Bab 1.
Sunyi, seperti selalu. Aku saja yang
ralit menyiapkan kerja di kala waktu telah pun menginjak jam dua pagi. Keluhan berdetasan. Pandanganku
mula menyoroti ke pintu gelangsar. Angin sepoi-sepoi bahasa mengulit langsir.
Aku leka memerhati sehingga pendengaran menangkap bunyi sesuatu.
Aku diam sejenak dan membetulkan
dudukku. Bulu roma mulai naik menegak. Semua deria semakin peka. Bau semerbak
menyusuk rongga hidung. Arghhhh `Dia’ datang lagi. Datang untuk menguji. Namun
aku tidak bisa menyembunyikan gentar di hati.
Aku bangkit. Langkahku atur hala ke
balkoni. Niat di hati ingin menutup pintu gelangsar. Namun kelibat sesuatu meruntun keberanianku. Ingin mengundur tidak
terdaya. Lampu di dapur yang terpasang tiba-tiba terpadam. Cahaya yang tadi
terang-benderang kini menjadi malap, hanya cahaya lampu jalan kelihatan.
Berdesir suara seakan menyapa. Mata
terbuka hanya mampu melihat. Wajah yang tidak kelihatan. Rambutnya yang panjang
berjurai serta ketawa yang mengilai-ngilai. Aku jadi panasaran. Takut! Hilai
tawanya mengepam dengupan jantungku. Deras, keras.
Aku kuatkan hati, pandangan tetap terjurus kepada lembaga itu.
Segala keringat aku tumpahkan dengan ungkapan `Bismillahhirrahmannirrahim’
disambung dengan bacaan Surah Yassin. Suara yang mengilai semakin lama semakin
lemah dan akhirnya terus hilang. Bau wangi yang mengganggu sebentar tadi juga
turut lenyap. Cahaya yang malap kembali cerah. “Alhamdulillah… dahlah,
janganlah dok muncul lagi,” pintaku.
Aroma dingin masih membaluti tubuhku.
Kerja yang tadi terbengkalai ingin segera
disambung. Namun sekali lagi tubuh ini kaku berdiri apabila berpaling,
segera mataku menangkap satu lembaga melintas begitu pantas di hadapan. Tanpa
berlengah, aku segera berlari ke arah bilik tidur. Namun bukan bilik tidurku,
tetapi bilik tidur orang tuaku. Tombol pintu biliknya segera aku pulas, terkuak
sedikit pintunya. Tanpa peduli keizinan emak, aku segera menyelinap masuk dan
merebahkan tubuhku di sebelahnya.
Emak seakan mengerti lalu memberi
ruang untuk aku berada di sisinya. Segera aku memeluk emak. Namun deria
pendengaranku masih bisa menangkap satu suara yang mendayu-dayu memanggil
namaku. Aku perhatikan keadaan emak, tidurnya begitu nyenyak. `Apakah hanya aku
saja yang mendengar suara itu? Tapi mengapa aku?’ bisik suara hatiku. Sekali
lagi kedengaran suara itu memanggil-manggil. `Ya ALLAH, dugaan apakah ini…”
ratapku sambil bibirku tidak lekang dari membaca Ayat Kursi.
Namun, `dia’ seakan menduga. Sejurus
aku berhenti dari membaca Ayat Kursi, dengan begitu pantas kembali kedengaran
dengusan halus berbisik di cuping telingaku. `Siti… siti… pandanglah aku,
ikutlah aku…’ rayu suara itu. Kedengaran suara itu, membujukku berulang kali.
Aku kumpulkan segala kekuatan, dengan segera aku berpaling mencari suara yang
memanggil-memanggil namaku. Namun tiada sesiapa pun di belakangku.
Geram! Tanpa lengah aku terus bangun
dari pembaringan. Duduk seketika di birai katil sambil kembali teringat pesanan arwah ayah suatu ketika dahulu. Ketika
itu umurku belasan tahun. Seingat aku, aku sering diganggu makhluk-makhlus
halus. Ayah tidak mengerti mengapa hanya aku yang sering menerima gangguan itu.
Lalu ayah mengajarku membaca enam ayat terakhir dari Surah Yassin lalu
disambung dengan Ayat Kursi. Tanpa membuang waktu, segera aku menuju ke arah
suara yang memanggil itu.
“Ya ALLAH,” lafaz bibirku. “Innahu
minsulaiman wainnahu bismillahhirrahmannirrahim…” lalu kupanjangkan bacaan enam
ayat terakhir dari Surah Yasin serta Ayat Kursi. Aku mempunyai iktikad bahawa
tidak kira apa jua bentuk syaitan yang berada di muka bumi ini adalah hamba
ALLAH. Aku juga percaya malah umat Islam juga turut percaya ayat
`A’uzubillahhiminassyaitannir rajim, yang mana kita semua sedar syaitan itu
wujud untuk mengganggu anak-anak Adam.
Entah dari mana datangnya keberanian
aku, sepenuh tenaga aku bangun dan melangkah keluar dari bilik dengan penuh
perasaan ingin tahu. Peluh dingin sudah
mulai terbit dari liang-liang romaku. Aroma dingin yang menerobos melalui
balkoni menambahkan gerun di dalam diri. Semakin bibir ini terkumat-kamit
dengan bacaan-bacaan ayat suci Al-Quran, semakin kuat aroma dingin itu menyapa
pipiku.
Semakin lama, bacaanku semakin jelas
dan lancar. Begitu juga suara lembaga itu merengus dan semakin kuat hilaiannya.
Aku dan `dia’ seakan beradu suara. Aku tidak akan mengalah sehingga engkau yang
mengalah. Itu nekadku. Renungan bola matanya yang kemerahan sedikitpun tidak
menakutkan aku. Dapat aku lihat, air matanya seperti darah pekat yang mengalir
lambat di pipinya.
Tanpa membuang masa, aku menghentakkan
kaki kanan dan serentak itu juga sekali lagi “Innahu minsulaiman wainnahu
bismillahhirrahmannirrahim…” lalu kupanjangkan bacaan enam ayat terakhir dari
Surah Yasin serta Ayat Kursi. Sebaik habis sahaja ayat yang terakhir,
bergemalah suara yang nyaring mengilai dan sekaligus lembaga itu juga turut
menghilang.
Aku yang melihat kejadian itu lantas
menadah tangan tanda syukurku. Masih lagi terasa ketakutannya, tetapi naluri
hati ingin tahu apakah `dia’ benar-benar sudah pergi. Aku berlari anak menuju
ke balkoni dan mengintai-ngintai sekitarnya. Tiada apa yang dapat dilihatkan cuma
kedengaran suara sang cengkerik berdendang sayang.
Kembali semula ke ruang tamu, duduk
kembali mengadap komputer ribaku sambil anak mata menjeling ke arah petunjuk
waktu di bawah sisi kanan skrin komputer. `Ermmm, dah hampir jam empat pagi. Tidur
jelah jawabnya.,’ rungutku. Lantas aku menekan punat `off’ komputerku dan menyusun
semula kertas-kertas serta buku-buku rujukanku dan menyimpannya ke dalam beg
sandang berjenama Nike, kegemaranku. Kisah yang berlaku tadi aku biarkan saja
tanpa memikirkannya. Bimbang andai si `dia’ datang kembali.
Aku kembali ke bilik emak. Belum
sempat aku merebahkan badan di samping emak. Tubuh emak sedikit bergerak, aku
lihat kelopak matanya sedikit terbuka. Sambil tersenyum memandang aku. Belum
sempat emak bersuara, aku terlebih dahulu menegurnya.
“Emak ni, yang tersenyum pandang orang
tu kenapa? Buat orang cuak je…” rungutku.
“Kenapa pulak tak boleh senyum. Kau
ingat mak kau ni… hantu apa?” soal emak. “Bukan tadi kau dah tidur sebelah emak
ke, Siti? Ni… masa bila pulak kau bangun,” tegur emak sekali lagi. Tangannya
segera menarik selimut yang melorot di hujung kakinya.
“Pergi `off’ kan komputer tu mak. Tadi
terlupa… dah terbaring baru teringat,” bohongku.
“Emmm, dahlah. Tidur…”
Aku ikut cakap emak. Segera aku
meluruskan tubuhku di tilam empuk emak. Aku peluk emak erat-erat. Aku pejam mataku
rapat-rapat.
“Siti… siti…” kedengaran suara halus
emak memanggil aku.
“Eh… orang tua ni! Ngigau ke apa?”
hatiku menyoal. Aku buka mata dan tatap wajahnya. Aku lihat emak begitu polos
tidurnya. Helaan nafasnya turun naik. `Isk…’ rungutku.
“Siti… Siti, tak tidur lagi? Mak
laparlah Siti,” keluh emak. Dengusannya berdesah. Dadanya berombak. “Mak nak
makan…” pintanya tiba-tiba.
Aku terpinga-pinga dengan permintaan
emak. Belum sempat aku membuka mulut bertanyakan hal yang lebih lanjut, emak
kembali bersuara.
“Siti… telinga kau. Mak nak makan
telinga kau…” suara mak bertukar daripada lembut menjadi nyaring. Aku yang
mendengar terloncat dari pembaringan.
“Telinga?”