“ALAH, tak seronoklah kalau awak tak ada,” ucap Amani Sofea
melontarkan rasa rajuk hatinya kepada Zafrizan sebelum pemergiannya ke Kampung
Nilam Setia.
Ketika itu, Amani Sofea dan Zafrizan sedang duduk
berbual di buaian depan rumah gadis itu. Kunjungan Zafrizan kali ini adalah
untuk bertemu tunangnya bagi melepaskan rindu sebelum bertolak ke Kampung Nilam
Setia. Dia akan bersama Morgan, Ikmal dan Afzan untuk ekspedisi mencari
tumbuhan-tumbuhan ajaib yang belum pernah ditemui.
Misi kali ini mungkin memakan masa hingga berbulan-bulan
lamanya. Dia dikehendaki merakam beberapa banyak gambar tumbuhan-tumbuhan pelik
yang hidup di dalam hutan. Kalau boleh, dia nak bukukan setiap jenis tumbuhan
yang dapat dirakam di dalam kameranya itu.
“Nanti masa kat sana, jangan lupa saya pulak,
selalu-selalulah call,” ujar Amani Sofea memberi amaran sambil
mencubit manja paha Zafrizan.
“Aduh! Sakitlah! Cakap aje tak boleh ke? Tangan tu,
janganlah merayap macam ketam. Sakit tau!” marah Zafrizan, sengaja buat-buat
merajuk.
“Eh, sakit ke? Alah, sorrylah. Tercubit kuat
kot. Sorry, sorry, sorry...” pohon Amani Sofea meminta maaf.
Bukan niat Amani Sofea ingin menyakiti tunangnya. Tapi
hatinya diamuk cemas. Berkerut wajahnya
bila memikirkan hal itu.
“Alah, saya gurau sikit dah nak cemas semacam,” usik
Zafrizan sambil mencuit pipi Amani Sofea pula.
Amani Sofea tidak menjawab. Hanya buat muka selamba
sahaja.
“Dahlah tu, jangan buat muka. Dah rupa macam asam
kecut. Belum lagi kahwin, muka awak dah macam nenek kebayan dari Gunung
Ledang,” sakat Zafrizan lagi.
“Apa? Awak cakap muka saya macam asam kecut!”
Sakit betul hati Amani Sofea apabila mendengar
kata-kata Zafrizan. Tak sangka tunangnya boleh kata macam itu.
Zafrizan hanya tersengih. Memang dia suka menyakat
tunangnya itu.
“Hisy, menyesal saya tak cubit awak kuat-kuat tadi,”
sambung Amani Sofea sambil menjeling.
“Awak ni kan, cepat sangat melenting! Saya gurau
ajelah.”
“Gurau konon. Banyak kedutan ya? Nenek kebayan yang
banyak kedutan nilah yang awak tergila-gilakan sampai nak buat bini tau!” tukas
Amani Sofea geram lantas jari telunjuknya mencuit hidung Zafrizan.
Kemudian Amani Sofea mengalihkan pandangan ke serumpun
pokok bunga kertas merah jambu milik Puan Jalina. Cepat-cepat dia bangun dan
melangkah ke arah pokok bunga kertas itu.
“Nak ke mana tu?” tegur Zafrizan.
Namun Amani Sofea tidak menjawab. Hatinya benar-benar
sakit dek gurauan yang melampau itu.
“Sayang, kenapa ni? Marah saya ya?” pujuk Zafrizan
lagi.
Amani Sofea masih membisu. Zafrizan lantas bangun
daripada buaian dan melangkah mendekati tunangnya itu.
“Hai, takkan marah kot? Gurau ajelah. Nanti kita tak
dapat gurau macam ni lagi tau. Saya pergi lama jugak. Mahu makan bulan,” ujar
Zafrizan, berbaur ugutan.
Amani Sofea masih diam. Bukan dia tidak dengar. Dia
dengar tapi hatinya terasa sayu apabila Zafrizan berkata begitu. Lebih-lebih
lagi air jernih sudah mula bertakung di kelopak mata. Dia malu sekiranya
Zafrizan nampak air matanya mengalir atas perkara yang remeh-temeh ini.
Apa kata Zafrizan nanti. Dia tidak mahu tunangnya
menganggap dia seorang gadis yang lemah dan berfikiran sempit kerana mudah
sangat mengalirkan air mata.
“Amani Sofea, saya ni sedang bercakap dengan pokok
bunga kertas tu ke?” perli Zafrizan, sudah mula rasa kurang senang dengan sikap
Amani Sofea.
Perlahan-lahan Amani Sofea memalingkan wajahnya
memandang Zafrizan. Wajahnya redup.
“Maafkan saya Zaf. Saya kecil hati sikit dengan
gurauan melampau awak tadi,” jelas Amani Sofea berterus-terang, matanya berair.
“Saya pun mintak maaf jugak. Tak sepatutnya saya
bergurau macam tu. Dahlah, kita lupakan saja hal tu. Nanti semasa ketiadaan
saya, jangan nakal-nakal tau! Jangan main mata,” pesan Zafrizan mula menukar
topik perbualan.
Dia tidak mahu tinggalkan kenangan yang mengguris hati
tunangnya itu. Dia mahu Amani Sofea sentiasa gembira di sampingnya. Biarlah
alam pertunangan mereka dipenuhi dengan kebahagiaan dan kekal hingga hari
‘bersejarah’ mereka kelak.
“Dahlah tu. Tak mahu sedih-sedih, tak bestlah!”
Amani Sofea menyelak rambutnya dan mencapai gelas
minuman lalu diberikan kepada Zafrizan. Sepinggan buah-buahan yang sudah disediakan
Puan Jalina disuakan ke arah Zafrizan untuk dijamu selera.