Home Novel Seram/Misteri TARANTULA
TARANTULA
3/2/2015 13:27:49
6,649
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 3

AMANI Sofea terjaga pukul 5.45 pagi. Bingkas dia bangun dan melangkah ke bilik air. Kedengaran sayup-sayup azan berkumandang di surau berdekatan dengan chalet itu.

Oh, dah subuh rupanya, detik hatinya.

Selepas membersihkan diri, Amani Sofea terus mengambil wuduk untuk menunaikan Solat Subuh. Begitu khusyuk sekalil Amani Sofea menunaikan solat menghadap ALLAH yang Maha Esa.

Sebaik sahaja memberi salam, Amani Sofea terus berdoa. Berjela-jela doanya kepada ALLAH agar usaha pencariannya membuahkan hasil. Kelopak mataya menakung air jernih tatkala teringatkan petikan doa dari buku yang pernah dibacanya.

‘Doa adalah kunci segala hajat, penghibur orang miskin, pelindung orang kesempitan dan pemberi ketenangan buat manusia yang berkeinginan.’

Doa merupakan ibadah dan bukti pengakuan terhadap sifat lemah seorang hamba terhadap kekuatan dan kesempurnaan zat-NYA. Bahkan ALLAH mencintai hamba-hamba-NYA yang sentiasa berdoa dan merintih akan pemberian-NYA. Keyakinan dan kesabaran dalam menerima anugerah-NYA adalah sifat yang dituntut dalam membina keyakinan dan bersangka baik pada ALLAH. Bukankah Rasulullah s.a.w. telah bersabda, yang bermaksud:-

‘Doa seseorang daripada kamu pasti akan diperkenankan selama kamu tidak meminta disegerakan pengabulannya dengan mengatakan, aku sentiasa berdoa kepada ALLAH tetapi mengapa masih belum dikabulkan?’

Semenjak sebulan yang lalu empangan mata Amani Sofea tidak pernah kering. Sentiasa merembes air jernih mengiringi doanya setiap kali usai solat.

Ya ALLAH, perkenankan doaku agar aku dapat bertemu semula dengan tunang yang amatku rindui, rintih Amani Sofea, mengakhiri doanya.

Kemudian dia bingkas bangun dan mengenakan jeans dan blaus ungu muda. Perutnya sudah mula berbunyi dan perlu diisi. Sejak malam tadi, dia tidak menjamah sebarang makanan. Akibat terlalu letih, dia terus terlena. Sedar-sedar dah subuh.

Setelah bersiap ala kadar, Amani Sofea melangkah keluar dari chalet menuju ke restoran yang berada di dalam kawasan itu. Dia disambut dengan seorang gadis genit yang bertindak sebagai penyambut tetamu di situ.

“Selamat pagi cik, silakan.”

“Terima kasih.”

Amani Sofea melangkah masuk dan menuju ke sebuah meja bulat berhiaskan sekuntum bunga ros merah. Terus Amani Sofea melabuhkan punggungnya di situ. Keadaan dalam restoran itu amat cantik. Berukir dengan kayu-kayu jati yang pelbagai bentuk. Amat selesa sekali.

Sambil menikmati sarapan, Amani Sofea meliarkan mata pada sepasang kelamin yang duduk di hujung tingkap. Lagaknya seperti orang baru kahwin. Duduk dalam keadaan yang amat mesra dan intim.

Tiba-tiba hati Amani Sofea tersentuh. Wajah Zafrizan kembali bermain-main di mata. Rasa rindunya terhadap Zafrizan tiba-tiba memuncak membakar seluruh hatinya di saat ini.

Hari bahagia mereka tidak lama lagi. Bila terkenangkan majlis itu, Amani Sofea mula hilang mood. Roti bakar dan telur rebus separuh masak di hadapannya sudah tidak menarik seleranya lagi.

Time-time nilah pulak ‘putera’ kesayanganku hilang. Cemburunya aku melihat pasangan di hadapan aku ni, keluh Amani Sofea di dalam hati.

Seketika dia merenung telefon bimbitnya. Tiba-tiba dia teringat sesuatu.

Alamak! Terlupa nak hubungi mama! Hatinya menjerit.

Tanpa membuang masa, Amani Sofea terus menekan nombor telefon rumah. Dia sudah berjanji dengan mamanya, Puan Jalina untuk menelefon sekiranya dia sudah sampai di chalet. Kerana terlalu letih, Amani Sofea terlupa untuk menghubungi Puan Jalina.

Ah, macam mana aku boleh terlupa ni. Masak aku kena marah ni, rungut Amani Sofea ketika menunggu taliannya disambut.

“Assalamualiakum mama!”

“Waalaikumussalam. Baru sampai ke?” tanya Puan Jalina dengan nada geram.

Kerisauan yang melanda Puan Jalina terjawab apabila Amani Sofea menelefonnya. Puas dia menunggu panggilan anak gadisnya itu sepanjang malam.

“Taklah mama.”

“Bertuah punya budak! Baru sekarang nak telefon mama,” marah Puan Jalina.

Rasa marahnya meluap-luap sejak malam tadi. Bagaikan nak luruh jantung menahan debaran, bimbangkan anak gadisnya itu. Manakan tidak, anaknya pergi seorang diri tanpa sesiapa menemaninya. Kalau apa-apa terjadi, tak ada siapa tahu.

“Maaf mama, bukan Amani sengaja. Semalam lagi Amani dah sampai. Dalam pukul 10.45 malam macam tulah. Bila dah masuk bilik dan baring atas katil, tahu-tahu aje dah terlelap. Tak sempat nak call mama. Sorry,” pujuk Amani Sofea menjelaskan perkara sebenar.

Dia tidak mahu Puan Jalina bimbang. Kedatangan dia ke Kampung Nilam Setia ini pun tanpa pengetahuan Puan Jalina. Dia terpaksa berbohong mengatakan dia ada kursus selama dua minggu di Cameron Highlands.

“Yalah, mama faham. Amani kat mana ni?” tanya Puan Jalina apabila mendengar suara-suara bercakap dalam talian.

“Amani sedang sarapan. Biasalah mama. Kursuskan, tentu ramai orang. Semua peserta sedang makan sebelum masuk ke dewan taklimat semula,” terang Amani Sofea.

Namun di dalam hati berasa bersalah sangat-sangat kerana menipu Puan Jalina.

“Hati-hati kat sana tu. Jangan lupa solat. Kalau ada apa-apa terus telefon mama,” pesan Puan Jalina lagi.

“Baik, ma. Apa-apa hal Amani akan hubungi mama,” ujar Amani Sofea sebelum memutuskan talian.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.