PELIK betullah perangai Pak Busu
tu, getus Amani Sofea ketika dia memandu pulang ke chalet.
Badannya berpeluh-peluh dan dia sengaja tidak membuka
penghawa dingin kereta. Cuaca di luar redup dan sangat mendamaikan. Gerak-geri
Pak Busu yang mencurigakan itu bermain-main di benak Amani Sofea.
Kenapa orang tua itu macam takut-takut je? Apa kaitan
Pak Busu dengan orang tua yang bermata garang tu? Hisy, macam ada perkara yang
disembunyikan pula. Argh! Pening dibuatnya bila memikirkan perkara yang tiada
mendatangkan jawapan ni.
Sampai di tempat parkir, enjin kereta dimatikan dan
dia tidak terus keluar. Tiba-tiba Amani
Sofea menjerit kecil di dalam kereta. Tangannya meramas-ramas wajahnya untuk
melonggarkan otot-otot wajahnya yang tegang.
Stereng kereta dipautnya seketika. Fikirannya melayang
jauh dan sorotan mata Amani Sofea sayu melihat bangunan chalet itu. Kemudian
dia melangkah keluar.
Selesai makan dan Solat Zohor, Amani Sofea
membaringkan tubuh langsingnya di katil yang bercadar maroon itu. Dua
keping gambar di dalam tangannya direnung sayu.
Mana kamu semua ni menghilang, hah? Hairan betul, takkanlah aku dah salah tempat? Zaf tak cakap
pun mereka nak ke tempat lain. Memang nama kampung ni yang disebut, kata hati
Amani Sofea.
Anak matanya ralit menjamah gambar itu tanpa berkelip.
Wajah Zafrizan yang sedang tersenyum manis telah menggamit rasa rindu yang
mendalam buat gadis itu. Tanpa disedari, kolam mata Amani Sofea digenangi
mutiara-mutiara jernih. Diseka dengan jari-jemarinya yang runcing itu.
Petang itu, tatkala cahaya matahari menyapa dinding
bilik, Amani Sofea sudah siap berseluar jeans, t-shirt putih dan
berkardigan hitam. Penampilan Amani Sofea yang ringkas itu menyenangkannya
untuk bergerak.
Niat Amani Sofea ingin menyambung pencariannya dengan
bertanya penduduk-penduduk di situ. Rambutnya dibiarkan lepas dan hanya
berkelip comel berwarna merah. Bibir mungilnya dioles dengan pelembab bibir
berwarna pink lembut. Terserlah wajah keanak-anakkannya dan kelihatan
sedikit ‘nakal’.
Kereta dipandu dengan tenang. Anak mata Amani Sofea
ligat melihat-lihat sekeliling. Manalah tahu kalau-kalau terjumpa seseorang
yang boleh memberikan maklumat yang memberangsangkan kepadanya. Namun tiada
seorang pun yang dijumpai.
Semangat Amani Sofea semakin luntur. Petang semakin
merangkak senja, Amani Sofea mendesah kecewa di dalam kereta.
Mana semua orang
pergi ni? Takkan dah pergi masjid? Belum masuk waktu Maghrib lagi?
Rungut Amani Sofea sambil tangannya cekap mengendalikan stereng kereta.
Sampai di suatu simpang yang dibayangi sebatang pokok
besar, tiba-tiba kereta Amani Sofea terasa berat. Dah mula buat hallah pulak
kereta ni. Apasal tiba-tiba terasa berat ni? Amani Sofea berasa hairan.
Pedal minyak ditekan berkali-kali. Namun keretanya
semakin perlahan. Langsung berhenti dengan sendirinya. Meter minyak
diperhatikan.
Alamak! Aku lupa isi minyak kereta rupanya. Nyanyuk
betul aku ni, mengalahkan nenek kebayan, rungut Amani Sofea. Kesal dengan
sikapnya yang terlupa perkara penting itu.
Habis macam mana ni? Hari semakin gelap. Dahlah kat
kampung orang? Dengan siapa pulak aku nak mintak tolong ni? Hati Amani Sofea
mula dilanda bimbang.
Meter di dashboard diketuk-ketuk dengan
jari-jemarinya beberapa kali. Macamlah bila buat begitu, jarum meter minyak
boleh naik semula. Seketika mata Amani Sofea melingas ke kiri dan ke kanan
mencari kalau-kalau ada kelibat orang yang lalu di jalannya itu. Sebuah motor
cabuk pun tak nampak.
Huh! Habislah kalau macam ni! Amani Sofea mula
bersandar dan memandang jauh ke depan menembusi cermin keretanya. Dalam hatinya
berdoa, moga-moga ada orang yang lalu di jalan itu.
Amani Sofea tidak berani keluar dari kereta,
lebih-lebih lagi waktu-waktu begini. Remang senja, di mana hantu dan syaitan
sudah mula berkeliaran. Kalaulah Puan Jalina tahu yang dia sedang berada di
luar ketika ini, pasti nyaring suara Puan Jalina menjerit memanggil dia masuk
ke dalam rumah. Saat itu, hatinya
terkenangkan mama.
Maafkan Amani, mama, desis hatinya penuh sayu.
Kalau duduk dalam kereta ni, macam mana orang nak
nampak aku? Tawakal jelah! Lantas pintu kereta dibuka dan Amani Sofea
mengeluarkan sebelah kakinya dahulu.
Dia cuba mengumpul keyakinan diri sebelum dia keluar
terus dari kereta. Amani membaca beberapa potong ayat al-Quran yang dia tahu
untuk melindungi diri. Usai saja membaca tiga Qul dia melangkah keluar dengan
‘Bismillah’ lantas menuju terus ke depan kereta.
Nasib Amani Sofea baik, tak sampai lima minit menunggu
tiba-tiba dari kejauhan kelihatan cahaya sebuah kereta menuju ke arahnya. Dia
sudah bersedia untuk menahan kereta itu. Dia nekad.
“Assalamualaikum. Ayah, saya dalam perjalanan ni. Lagi
sepuluh minit saya sampai,” ucap pemuda yang memiliki wajah tampan yang
berkulit sawo matang itu.
Anak jati Kampung Nilam Setia. Dia pulang ke kampung
setelah mendapat panggilan penting daripada ayahnya.
“Waalaikumussalam,” sahut suara dari hujung
talian.
Suara garau seorang ayah menanti kepulangan anak
kesayangannya. Ada tugas besar yang sedang menanti anaknya untuk diselesaikan.
Bukan dia tidak boleh melakukannya sendiri tetapi usianya yang sudah lanjut dan
kekurangan kudrat membataskan dia untuk melakukan aksi-aksi yang lasak.
“Baik-baik memandu tu, Andy. Jangan pandu laju. Ayah
bukannya tak tahu perangai kau. Lagi sepuluh minit sampai? Berapa laju kau bawa
kereta tu? 160 km sejam?” tegur suara garau itu lagi sambil menasihati anak
kesayangannya.
“Eh, taklah yah. Saya pandu macam biasa je. Tak
sampai160 km sejam. Ayah jangan bimbang, saya akan sampai kejap lagi,” ujar
Andy.
Di bibirnya terukir senyuman pahit kerana tekaan
ayahnya tepat. Memang dia pandu laju pun. Kalau pandu perlahan, mengantuk.
“Ayah, saya tak boleh cakap lama-lama. Kena saman
nanti,” ujar Andy lagi, mengakhiri perbualan.
Talian diputuskan. Matanya tertumpu ke depan dan pada
pemanduan. Sampai di satu selekoh berhampiran dengan simpang, Andy
memperlahankan keretanya. Samar-samar di hadapan, Andy ternampak kelibat
seorang gadis cuba menahan keretanya.
Apa yang perempuan ni buat, kat jalan sunyi ni? Berani
betul dia. Hisy, perempuan zaman sekarang, tak tahu takut. Itulah yang selalu
jadi mangsa. Eh, ada kereta! Agaknya kereta dia rosak.
Anak mata Andy tertancap beberapa saat pada kereta
oren itu. Akhirnya Andy memberhentikan keretanya di tepi jalan, beberapa ela
jaraknya dari kereta Kelisa oren yang tersadai itu.
Amani Sofea tidak terus menerpa ke arah kereta biru
yang baru berhenti itu. Dia mesti berhati-hati sebelum menghampirinya. Dia
hendak melihat pemandu kereta itu dahulu. Hati Amani Sofea berdebar-debar.
Degupan jantungnya menendang kuat dinding dadanya.
Takut, kalau-kalau ketua gengster pula yang keluar
dari kereta tu. Siapa tahu? Cermin kereta diturunkan oleh pemandu kereta biru
itu. Seperti Amani Sofea, pemandu kereta biru itu juga berhati-hati. Ingin
pastikan yang berdiri depannya itu benar-benar manusia, bukan syaitan yang
menjelma seperti manusia. Maklumlah, dah senja-senja begini, macam-macam boleh
berlaku.
Amani Sofea melangkah beberapa tapak ke depan. Ingin
melihat dengan lebih jelas wajah pemuda yang menegurnya itu. Dari raut
wajahnya, pemuda itu nampak macam orang baik-baik.
“Ya cik? Boleh saya bantu?” Andy menyoal gadis itu
dulu.
“Maafkan saya. Kereta saya kehabisan minyak. Encik
tahu tak, mana-mana stesen minyak yang dekat-dekat sini?” tanya Amani Sofea,
gugup.
“Setahu saya, tak ada stesen minyak dekat-dekat
kawasan ni. Paling dekat pun, 30 kilometer jauhnya dari sini,” jelas Andy.
“Oh... begitu ya?”
Wajah gadis itu berubah. Jelas menunjukkan kekecewaan.
Tak sangka betul macam ni punya susah nak dapatkan minyak.
“Beginilah cik. Kalau cik tak keberatan dan percayakan
saya, saya boleh tolong hantarkan cik ke destinasi yang cik nak tuju tu,” ujar
Andy menawarkan diri.
Wajah gadis itu direnung. Sesekali anak matanya meneliti
keadaan sekeliling. Untuk pastikan keadaan selamat. Suasana di sepanjang jalan
perkampungan itu sungguh lengang. Lebih-lebih lagi bila hampir nak masuk
Maghrib. Banyak buruk dari baiknya.
“Cik saya cadangkan lebih baik cik ikut saya. Saya tak
yakin dengan keadaan sekeliling. Sunyi... saya bimbang kalau saya tinggalkan
cik di sini, nanti apa-apa berlaku, saya yang akan menyesal,” cadang Andy.
Dia sendiri berasa tidak selesa dengan keadaan di
situ. Terasa macam ada sepasang mata misteri yang sedang memerhati secara
sembunyi dari semak-semak hutan berdekatan.
Amani Sofea menimbang-nimbang tawaran pemuda itu sama
ada nak tumpang atau tegas dengan pendiriannya. Tunggu sahaja di sini. Berani
ke dia tunggu seorang-seorang di sini. Lagipun pemuda itu nampak macam orang
baik-baik. Hari semakin gelap, apa-apa boleh berlaku.
Tak apalah aku nekad. Percaya pada diri sendiri, getus
hatinya.
“Baiklah, saya ikut encik. Tunggu sekejap. Saya ambil
barang-barang dalam kereta.”
Amani Sofea lantas melangkah ke kereta. Rambutnya yang
terjurai di pipi diselak ke tepi telinga. Tas tangan dan telefon bimbit
dicapai. Kunci kereta dicabut lalu menyimpannya di dalam kocek seluar.
Lantas dia melangkah ke arah kereta biru itu dengan
hati yang berat. Namun dia tetap bersyukur, ada juga orang yang ingin menolong.
Dia sendiri pun berasa tidak selesa dengan suasana di tempat ini.
Tanpa berlengah lagi, Amani Sofea terus melangkah
masuk ke dalam kereta itu.