Home Novel Seram/Misteri TARANTULA
TARANTULA
4/2/2015 20:25:15
6,829
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 4

SELEPAS sarapan, Amani Sofea terus memandu keluar dari chalet menuju ke Kampung Nilam Setia. Dia memandu dalam kelajuan yang sederhana.

Gambar Zafrizan dan kawan-kawan yang lain sudah tersedia di kerusi sebelah. Senang dicapai bila keadaan memerlukan kelak.

Amani Sofea bercadang nak mengelilingi Kampung Nilam Setia itu sambil mengenali penduduk-penduduknya dan bertanya sama ada mereka pernah berjumpa dengan kumpulan penyelidik seramai empat orang di kampung itu.

Namun usaha Amani Sofea sia-sia sahaja. Kebanyakan penduduk kampung yang ditemui hanya menggeleng-geleng apabila gadis itu menunjukkan gambar empat orang pemuda itu.

Gambar itu sempat dirakam Amani Sofea sebelum empat orang pemuda itu yang terdiri daripada Morgan, Afzan, Ikmal dan Zafrizan bertolak ke Kampung Nilam Setia. Kedengaran Amani Sofea mengeluh berat.

Hai! Takkan seorang pun tak jumpa dengan mereka? Hati Amani Sofea berdetik.

Digagahi langkahnya hingga sampai di sebuah warung yang terletak tidak beberapa jauh dari jalan raya. Amani Sofea melangkah masuk ke warung itu dan disambut ramah oleh seorang lelaki separuh umur yang berpakaian kemas, berseluar slack lusuh dengan t-shirt kelabu.

“Nak minum apa, cik?” sapa tuan punya warung itu dengan ramah.

“Beri saya sirap limau suam,” pinta Amani Sofea sambil melabuhkan punggung di salah sebuah kerusi yang ada di situ.

Di sebelah mejanya, ada seorang warga emas yang sedang menikmati teh tarik dan beberapa jenis kuih di hadapannya. Amani Sofea melemparkan pandangan di sekeliling warung itu. Memang ramai pelanggan yang keluar masuk di warung itu. Hanya terdapat beberapa orang sahaja warga emas.

Suasana Kampung Nilam Setia ternyata damai dan menenteramkan. Tidak bising dengan deruman enjin kenderaan dan hiruk-pikuk manusia berlumba-lumba dengan urusan duniawi seperti di pekan ataupun kota besar seperti Kuala Lumpur.

Amani Sofea selesa berada di dalam suasana damai seperti itu. Walaupun dia keseorangan mencari tunangnya namun, dia tidak berasa kekok atau takut. Dia benar-benar nekad untuk mencari Zafrizan sampai dapat.

Surat Khabar Sinar Harian yang berada di atas meja dicapai. Diselak-selak sekali lalu sambil melihat gambar-gambar yang tertera di dada akhbar itu. Sekali sekala matanya memandang ke arah warga emas yang duduk di sebelah mejanya itu.

Tiba-tiba mata mereka bertaut. Cepat-cepat Amani Sofea mengalihkan pandangan ke arah lain. Berderau darahnya seketika. Pipinya terasa panas menahan malu. Pandangan mata warga emas itu sungguh menakutkan. Tajam hingga menikam jatung hatinya. Kerongkong Amani Sofea tiba-tiba terasa kering. Air liurnya pula sukar ditelan.

Amani Sofea terus menegakkan tubuhnya. Tangan digenggam kemas di atas meja. Cuba mengatasi perasaan gementarnya.

Kenapa warga emas tu pandang aku macam nak telan aje? Aku ada buat salah ke? Hatinya berkata-kata.

Amani Sofea memberanikan diri cuba memandang warga emas itu kembali. Namun hasratnya terganggu apabila air sirap limau yang dipesan tiba.

“Airnya cik.”

“Terima kasih.”

Amani Sofea segera mencapai air sirap limau yang terhidang di atas meja. Dahaga betul tekaknya. Kemudian dia mengalihkan pandangan ke meja sebelah. Warga emas itu tidak lagi memandangnya. Dia sedang mengunyah kuih dan mengacau teh tarik di dalam cawan kaca.

Pada kesempatan itu, Amani Sofea cuba meneliti raut wajah warga emas itu sekali imbas. Namun wajah itu tidak jelas kelihatan kerana dia sedang berpaling ke arah lain dan terselindung dek songkok yang dipakai. Tuan warung itu masih lagi mundar-mandir melayani pelanggannya. Lantas Amani Sofea menahan tuan warung itu apabila dia melintasi meja tempatnya duduk.

“Encik, boleh saya tanya sikit?”

Langkah tuan warung itu terhenti. Memandang tajam ke arah Amani Sofea.

“Ya, cik?”

Lantas Amani Sofea menunjukkan dua keping gambar. Berkerut dahi tuan warung itu apabila memandang gambar yang ditunjukkan.

“Encik pernah nampak tak mereka di dalam gambar ni?”

Cepat-cepat tuan warung itu menggeleng. Tindak balas tuan warung itu membuatkan Amani Sofea mengesyaki sesuatu. Tangan tuan warung itu kelihatan gementar semasa memegang gambar itu.

Dari ekor mata Amani Sofea, dia perasan yang mata tuan warung itu memandang ke arah warga emas yang sedang duduk di sebelah meja gadis itu.

“Maaf nak, saya tak berapa nak ingat. Ramai jugak orang luar yang singgah di warung saya ni. Macam yang anak nampak sekarang,” jelas tuan warung itu.

“Ya ke?”

Riak wajah Amani Sofea jelas menggambarkan rasa hampa.

“Siapa nama encik?”

Tiba-tiba Amani Sofea menukar tajuk perbualan. Dia ingin mengetahui lebih banyak lagi cerita dari tuan warung itu untuk membantunya mengumpul seberapa banyak maklumat.

Amani Sofea dapat rasakan yang tuan warung itu sedang menyembunyikan sesuatu. Tak berani nak cerita kerana dia sedang diawasi oleh seseorang. Amani Sofea berharap benar agar firasatnya betul.

“Orang sini panggil saya, Pak Busu.”

“Okey. Nama saya Amani Sofea. Saya menyewa di chalet depan sana. Kalau Pak Busu ada sesuatu nak sampaikan, boleh cari saya kat sana,” beritahu Amani Sofea sambil mengukir senyuman manis.

“Baiklah.”

Perbualan mereka terhenti di situ apabila Pak Busu terus bergegas ke belakang. Amani Sofea lantas menoleh ke meja sebelah namun hampa. Warga emas itu sudah tiada. Mengeluh panjang Amani Sofea di situ.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.