Home Novel Thriller/Aksi MERAHNYA LUKA!
MERAHNYA LUKA!
Fida Rohani
15/11/2014 04:39:36
6,346
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 1

Mek Romah sudah tiada. Dia sudah pergi. Pergi yang tidak akan kembali lagi. Sudah enam bulan. Pemergian yang tidak meninggalkan kesan itu amat memilukan. Air mata Siti Aishah dan Fatmah masih menitis setiap kali selesai solat dan mendoakan kesejahteraan roh Mek Romah.

Siti Solehah dan Dalila, masih mengigau bercakap-cakap dengan tok wanya dalam tidur. Hinggakan bila mereka terjaga, masih dalam esakan yang panjang.

“Kenapa tok wa tinggalkan kita, umi?” tanya Siti Solehah pada satu malam yang gelap. Siti Aishah tidak ada jawapan. Dia membiarkan soalan Siti Solehah itu tergantung tidak berjawab. Jiwanya masih haru biru hingga belum mampu menolak kenyataan itu.

Selepas Mek Romah pergi dalam kejadian ngeri itu, mereka dibawa lari ke Negeri Cik Siti Wan Kembang melalui Pengkalan Jambu. Pada malam yang kelam, mereka membawa tangisan yang tidak henti-henti.

“Chah nak tunggu di sini.Chah nak tengok mayat mak. Chah nak kucup mak untuk kali terakhir,” kata Siti Aishah ketika disuruh meninggalkan kampung halaman yang sedang huru hara dengan tangisan.

“Chah, Fatmah, cepat! Kita kena lari dari sini dengan segera.” Mat Kosim kedengaran cemas dan amat ketakutan.

“Lari ke mana?” Fatmah menoleh ke arah Mat Kosim.

“Ini arahan Pak Da Salleh. Dia nak Chah dan keluarga pergi jauh dari sini sebelum terlambat. Kita kena bertolak sekarang Chah. Abang dah suruh Mat Jusoh siapkan kereta,” ujar Mat Kosim lagi.

“Ini rumah dan tanah kami. Mak pernah kata, tak ada siapa yang boleh halau kami dari sini!” Siti Aishah membantah dengan keras. Dia tidak sanggup untuk meninggalkan Tanah Patani. Apa lagi rumah pusaka itu. Rumah buatan tangan gemula mertuanya Haji Mat Daud untuk isteri tercinta gemulah Mek Romah.

“Jangan lagu tu Chah. Pergilah. Selamatkan diri. Hal rumah ni biar kami yang tengok,” pujuk Mek Noung. Pemergian Mek Romah menjadi titik duka sekali lagi dalam hidup Siti Aishah. Dia amat belas melihatnya.

“Benar tu Chah, kita semua pun sedih dengan kejadian ini, tapi kita akan lebih sedih kalau Chah dan anak-anak pula yang jadi korban. Gemulah Mek sangat sayang pada Chah. Setiap kali dia jumpa aku, mesti dia minta aku jaga Chah kalau dia tak ada. Pergi cepat Chah,” Chu Bedah pula memujuk.

“Kak Chah, sabarlah. Semuanya dah berlaku. Dah memang takdir mak mati lagu tu. Dia yang dah lama rindu untuk mati kerana agama dan bangsanya. Sekarang ALLAH dah makbulkan doa dia. Sedih memanglah sedih, tapi kita kena reda,” kata Fatmah pula. Akhirnya dia mula memahami apa erti ‘melarikan’ diri. Dia teringat pada kampung halamannya. Sejak meninggalkannya, tidak pernah sekali pun dia pulang lagi. Lantaran itu, dia masih bernafas. Lantaran itu juga hayatnya masih panjang. ALLAH memang mengkehendaki dia hidup di perantauan untuk kembali menebus sebuah perjuangan!

“Patutlah mak lain saja perangainya. Rupanya mak nak tinggalkan kita,” rintih Siti Aishah seperti tidak menghiraukan cakap Fatmah.

“Chah, kita dah tak ada masa nak fikirkan hal tu. Cepatlah berkemas. Fatmah, Lazim, cepat!” gesa Mat Kosim lagi.

“Tapi kami tak akan undur. Mak pernah ajar kami, supaya pertahankan tanah dan rumah ini hingga ke titisan darah yang terakhir,” kata Siti Aishah dengan tegas. Dia melihat wajah Mat Kosim yang hilang arah.

“Kak Chah, mari kita pergi dari sini. Kita tak boleh mati sia-sia. Mak dah amanahkan aku untuk jaga kakak dan keluarga ini. Masih banyak perkara yang kita kena buat. Perjuangan mak belum selesai. Kitalah yang akan teruskan semua ini, tapi kita kena selamatkan diri sebelum kita mulakan langkah baharu. Kak Chah, tolonglah...” rayu Fatmah pula. Dia menggenggam tangan Siti Aishah seperti ada ikrar dalam darah yang sedang mengalir. Sungguh jitu. Sungguh padu.

“Mak, sampai hati mak tinggalkan aku lagu ni...” Siti Aishah terus merintih. Hatinya yang gundah gulana memang sukar dipujuk.

“Kak Chah, tak baik kita terus merintih. Marilah cepat. Lagi lama kita tunggu lagi hampir bahaya tu dengan kita,” kata Fatmah. Dia memang mengharapkan Siti Aishah tidak akan melengahkan masa. Peluru musuh sedang mengejar mereka.

“Mak nak kita berjuang ...” rintih Siti Aishah semakin lemah.

“Kak Chah, berundur tak bermakna kita dah serah kalah. Aku juga lari dari kampungku walaupun aku amat sayang akan rumah dan tanahku, tapi aku belum kalah. Aku masih ingin terus berjuang. Kak, cepatlah. Kita kena tuntut bela atas kematian mak. Sebab itu kita kena undur dulu,” kata Fatmah sambil menarik tangan Siti Aishah. Dengan perlahan Siti Aishah bangun dan mengerahkan anak-anaknya mengemas pakaian dan apa yang penting sahaja. Fatmah pun sama. Bersiap dan menangis. Namun masih tidak lupa untuk berdoa agar malam itu mereka dilindungi dari peluru musuh.

“Tok wa, Zim akan balik semula ke rumah ini. Ini rumah kita,” bisik Mat Lazim pula sambil mengenggam penumbuknya. Wajahnya merah padam. Darah perjuangan dalam diri anak muda itu memang sedang membuak.

Semuanya sudah enam bulan berlalu. Kalau Mek Romah ada kubur, tentu rumput sudah meliar dan menghijau.

Mata Siti Aishah berkaca. Kemudian kaca itu pecah terhambur keluar. Betapa rindunya dia kepada Mek Romah. Juga kepada Kampung Chanae yang banyak menyimpan kenangan pahit manis hidupnya.

Bunyi derap kaki mematikan semua lamunan. Siti Aisyah segera mengesat pipinya yang basah dengan hujung kain kelubungnya.

“Kak Chah,” tegur Fatmah sambil duduk di sebelahnya.

Siti Aisyah menoleh. Dia menghadiahkan sebuah senyuman nipis kepada Fatmah. Senyuman basa basi.

“Kenapa Kak Chah menangis?” Fatmah sengaja menduga.Walhal dia memang tahu erti air mata itu. Dia juga kerap begitu. Menangis bila rasa pilu. Bila rasa rindu. Hidup di perantauan memang tidak pernah buat jiwa mereka aman dan tenang. Apa lagi, saban malam melihat pergolakan di Tanah Selatan yang tidak pernah usai.

“Mak dah tak ada. Kita tak boleh terus lagu ni Fatmah. Perjuangan mak harus diteruskan. Amanat mak kita kena buat,” kata Siti Aishah, tanpa menoleh. Matanya terlepas bebas ke halaman yang luas. Angin dari padang yang kering dibiarkan menyapu wajahnya yang basah itu.

Fatmah diam.

“Sudah enam bulan kita dok di sini tanpa buat apa-apa. Sampai bila kita nak makan tidur di sini, Fatmah?” rungut Siti Aishah lagi.

Fatmah tetap diam. Dia menguis-nguis pasir di hujung kakinya. Rungutan Siti Aishah sedikit sebanyak menjentik hatinya. Sedang dalam kepalanya sendiri masih berserabut dengan bermacam perkara.

Kematian Mek Romah begitu mengganggu jiwanya. Dia tidak rasa begitu sedih dan terseksa ketika kematian kedua-dua ibu bapanya. Namun kali ini, dia rasa terhukum. Semuanya tidak pernah hilang dari ingatannya.

“Abang Kosim, apa sebenarnya yang berlaku?” Dia bertanya ketika berita kematian Mek Romah sampai ke telinganya. Dia tidak berpuas hati dengan kejadian itu.

“Abang tak tahu, Fatmah. Ketika abang tengah tunggu isyarat dari Pitchai, tiba-tiba abang nampak mek dah ada dalam kawasan kem. Abang tak tahu lagu mana dia dapat masuk. Abang tak tahu siapa yang letupkan kem itu. Kami belum bertindak apa-apa, kami baru bersedia,” jawab Mat Kosim dengan suara bergetar.

Dia melihat tangisan lelaki itu berderaian.Dia meneliti wajah itu. Dia nampak wajah itu penuh dengan rasa kesal dan sedih.

“Ketika pengumuman dibuat, mek dah keluar. Tapi tiba-tiba dia masuk semula. Ketika itulah ....”

Tiba-tiba Mat Kosim teresak-esak. Tubuh perkasa lelaki itu terhinggut-hinggut. Semuanya amat mengharukan. Ketika itu dia tertunduk. Dia ikut hanyut dengan kesedihan itu. “Mak … aku nak pergi, mak tak izinkan. Mak tu tak ada pengalaman … inilah jadinya,” keluhnya dengan rembesan air matanya.

“Fatmah? Apa yang mu cakap ni? Apa maknanya Fatmah?” Mat Kosim merenung tajam ke arahnya. Wajah lelaki itu tiba-tiba bertukar rona.

“Sebenarnya mak yang bom tempat itu. Aku yang buatkan bom itu. Aku yang ajar dia dan aku yang atur semuanya. Aku yang bunuh dia bang. Aku yang sebabkan mak mati. Aku yang salah ....” Dia menangis dan menepuk-nepuk dadanya. Dia benar-benar rasa bersalah. Sungguh. Memang dia rasa kerana dia Mek Romah mati.

Mat Kosim terpaku. Mata lelaki itu merenungnya tajam. Renungan itu mencari sebuah kepastian.

Dengan perlahan dia mengangguk, membenarkan kata-katanya.

“Tapi bakpo Fatmah? Bakpo tak bincang dengan abe dulu? Bakpo mu buat keputusan sendiri?” Suara Mat Kosim meninggi.

“Mak yang paksa aku supaya rahsiakan hal ni. Dia dah agak, kalu abe dan yang lain-lainnya tahu mesti dia dihalang. Dia paksa aku, abe. Aku serba salah ...” Dia tenggelam dalam tangisan. Suaranya tenggelam timbul bersama esakan.

Ketika itu Mat Kosim terdiam. Mungkin dia faham kehendak Mek Romah. Dia lebih arif tentang sikap tegas isteri gemulah Haji Daud itu.

“Dia juga yang letakkan bom dalam pos kawalan polis di Du Son Yaw tempoh hari. Aku yang buat bom itu. Dan mak yang pergi letakkan..” sambung Fatmah lagi.

“Hah? Mak yang buat Fatmah?” tanya Siti Aishah, terkejut.

Fatmah angguk. Dia melihat Siti Aishah dan Mat Kosim terhenyak! Mereka seperti meragui apa yang didengar. Namun, itulah yang sebenarnya. Mek Romah mati kerana ledakan bom yang dibuat oleh tangannya. Dia membelek tangannya. Mengira-ngira jasa tangan itu dalam beberapa ledakan. Namun, akhirnya tangan itu juga yang membunuh orang yang memberi makan kepadanya!

Air matanya tiba-tiba tidak mampu ditahan. Ia menitis di hujung mata.

“Fatmah, mu dok fikir apa ni?” Siti Aisyah menepuk bahu Fatmah.

Semua kenangan berdarah itu usai. Fatmah mengesat air mata. Kemudian dia menarik tangan Siti Aishah dan mengenggamnya erat.

“Kak Chah, aku rasa bersalah pada Kak Chah dan orang Kampung Chanae,” kata Fatmah. Genggaman tangannya sedikit gementar. Siti Aishah dapat merasakannya.

Bakpo pula?” Siti Aishah menoleh dengan penuh tanda tanya.

“Kerana aku mak mati. Sepatutnya aku yang buat kerja itu, bukan dia.”

“Fatmah, jangan cakap seperti orang yang tak beriman. Semuanya dah disusun oleh ALLAH. Mak mati sebab masanya dah sampai. Bom itu hanya penyebabnya. Dan dia mati kerana Tanah Pattani. Kak Chah bangga dengan perjuangan gemulah mak. Malu rasanya kita hak muda ni tak buat ggapo. Sebab itu, Kak Chah dah fikir masak-masak,” Siti Aishah membetulkan duduknya. Dia seperti sedang membetulkan niat dan hajatnya juga.

“Apa yang sedang Kak Chah fikir?”

“Kak Chah nak ikut pasukan kita berjuang. Kak Chah nak..”

“Ish! Kak Chah jangan nak merepek,” potong Fatmah sebelum Siti Aishah menghabiskan kata-katanya.

“Kenapa tak boleh? Mak yang tua tu boleh buat, kenapa Kak Chah tak boleh?” Siti Aishah menatap wajah Fatmah.

“Cukuplah mak seorang. Kak Chah tak perlu nak ikut cara mak. Kak Chah kena fikirkan masa depan budak-budak tu. Mat Lazim, Siti Solehah dan Dalila perlukan Kak Chah. Mereka masih mentah untuk berdepan dengan perpisahan berdarah!” tegas Fatmah, sedikit meninggi.

“Habis nak biarkan sahaja tanah kita terus dijajah?” balas Siti Aishah dengan nada tinggi.Dia rasa seperti Mek Romah ada di hadapannya.

“Aku ada. Aku yang paling layak berjuang dari Kak Chah. Aku dah tak ada sesiapa di dunia ini. Aku ada ilmu perang. Aku tahu jalan, samada di hutan dan di pekan,” kata Fatmah dengan yakin.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.