Aku turun dari kereta
sejurus saja Encik Izzaz memberhentikan keretanya berhampiran kawasan tempat
tinggal Norzie. Sebak hatiku ketika itu tatkala mata terpandang akan orang
ramai yang berpakaian baju kurung dan bertudung bagi perempuan dan bersongkok bagi
lelaki. Aku menahan seorang wanita yang kebetulan melintasiku.
“Assalamualaikum,
kak. Tumpang tanya akak dari mana ya?” Aku mahukan kepastian.
“Waalaikumsalam adik.
Akak dari rumah arwah Akmal. Alhamdulillah semua dah selamat. Jenazah dah
selamat dikebumikan sebentar tadi.”
Aku sebak. Bangkit
Maya! Ini bukan mimpi. Akmal sudah benar-benar pergi meninggalkan dunia ini.
Perlahan-lahan airmata jatuh di pipiku. Ini realiti Maya. Terima takdir dan
hakikat yang telah ditentukan.
Deheman seorang
lelaki di sebelahku membuatkan aku tersedar. Segera aku sapu sisa airmata di
pipiku. “Banyakkan bersabar. Terima takdir yang ALLAH tetapkan.” Lembut suara
lelaki itu bagaikan memujuk. Aku pelik. Mana pergi Encik Izzaz yang sinis dan
tegas tadi. Baik pula dia memberi kata-kata semangat kepadaku. Aku sekadar
mengangguk. Tidak mahu dia rasa tersinggung.
“Kita tunggu sekejap.
Aku tunggu orang sekejap.” Ujarnya. Ketika itu juga sebuah kereta Proton Saga
betul-betul berhenti di sebelah kami. Tiga orang lelaki keluar dari kereta itu
dan salah seorang dari mereka menghulurkan sebuah beg kecil kepada Encik Izzaz.
“Maaf lambat Bos.
Saya bawa apa yang bos pesan tadi.” Kata lelaki yang tinggi malah tegap itu.
Aku perhati satu-persatu wajah di hadapanku ketika itu. Badan memang sasa, tegap
dan muka serius. Sebijik macam Mr. Lion King ni. Bonzer dia kot. Aku sekadar meneka.
Aku sekadar memerhati
salah seorang daripada mereka menghulurkan sehelai kemeja berwarna biru kepada
Encik Izzaz. ‘Amboi siap ada orang tolong bawakkan baju dia bagai. Macam putera
pulak.’ Aku berkata-kata sendiri.
“Ada apa yang aku
suruh kau bawak tu? Mana bendanya?” Encik Izzaz selamba membuka kemejanya di
hadapanku. Fuh nasib baik ada baju t-shirt putih kat dalam. Aku buat
pandang-pandang tempat lain. Tak nak pulak nanti dia mengata aku ambil
kesempatan pandang khazanah dia.
“Nah.” Lelaki itu
menghulurkan satu beg plastik kecil kepadaku. Sempat aku memandang
penampilannya yang sudah siap menukar kemeja baru, malah bersongkok.
“Apa ni?” Soalku
pelik.
“Tengoklah sendiri.”
Balasnya malas. Dia terus mengambil beberapa dokumen daripada pekerjanya yang
tiga orang tadi tu dan berbincang tentang sesuatu. Ish, dingin betul.
Aku menjenguk apa
yang ada di dalam plastik tersebut. Sehelai tudung berwarna putih. Aku
memandang kembali Encik Izzaz yang sedang fokus meneliti dokumen di tangannya.
Aku sedikit terharu dengan keprihatinan lelaki itu. Dia sempat menyediakan
tudung untukku. Iyalah kan aku sendiri yang kata tadi yang aku nak ke majlis
pengkebumian kawanku, tapi pakaianku tidak sopan pula. Malah terus-terang aku
katakan, pakaian yang tersarung di tubuhku ini adalah baju semalam.
“Baik hati jugak dia
ni dalam panas baran dan tegas. Mungkin betul kot kata Doktor Fairuz tentang
lelaki itu yang nampak saja garang di luar tapi baik hati. Entah. Jangan
terlalu awal buat penilaian Maya.” Ujarku sendiri.
Aku menyarungkan
tudung itu di kepala. Sudah bersedia untuk ke rumah Norzie. Encik Izzaz
menghampiriku. “Aku tak tahu baju kau saiz apa. Tudung ajelah yang sempat aku
pesan untuk bawak kan untuk kau.” Katanya sambil matanya tidak lepas memandang
wajahku.
“Kan elok kau pakai
macam ni. Pakai sopan, tutup aurat paling penting. Barulah bertambah cantik dan
manis.” Puji lelaki itu tiba-tiba.
Aku terkedu dengan
pujian itu. Biar betul kata-kata pujian itu keluar dari mulut singa ni.
“Don’t get me wrong. Aku hanya puji apa yang terlintas di hati. Aku
puji sekali aje. Tak ada siaran ulangan.” Lelaki itu cepat memintas. Mungkin
dia dapat membaca fikiranku agaknya melalui reaksiku tadi.
“Terima kasih.” Aku
sekadar berbahasa.
“Perempuan kan wajib
tutup aurat. Penting bagi wanita tu amalkan supaya dirinya terpelihara dari
benda-benda tak elok.” Tambahnya yang aku tahu lebih kepada menasihati. Sweet jugak lelaki ni rupanya, dalam
garang dia ada jugak baiknya. Pujiku di dalam hati.
Encik Izzaz kemudian
menghulurkan sesuatu kepadaku. Beberapa helai kertas bertukar tangan.
“Apa ni?” Soalku
pantas.
“Kontrak perjanjian.
Aku kena berjaga-jaga jugak, takut kau lari nanti bila dah dapat duit.”
“Hah? Kontrak? Bila
masa saya kata saya kena sain kontrak. Lagipun Encik sabar sikit boleh tak, saya nak jumpa kawan saya dulu boleh tak.” Balasku bernada tidak puas hati.
“Aku bos kat sini.
Kau diupah, menyamar atau dalam perkataan lainnya bekerja untuk aku. Jadi kau
kena ikut syarat aku, rancangan aku dan paling penting dengar cakap aku. Jangan
melawan.”
Aku menjelingnya
tidak puas hati kerana dia bagaikan berat sebelah. Dia pandai-pandai buat
kontrak tanpa berbincang dengan aku. Cepat betul tindak-tanduknya.
“Melawan? Melawan? Tu
jeling-jeling tu kenapa?”
“Mana ada saya
melawan. Bagi pen tu.” Balasku.
Sebelum menurunkan
tandatangan di atas kertas tersebut, aku berpaling kepadanya terlebih dulu.
“Saya harap tak ada permintaan yang pelik-pelik dalam ni. Tak ada syarat-syarat
yang mengarut. Dan lagi satu saya ada juga syarat-syarat yang perlu Encik Izzaz
ikut nanti. Boleh?”
Tidak lama untuk
lelaki itu berfikir. Beberapa saat kemudian dia mengangguk setuju. Aku terus
menurunkan tandatangan di bahagian bawah kertas tersebut, bersebelahan dengan
namanya. Mohd Izzaz Rayqal.
Dia ambil kembali
kertas itu dariku. Dia mengeluarkan sesuatu dari beg sandang yang dibawa bonzer
nya tadi. Buku cek dikeluarkan. Lelaki itu dengan pantas menulis sesuatu di
atas buku cek tersebut.
“Yang ni untuk kau.
Kan aku kata aku akan bayar terus. Pantas, cepat, berhasil. Kau kena ingat tiga
perkataan tu selama kita bekerja nanti.”
Aku menyambut
hulurannya. “Dua puluh ribu ringgit....tapi tapi Encik kata nak bayar saya tiga
puluh ribu...” Aku panik. Jumlah yang tertulis di atas cek itu tidak sama
seperti yang dijanjikan tadi.
“Sabarlah. Yang tu
untuk kau. Yang kat tangan aku ni, cek
berjumlah tiga puluh ribu ringgit untuk bayar hutang kawan kau tu.” Encik Izzaz
menayangkan cek itu di hadapan mukaku.
Aku terkejut. Bulat
mataku memandang amaun tersebut. “Habis yang kat tangan saya ni RM20 ribu ni
siapa punya pulak.” Aku panik.
“Ish tak faham lagi
ke. Yang tu untuk kau. Aku bagi duit tambahan. Kau anggap ajelah bonus.”
Aku menelan liur.
“Encik Izzaz....jangan main-main boleh. Jumlah ni bukan kecil tau. Saya tak
nak.”
“Ambik aje lah. Kau anggap
ajelah aku bantu kawan kau tu.” Naik balik nada suaranya.
“Tapi...”
“Eh banyak pulak soal
kau ni, nak ke tak nak? Karang aku ambil balik duit ni baru kau tahu.” Ugutnya
yang lebih kepada untuk mengacahku saja.
Aku sekadar
memuncungkan bibir. Matanya mula tajam memandangku. “Saya tak melawan lah.”
“Bagus. Kau dah boleh
faham aku.” Dia tersenyum.
Apa? Aku mengerdipkan
mataku beberapa kali. Biar betul lelaki ni senyum? Mataku salah tengok kot. “Mungkin
sebab aku kurang tidur kot.”
Lelaki itu berjalan
meninggalkan aku. “Cepatlah. Kata nak pergi jumpa kawan kau.”
Aku berjalan
cepat-cepat mendapatkannya. “Lagi satu kau ada nombor telefon lintah darat tu?”
Aku mengangguk.
“Bagi aku sini. Biar orang-orang
aku uruskan.” Selamba tapi yakin dia berkata begitu.
Aku terkebil-kebil. “Betul
ke ni Encik? Saya tak nak menyusahkan Encik atau pekerja Encik. Tak apa, tak
apa saya boleh jumpa mereka sendiri.”
Encik Izzaz mencekak
pinggangnya. “Eh Eh dia ni, orang nak tolong banyak cakap lagi pulak. Kau tu
perempuan, cantik pulak tu...karang tak pasal-pasal kena jual. Aku jugak susah
nak kena cari adik lain. Bagi sini nombor tu.”
Aku segera
mengeluarkan telefon bimbitku dan memberinya nombor telefon yang dikehendakinya
itu. Aku cuba menahan senyuman dengan gelagat lelaki ini. Macam mana aku nak
cakap ya, dia garang dan sinis tapi dalam masa yang sama kata-kata dan tingkah
lakunya yang selamba itu mencuit hatiku. Tapi yang aku tak tahan mulutnya yang
laser itu. Kalau aku nampak dia senyum atau sengih tu kira bonuslah untuk aku.
Dia berjalan
mendahuluiku. “Macam mana lah hidup aku bila jadi adik dia nanti. Masak aku
agaknya. Hari-hari kena marah, dengar dia membebel, mahu naik darah tinggi kot.”
“Apa kau membebel tu.
Aku dengar kau kutuk aku. Cepat!” Mr. Lion King dengar pulak aku kutuk dia.
“Ya, datang lah ni.” Aku mencebik geram. Baru sehari dengan dia dah pening kepala, lepas ini hari-hari nak menghadap Tuan Putera Lion King bolehkah aku melakukannya? Itu soalan untuk diriku sendiri.
SEBAIK saja aku
nampak Norzie, aku terus menerpa memeluknya. Tanpa suara hanya melalui perasaan kami
berdua menangis berkongsi kedukaan dan emosi yang sama. Aku mengesat airmata di
pipinya. Dia juga buat yang sama terhadapku.
“Dah...kau jangan
nangis lagi Jie. Aku ada kat sini untuk kau. Jangan risau aku sentiasa ada di
sisi kau.” Pujukku.
Norzie menggengam
erat tanganku. “Terima kasih Maya. Aku bersyukur ada kau sebagai kawan paling rapat dalam
hidup aku. Selain anak-anak, kau adalah kekuatan untuk aku. Insya Allah aku
tabah hadapi dugaan ni.”
“Anak-anak kau
selamat. Jangan risau. Lagi satu aku ada berita baik untuk kau. Aku dah
dapatkan duit untuk kau.” Aku mula senyum.
Tapi tidak Norzie. “Mana
kau dapatkan duit sebanyak tu Maya? Aku minta maaf aku susahkan kau lagi.” Ucap Norzie serba-salah.
“Jie aku dah janji
kan nak bantu kau. Kau jangan rasa bersalah macam ni. Dah... dah sekarang ni kau
tak payah risau sebabnya aku dah langsaikan hutang Along tu. Sekarang kau
dengan anak-anak tak perlu hidup macam dulu lagi.” Ujarku.
“Tapi dari mana kau
dapat duit tu Maya?” Desaknya lagi.
“Emm...dari bos aku.
Kenalkan yang ni Encik Izzaz bos aku. Dia yang tolong kau bayarkan duit hutang
tu. Aku tak hutang dari mana-mana pun. Encik Izzaz ni yang banyak bantu aku.
Kau patut terima kasih pada dia, bukan aku.”
Encik Izzaz nampak
terkejut dengan cerita rekaanku. Aku sudah rancang awal-awal di dalam benakku
yang aku tak akan bagitahu Norzie tentang perjanjian aku dengan Encik Izzaz. Aku
tak nak dia risau akan hal aku pula. Biarlah hidupnya dan anak-anak tenang. Tak
mengapa bila aku sorang yang terpaksa tanggung beban ini.
“Terima kasih Encik
kerana simpati dengan saya. Saya anggap ini rezeki anak-anak saya. Saya doakan
Encik selalu bahagia, murah rezeki dan diberkati hidupnya. Amin. Alhamdulillah,
syukur ada lagi orang yang baik dalam dunia ni rupanya. Kan Maya?”
Aku sekadar senyum
sambil membalas pandangan mata dengan Encik Izzaz. Betul! Aku perasan kali ni
mukanya jelas berubah. Nampak merah. Aku tak pasti sama ada dia tengah malu
atau marah.
Aku tak berniat nak
menipu, tapi aku ada sebab buat seperti ini. Aku harap Encik Izzaz tak mengamuk
tak pasal-pasal pulak nanti. Aku akan jelaskan pada dia nanti akan sebabnya.
“Err...sama-sama. Saya
buat apa yang saya mampu aje. Tapi Puan untung ada kawan macam Maya ni, yang
ambil berat.” Balas Encik Izzaz penuh sopan.
Norzie mengangguk.
Setelah menziarahi pusara arwah Akmal, aku kembali semula ke rumah Norzie untuk membantu apa yang
patut untuk kenduri malam nanti. Ketika aku sedang membantu membentang tikar
mengkuang di ruang tamu, Encik Izzaz yang berdiri di luar melambai tangan memanggilku
mendekatinya.
“Aku tunggu kat
bawah. Ada hal nak cakap. Cepat sikit.” Arahan diberikannya.
Beberapa minit
kemudian, aku turun menaiki lif. Aku nampak lelaki itu sedang memeriksa
belakang keretanya. Aku telan liur. Perasan bersalah kembali menjalar di dalam
diri.
“Berapa Encik nak ganti rugi kerosakan kereta ni?” Soalku
ketika menghampirinya.
Dia yang sedang
mencangkung memeriksa lampu belakang yang pecah terus mendongak memandangku. Namun
matanya kembali memandang keretanya sambil tangannya membelek-belek lampu yang
pecah itu.
“Nak bayar apa? Kau dah
bayar ganti rugi tu kan.” Balasnya.
“Bila saya bayar?
Encik yang bagi saya duit lagi adalah.”
“Tentang kereta aku
ni kau tak payah risau lah. Pandai lah aku uruskan. Ni kunci kereta kau. Ada nombor
mekanik sekali. Nanti kau call lah tanya bila kereta kau boleh siap.” Sepet
matanya memandangku, terik panas matahari tengah hari itu boleh tahan bahangnya.
“Tapi tak adil lah
Encik. Saya kena bayar jugak. Sebab saya yang salah.” Ujarku lembut. Satu senyuman
aku berikan kepadanya atas kebaikannya kepadaku hari ini.
Agak lama dia
memandangku. “Tak apa. Tak payah. Sekali lagi kau tanya soalan yang sama, aku
marah.” Tapi nada suaranya masih elok.
Aku diam. Okay lah
kalau dia dah cakap macam tu.
“Nanti aku akan call
kau untuk bincang pasal tawaran aku tu. Banyak benda kau perlu tahu, belajar
dan praktik sebelum datang ke rumah aku sebagai adik aku dan paling penting kat
depan Umi aku. Hari ni kau pergi rehat dulu, muka kau nampak letih sangat tu
aku tengok. Selalu tengok-tengokkan kawan kau tu.” Sempat dia menasihatiku. Nada
yang sedap didengar keluar dari mulutnya.
Aku mengangguk. “Terima
kasih untuk hari ni. Dan minta maaf juga tentang semalam.”
“Lagi satu pasal
hutang Along tu dah settle. Aku dah
uruskan semua. Kalau dia cari kau atau kawan kau lagi, bagitahu aku.” Tambahnya.
Tiba-tiba terbit di
dalam mindaku tentang sesuatu. Akhirnya orang yang aku tidak kenali juga yang
menghulurkan bantuan di saat sukar seperti ini. Sedangkan orang yang aku
harapkan langsung tidak kunjung tiba di hadapan mata. Rasa kecewa, sebak, marah
kini mula bercampur aduk di dalam hati.
“Kau dengar tak ni? Faham
tak?” Soal Encik Izzaz lagi bila aku tidak memberi respon.
“Dengar. Saya faham Encik Izzaz.”
Kataku.
“Tak faham aku,
tengah hari buta terang macam ni pun kau boleh nak berangan.” Dia menggeleng.
“Lagi satu tak payah
panggil aku encik, encik lagi. Penat dah dengar. Panggil aku Iz aje. Tapi bila
depan umi aku nanti, kau kena panggil Abang Iz. Faham?”
“Abang? Perlu ke saya
panggil macam tu?” Aku rasa geli pulak nak panggil pangkat manja-manja begitu. Kalau
abang kandung atau abang angkat tu lain lah. Ini abang Lion King. Tak nak aku.
“Aku cepuk kau
karang. Kenalah. Dah kau adik aku, nanti umi aku cakap apa pulak. Lagipun beza
umur kau dengan aku banyak aku rasa. Kau ingat aku nak sangat ke kau panggil aku
abang kalau tak ada sebab? Huh! Tak padan.” Lelaki itu nak menang juga.
“Yer Iz awak menang. Nanti
saya panggil awak Abang Iz depan Umi awak okay. Puas hati?” Aku berpura-pura
menggaris senyuman.
“Palsunya muka kau.”
Komennya.
“Asalkan tak melawan
kan.” Sinis aku balas.
Tajam matanya
memandangku. “Kepala kau tu macam mana? Sakit lagi tak?”
Emm...ambil berat
juga rupa-rupanya. Ingatkan dalam angkuh, sombong dan sinis tu dah tak ingat
keadaan orang lain. Aku hargai jugalah dia punya prihatin tu. Dalam erti lain
dia ni bertanggungjawab orangnya.
“Cuma berdenyut
sikit. Nanti saya makanlah ubat bengkak dengan tahan sakit yang doktor bagi tadi
tu. Insya Allah okay nanti.”
Dia mengangguk-angguk. "Lagi satu kenapa kau perlu menipu tadi depan kawan kau tu? Aku pantang orang
menipu ni.” Encik Izzaz memeluk tubuhnya.
Aku mengetap bibir. Ingatkan
dia tak akan tanya soalan ni tadi. Kuat pula daya ingatannya.
“Cepatlah jawab!”
Naik satu anak tangga nada suaranya.
“Saya tak kawan saya
rasa terbeban kalau dia tahu macam mana saya dapatkan duit ni. Takkan saya nak
bagitahu dia yang saya terpaksa jadi adik awak sebagai tukaran, sistem barter
dengan duit tiga puluh ribu tu. Saya tak sanggup, saya tak sampai hati nak buat
kawan saya tu sedih lagi. Cukuplah masalah yang dia sedang hadapi sekarang ni. Saya
nak dia dan anak-anak bahagia aje lepas ni. Yang lain-lain tu saya sanggup
tanggung.” Jujur aku akui dari hati.
Wajah Encik Izzaz
tidak seberang tadi. “Baguslah. Aku saja aje nak test kau ni macam mana orangnya. Personaliti kau. So far aku tengok kau penyabar orangnya,
selalu dahulu kan orang lain tapi satu je kurangkan menjawab. You’re the perfect one to be my sister. Aku yakin kau boleh lakukan apa yang aku minta, asalkan kau dapat buat Umi aku
bahagia, senyum semula dan gembira macam dulu.”
Sebelum Encik Izzaz
beransur pulang, dia mengeluarkan beberapa not lima puluh ringgit kepadaku. “Beri
pada kawan kau tu, gunakan untuk beli apa yang patut untuk kenduri malam ni. Aku
ikhlas.”
Aku sambut huluran
itu.
“Aku balik dulu. Nanti aku call kau. Ingat jawab. Kau jangan biar aku
tunggu bunyi tut tut tut tu lebih tiga kali baru kau nak jawab. Aku tak suka nak tunggu-tunggu. Telefon kau
tu ikat kat leher, biar dengar sikit.” Katanya sebelum dia memboloskan diri ke
dalam kereta.
Terlepas ketawaku. Kelakar. Kali ni aku dah tak boleh simpan
gelak lagi. Aku perasan lelaki itu juga turut tersenyum, namun segera
disembunyikan. Tak faham aku, senyum ajelah atau kalau nak gelak pun gelak
aje. Kenapa nak sembunyi pulak? Pelik. Kereta yang dipandu terus meluncur
pergi.
Di dalam hati aku
memuji sifat pemurahnya. Mungkin Encik Izzaz ni sebenarnya baik orangnya walau
pun personalitinya sedikit menjengkelkanku. Aku pasti pasti ada sebab mengapa
personalitinya dingin seperti itu. Sedangkan bila depan orang lain dia bukan
main baik, sopan dan peramah. Depan aku aje dingin semacam.
“Emm gaduh dengan
isteri lah tu kot. Meroyan memanjang, nak kata datang bulan, memang tak mungkinlah.” Aku sekadar membuat andaian.