik yang makan
roti canai malam ni.”Sahutnya.
Aku memandang Firqin menyuapkan mee goreng ke dalam
mulutnya. Nampak sungguh berselera. Aku memandang ke arah sekeliling. Aku
perasan ramai yang memandangku pelik ketika itu. Mungkin pelik bagi mereka
kerana melihat ‘Puteri Frozen’ makan di kedai mamak dengan gaun berwarna biru
muda.
“Cukup ke roti canai satu aje?” Firqin memandangku.
“Cukup. Saya dah kenyang.” Jawabku.
Dia senyum lagi. “Sorry
lah Maya. Saya tak beritahu awak awal-awal yang kita nak makan tempat
biasa-biasa aje. Lain kali saya bawak awak ke tempat yang okay sikit ya.”
“No. It’s okay.” Aku tiba-tiba rasa kekok. Aku
tidak tahu nak berbual apa dengannya. Aku tidak dapat memikirkan topik yang
sesuai untuk ditanya kepadanya.
“Dah lama awak kerja sebagai pereka perabot?” Tanyanya
sebagai pembukaan topik sesi ice breaking
malam ini.
“Lama tak lama lah. Adalah dalam tiga tahun. Lepas aje
tamat belajar saya terus kerja di tempat sekarang.” Balasku.
“Jadi awak boleh design
macam-macam lah ni. Boleh saya request
minta awak reka kerusi rehat untuk saya?”
Aku mengangguk. “Boleh. Beritahu aje awak nak design macam mana, Insya
Allah saya boleh tolong rekakan.”
“Awak pula? Kenapa pilih untuk kerja di awan biru?” Soalku
pula.
Wajah lelaki itu nampak berseri-seri apabila aku ajukan
soalan itu kepadanya.
“Sebab passion.
Saya suka terbang. Impian saya sejak dari kecil. Dapat terbangkan sebuah
pesawat yang besar membuatkan saya rasa bangga dengan diri sendiri. Sebab saya
berjaya atasi ketakutan pada ketinggian dan juga berjaya mencabar diri sendiri.
Susah saya nak describe, I just can say that I love flying.”
Bersungguh-sungguh Firqin bercerita. Aku mengangguk-angguk faham.
“I just wondering...apa
perasaan ketika awak ada dalam kokpit, terbangkan kapal besar yang berteknologi tinggi beribu-ribu kaki tinggi
kat atas tu?” Soalku.
Aku benar-benar
ingin tahu apa perasaan seseorang yang berkebolehan mengendalikan pesawat yang
mungkin ada beratus-ratus butang untuk ditekan di dalam kokpit sepanjang
perjalanan. Itu definisi mudah aku sebagai orang biasa yang tiada ilmu
pengetahuan dalam dunia penerbangan tentang tugas seorang juruterbang.
Dia ketawa sebelum tersenyum panjang seperti sedang
memikirkan sesuatu. “Perasaan...perasaan yang saya rasa indah. Indah sebab
boleh lihat pemandangan yang sangat menakjubkan yang bukan semua orang boleh
lihat secara live. Saya suka lihat langit,
awan, bukit yang hijau dan banyak lagilah.
“Lagi?” Aku semakin seronok untuk mengetahui sisi
kehidupannya sebagai seorang pilot.
Aku nak tahu jugak apa sebenarnya perasaan mereka yang bekerja di awan biru
sepertinya.
“Lagi? I feel free
and calm. Perasaan masa ada kat atas tu ya? Boleh saya kaitkan perasaan saya dengan satu cerita
yang pernah jadi dalam hidup saya tak? Awak nak dengar ke?” Aku mengangguk.
“Pasti?” Duganya lagi.
“Iyalah. Cerita aje lah. Saya dengar ni.” Kataku sambil
mencapai gelas berisi air tembikai.
“Nasib baik awak tak kata ‘No, I am not interested.” Dia mengajuk percakapanku sama seperti
yang pernah aku katakan padanya beberapa hari yang lalu.
“Firqin. Awak perli saya ya?”Aku ketawa melihat reaksi
wajahnya yang nampak selamba mengajuk percakapanku.
“Don’t get me wrong.
Saya bukan perli awak, saya hanya bergurau aje. Tapi kalau nak tahu, macam tu
lah muka awak masa cakap ‘ayat tu’.” Dia tersengih-sengih. Seronok dapat
mengusik aku.
“Tak nak cerita tak apa...” Aku sengaja mengusiknya pula,
terus dia menyambung ceritanya. Aku geli hati melihat tingkah lakunya. ‘Boleh
tahan jugak kelakar lelaki ni. Personaliti dia selamba tapi sweet.’ Sempat aku memuji di dalam hati.
“Okay, okay ceritanya begini masa saya ke Krabi tahun
lepas dengan my childhood friends dari
Holland, masa kami tengah makan ada seorang lelaki datang dan tegur. Seorang
lelaki tua dari Holland yang datang travelling
sorang-sorang. Dia tanya saya soalan yang sama seperti yang awak tanya tadi
tu. So I quote him aje lah ya?”
“Okay.” Kataku.
"Saya kata kat pak cik tu, pandang ke arah luar
tingkap kita dapat lihat kepulan-kepulan awan berada di bawah yang bagaikan gula-gula kapas
yang minta dikunyah. Kemudian lihat pula ke arah bandar-bandar dan kampung-kampung
yang memang nampak sangat kecil. Lalu bayangkan kita sedang menikmati minuman
di dalam salah sebuah rumah yang terdapat di bawah tu, kita akan sedar
bagaimana kita ni sebenarnya kecil dan kerdil. Dunia ini lebih luas sebenarnya.
Jadi kita sebagai manusia biasa tak perlu rasa megah, bangga dengan kekayaan
atau kelebihan yang dimiliki kerana bila-bila masa sahaja nikmat yang kita ada
akan ditarik oleh Pencipta.” Firqin bagaikan sedang berpuitis ketika itu. Aku bagaikan
terkesima mendengarnya. Aku sempat membayangkan di dalam kotak khayalanku bagaimana aku berada di tempatnya ketika itu
di dalam kokpit pesawat. Aku dapat rasakan
perasaan yang sama seperti yang dikatakannya itu.
“Itu yang saya cakap pada Uncle Marcell yang tengah mabuk masa tu saya rasa, seorang guru
gimnasium yang bersara. Tak lama selepas tu dia memecahkan kerusi yang
didudukinya tu dan jatuh ke tanah.” Firqin ketawa selepas menceritakan kisah itu
kepadaku.
Aku turut ketawa. “Mesti hidup awak menarik kan? Ada
kerja bagus yang boleh terbang ke sana sini. Melawat banyak tempat dan kenal
banyak orang.” Aku memberi pendapatku.
“Saya suka dengan kehidupan kerjaya saya sekarang. Tak
akan merungut. Asyik cerita pasal saya aje. Sekarang giliran awak pula cerita
tentang kehidupan awak.” Usulnya.
Aku membetul-betulkan rambutku. Aku tak tahu nak cerita
apa padanya tentang kehidupanku. “Saya tak ada apa-apa yang menarik lah nak
cerita. Hidup saya biasa-biasa aje.” Aku cuba mengelak untuk bercerita tentang
latar belakangku.
“Mana boleh biasa-biasa aje. Mana ada orang yang tak ada
cerita dalam hidupnya. Lebih-lebih awak Maya, dah cantik macam ni mesti ada
banyak kisah cinta, kisah ada banyak peminat dan yang paling menarik saya nak
tahu sangat kisah abang angkat awak yang siang tadi. Untung tak ada abang
hensem macam tu? Mana-mana pergi gadis-gadis akan puji ‘hensemnya abang you’
atau ‘secocoknya pasangan tu’ bagi yang tak tahu hubungan korang. Macam saya
siang tadi.” Aku memandang Encik Pilot yang sedang menyedut minumannya itu
sambil dia mengangkat-angkat keningnya. ‘Wajahnya nampak sangat nakal, tapi aku
suka pandang dia macam tu.’ Kataku di dalam hati.
“Firqin...” Panggilku.
“Kin. Panggil saya Kin. Barulah saya berada di
awang-awangan.” Sempat dia bergurau lagi.
Aku ketawa. “Okay Kin, apa kata sesi ice breaking malam ni sesi untuk awak
bercerita. Mungkin hari-hari yang lain giliran saya pulak.”
Lelaki itu tersenyum-senyum. Wajahnya nampak
berseri-seri. “Ini alasan awak untuk jumpa saya lagi lepas ni kan. Anyway saya sudi nak dengar versi awak
pulak nanti di sesi second date
kita.”
“Cakap ajelah
rindu nak jumpa aku lagi.”
Aku mendengar omelannya itu walau pun perlahan.
“What?Awak cakap apa tadi?” Tanyaku.
“Nothing! Saya
nak bercerita lah ni. Tengah cuba ingat balik aje apa yang saya suka buat,
makanan kegemaran dan sejak dari umur berapa saya mula jadi hensem macam ni.”
Lelaki itu cuba mengelak dengan cuba membuatkan aku ketawa dengan kata-katanya.
‘Seriously...dia
memang kelakar. Satu mata untuk dia dari aku. Aku suka lelaki kelakar yang boleh
buat aku ketawa dengan hanya berkata-kata.’ Aku membuat penilaian di dalam
hati.
“Emm...sukan boleh? Awak nak tahu saya suka sukan apa?”
Aku mengangguk. “Bola?” Aku meneka.
“Yup bola. Tapi saya tak sokong pasukan mana-mana. Tengok
hanya suka-suka aje melainkan World Cup
atau Euro Cup. Itu kena lah support Belanda hehe. Saya suka jugak
F1. Tapi sendiri tak main apa-apa, kaki bangku.” Seronok dia bercerita.
“Suka tengok tapi kaki bangku pulak?” Aku turut ketawa
mendengar ceritanya itu. Macam mana tu? Dia minat bola, tapi kaki bangku. Apa-apa
ajelah, asalkan dia bahagia.
“Tempat favourite
yang selalu awak pergi? Mesti dah merata tempat awak singgah kan.” Tanyaku
lagi.
“Awak dah fallin
love dengan saya ya? Sebab tu beriya
tanya macam-macam pulak ni.” Encik Pilot tu mengusikku lagi.
Mukaku terasa membahang. Aku pasti wajahku ketika itu
sedang merona merah. Malu sebab Encik Pilot tanya macam tu! Saja sakat aku kan.
“Awak ni memang perasan kan.” Aku cuba menutup malu
dengan berkata begitu namun dia makin galak ketawakan aku.
“Zo schattig.” Dia kata sesuatu yang aku
tidak faham. Okay balik nanti aku Google.
Awak kutuk saya ye?” Aku menduganya.
“Holland.” Katanya pula.
“Holland?” Aku ulangi perkataan itu. Blur sekejap apabila tiba-tiba negara
itu disebut.
“Holland. Tempat yang saya paling suka.
Love and hate relationship with this
place.Cuaca tak selalu okay.
Sejuknya kadang-kadang terlalu sejuk dan
panasnya di musim summerkadang-kadang rasa
berbahang. Tapi saya rasa seperti ada di rumah sendiri bila pergi ke sana. Di
sana saya ada ramai kawan dan keluarga jadi sebab itu kot saya suka ke sana.
Tiga bulan sekali ada kesempatan, dapat cuti panjang saya akan balik sana. Tapi
Malaysia tetap best jugak, kat sini
pun ada macam-macam yang buat saya rasa sayang. Sama aje macam Belanda. Dua-dua
sayang.” Panjang Firqin bercerita.
Aku memandang wajahnya. ‘Dia tidak nampak seperti lelaki
Pan Asian yang lain. Mungkin raut wajahnya lebih kepada iras orang Melayu.
Hanya warna rambut, warna anak mata dan warna kulit sahaja yang menampakkan dia
anak kacukan. Itu pendapatku. Tapi tak kisahlah. Kenapa pula aku nak
sibuk-sibuk mereka pendapat tentang dirinya. Tak penting pun bagiku. Kataku
kepada diri sendiri.’
“Kenapa awak pandang saya macam tu? Sebab saya hensem
kan.” Selamba saja Encik Pilot tu memuji dirinya sendiri.
Aku mencebik. “Perasan betul. Saya panggil awak Encik
Perasan lepas ni baru tahu.”
Dia ketawa. “Umur awak berapa Maya?”
“26. Kenapa?” Soalku.
Dia tersengih-sengih. “Bagus sangat dah tu. Beza umur
kita empat tahun. Jadi daripada awak panggil saya Encik Perasan, baik awak
panggil saya Encik Abang baru lah sesuai.”
“In your dream.” Balasku.
Firqin ketawa. “Awak panggil abang angkat awak tu ‘abang’
boleh pula? Dah lama awak jadi adik dia?”
Aku senyum sebelum memandangnya. “Lama dah lebih sebelas
tahun. Kami membesar bersama.” Kataku.
Wajah Firqin nampak berubah. Bagaikan ada persoalan di
dalam benaknya. “Membesar bersama selama lebih sebelas tahun? Mak ayah dia
mana?” Soalnya pula.
Aku masih berkira-kira untuk berterus terang atau tidak
kepadanya ketika itu. Tiba-tiba aku teringat akan kata-kata Farhin sebelum ini.
Mungkin Firqin boleh menerima siapa diri aku yang sebenarnya.
“Saya sebenarnya anak angkat kepada keluarga Abang
Bukhary.” Akuiku.
Firqin nampak terkejut. “Sorry Maya saya tak tahu.”
Aku menggeleng. “Tak apa.”
“So dari kecil awak memang tinggal dengan keluarganya?
Boleh awak cerita pada saya?” Soal lelaki itu lagi.
Aku mengangguk tapi tidak terus menjawab soalannya itu. “Ceritanya
panjang sangat. Saya cerita lain kali lah ya, dalam sesi ice breaking akan datang.”
Dia mengangguk. Namun dia tidak dapat sembunyikan riak rasa ingin tahunya. Jelas nampak di
wajahnya. “Saya tunggu sesi kedua tu.”
“Firqin boleh saya tanya awak sesuatu?” Soalku. Soalan
ini memang telah lama aku simpan untuk aku ajukan kepadanya.
“Boleh. Tanya lah apa-apa pun saya sudi jawab.”
“Kenapa awak suka saya?” Aku rasa itu soalan paling
senang baginya untuk dijawab.
Dia memandangku. Aku tahu dia sedang berfikir ketika itu.
“Kenapa awak tanya?”
“Mestilah saya nak tahu sebab awak sukakan saya.”
“Kalau saya jawab, awak janji yang awak akan layan saya
seperti yang awak lakukan di Auckland dulu tu. Saya suka Maya yang tu, Maya
yang duduk depan saya sekarang ni macam cover-cover
lah.”
Aku ketawa. “Cover-cover
ya. Mestilah saya kena cover-cover
sebab saya tak kenal awak lagi. Saya kenalah berlakon pura-pura polos.” Dia
ketawa dengan jawapan yang aku berikan.
“Janji?”
“Okay.”
Dia memandang wajahku. “Tadi tu lah jawapannya. Saya suka
Maya yang di Auckland tu. Maya yang ceria, gila-gila dan buat apa saja yang dia
nak buat. Dia boleh buat saya ketawa dengan kata-kata dan reaksinya. Saya
banyak kali tahan ketawa bila dia buat lawak. Sebab masa tu kan saya berlakon
jadi ‘lelaki serius’.” Dia ketawa sebelum menambah.
“Awak buat saya berfikir tentang awak selepas kejadian di
pantai tu. Saya rasa bersalah kerana tertolak awak. Awak buat saya terus fikir
dan fikirkan awak sepanjang malam bila awak tak terima kata maaf saya. Bila
awak terus keluar dari kereta dan tidak menoleh memandang saya. Yang paling buat saya terasa yang saya
sebenarnya telah menyakiti hati awak ialah ketika saya kejar awak pada keesokan
pagi. Itu kali terakhir saya dapat jumpa awak. Bila saya fikirkan tentang itu,
yang saya tiada kemungkinan untuk jumpa awak lagi, saya rasa tak keruan. Entah
bila saya baru tersedar yang saya sebenarnya sudah jatuh hati pada awak Maya.”
Suara romantisnya membuatkan aku terasa seperti berada di atas kayangan. Rasa
bahagia bila mengetahui rupa-rupanya ada lelaki yang memujaku dalam diam.
Aku senyum. “Boleh ke jawapan macam tu?” Tanyanya. Lelaki
itu turut senyum memandangku.
“Jawapan tu lain dari yang lain. Tak sama yang saya pernah dengar sebelum
ini.” Kataku.
Wajahnya nampak berseri-seri. Puas hati kerana aku memuji
keunikannya. “Jawapan yang pernah awak dengar sebelum ini apa? Saya nak tahu
boleh.”
“Awak cantik. Saya jatuh cinta pandang pertama pada awak.
Lebih kurang macam tu lah.”
“Oh...habis apa
reaksi awak?” Tanyanya lagi.
“Saya rejected diorang”
“Sebab?” Firqin mendekatkan wajahnya. Nampak sangat
berminat nak tahu.
“Sebab perkatan ‘pandang pertama’. Abang Bukhary kata
kalau lelaki cakap macam tu, jatuh cinta pada pandangan pertama, itu bukan
cinta tapi nafsu untuk memiliki. Mana ada lelaki yang jatuh cinta pada pandang
pertama, sebab dia tak kenal pun isi hati perempuan tu lagi. Bila saya fikirkan
betul juga apa yang abang saya cakapkan tu.” Jelasku.
Aku dengar Firqin melepaskan keluhan. “Fuh! Lega. Nasib
baik saya tak bagi jawapan macam tu. Tapi jawapan abang awak tu saya setuju.
Betul lah tu apa yang awak cakap tadi tu.”
Aku ketawa melihat reaksinya. “You’re full of sense of humor. I like it.”Pujiku.
“You like it? Oh
how lucky I am.”Tiba-tiba
dia nampak bersemangat. Nampak sangat gembira apabila aku memujinya.
“Nice to know you,
Kin. Selamat datang ke dalam hidup saya. Selamat berkenalan kawan baru.
Sekarang saya declare awak sebagai
kawan saya. Saya harap awak juga begitu, boleh terima saya sebagai kawan awak?”
Kataku.
“Yes! Of course.” Firqin menggengam tangannnya.
Lagaknya ketika itu bagaikan baru saja memenangi Piala Thomas bagi perlawanan
akhir badminton.
“Saya ni biasa-biasa aje. Tak ada yang istimewa.” Kataku.
“Saya terima diri awak seadanya. Nobody perfect. Awak tak perlu ubah apa-apa. Hanya jadi diri
sendiri. Saya juga tak sempurna mana.
Badan dah makin berisi dengan perut makin ke depan, muka pun dah berapa nak
hensem berbanding Abang Bukhary awak tu, kuat makan lagi. Tapi inilah diri
saya.” Dia meyakinkan aku. Aku ketawa mendengar kata-katanya itu. Ada saja
ideanya untuk membuatkan aku ketawa.
Aku akui aku semakin senang dengannya. Hati aku rasa
senang mendengar kata-katanya. Aku selesa dengan personalitinya yang sentiasa
merendah diri itu. Aku rasa teruja dengan perwatakannya yang sentiasa ceria,
kelakar dan tidak lekang dengan senyuman itu. Aku akui yang aku sudah mula suka
kepada lelaki ini. Perlahan-lahan tanpa aku sedari, Encik Pilot sudah berjaya
melangkah masuk ke dalam hatiku. ‘Selamat datang Firqin’ Ucapku di dalam hati.