Home Novelet Seram/Misteri PROJEK SERAM CERMIN
PROJEK SERAM CERMIN
21/7/2016 08:42:42
8,605
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Sirna seri Bab 4

Sarah sudah tiba di tempat kerjanya dua jam yang lalu. Dia sedang leka membuat kiraan untuk kaunter cashiernya. Kebetulan tiada pelanggan yang datang untuk berurusan jual-beli saat itu. Di luar sedar, Sarah teringat kembali peristiwa seram malam tadi di relung fikirannya. Terbayang gambaran perempuan yang ngeri dengan gunting tercacak di leher.

Adakah hanya bayangan aku saja? Kenapa tiba-tiba aku teringat balik ‘benda’ tu? Heeee... Ngerilah bayangan perempuan tu. Berdarah-darah penuh satu baju gaunnya! Tangan Sarah terhenti dari mengira duit. Pandangan sepasang mata Sarah tidak berganjak dari merenung duit sepuluh ringgit di tangannya. Zuren pula baru keluar dari bilik stor belakang untuk mengambil stok baru maggie yang sudah kehabisan di rak jualan.

Melihatkan keadaan Sarah yang termenung penuh kusyuk tu, Zuren mula meletakkan kotak maggie lalu dengan perlahan-lahan dan penuh berhati-hati dia menapak ke arah kaunter bayaran. Niat hati Zuren nak mengenakan Sarah.

“Hoi!” pekik Zuren sambil menepuk kaunter dengan kuat.

“Oh mak kau!” terpelanting duit sepuluh ringgit dari tangan Sarah. Gadis itu terkejut amat sehinggakan dia melepaskan satu penangan ke arah Zuren.

PANG!

“Aduh! Sa....sakitlah bodoh ..adooooiii...” tangan Zuren pantas memegang pipinya yang kena pelempang ‘free’ dari Sarah.

“Haaaa.... Mendapat kau! Yang kau terkejutkan aku macam tu buat apa? Padankan muka,” jawab Sarah dengan nada geram. Dia mengetap gigi dan membulatkan matanya. Rasa terkejut masih menepek lagi di hatinya. Nafas Sarah menjadi cepat sebab terkejut. Dahlah dia sedang seram memikirkan bayangan perempuan ngeri malam tadi. Lepas tu kawan baiknya masa tu jugalah nak bergurau manja sakan dengan dia.

“Aduh... Bisa jugak ye pelempang kau ni. Tak padankan lembut perempuan ni. Tetapi berapilah juga aku rasa penangan kau tu. Hisy, kau ni...bergurau pun tak boleh,” Zuren melempiaskan rasa rajuknya. Lalu membawa dirinya ke arah rak maggie yang ditinggalkan tadi. Rasa menyesal mencuit hatinya. Nak bergurau kenakan Sarah konon, akhirnya diri sendiri makan pelempang kawan tu. Ha ha ha ha...

“Yang kau cari ‘penyakit’ ngan aku ni apasal? Hah, kan dah kena dah,” sahut Sarah balik sambil menjeling. Dia masih terkejut dan darahnya berderau deras hingga ke kepala. Panas cuping telinganya menahan rasa geram yang masih bersisa lagi. Tapak tangan bekas melempang Zuren juga masih terasa pijar.

Waktu rehat 8.00 malam, Sarah keluar sekejap membeli makanan bungkus untuk dia dan Zuren. Dia makan di bilik khas untuk staff makan dan berehat. Sekali lagi dia merenung wajahnya di cermin empat segi yang bersaiz besar sehingga paras pinggang yang diletakkan di bilik rehat tersebut. Setiap kali bila Sarah merenung dirinya pada cermin dia dapat merasakan perbezaannya. Lain rasanya menatap wajah sendiri di cermin solek yang ada di bilik sewanya.

Bila merenung wajahnya di cermin solek tersebut dia berasa dirinya lebih istimewa dan wajahnya juga lebih kelihatan berseri dari menatap di cermin yang lain.

“Apa belek muka kat cermin tu lama-lama, Sarah? Ada benda yang tertanggal ke?” tegur Zuren yang baru masuk ke dalam bilik rehat bernada sinikal. Dia melabuhkan dirinya di kerusi makan yang berdekatan. Lantas Zuren meletakkan kepalanya di atas meja makan dengan beralaskan lengan. Keletihan nampaknya minah tu.

“Oh... Tak. Aku nak tengok lubang hidung aku ni ha...” jawapan yang cukup sarkastik keluar dari bibir mungil Sarah. Barannya meluap ke permukaan. Bengang bila Zuren menganggu dia menatap wajahnya di cermin.

Zuren mengangkat kepalanya dan mencapai bungkusan makanan yang dibelikan Sarah tadi.

“Dahlah tu, Sarah. Cukup-cukuplah belek muka tu. Aku tahulah yang kau tu nakkan mata yang cantik bundar macam mata aku kan, hahaha....” usik Zuren dalam bergurau. “Jomlah kita makan. Nanti dah sejuk nasi goreng ayam ni kang tak sedap pulak,” sambung Zuren tanpa dia sedari Sarah sudah menerkam ke arahnya dengan pantas lalu mencekak kolar bajunya.

“Heh? Sarah kau ni dah kenapa? Apasal tiba-tiba kau nak cari gaduh ngan aku ni?” teriak Zuren terkejut dengan tindakan kasar Sarah. Sarah hanya merenung tajam anak mata Zuren. Gadis bermata bundar itu mula berasa panik. Tak pernah-pernah Sarah berperangai macam ni...

“Kau ni dah kena rasuk ke apa?” marah Zuren yang turut mula berasa bengang tak puas hati dengan tindakan Sarah. Mereka saling berlawan tenungan. Keadaan bilik rehat menjadi bahang semacam dan tiba-tiba pintu bilik terbuka. Pengurus mereka Encik Shahrul masuk untuk memesan sesuatu sebelum dia keluar sebentar. Dua-dua berpaling ke arah pintu dalam keadaan kehairanan.

“Loooor. Korang ni dah kenapa? Apasal ni? Ada apa-apa masalah ke? Korang ni bergaduh ke?” soal Encik Shahrul memandang mereka berdua dengan pandangan pelik. Dia menjadi hairan kerana Sarah dan Zuren merupakan kawan baik. Takkanlah tiba-tiba saja mereka bergaduh pula? Bagaikan tersedar dari pukauan Sarah melepaskan pegangannya dari kolar baju Zuren.

Dahi Sarah berkerut macam memikirkan sesuatu. Riaksi pada wajahnya menunjukkan dia tidak sedar apa yang sudah dia buat sebentar tadi. Tangannya diletakkan di sisi dengan pantas. Apa yang dah berlaku ni? Fikirnya hingga kening bertaut.

“Maaf. Apa yang dah berlaku tadi ye? Saya tak ingat pula. Maaf, Zuren kenapa aku pegang baju kau tadi ye?” soal Sarah masih bingung. Zuren pula kelihatan serba-salah. Encik Shahrul sudah lama keluar selepas meninggalkan beberapa pesanan ringkas.

“Tak ada apa-apalah Sarah. Jom kita makan. Nanti sejuk pula nasi goreng ayam kegemaran kau tu. Dah sejuk nanti tak sedap dah,” Zuren malas hendak memanjangkan cerita. Dia juga dapat rasakan yang bertindak kasar tadi tu bukan Sarah. Sarah seperti dipukau oleh sesuatu.

Bismillah...Sarah mula menyuap nasi ke mulutnya. Aroma nasi goreng memenuhi ruang bilik rehat tersebut. Mereka menikmati makan malam dengan suasana senyap tanpa sebarang bunyi.

Malam itu Sarah pulang dengan Zuren yang membawa sekali bag bajunya dan beberapa kelengkapan persendirian yang lain.

“Ini saja ke Zuren barang-barang kau? Tak ada radio ke, kipas angin ke, atau barang-barang yang seumpamanya?” tanya Sarah agak hairan. Ringkasnya kehidupan Zuren.

“Assalamualaikum!” Sarah membuka pintu rumah. Kebetulan Liana dan Melina sedang berada di ruang tamu. Mereka memandang ke arah pintu dengan mata yang bulat.

“Eh baru balik ke Sarah?” soal Liana seperti terkejut dengan kepulangan Sarah tika itu. Kerana baru sebentar tadi semasa melalui pintu bilik Sarah dia terdengar macam ada orang di dalam bilik sedang bangun dari katil.

“Haah, baru balik dari shift petang,”jawab Sarah. “...perkenalkan, inilah Zuren,” Sarah memperkenalkan kawannya di sebelah yang senyap sejak dari tadi.

“Apa khabar? Saya Zuren,” sapa Zuren dengan sopan sambil bersalaman dengan Liana dan Melina. Dia perasan tangan Melina sejuk.

“Syukurlah kamu dah sampai. Buatlah macam rumah sendiri. Nak kami bantu apa-apa ke Sarah, Zuren?” tanya Melina. Sarah melangkah ke dalam rumah dan terus masuk ke dalam biliknya tanpa menoleh ke belakang lagi. Zuren mengikut rapat sambil membuang senyum kepada rakan serumah barunya.

“Bukan ke Sarah ada dalam bilik dia sekejap tadi?’ soal Liana memandang Melina dengan ekspresi wajah yang kehairanan. Pantas Melina meletakkan jari telunjuknya di bibir. Suruh Liana tidak meneruskan perbualan di situ. Memang dia berasa pelik beberapa hari ni selepas tuan rumah sewa mereka membeli almari cermin solek baru untuk bilik Sarah dahulu. Mata Liana mencerlang bulat. Riaksi wajahnya tergambar penuh persoalan.

“Siang tadi pun aku kena macam tu tau. Aku ingatkan Sarah belum pergi kerja lagi. Jadi aku panggil nama Sarah berkali-kali. Ada pulak tu yang tukang menyahut panggilan aku!” terang Melina dengan suara gementar.

Membulat mata Liana lagi, “...kau biar betul. Serius ni?” soal Liana macam tak percaya. Hati Liana berdetak kuat. Tangannya meraba batang lehernya yang mula mengembang.

“Waaaa... Cantiknya bilik kau Sarah,” Zuren melangkah masuk ke dalam bilik dengan penuh rasa kagum. Dia terasa macam masuk ke dalam bilik yang mewah. Sepasang mata bundarnya tertancap terus ke almari solek bercermin oval krim yang indah.

“Cantiknya almari solek ni. Sesuai sangat kalau nak bertunang ke atau nak kahwin kelak, Sarah. Tak payah ganti dengan almari solek baru. Ini pun dah cantik dan canggih,” puji Zuren sambil jari-jemarinya melayari permukaan meja solek tersebut.

“Betul cakap kau Zuren. Dalam bilik ni barang yang paling aku suka almari solek tulah,” ujar Sarah dengan senyuman manis. Lalu dia keluar dari bilik sebentar. Tinggallah Zuren sendirian dalam bilik buat seketika. Angin malam memasuki tingkap yang terbuka sedikit. Membuatkan bilik itu terasa segar.

Malam semakin merangkak lewat, Zuren mengeluarkan pakaiannya dan menyusun segala barang-barang peribadinya dalam almari bujang plastik dan almari solek cermin. Sambil-sambil menyusun Zuren sempat lagi membelek wajahnya di cermin.

“Huh, cantik juga aku ni, ye,” tegur Zuren sempat lagi untuk masuk bakul angkat sendiri. Tangannya menyisir rambut ke tepi dan menyelit rambut yang terjuntai di pipi ke belakang telinga. Lalu menyambung menyusun barang-barang soleknya pula.

“Cantik!” sahut satu suara perempuan.

Hah! Siapa?

Zuren pantas mendongak melihat ke arah cermin. Dia yakin dia ada terdengar suara perempuan datangnya dari arah cermin itu. Anak matanya merenung cermin dengan teliti. Penuh dengan perasaan tanda tanya. Tak nampak apa-apa pun hanya biasan katil di belakangnya dan dinding bilik.

Khayalan aku je kut. Zuren menggeleng dan tersenyum sendiri setelah beberapa ketika merenung cermin.

Aku di sini... Suara itu lagi.

Tangan Zuren terhenti dari menyusun botol bedak. Dia mula berasa meremang. Terasa dirinya diperhatikan. Bulu romanya tak semena-mena naik berdiri. Sepasang mata Zuren melingas keserata arah mencari suara tersebut. Bilik itu mula menurun suhunya. Sejuk. Perlahan-lahan Zuren berdiri dari posisi duduknya. Lantas mengundur dua, tiga tapak menuju pintu.

Belum sempat tangannya mencapai tombol pintu, Sarah membuka pintu dengan mengejut.

“Adoi!” teriak Zuren yang terkena belakang pintu.

“Hah! Alamak sori Zuren. Aku tak perasan kau ada kat belakang pintu. Aku dah ketuk dah tadi. Agaknya kau tak dengar kut,” terang Sarah sambil menuju almari pakaian tanpa berasa apa-apa yang ganjil.

“Apasal aku rasa sejuk semacam je ni dalam bilik?” soal Sarah dalam nada hairan.

“Kau pasang kipas ke Zuren?” sambung Sarah lagi. Dia menombak pandang ke arah kipas angin meja. Tetapi tidak terpasang pun. Sarah terdiam. Haik? Kipas tak buka pun tapi kenapa sejuk semacam dalam ni? Zuren masih tercegat di tepi pintu.

“Zuren kalau kau nak mandi lebih baik kau cepat. Malam dah makin larut. Aku nak tidur je selepas ni. Mengantuk gila dah ni,” jelas Sarah tanpa merasai apa-apa yang ganjil dalam bilik itu.

“Herm... Okay. Tapi kau jangan tidur dulu ye, Sarah. Kau tunggulah aku sampai habis mandi dan nanti kita sama-sama masuk tidur, ye?” usai mengucapkan kata-kata tersebut, Zuren mencicit keluar dan mandi dengan seberapa ringkas sebab tidak mahu tinggal sorang-sorang.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.