Keluar saja dari Gold
Summit Group aku terus menuju arah jalan raya untuk mendapatkan teksi. Aku
menahan sebuah teksi yang kebetulan melintasiku tetapi ia tidak berhenti kerana
ada penumpang lain di dalam teksi tersebut. Cuaca tengah hari yang agak terik
tengah hari itu membuatkan kepala aku terasa berdenyut-denyut. Aku masih lagi
tercari-cari kalau-kalau ada kelibat teksi berhampiran. Menyesal pula kerana
aku memilih untuk menumpang kereta Aaron untuk ke sini tadi. Kalau aku tahu
begini jadinya, aku bawa keretaku sendiri. Aku melepaskan sebuah keluhan. Geram
dengan Taufiq yang tidak berguna tu dan bertambah geram kerana tidak pasal-pasal aku kena
berpanas pula.
Aku berjalan ke arah
perhentian bas yang agak jauh dari bangunan itu. Sampai saja di sana, telefon
bimbitku berdering.
“Hello.” Suara ceria
menyapa di hujung sana.
“Hello.” Balasku.
“Awak sibuk ke? Jom
kita makan sama. Saya datang ofis awak ya.” Firqin mempelawaku. Dengar macam bersemangat betul dia hari ini.
“Saya tak ada kat
ofis. Saya ada kat Damansara sekarang ni, baru lepas jumpa klien.” Balasku.
“Damansara?” Elok
sangat lah tu. Kebetulan saya ada dekat sini. Awak bagi landmark, saya jemput sekarang.” Ujarnya teruja.
“Gold Summit Group. Saya dekat perhentian teksi berhampiran. Betul
ke awak nak jemput saya ni, susahkan awak aje.”
Firqin ketawa. “Mana
ada. Ini kerja yang paling senang dan yang paling saya suka.”Aku tersenyum
mendengarnya.
Aku terkejut apabila tiba-tiba saja lenganku direntap dari arah belakang. Telefon bimbitku terhempas ke bawah. Aku memandang wajah lelaki yang
sedang memegang tanganku itu. Aku terus merentap tanganku dari cengkamannya
tapi tidak berhasil. Cengkaman tangan Taufiq lebih kuat.
Aku menjeling lelaki
itu. “Lepaskan I. Sakitlah!” Bentakku geram.
“You owed me an explanation.”
Taufiq masih memegang lenganku.
Aku merengus geram.
“You nak apa lagi Taufiq? Tolong lah lepaskan I. I nak balik. Kalau you nak
balas dendam, nak benci I sebanyak mana pun suka hati youlah. Tapi I tak nak
jumpa you lagi. Selamanya!” Aku cuba melepaskan tanganku dari genggamannya
namun tetap gagal.
“I tak akan lepaskan
you Maya. You milik I.” Katanya namun suaranya tidak setegas tadi.
Aku menggeleng tidak
percaya dengan apa yang aku baru dengar. “Lepaskan I Taufiq. I menjerit kat
sini baru you tahu. Biar orang ramai belasah you, itu you nak kan?” Aku
mengugutnya.
Taufiq tetap
berdegil. Aku melepaskan keluhan. “I bukan milik you lah. You bukan sesiapa
bagi I dan I juga bukan sesiapa bagi you. Kita dah putus kawan lama dah Taufiq.
Jadi tak perlu you buat macam ni lagi.”
“Kenapa you tak
berterus-terang pada I lapan tahun yang lalu Maya? You buat keputusan sendiri.
You pentingkan diri dengan pilih lukakan banyak orang masa tu. You adalah sebab
kenapa I jadi macam ni Maya.” Taufiq menyalahkanku.
Aku merengus.” Bukan
salah I you jadi macam ni Taufiq. Sebenarnya diri you sendiri yang mahukan diri
you jadi macam sekarang ni. Sombong, angkuh dan biadap macam ni. You sendri
yang sepatutnya menentukan nak jadi orang yang macam mana.” Aku melepaskan
geram.
“Tapi you puncanya!”
Taufiq menengkingku sambil dia menarikku dekat kepadanya.
Aku menelan liur.
Mataku masih tidak beralih dari menatap wajah bengisnya. Aku sebenarnya hanya
berlagak berani di hadapannya. Di dalam hati perasaanku berkecamuk menjadi
satu. Rasa bersalah, rasa takut dan rasa marah semua ada. Aku tidak perasan
entah bila airmataku bertakung.
“Pilihan apa yang I
ada masa tu Taufiq? Selain dari terpaksa menipu you. I dah berkali-kali minta
maaf pada you Taufiq. I tahu dan I sedar yang I bersalah pada you. I minta maaf
sekali lagi.” Perlahan suaraku menuturkan kata-kata itu di hadapan Taufiq.
Perlahan-lahan Taufiq
melonggarkan cengkaman tangannya dari lenganku.
“You boleh minta
tolong dari I kan? You know I will help
you.” Tuturnya kepadaku perlahan seperti berbisik.
Aku memandang
wajahnya namun tidak lama. Aku segera mengalihkan pandangan apabila memori lama
bersamanya kembali bermain di dalam kepalaku. Aku mahu melupakan perasaan yang
pernah aku rasai terhadapnya suatu ketika dahulu.
“Sudahlah Taufiq. Tak
ada gunanya lagi. I terima apa yang terjadi sebagai takdir hidup I.” Aku berkira-kira
untuk beredar.
“Perasaan I pada you
tak pernah berubah Maya. I masih cintakan you.”
Pengakuannya itu
membuatkan aku terpaku. Agak lama aku merenung matanya mencari kebenaran di
sana. Aku hanya mampu
menggeleng. Tidak terkeluar perkataan dari mulut untuk membalas pengakuanya
itu.
“Tapi kenapa?”Taufiq
kembali meraih tanganku.
Pon! Pon! Terdengar kuat bunyi
hon kenderaan di sebelahku. Aku nampak dengan jelas Firqin keluar dari tempat
pemandu. Dia membuka cermin mata hitamnya dan berjalan menuju ke arahku.
Firqin memandang
Taufiq sebelum matanya beralih ke arahku.
“Boleh you lepaskan
tangan tunang I?” Ujar Firqin. Ada nada tegas di dalam suaranya.
Wajah Taufiq berubah
ketika mendengar kata-kata Firqin. Tanpa menunggu lama, Firqin meleraikan
tangan Taufiq dariku.
“Jom sayang.” Firqin
membuka pintu kereta untukku.
Aku sempat memandang
Taufiq. Wajahnya sama seperti lapan tahun yang lalu. Wajah kecewa itu
membuatkan aku kembali berasa bersalah terhadapnya. Atau aku masih sayangkannya? Aku kembali
berada di dalam dilema.
Firqin memandu pergi
keretanya. “Kenapa awak nampak sedih ni? Lelaki itu buat apa pada awak
Maya?” Penuh rasa ambil berat pertanyaannya itu.
Aku menggaris sebaris
senyuman untuknya. “Saya terserempak dengan dia. Boleh kita jangan cerita
tentang dia, kata tadi awak nak pergi makan kan?”
Firqin tidak membalas
pertanyaanku itu. Agak lama dia diam. Hanya matanya saja fokus ke arah jalan
raya. Ketika kereta yang dipandunya itu berhenti di persimpangan lampu isyarat
Firqin kembali membuka mulut.
“Kenapa tangan you
sampai berbirat macam tu? I tengok bengkak tangan you tu. Apa yang Taufiq buat
sebenarnya Maya?” Dia memandang wajahku bagaikan meminta aku memberi
penjelasan.
Aku teragak-agak
untuk membuka mulut untuk bercerita kepadanya tentang apa yang berlaku
kepadaku. “Cerita saja Maya, saya sedia dengar.” Dia memujukku.
“Saya jumpa klien
tadi dan saya tak sangka orang tu adalah Taufiq. Dia halang saya untuk pergi
dari pejabatnya. Err...err...sebenarnya Taufiq adalah bekas teman lelaki saya. Hubungan
kami dah lama berlalu sejak lapan tahun yang lalu. Saya tak sangka pulak yang
dia masih menaruh dendam pada saya sebab putuskan hubungan kami.” Aku
berterus-terang.
“Cinta monyet zaman
sekolah lah ni ya. Kenapa putus?” Sambungnya pula.
Soalan ‘kenapa’ itu
membuatkan aku menelan liur. Rahsia masih aku simpan kemas. Belum tiba masanya
lagi untuk Firqin tahu tentang sejarah hidupku. “Macam you kata tu cinta monyet.
Mungkin tak serasi agaknya.” Balasku teragak-agak.
“Kita nak makan kat
mana ni?” Cepat-cepat aku mengubah topik perbualan.
“Emm...rumah mak saya
nak.” Pelawanya.
Aku terkejut. “Hah? Tak
nak lah awak. Awak jangan main-main. Takut saya tiba-tiba awak cakap macam tu.”
Firqin ketawa kesukaan melihat aku yang menggelabah apabila diajak makan di
rumah keluarganya.
“Mak saya tak makan
orang, nak takut apanya.” Dia masih lagi galak mentertawakanku.
Aku turut ketawa. “Awak
kalau tak mengusik saya memang tak lengkap kan hari awak. Ada saja bahan nak
kenakan saya ya.”
“Sebab saya suka
tengok senyuman dan ketawa awak bila saya berjenaka. I am so excited to see your face. Hati saya teruja bila bersama awak.”
Selamba dan
cool tapi ikhlas. Itu yang mampu aku gambarkan watak lelaki disebelahku ini.Telefon bimbitku
tiba-tiba berdering. Aku segera mengangkat panggilan itu apabila nama kawan
baikku, Norzie tertera di atas skrin.
“Assalamualaikum Jie.” Ucapku ceria.
Norzie tidak menjawb
salamku. Telingaku dapat mendengar bunyi bising seperti barang dihempas-hempas
di talian sebelah sana.
“Nozie...Nozie..Hello!”
Aku memanggil-manggil namanya.
“Maya....tolong aku
Maya. Akmal buat masalah lagi. Aku tak tahu nak buat apa sekarang..arrgh...”
Suaranya yang kedengaran tersesak-esak itu membuatkan pendengaranku kurang
jelas. Aku tidak faham apa yang dikatakannya.
“Norzie kenapa ni? Apa
yang dah berlaku? Kau okay tak ni?” Aku tiba-tiba rasa cemas dan tidak sedap
hati.
“Maya tolong aku. Tolong
aku Maya...Akmal berhutang dengan lintah darat lagi. Sekarang ni mereka nak ambil
anak aku.”
“Ya ALLAH...” Aku
menutup mulutku. Terkejut dengan apa yang sedang aku dengar.
“Akmal mana Jie?”Soalku.
“Aku tak tahu...dia
banyak berhutang Maya. Sekarang ni aku dan anak-anak yang jadi mangsa.” Semakin kuat esakannya.
“Jie kau cakap dengan
lintah darat tu jangan buat apa-apa pada Dania. Aku datang sekarang. Aku janji
akan bayar berapa yang dia minta. Kau cuba bertenang dulu ya.” Aku cuba menenangkan
kawan baikku.
Aku melepaskan sebuah keluhan sejurus mematikan talian. Akmal memang tidak pernah berubah. Sikapnya
yang kaki judi tu tak berkesudahan! Ini bukan kali pertama dia berhutang dengan
lintah darat. Sudahlah tidak bekerja makin menjadi-jadi pula perangai suka berjudinya yang tidak kira masa. Sudahnya isteri dan anak-anak terabai.
“Are you okay Maya?”
Soal Firqin mematikan terus lamunanku.
Aku memandang
wajahnya. “Firqin awak boleh tolong saya? Saya betul-betul risau sekarang ni. Kawan
saya ada masalah dan saya harus ke rumahnya sekarang jugak.”
“Boleh. Kat mana
rumah kawan awak tu?”
“Klang. Saya tunjukkan
jalan nanti. Terima kasih awak.” Ucapku.
Dia mengangguk sambil
tersenyum. “Anything for you.”