Home Novelet Seram/Misteri CINCIN BERDARAH
CINCIN BERDARAH
AD Rahman Ahmad
8/3/2015 01:23:39
9,443
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 3

Bab 3.

Bilah-bilah mentari menyusup di celahan langsir yang berkibar di tiup sang bayu. Kicauan sang unggas menyemarakkan suasana riang.Tangan kirinya menompang dagu, pandangan terjurus kepada dia, ibu tercinta. Ingin bersuara, bertanyakan ke manakah gerangan ingin tuju? Namun kotak fikirnya masih berlegar sejuta resah. Kisah semalam menyelubungi hati, menghantui jiwa. Buat sekian kali, tanpa sedar ahkirnya pecah juga kata-kata Siti.

“Ehhh mak… bukan main melaram pagi-pagi ni, nak ke mana?” soalnya. Lantas dia bangun dari tempat duduk dan berpusing mengelilingi meja makan sambil memerhati Siti Rozilah yang sudah tersipu malu dengan pertanyaan anak gadisnya.

“Ya ALLAH… Siti! Pening mak!” laung Siti Rozilah setelah melihat anak gadisnya yang berlegar-legar mengelilingi dia. Malah kedua-dua tangan menepis-nepis tubuh anak gadis itu yang masih mundar-mandir di hadapan dia. “Aikk, tak boleh ke… mak nak berpakaian begini dalam rumah. Salah ke?” soal Siti Rozilah sambil menjeling.

“Bukan tak boleh, tapi hairan,” jawab Siti dan segera menghentikan perbuatan itu lalu duduk di sebelah wanita yang cukup menawan. Wajah itu diperhati sehingga Siti Rozilah menepis pipi Siti. Dia terkejut dengan tindakan emaknya lalu terus menyoal. “Buat apa?”

“Ya ALLAH… Siti oiiii. Intan payung mak ni. Tak kiralah nak buat apa pun, dan tak semestinya asal melawa je kita nak keluar rumah. Dalam rumah pun boleh,” menceceh suara orang tua itu sambil bangun membawa dulang yang sarat dengan cawan dan teko serta pinggan kuih yang mereka bersarapan tadi ke dapur.

Suasana bengit dengan perbualan tadi terhenti. Seakan malaikat menyusup lalu beserta bau bunga kemboja. Sunyi dan sepi seketika.Siti bangun meninggalkan meja makan dan menuju ke arah ruang tamu. Duduk di sofa menghadap peti televisyen.`Remote control’ yang terletak di meja kopi bersebelahan dengan dirinya dicapai dan mula menekan-nekan angka untuk mencari siarannya.

Kedengaran bunyi derapan langkah kaki, sepantas kilat dia berpaling, rupanya orang tuanya sendiri.Dia mendongak ke arah orang tuanya sekilas, Siti Rozilah membalas pandangan anak gadisnya dengan senyum simpul. `Aik! Orang tua ni… sedari tadi senyum tak habis-habis,’ ngomel Siti dalam hati.

“Mak… mak kenapa ni?”

“Kenapa apa?” jawab emaknya sepatah.

“Taklah… dari tadi asyik senyum je,” balas Siti sambil memandang orang tuanya yang tidak henti-henti dengan senyuman.

“Teringat kisah lama, Siti…” balas Siti Rozilah. Siti angguk mendengar kata-kata emaknya.

“Mak… maaf ye kalau Siti tanya. Arwah abah ada kerja lain tak selain pegawai polis?”

“Kenapa kau tanya? Cuba bagitau mak perlukah mak menjawabnya,” sindir Siti Rozilah sambil meluruskan lipatan lengan baju kebayanya.

Segera tangan kanannya menepuk bahu anak gadisnya. Situ membalas tepukan emaknya dengan mencuit pinggang orang tua itu. Dia tersenyum suka. Namun dari ekor matanya dapat Siti rasakan ada sesuatu yang disembunyikan daripada dirinya.

“Kamu masih ingat kisah malam tadi ya? Anggap sahaja itu gangguan tidur, sayang,” ucap Siti Rozilah sambil membelai belakang rambut anak gadisnya.

“Tapi… mak. Semakin kerap dia mengusik… semakin hati ini tertarik untuk mengetahuinya. Dia seakan membujuk Siti… mak!” tegas Siti lagi. “Tak apa, kalau mak rasa berat hati hendak bagitau Siti. Tapi… Siti tetap akan mencari jawapannya. Walau apa sekalipun!” ulang Siti lagi.

Siti menatap wajah emaknya, kelihatan raut wajah yang gelisah. `Biarlah emak, pasti suatu saat aku akan tahu juga,’ pujuk Siti dalam hati sebelum melangkah meninggalkan orang tua itu yang masih membisu.

‘Arghhhh… lebih baik duduk dalam bilik. Tv pun tak ada rancangan yang bagus. Tak menarik langsung,’ bebel Siti.

Tombol pintu bilik ditolak, berkeriut bunyinya. Perlahan-lahan dia menutup rapat dan mengunci dari dalam. Suis kipas angin ditekan dan kemudian diputarkan kelajuannya. Ruang bilik yang panas tadi sedikit demi sedikit mengalirkan haba kedinginan. Saat pandangan tertumpah ke arah katil yang terhias cantik, `arghhh nyamannya kalau dapat berehat seketika,’ akal nakalnya mula berbicara. Tanpa membuang masa, dia terus menghenyak tubuhnya ke atas tilam empuk yang bercadar kain baldu berwarna biru awan.

`Iskkk… kisah semalam pun tak dapat nak dikesan. Tak boleh korek rahsia lagilah ni,” bebel Siti sambil terbaring menelentang di atas katil, tangan kiri dibawa ke dahi, manakala tangan kanan leka menatap skrin telefon bimbit. ‘Hai… Ninetology, bilalah dapatku tukar dirimu menjadi Samsung note 3. Kalau tak dapatpun, cukuplah sekadar Sony,’ rungut Siti sambil tersenyum seorang diri.

Terkelip-kelip dia menatap telefon bimbit itu. Sudah puas direnung dan belek, lalu diselitkan di tepi bantal. Kini, dia begitu leka pula menatap siling sambil enak mengumpul awan, tiba-tiba angin dingin mengejutkan dirinya dengan haruman bunga kemboja seperti malam tadi. Lantas sayup-sayup kedengaran suara halus menyapa pendengarannya. Memincing telinganya.

“Sitiiiii… sini… . Sitiiii… sini… .”

Melingas deria pandangan Siti ke serata ceruk bilik, mencari si pemanggil yang menyeru dirinya beulang kali. Bantal peluk semakin erat didakap. Badannya memusing kiri dan kanan serta matanya memandang ke setiap penjuru bilik. Namun tiada kelihatan susuk tubuh yang memanggil dan suara itu, semakin lama semakin nyaring. Terus langsung sayup-sayup dia mendengarnya sehinggalah hilang suara itu. `Arghhhh… mainan syaitan di siang hari,’ ungkap Siti lalu kembali menelentang di atas katilnya. Kelopak matanya kembali terkelip-kelip memandang siling.

Sekali lagi, `Ya ALLAH… gerangan apakah itu?’ Sepantas kilat pertanyaan itu terlontar dari bibirnya setelah dia terlihat seakan kain putih sedang berkibaran melintas di hadapan, tetapi hilang apabila digeselkan matanya dengan tangan. Pantas dia bangun dan duduk sambil kaki terjuntai-juntai. `Kenapa semakin kerap kau menggangggu aku SYAITAN?” soal Siti perlahan.

`HA… HA… HA… kerana engkau anak cucu Adam wahai manusia yang bernama Siti Khalijah binti Rahman, ANAKKK CUCUUU ADAMMM.’

Membuntang bola matanya mendengar suara itu. Entah dari mana datangnya suara itu menjawab pertanyaan darinya. Dia bangun dan berdiri di tengah-tengah ruang bilik, lalu dibacakan Al-fatihah dan Ayat Kursi berulang kali. Suara yang tadinya lembut, mendayu-dayu kini bertukar nyaring dan mengilai-ngilai di segenap ruang bilik.

`Siti… pandang aku. Pandang…’ Kedengaran kembali suara itu memujuk dirinya agar melihat ke arahnya.

“Tidak! Pergi kau!! Sebelum aku henyak kau dengan kata azimatku,” laung Siti sekuat hati.

“Siti! Siti!” Kedengaran suara cemas Siti Rozilah menjerit-jerit sambil mengetuk pintu bilik. Segera dia berlari anak membuka pintu yang terkunci tadi. Tombol pintu dipulas dan ditarik ke dalam, terkuak sedikit daun pintu dan serta merta kepala emaknya tersembul.

“Bunyi apa tadi Siti? Meremang bulu tengkuk mak tiba-tiba?” soal Siti Rozilah yang terus menolak tubuh anak gadisnya ke tepi.

Terhoyong-hayang Siti mengimbangi tubuhnya. Seperti seorang pegawai penyiasatan, orang tuanya menyelak kain langsir dan mengintai-ngitai sekitarnya.

“Tak ada apalah mak. Tu… suara dari telefon bimbit tu. Saja Siti guna nada dering gitu,” bohong dia. Emak menggeleng.

“Dah, kalau gitu jom tolong mak masak. Temankan mak. Entah… jadi takut pulak mak, ni. Tukar ajelah nada dering tu. Haaa… apa kata kalau kau guna nada dering lagu Hail Amir, apa-apalah lagunya…”

Tergelak Siti mendengar usikan emaknya. Sambil menepuk-nepuk bahu orang tuanya, sambil menolak agar segera keluar dari bilik dan dia turut mengekorinya dari belakang.

“Macam-macamlah emak ni…” luah Siti sambil menoleh ke belakang memerhati ruang bilik sebelum pintunya dikatup rapat.

Sisa azam bertekad dalam jasad nan rapuh. Jiwa telah menongkah arus waktu, dalam hati tersemat rasa penuh ingin tahu. Lewat ruang tamu, sunyi, sepi dan suram terus menguasai alam. Derap kaki melangkah, terhenti seketika. Siti Rozilah yang terlebih dahulu menghilang diri dan kini hanya dia sendirian. Merinding bulu roma dengan tiba-tiba, lalu dibawa tangan kirinya meraba-raba belakang tengkuk. Sepantas kilat bayangan itu melintas lagi dan dia tertegun tanpa sepatah kata. Diam-diam `dia’ menonjolkan wajahnya yang penuh darah dan lumpur. Bau hanyir menguasai sekitar diri Siti, loya tekak seakan ingin memuntahkan segala isi perutnya waktu itu.

Seperti biasa, Siti terus menuturkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Semangat anak cucu Adam yang tidak gentar dengar gangguan syaitan dia pertahankan. Perlahan-lahan bayangan itu terus menghilangkan diri. `Alhamdulillah,’ tutur Siti perlahan. Bergegas dia berlalu meninggalkan ruang tamu dan segera meninjau emaknya di dapur.

`Demi orang tuaku, akan kubuang ingatan ini terhadap peristiwa tadi. Namun tidak kuhenti mencari. Akan kugali selagi tidak aku temui jawapannya. `Pasti!!’ laung Siti dalam hati.

“Mak, kita nak masak apa ni?” Tegur Siti setelah menghampiri orang tuanya. Dia yang berdiri di belakang wanita yang sudah menjangkau limapuluh tahun dan merapatkan tubuhnya sambil dagunya diletakan di bahu wanita itu.

“Apa kata kita masak lauk kesukaan arwah abah kau, asam pedas ikan sembilang?”

“Ikan sembilang?” Soal Siti. Tangan kanannya menggaru-garu pelipis kanannya. “Okaylah tu… sedap juga.”

“Habis Siti? Siti kan tak makan ikan sembilang?” soal Siti Rozilah. Dia berpaling dan merenung wajah anaknya.

Sambil tersenyum Siti membalas soalan emaknya. “Tak apalah mak… yang penting tekak mak tu… kan tadi mak cakap, mak ingat kenangan lama.”

Di sisi almari dapur dia melihat sebungkus plastik warna merah jambu. Lalu dibukanya, kelihatan sayur kacang bendi dan dua biji terung bulat. Lalu dia membawanya ke sinki dan membasuh bersih. Dia sendiri tidak tahu sejak dari kecil lagi entah mengapa apabila emaknya menyebut tentang ikan sembilang, hatinya tiba-tiba diserang bimbang. Dia merasakan seakan ikan itu sedang memerhati dirinya dan tersenyum ke arahnya.

GERUN!

“Siti… Siti, minta mak kacang bendi dengan terung tu. Isk… berangan pulak anak dara ni,” tegur Siti Rozilah sambil menepuk bahu anaknya.

Teguran Siti Rozilah dibalas dengan lirikan manja. Sayuran tadi segera dihulurkan. Menggeleng emaknya melihat tingkah laku anak bongsunya. Anak semata wayang yang masih lagi belum berpunya. Anak yang menjadi kemanjaan arwah suaminya. Anak… anak yang mempunyai sejarahnya sendiri.

“Mak… mak!” panggil Siti setelah melihat emaknya seperti orang sedang berkhayal memikirkan sesuatu. Tercengang-cengang Siti Rozilah setelah mendengar panggilan anaknya.

“Siti… kenapa panggil mak?”

“Dah tu… Siti tengok mak dok tenungkan kuah asam pedas tu tak berganjak-ganjak. Kalau ye pun teringat kat arwah abah, tak kanlah sampai macam tu sekali. Mak ni ada rahsia sesuatu ye… dengan Siti?” Tebak Siti.

“Iskkkk… mana ada,” pantas emaknya menjawab sambil mengacau kuah asam pedas yang mendidih. Segera ditutupnya api dapur.

“Betul?” tanya Siti sambil menyondol bahu emaknya dengan bahunya.


Previous: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.